Artikel Popular

Saturday, February 12, 2011

Pemberontakan Arab Kedua

SABTU, 12  Februari 2011
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH

Dunia kini sedang   menyaksikan Pemberontakan Arab kedua selepas yang pertama berlaku pada tahun 1916.  Berbeza dengan Pemberontakan Arab pertama yang disokong kuasa kolonial ketika itu, iaitu British dan Perancis dalam   menentang Empayar Ottoman, pemberontakan terkini dicetuskan dan digerakkan oleh rakyat  Arab sendiri, menentang autokrat   yang  lama memerintah dengan segala kekejaman dan kecurangan.  Rakyat  Arab selalunya ditanggapi dengan kelakuan yang agresif dan sukar bertolak ansur,  tetapi mereka boleh pula bersabar dengan membiarkan pemimpin kekal di tampuk kuasa berdekad-dekad lamanya:  Hosni Mubarak  30 tahun, Zine el-Abidine Ben Ali yang baru sahaja ditumbangkan 23 tahun, dan  Muammar Qaddafi sejak tahun 1969.

            Tercetusnya Pemberontakan Arab kedua ini memeranjatkan banyak orang bukan sahaja kerana bukan sahaja  bermula di  Tunisia, bahkan puncanya juga tidak pernah dibayangkan.  Segala-galanya bemula  oleh tindakan   Mohamed Bouazizi, siswazah yang mencari rezeki dengan menjual buah-buahan  dan sayur-sayuran di   pekan kecil Sidi Bouzid yang  membakar diri secara solo berikutan kereta sorongnya dirampas oleh polis.  Tindakan  pemuda ini menjadi inspirasi berbelas-belas  orang lelaki yang membakar diri mereka di Mesir, Algeria, dan Mauritania, dan yang lebih signifikan ialah tumbangnya autokrat di Tunisia.

            Pada 11 Februari, dalam tempoh sebulan, seorang lagi pemimpin Arab digulingkan oleh pemberontakan popular.  Bagi sesiapa sahaja yang menonton rangkaian televisyen al-Jazeera, BBC, CNN, dan bahkan Bloomberg dan CNBC pastinya dapat menyaksikan keriangan jutaan rakyat Mesir yang meraikan peletakan jawatan Hosni Mubarak sebagai Presiden.  Setelah tunjuk perasaan itu memasuki hari ke-18, dari “hari berlepas” ke “Jumaat perpisahan,” Mubarak yang enggan meletakkan jawatan dengan menggunakan  pelbagai taktik dan pelbagai alasan, akhirnya akur bahawa masa beliau telah berakhir. Sebuah  cerita jenaka,  kapal terbang  Ben Ali   sebelum ke Arab Saudi, singgah di istana Mubarak di  Sharm el-Syeikh.  “Datang untuk tinggal di sini?” tanya Mubarak.  “Tidak, datang  untuk menjemput anda sekali,” jawab Ben Ali. 

Kemangkatan diktator, isytihar Fouad Ajami dalam Newsweek  “Di bumi yang dijarah dan dizalimi,” tulis Fouad,   “Revolusi Arab 2011 membara berdekad-dekad.”  Dengan membangkitkan “pengorbanan” Bouazizi, beliau menambah, “sejarawan tidak akan berteka-teki lama tentang Revolusi Arab.  Mereka akan tahu dengan tepat, bila dan di mana tsunami politik yang menggoncangkan pemerintah kejam mula melanda.” Namun, patut ditanyakan, mengapa selama ini tidak banyak yang dapat mengesani kebangkitan ini?  Malah, peringatan  terhadap Washington pada tahun 2004 bahawa mereka tersilap orang, iaitu Ben Ali,   untuk menyebarkan demokrasi tidak dipedulikan sama sekali. 

Kini,   disedari bahawa Amerika kehilangan  pemimpin bonekanya di dunia Arab.   Israel terasa keseorangan. Sementara Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, terpaksa berputih mata terhadap apa yang berlaku di Tunisia, yang beliau tidak bayangkan sama sekali: kerajaannya memandang rendah kemarahan yang mendorong penunjuk perasaan menggulingkan kerajaan di negara bekas tanah jajahan Perancis itu. 

Banyak rakyat  Arab sepanjang Timur Tengah, dikatakan melihat pemberontakan Tunisia yang dikenali  Revolusi Melati dengan penuh inspirasi:  diktator pertama di rantau itu tumbang di tangan rakyatnya sendiri sejak tahun 1979 tanpa memerlukan revolusi Islam; tanpa campur tangan Amerika; tanpa pemimpin yang mampu membakar semangat.  Revolusi itu  disusuli oleh protes antirejim popular  dan protes di Kaherah, Iskandariah, dan bandar-bandar lain di Mesir pada pada 25 Januari lalu.  Pada hari itu, lebih 90,000 orang Mesir menurunkan tandatangan pada Facebook untuk menyertai tunjuk perasaan.  Sejak itu, bermulalah protes di Mesir yang mendesak Mubarak meletakkan jawatan.  Dua hari kemudian, 15,000 penunjuk perasaan berarak ke Sanaa, ibu negara Yaman, mendesak Presiden Ali Abdullah Saleh meletakkan jawatan. Keharuman Revolusi dirasai di seluruh dunia Arab, dan seorang demi seorang autocrat menunggu giliran untuk ditelan pasir. 

            Laila Lalami dalam “Tunisia Rising” dalam The Nation mengkritik dan menyindir cerdik pandai yang sering menyanjung dan bersikap berdiam diri terhadap kejahatan dan kecelakaan yang berlaku:   “Tidak mengapa Zine el-Abidine Ben Ali, berkuasa selama 23 tahun, terus-menerus memenangi pilihan raya dengan 90 peratus undi.  Tidak mengapa.   isterinya, Leila Trabelsi, bekas pendandan rambut, mempunyai kepentingan dalam hampir semua perniagaan di negara itu.  Tidak mengapa kadar pengangguran dalam kalangan siswazah dilaporkan mencecah 20 peratus.  Tidak mengapa terdapat pegawai polis untuk setiap 40 orang dewasa dan Internet ditapis.”  Setelah penduduk Arab bangkit untuk  merongkaikan rantai yang membelenggu mereka berdekad-dekad, maka  cerdik pandai dengan yakin berbicara,    bagaimana demokrasi boleh berfungsi di Timur Tengah.

            Sementara mereka  bersikap acuh tidak acuh,  akhbar arus perdana Amerika pula  kurang memberikan perhatian terhadap revolusi Tunisia itu.  Bahkan, kolumnis yang terkenal dengan kepakaran merawat penyakit  di “Jalan Arab” tidak memperlihatkan minat yang mendalam.  “Apabila akhbar arus perdana akhir memberikan tumpuan,” tulis Laila Lalami, “selalunya untuk menjelaskan kejayaan revolusi Tunisia dari segi teknologi, seperti Rangkaian Media Sosial, Twitter, YouTube, dan kabel diplomatik  WikiLeaks.”  Bagi beliau, revolusi Tunisia berlaku dicetuskan dan digerakkan oleh lelaki dan wanita yang melancarkan tunjuk perasaan, meskipun mereka diugut, dipukul, disasarkan  gas pemedih mata dan peluru.  Kematian Bouazizi, bahas Laila Lalami, keengganan Jeneral Rachid Ammar untuk menurut perintah tembak yang dikeluarkan oleh Ben Ali, penahanan penentang Hamma Hammami, dan perpaduan kesatuan sekerja dan golongan profesional bersama-sama pelajar kolej – merupakan semua faktor ini memainkan peranan penting memarakkan penentangan.

            Namun, apabila “Jalan Arab” melaungkan demokrasi dan kebebasan, Barat dikatakan tidak menunjukkan rasa hormat mereka, sedangkan sebelum ini mereka yang gigih memperjuangkan.  Bahkan, seperti yang diketahui, Amerika menceroboh Iraq pada tahun 2003 adalah untuk menyebarkan demokrasi itu dengan menggulingkan Sadam Hussein dan menggunakan alasan senjata pemusnah besar-besaran.  Kini, Barat, terutamanya Amerika melihat angin perubahan yang melanda dunia Arab dengan penuh cemas dan gelisah, dan yang menjijikkan sikap dwistandard mereka. 

            Pemberontakan popular di Tunisia dan Mesir, yang bergema di seluruh dunia Arab,  mendedahkan beberapa kebenaran yang tidak menyenangkan tentang dasar luar Amerika Syarikat.  Tulis The Editors  The Nation “Peliukan Pentadbiran Barack Obama, terperangkap antara keinginan untuk berdiri teguh bersama-sama diktator di Kaherah yang merupakan sekutu setia dengan keinginan untuk menyalurkan revolusi yang dapat mentakrifkan masa hadapan rantau itu.  Secara retorik, Amerika memperjuangkan  demokrasi dan hak asasi manusia.

            Sesungguhnya, Revolusi Arab kedua mendedahkan kepura-puraan Barat kerana revolusi ini menuntut demokrasi yang diamalkan di Eropah dan Amerika.  “Bukannya kita mengalu-alukan tuntutan demokratik mereka,” tulis Robert Fisk dalam The Independent.  “Kini angin perubahan bertiup di sepanjang dunia Arab.  Dan, kita pula menongkah angin itu.” Reaksi golongan liberal Barat  terhadap pemberontakan di Tunisia dan Mesir,  menurut sesetengah pemerhatian, sering kali memperlihatkan kepura-puraan dan kesinisan.

            Seperti yang digembar-gemburkan oleh media arus perdana antarabangsa, Barat, terutamanya Amerika bimbang bahawa pertukaran rejim itu digantikan oleh puak Islam, khususnya di Mesir.  Dalam hubungan ini, Noam Chomsky melalui makalahnya dalam guardian.co.uk berhujah bahawa  bukannya golongan Islam radikal, sebaliknya kemerdekaan dunia Arab yang membimbangkan Amerika Syarikat. Tegas beliau, Amerika Syarikat dan sekutunya mendapat sokongan terus-menerus daripada Islamis radikal, kadangkala untuk mencegah ancaman nasionalisme sekular. Bagi Chomsky, Amerika silap percaturan dengan mengambil mudah kekecewaan dan kegelisahan “di Jalan Arab”:  Meskipun sejumlah besar penduduk Arab mengganggap ancaman Amerika dan Israel lebih berbahaya daripada Iran, Washington selalu mengambil pendirian “tiada apa-apa yang silap, semuanya terkawal.”  Diktator menyokong kita.  Rakyat mereka boleh dilupakan, kecuali mereka memutuskan rantai mereka, dan kemudian dasar mesti diselaraskan.

            Selain memerhatikan  kuasa luar, terutamanya Amerika yang berkemungkinan “menawan”  Pemberontakan Arab kedua,   dalam kes Tunisia dapat diperhatikan  kelemahannya: diktator pergi, tetapi rejim masih wujud di sana yang sedang mengatur strategi terakhir demi memastikan kerajaan masih terkawal.  Pejuang revolusi selalu  beranggapan bahawa tugas  mereka selesai  dengan penggulingan  diktator  dan mereka boleh hidup senang-lenang di rumah masing-masing, dan menyerahkan tugas seterusnya kepada organisasi politik. Oleh sebab elit rejim purba masih menguasai tempat penting, maka jangan terperanjat jika mereka akan memperkukuh semula kuasa mereka.  Justeru,  meskipun Ali Baba sudah pergi, tetapi 40 orang penyamun jangan dibiarkan berkeliaran.

               Adakah Pemberontakan Arab kedua ini akan terakam dalam sejarah sebagai pemenang yang mengubah Tunisia dan yang terbaharu Mesir, di  tempat-tempat lain di dunia Arab, dan di sistem-dunia?  Mudah-mudahan!  Setelah sekian lama bersabar, akhirnya rakyat  Arab bangkit untuk mengukir sejarah  keagungan manusia pada abad ke-21.  Mereka  bukan sahaja lama tertindas, bahkan  diaibkan oleh Israel sejak perang tahun 1967 dan pemimpin mereka sentiasa mengikut telunjuk Amerika.  Mereka juga diaibkan oleh pemimpin mereka yang gemar bertelagah sesama sendiri dan mengabaikan nasib rakyat Palestin.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...