Artikel Popular

Sunday, February 13, 2011

Bertarung Nafas Terakhir

AHAD, 13 Februari 2011
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH

Lapan belas hari, bagi Hosni Mubarak, sesungguhnya, hari yang cukup panjang. Melihat dirinya terhuyung-hayang di tepi curam yang amat dalam, beliau berusaha melakukan apa-apa sahaja: melantik  Naib Presiden – jawatan yang tidak pernah diisi semasa pemerintahannya  selama 30 tahun;  merombak Kabinet dan melantik Perdana Menteri baru;  mengumumkan bahawa beliau tidak mempertahankan jawatan Presiden pada bulan September ini; rombakan kepimpinan dalam Parti Demokratik Nasional;  dan yang paling mengaibkan, mengatur tunjuk perasaan yang memperlihatkan bahawa rakyat menyokong beliau. 
Tidak kurang pula helah bahawa jika beliau meletakkan jawatan Mesir akan terjebak dalam kacau-bilau. Untuk menjinakkan penentangan, kerajaan menggunakan segala kuasa yang ada padanya, termasuk janji kenaikan gaji 15 peratus untuk pekerja Persekutuan.  Bahkan, sehari sebelum beliau meletakkan jawatan, beliau mengumumkan bahawa kuasa diturunkan kepada  Naib Presiden, tetapi beliau  masih  kekal sebagai Presiden. 
            Namun, rakyat Mesir tidak mudah termakan “gula-gula” Mubarak dan mereka masih tidak hilang fokus, “kami tidak akan berundur, anda mesti pergi.”  Mereka  tidak boleh diperdayakan.   Mereka tahu jika mereka meninggalkan Dataran Tahrir, dalam perjalanan pulang, sebahagian mereka akan dicampakkan  ke dalam penjara.  Genggam bara api biar sampai jadi arang.  Setiap percaturan Mubarak dan Omar Suleiman,  sebenarnya menyemarakkan lagi keberanian rakyat dan mereka membalasnya dengan penentangan yang semakin sengit. Semakin lama Mubarak bertarung dengan nafas terakhir, maka  semakin padu dan kukuh, semakin berani dan bersemangat rakyat Mesir.  Mereka berteriak,  “Mubarak, anda mesti pergi!  Kami tidak akan pergi.”
Selama tempoh itu, rangkaian televisyen dunia tertumpu ke Dataran Tahrir, Iskandariah, dan Suez, dengan api pemberontakan popular yang kian marak  dan terus membakar.  Selama tempoh tersebut, daripada Presiden Barack Obama kepada dua calon Presiden, John McCain dan John Kerry, daripada Canselor Angela Merkel kepada Perdana Menteri David Cameron, menyarankan Mubarak berundur.  Dan, selama tempoh itu juga, cengkaman  Mubarak  kelihatan kian lemah. Apabila beliau melantik Ketua Risikan Tentera,  Omar Suleiman,  banyak yang percaya bahawa kali ini Naib Presiden itu tidak dapat menyelamatkannya lagi. Bahkan, bagi penunjuk perasaan, Omar  bukannya opsyen.  Mereka juga berteriak menentang beliau. Mustahil orang ramai akan pulang ke rumah hingga Presiden setiap di keliling beliau berundur. 
  Melihat tindak-tanduk Omar yang lebih cenderung untuk menyelamatkan Mubarak daripada memenuhi tuntutan  rakyat,  beberapa pemerhati mula merasakan bahawa Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah membuat perhitungan yang silap kerana  mereka merestui Naib Presiden itu untuk mengetuai peralihan kepada demokrasi.  Omar kelihatan bercakap manis dengan Washington dan Brussels, tetapi dapat diperhatikan bahawa beliau lebih berminat mempertahankan orde lama yang menindas.
Apakah yang mendorong orang ramai menjadi Orang Ramai, turun ke jalan-jalan dan  mengambil risiko segala-galanya?  Jawapan yang lazim, pengangguran, kebencian terhadap hidup tanpa kebebasan, dan kenaikan harga makanan.  Dalam hubungan ini, Neal Ascherson yang menulis dalam The Independent cuba memberikan jawapan mengapa  beratus-ratus ribu  orang mengadakan tunjuk perasaan di Tunisia dan Mesir.  Mereka dapat menghidu bau busuk ketidakpastian, dan mereka berarak.  Di sini beliau memetik fikiran Lenin bahawa “revolusi memerlukan bukan sahaja rakyat jelata hilang sabar, tetapi juga golongan pemerintah hilang keyakinan terhadap sistem mereka sendiri.”  Membakar di bawah, runtuh di atas.
 Melihat pemberontakan yang semakin menjadi-jadi,  Senator John Kerry muncul dengan makalahnya dalam The New York Times, “Allying Ourselves with the Next Egypt,” membayangkan detik-detik terakhir Mubarak akan tiba jua.  Dalam makalah akhir Januari lalu,   beliau menulis, “bahkan jika protes yang menggoncangkan Mesir reda dalam hari-hari mendatang, kacau-bilau minggu lalu mengubah selama-lamanya hubungan antara rakyat Mesir dengan kerajaan mereka." Kerry mengingatkan  Mubarak  mesti menerima hakikat bahawa kestabilan negaranya bergantung pada kesediaannya untuk berundur secara hormat untuk memberikan laluan kepada struktur politik baru. Bagi beliau, “rakyat Mesir mengemukakan tuntutan yang tidak dijual beli, iaitu demokrasi dan peluang ekonomi yang lebih luas.”
Hari demi hari, terutamanya hari selepas Mubarak meletakkan jawatan, sebagaimana ratusan ribu penunjuk perasaan di Dataran Tahrir, demikian juga banyaknya berita atau ulasan tentang pemberontakan popular  ini.  Peletakan jawatan itu memang tidak memeranjatkan, meskipun tidak banyak yang membayangkan beliau digulingkan oleh rakyatnya sendiri.  Kira-kira tujuh bulan lalu, The Economist  melalui rencana utamanya, “Shifting Sands: Change is Coming to the West’s Arab Allies”  dan 14 halaman Laporan Khas Tentang Mesir, menjangkakan akan berlaku peralihan kuasa, daripada Mubarak kepada anaknya, Gamal yang nampaknya bersedia untuk gilirannya.  Pada kulit hadapan majalah itu, kreativiti  artis menunjukkan Mubarak ditelan pasir dan yang masih kelihatan ialah kepala dan tangan kanannya yang terangkat seakan-akan meminta pertolongan, tetapi siapa yang mempedulikannya! 
Pada Mei tahun lalu juga, Adam Shatz melaporkan dari Mesir, menulis dalam London Review of Books.  Mesir di bawah Mubarak menurut pemerhatian Shatz, selalu dibandingkan dengan Iran dalam  hari-hari terakhir Syah:  golongan kelas menengah terhimpit oleh inflasi; kemarahan terhadap rejim yang bersekongkol dengan Amerika Syarikat dan Israel; rasa kemanusiaan yang mendalam yang kian diluahkan dalam nada Islam; kebencian universal yang hampir serupa terhadap golongan pemerintah negara;  negara yang kesahannya hampir terhakis  sama sekali. 
Pada tahun 2005,  beliau cuba menarik perhatian, “Gerakan Mesir untuk Perubahan – gabungan golongan  sayap kiri, Nasseris, dan Islamis yang lebih dikenali Kifaya mengadakan beberapa tunjuk perasaan di Kaherah, yang memperlihatkan pertama kali, rakyat Mesir berani mengkritik Mubarak secara terbuka, dan mendesak beliau meletakkan jawatan.  Sejak itu, beratus-ratus ribu rakyat Mesir mengadakan tunjuk perasaan, mereka terdiri daripada golongan sayap kiri dan Islamis, antaranya mendesak penamatan Undang-undang Darurat.”  Berbanding dengan tulisan dalam The Economist,   Shatz  bagaikan dapat melihat sesuatu yang buruk akan berlaku:   nafas terakhir Mubarak.
Namun, cara media dan cerdik pandai memberitahu warga dunia, seolah-olahnya pemberontakan popular atau revolusi, atau apa-apa sahaja nama diberikan, berlaku secara tiba-tiba atau spontan.  Bahkan, kini  kedengaran cerita bahawa pasukan perisikan gagal mengesani kebangkitan yang berlaku lebih lima tahun lalu.  Mubarak akan kekal seadanya.   Kalaupun berlaku perubahan kepimpinan adalah kerana rejim  itu uzur atau dengan sukarela menyerahkan kuasa kepada dinastinya, dan bukannya kerana seperti yang berlaku sekarang.
Ketika    Hassan Nasrallah, Setiausaha Agung Hezbollah meniupkan semangat dalam ucapan  yang penuh retorik semasa rapat umum perpaduan di  Dataran Ghobeiry  pada 7 Februari,  rakyat Mesir telah pun berkubu kukuh di Dataran Tahrir dan sedang mara di beberapa tempat lain di Mesir.  Di sini dipetik ucapan itu:  “Sahabat Israel dan Amerika, iaitu intelektual, pemimpin politik, dan saluran media yang rapat dengan Amerika dan Israel, mahu meyakinkan dunia bahawa apa yang berlaku di Mesir adalah hanya revolusi roti, revolusi orang lapar. Namun, kebenarannya diberitahu kepada seluruh dunia oleh penunjuk perasaan di Dataran Tahrir, iaitu penunjuk perasaan di Mesir.  Tunjuk perasaan itu dinyatakan oleh slogan mereka, oleh darah mereka, oleh senyuman mereka, oleh kemarahan mereka, oleh pendirian mereka.  Ini bermakna kita menyaksikan revolusi sepenuhnya.  Ini ialah revolusi golongan miskin, revolusi orang cintakan kebebasan.”  Bagi Hassan Nasarallah, ini revolusi politik, sosial, dan insan. Revolusi yang menentang segala-galanya.
Rakyat  bersorak dengan sangat  gembira, “Mesir bebas, kita menang.”  Penzalim  lenyap, negara kegembiraan. Di mana-mana sahaja orang menyaksikan detik Mesir dengan pemberontakan yang bercita-cita besar, penunjuk perasaan yang terdiri daripada golongan muda, faham dengan teknologi, dan lebih tersusun jika dibandingkan pemerintah mereka, mula menulis semula sejarah.   Bermula lembaran baru bukan sahaja untuk Mesir, bahkan untuk dunia Arab.
Meskipun tumbangnya rejim  pada 11 Februari dianggap sebagai kemenangan demokrasi, tetapi kemenangan adalah milik rakyat Mesir yang berbekalkan keberanian yang tidak kunjung padam dan rela berkorban apa-apa sahaja.  Mereka yang lama ditindas dan dizalimi, memperlihatkan kekuatan popular yang mampu menumbangkan rejim. Mereka wajar menuntut dan memiliki kemenangan itu.  Tiada yang lain yang berhak, meskipun banyak pihak yang menghlurkan sokongan kepada mereka. Kita, warga dunia sekadar turut meraikan kemenangan mereka.  Dunia, dalam kata-kata Ahdaf Soueif, menonton perjuangan ini antara kerajaan yang kuat, kejam, dan korup, menggunakan semua alat negara, dengan organisasi warganegara yang besar dan pelbagai, hanya  bersenjatakan kata-kata dan muzik dan kesahan dan harapan.  Sokongan dunia datang kepada kami dengan lantang dan jelas, dan apakah yang berlaku sepanjang dua minggu lalu akan memberikan suara dan kuasa kepada orang awam di mana-mana sahaja.
            Resam dunia, pemimpin datang pemimpin pergi. Rejim tumbang, rejim muncul.  Setiap kali berlakunya perubahan kepimpinan, baik melalui demokrasi mahupun revolusi, rakyat sentiasa diberikan harapan yang menggunung.  Namun, apabila hari-hari berlalu, harapan itu semakin pudar dan menghilang.  Orang menaruhkan harapan terhadap Pemberontakan Arab kedua yang setakat ini berjaya menumbangkan dua rejim sebagaimana orang memberikan harapan yang serupa ketika robohnya Tembok Berlin pada tahun 1989: kemenangan kapitalisme dan demokrasi liberal, dan tewasnya sayap kiri.  Akan tetapi, 20 tahun kemudian, kapitalisme hampir-hampir musnah sama sekali,  manakala sayap kiri yang diisytiharkan tewas menebus kekalahan mereka di Amerika Latin.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...