SABTU, 19 Februari 2011
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Beberapa bulan lalu, saya menulis sebuah makalah yang tidak diterbitkan yang merupakan komen saya terhadap beberapa akhbar tempatan membuat liputan tentang lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak ke Amerika Syarikat. Saya merasakan liputan itu diberikan secara berlebih-lebihan itu bukanlah satu langkah yang bijak. Sebagai pembaca, saya merasakan diri saya diperbodohkan seolah-olah akan menelannya bulat-bulat.
Selain lawatan itu, saya merasakan hal yang sama berlaku terhadap Syarahan Perdana Putrajaya (SPP) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada pertengahan Mei 2010. Sesungguhnya, dalam banyak hal, syarahan itu menarik perhatian; pertama, disampaikan oleh Ali A. Mazrui, pemikir politik dan ahli teori yang disanjung dunia. Beliau juga Profesor Albert Schweitzer dalam bidang kemanusiaan dan Pengarah Institut Kajian Kebudayaan Global, State University of New York di Binghamton; kedua, dilaporkan lebih 1,000 jemputan terdiri daripada pemimpin sektor awam dan korporat, pemimpin masyarakat, wakil dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO), perwakilan asing dan ahli akademik hadir untuk mendengar syarahan berkenaan, termasuk Datuk Seri Mohd. Najib; dan ketiga, tajuk syarahan itu boleh membuka minda, “Abad Islam: Mitos atau Realiti.”
Malangnya, program intelektual yang cukup penting itu dibayangi oleh sesuatu yang lain, iaitu 1Malaysia. Pihak media lebih berminat memberikan tumpuan terhadap sidang akhbar Najib sempena syarahan Ali Mazrui itu, yang berkata gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan di bawah pentadbirannya selari dengan prinsip-prinsip Islam. Perdana Menteri berkata, “ini termasuk prinsip toleransi dan keadilan sosial serta penerimaan kepada kewujudan pelbagai kaum di negara ini. Pembentangan oleh intelektual Islam tentang prinsip-prinsip Islam ternyata selari dengan gagasan 1Malaysia.”
Akhbar Utusan Malaysia menyiarkan dua artikel sebagai susulan. Pertama yang ditulis oleh Mohd. Ayop Abd. Razid, “Nilai 1Malaysia Menepati Islam” yang hanya pada perenggan pertama merujuk kepada syarahan berkenaan. Selebihnya, tentang 1Malaysia. Demikian juga artikel “Kejayaan Siri Sulung SPP” oleh Rohani Ibrahim, yang menyatakan “Ali Marzui sempat menyatakan sokongan kepada gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri.” Jelasnya, “gagasan itu menjadikan Malaysia lebih demokrasi berbanding dengan dunia Islam yang lain. Beliau menyifatkan gagasan 1Malaysia dalam menguruskan masyarakat berbilang etnik sebagai demokrasi dan selari dengan prinsip Islam.”
Berbalik kepada lawatan Perdana Menteri ke Amerika. Pada hari Sabtu 1 Mei 2010, dua akhbar tempatan, iaitu The Star dan Utusan Malaysia menganalisis kejayaan lawatan kerja, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak ke Amerika Syarikat. (Saya hanya baca dua akhbar berkenaan, tetapi kemungkinan akhbar lain turut menerbitkannya.) Artikel dalam The Star, “Lift-off for New Era in Ties with US” ditulis oleh Our Staff Correspondent, manakala makalah dalam Utusan Malaysia, “Keserasian Najib-Obama” ditulis oleh Penulis Khas. Meskipun diterbitkan dalam dua akhbar yang berlainan, tetapi apabila membaca ayat demi ayat, baris demi baris, dan perenggan demi perenggan, dapat dikesan bahawa kedua-dua makalah itu datangnya daripada tangan yang sama.
Saya tertanya-tanya tidakkah akhbar yang terlibat memikirkan kemungkinan sebilangan rakyat Malaysia membaca sekurang-kurangnya dua akhbar setiap hari. Persoalan yang kedua, ialah tidakkah akhbar berkenaan memikirkan bagaimana reaksi pembaca jika mereka melihat sekurang-kurangnya dua makalah yang serupa, meskipun nama penulisnya berlainan.
Sebagai perbandingan, dipetik permulaan dan pengakhiran kedua-dua makalah berkenaan. The Star bermula dengan “By all acounts, Prime Minister Datuk Seri Najib Tun Razak’s visit to the United States was successful and it set the stage for a new beginning in bilateral relations. This is the assessment of the Americans themselves” dan berakhir dengan “The same goes for Malaysia – it is essential to continuously engage, meet, discuss and visit friends and contacts in the US to build on the strong foundation that has been laid by Najib during his ‘very successful visit.’” Sementara Utusan Malaysia bermula dengan “Lawatan kerja oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini merupakan satu kejayaan besar bagi Malaysia dan dilihat sebagai permulaan yang lebih cemerlang dalam hubungan bilateral kedua-dua negara” dan berakhir dengan “Hakikat ini dikongsi bersama dengan rakyat Malaysia di mana - adalah penting hubungan, pertemuan, perbincangan dan melawat rakan-rakan di AS senantiasa berterusan. Ini penting dalam menjalin ikatan yang lebih kukuh seperti yang telah dilaksanakan Perdana Menteri dalam lawatan kerjanya yang dilihat oleh kebanyakan pihak sebagai ‘satu lawatan yang sangat berjaya.’”
Seperti yang diketahui, pertemuan Najib dengan Presiden Barack Obama digunakan sebagai modal kempen pembangkang dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor dengan tuduhan “beliau melutut pada Amerika.” Najib dalam menyerang balas berkata bahawa lawatan beliau itu menjadi isu kerana adanya pilihan raya kecil. Walau bagaimanapun, tidak dapat dipastikan, sama ada makalah yang diterbitkan adalah bertujuan untuk meredakan keadaan.
Meskipun makalah tersebut bertujuan menceritakan kejayaan lawatan Najib, tetapi bagi para pembaca yang teliti dan kritis, mereka dapat mengesani beberapa kecatatan yang boleh melunturkan kebolehpercayaan dan keyakinan mereka. Di sini diperturunkan petikan untuk memperlihatkan kecatatan yang berpunca daripada kecuaian penulis dalam usaha menceritakan semuanya elok: “‘He’s a good man.’ Obama was overheard telling a foreign leader as Najib passed the two leaders during a session of the summit at the Walter E. Washington Convention Centre.” Dalam versi bahasa Melayu berbunyi: “‘Beliau merupakan seorang lelaki yang baik,’ kata Obama mengenai Najib yang didengari semasa beliau memberitahu beberapa pemimpin asing ketika sesi Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear yang berlangsung di Pusat Konvensyen Walter E. Washington.”
Pastinya, ada pembaca yang ingin mengetahui siapakah yang mendengarnya. Tanpa menyatakannya dengan khusus orang yang dirujuk itu, maka hal ini boleh dianggap sebagai “dengar cakap” semata-mata. Dan, sesungguhnya dengar cakap bukannya satu penulisan yang berwibawa, dan oleh itu, sukar untuk dipertanggungjawabkan. Lebih daripada itu, yang mana satu betul: a foreign leader atau beberapa pemimpin asing?
Untuk memperelokkan lagi jalan cerita, penulis artikel itu merujuk kepada penulisan Al Kamen, kolumnis akhbar The Washington Post, “At the Summit, There Are Leaders and There are Leaders.” Oleh sebab itu, elok diteliti apakah sebenarnya yang ditulis oleh Al Kamen yang memulakan penulisannya bahawa dalam kalangan pemimpin dalam sidang kemuncak, yang pertama Hu (Jintao). “Pemenang dalam sidang kemuncak nuklear minggu ini dapat dikenal pasti dengan mudah. Mereka ialah pemimpin yang mendapat bilats dengan Presiden Obama - bukannya istilah bina badan, tetapi bermaksud bilateral, atau pertemuan seorang sama seorang – memperlihatkan status dan kepentingan mereka. Presiden China, Hu Jintao, mengetuai senarai, bertemu dengan Obama selama 90 minit.”
Apabila The Star memetik Al Kamen sebagai berkata, “described Najib as a winner” dan Utusan Malaysia memetik sebagai berkata, “menggambarkan Najib sebagai seorang pemenang” pastinya para pembaca tercari-cari akan huraian atau penjelasannya, tetapi malangnya tidak kedapatan. Namun begitu, jika dirujuk artikel Al Kamen itu, beliau sekadar menyebut: “Pemenang lain, termasuk Raja Abdullah II dari Jordan, Perdana Menteri Najib Razak dari Malaysia, Presiden Viktor Yanukovich dari Ukrine dan Presiden Serzh Sargsian dari Armenia, semuanya berjumpa dengan Obama secara persendirian, demikian juga Pemangku Presiden Nigeria, Goodluck Jonathan, yang turut hadir kerana Presiden negara itu uzur, yang dapat berjumpa Obama pada hari Ahad. Termasuk dalam senarai pemenang ialah Ahmed Aboul Gheit dari Mesir, yang bukannya benar-benar pemimpin dunia, tetapi hanya Menteri Luar.”
Seperti yang dapat dilihat, senarai pemenang agak panjang. Tetapi, cara makalah dalam kedua-dua akhbar itu mengungkapkannya, “described Najib as a winner” atau dalam versi bahasa Melayu, “menggambarkan Najib sebagai seorang pemenang” – seolah-olahnya beliau satu-satunya pemenang. Tidak ada Presiden Hu Jintao. Tidak ada Raja Abdullah II. Tidak ada yang lain-lain. Dan, hal ini cukup mengelirukan para pembaca!
Selain itu, jika mana-mana pemimpin dunia yang mengadakan pertemuan dengan Presiden Obama boleh dianggap sebagai pemenang, sepatutnya Perdana Menteri Pakistan, Yusuf Raza Gilani dan Perdana Menteri India, Manmohan Singh termasuk dalam senarai. Ini kerana kedua-dua pemimpin itu juga mengadakan pertemuan dengan Obama, tetapi tidak dinyatakan oleh Al Kamen.
Meskipun sempena Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear yang berlangsung di Washington yang dihadiri oleh 47 orang pemimpin dunia, sesetengah pemimpin berpeluang mengadakan pertemuan berasingan dengan Obama, namun akhbar yang berpengaruh di Amerika kurang memberikan liputan tentang pertemuan itu. Kalaupun ada, misalnya The New York Times hanya memaklumkan secara ringkas tentang pertemuan Presiden Obama dengan Presiden China, Raja Jordan, Perdana Menteri India dan Perdana Menteri Pakistan. Hanya dalam ruangan “Caucus Blog,” akhbar itu memaklumkan seorang demi seorang pemimpin yang telah atau akan mengadakan pertemuan dengan Obama, termasuk Najib. Akhbar The Wall Street Journal yang menyenaraikan pemimpin yang telah dan akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Obama, tetapi jika dilihat salah satu artikelnya tumpuan adalah terhadap pemimpin Pakistan dan China: “Nuclear Summit: Notes on Pakistan’s Gilani and China’s Hu.”
Selain Presiden China, Hu Jintao, Raja Abdullah II dari Jordan boleh dikatakan mendapat liputan luas media di Amerika. Baginda diwawancara oleh Jay Solomon dari The Wall Street Journal, antara topiknya ialah pertemuan baginda dengan Presiden Obama. Sementara majalah Time, meskipun hanya membuat liputan ringkas tentang pertemuan bilateral antara baginda dengan Presiden Obama, tetapi inti pati perbincangan yang dinyatakan agak luas, antaranya menegaskan semula perkongsian Amerika-Jordan dan membincangkan isu yang luas tentang kepentingan bersama.
Jika paparan gambar foto yang yang menghiasi kedua-dua akhbar di Amerika itu dijadikan sandaran populariti para pemimpin yang mengadakan pertemuan dengan Presiden Obama, maka nyata bahawa mereka ialah Presiden Hu Jintao, Raja Abdullah II dan Perdana Menteri Yusuf Raza Gilani.
Sememangnya, tidak salah jika penulis berkenaan (juga media di negara ini dan menteri yang mengikuti lawatan itu) menceritakan kejayaan lawatan Najib ke Amerika. Namun, apabila kejayaan itu diwarna-warnikan dengan berlebih-lebihan, maka terdedahlah kecatatannya. Pada era Internet, kepintaran para pembaca tidak boleh diperlekehkan dengan sewenang-wenangnya kerana mereka dapat merujuk kepada sumber lain atau mencari maklumat tambahan untuk mendapatkan kepastian. Mereka juga tidak akan menelan bulat-bulat segala yang dihidangkan kepada mereka, walau macam mana cantik sekalipun hidangan itu.
Justeru, memadailah menceritakan sesuatu itu secara berpada-pada, dan bukannya dengan gembar-gembur yang berlebihan yang bukan sahaja menyebabkan orang ramai atau pembaca berasa waswas, bahkan juga “orang yang empunya diri” mungkin berasa kurang selesa dan naik malu.
Di sini diperturunkan pesanan mendiang Edward Said pada tahun 1984 yang dipetik semula baru-baru ini berhubung liputan media tentang revolusi Mesir: Facts do not at all speak for themselves, but require a socially acceptable narrative to absorb, sustain, and circulate them . . . as Hayden White has noted in a seminal article, “narrative in general, from the folk tale to the novel, from annals to the fully realized 'history,' has to do with the topics of law, legality, legitimacy, or, more generally, authority." Maksudnya, apa-apa sahaja liputan yang ingin disampaikan, termasuk lawatan Perdana Menteri yang dibincangkan di atas, mesti memperlihatkan wibawa.
George Bernard Shaw pernah berkata, “akhbar (ada orang memetiknya wartawan) nampaknya tidak dapat membezakan antara kemalangan basikal dengan keruntuhan peradaban… sekalipun peradaban yang sedang runtuh itu merupakan peradaban mereka sendiri.” Mungkin agak keterlaluan saya memetik petikan tersebut, tetapi sebagai renungan elok juga dihayati.
No comments:
Post a Comment