Artikel Popular

Friday, February 25, 2011

Kerana Bahasa Negara Binasa

JUMAAT, 25 Februari 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Eropah, baik atas nama Kesatuan Eropah mahupun zon euro, sebenarnya rantau yang sentiasa bergelut  dengan kemelut.  Daripada krisis hutang kepada kegagalan fahaman pelbagai budaya.  “Orang sakit Eropah” mengandungi senarai yang panjang.  Jika selama ini  istilah “negara  gagal,” lazimnya digunakan untuk mana-mana negara yang tidak mampu memerintah wilayah mereka sendiri,  kini  istilah ini juga digunakan untuk mana-mana negara yang hilang kawalan terhadap hal ehwal kewangan mereka sendiri, seperti yang berlaku di beberapa buah negara Eropah.  Pada awal Januari tahun lalu, seperti yang dilaporkan oleh Associated Press, United Kingdom memberikan amaran bahawa Iceland akan jatuh kepada pariah status  akibat keputusan Presidennya, Olafur R.  Grimsson enggan menandatangani rang undang-undang pinjaman.
            Selain  krisis hutang dan kegagalan faham pelbagai budaya,   pada 17 Februari lalu,  Belgium  masuk hari  ke-249 hari tanpa kerajaan, memecah rekod yang dicipta  November lalu oleh Iraq. Sejak pilihan raya  13 Jun 2010, negara itu ditadbirkan oleh   kerajaan penjaga (caretaker government).  Meskipun rundingan demi rundingan diadakan dalam kalangan parti yang bertelagah, namun para pemimpin negara itu tidak mencapai  persetujuan  tentang pakatan baru.  Raja Albert II memperkenalkan enam daya usaha untuk membentuk kerajaan campuran, tetapi gagal.
         Dalam pilihan raya itu, parti nasionalis Flemish pimpinan Bart de Wever muncul sebagai pemenang di Flanders, manakala Parti Sosialis menang di Wallonia.  De Wever yang mahu akhirnya pembahagian Belgium, dikatakan kurang mempunyai insentif untuk bertolak ansur terhadap penyusunan perlembagaan baru.  Jika tuntutannya tidak dipenuhi, beliau boleh menggunakan krisis sebagai bukti bahawa Belgium tidak lagi berfungsi.  Sedangkan parti-parti lain di Flanders berasa bimbang bahawa jika mereka menyertai kerajaan dan bertolak ansur, mereka dituduh sebagai pengkhianat terhadap perjuangan nasionalisme Flemish.
Dengan pilihan raya yang tidak membawa apa-apa keputusan yang meletakkan Belgium tanpa kerajaan adalah berpunca daripada persengketaan bahasa.  Para pemimpin politik bercakap bahasa Belanda dan bahasa Perancis bertelagah tentang darjah kuasa dan hak kenaikan cukai sepatutnya dipindahkan ke wilayah di negara yang berpecah belah  dari segi bahasa. Penutur bahasa Perancis terutamanya melihat penurunan kuasa yang selanjutnya sebagai langkah ke  arah memecahkan Belgium,  sesuatu yang mereka tentang. 
Membentuk kerajaan terbukti terlalu sukar untuk nasionalis Flemish yang mahukan penyelesaian perlembagaan baru untuk memberikan lebih banyak kuasa kepada wilayah tentang isu, seperti ekonomi.  Di Flanders, bahagian yang paling makmur di  negara itu, banyak pengundi  berharap untuk mengehadkan pemindahan tunai untuk menanggung subsidi Wallonia.  Dari segi sejarah, bahasa  dan budaya Perancis menguasai Belgium, manakala penutur bahasa Belanda yang pernah menanggung sengsara diskriminasi, pada hakikatnya membayangi hubungan antara dua kumpulan utama di  negara itu. Terdapat enam juta penutur bahasa Belanda berbanding dengan 4.5 juta penutur bahasa Perancis. Mengikut sistem Belgium, orang ramai mengundi parti yang berbeza, bergantung pada di manakah mereka tinggal. 
Kira-kira dua bulan sebelum pilihan raya itu,  berlaku pertengkaran yang sengit tentang kebanjiran pinggir bandar oleh penutur Perancis ke dalam bandar berbahasa rasmi Flemish berhampiran Brussels, mengancam untuk menggulingkan kerajaan Belgium.  Parti utama Flemish dikatakan mengancam  untuk menarik diri daripada kerajaan campuran jika tidak ada persetujuan yang dicapai.  Pertikaian itu kononnya  tentang penyusunan semula kompleks 54 komun yang mengelilingi Brussels, tetapi akhirnya  terjadi pertarungan yang getir antara dua kumpulan bahasa.  Beberapa ahli politik tempatan dituduh menggalakkan aparteid de facto selepas penutur bahasa Perancis dilarang daripada membeli hartanah di bandar Flemish.   Penutur bahasa Perancis dituduh terlalu bersifat imperialisme, memaksakan bahawa mereka di mana-mana sahaja.  Di kawasan Flemish sepatutnya dikekalkan Flemish. 
Belgium yang mempunyai 11 juta orang penduduk terpaksa dengan apa-apa cara juga belajar untuk hidup dengan arus kuat ketegangan politik yang hampir-hampir memecahbelahkan  negara tiga tahun lalu. Ahli-ahli politik dikatakan membiarkan negara terjebak ke dalam kancah konflik itu.  Kemelut yang melanda Belgium  berpunca daripada penurunan kuasa kepada wilayah berasaskan bahasa.  Selepas 40 tahun menggodek-godek dengan perlembagaan dan menyerahkan  tanggungjawab untuk  banyak keputusan setiap hari kepada tiga wilayah atau komuniti  dua bahasa.
Wujud dua kumpulan ahli politik yang parti berpisah dari segi bahasa sejak tahun 1970-an,  dan mereka menganggap tiada apa-apa lagi kelebihan untuk bercakap antara satu lain.  Minat mereka, dan yang penting, kerjaya mereka bersifat kedaerahan dan bukannya nasional.  Namun, Belgium dikatakan berpecah belah  bukan setakat bahasa.  Penutur bahasa Belanda, yang pernah hidup di luar bandar dan miskin dan dipandang hina oleh penutur Perancis, sejak berdekad-dekad menikmati pertumbuhan ekonomi.
Retorik politik menjadi lebih bombastik.  Laporan yang dikeluarkan pada 1 Februari lalu oleh U.S. Institute of Peace berkata bahawa elit politik  negara itu, yang sebelum ini berkhidmag sebagai model untuk masyarakat multietnik, kini membangkitkan ketegangan dan mengeksploitasikan perbezaan bahasa untuk menegakkan agenda politik berfikiran sempit.  Belgium dikatakan menjadi mangsa  globalisasi dan Kesatuan Eropah yang menghakiskan nasionalisme.
Setelah bulan demi bulan menempuh  jalan buntu dan rakyat semakin kecewa,  pada  akhir Januari lalu, mereka  mengadakan perarakan  bukan untuk mencuba menjatuhkan kerajaan, tetapi mendesak ahli politik yang bertelagah bersatu membentuk kerajaan.  Mereka sedar bahawa jalan buntu yang berpanjangan menguatkan spekulasi bahawa Belgium yang dipecahkan antara penutur bahasa Belanda di utara dengan penutur bahasa Perancis di Selatan, akhirnya mungkin terpaksa berpecah.
Dengan selama lapan bulan tanpa kerajaan, pada pertengahan Februari lalu,  dilaporkan 150,726 orang mendirikan khemah di taman yang letaknya bertentangan dengan pejabat Perdana Menteri Belgium di Brussels, menuntut “revolusi tanpa kekerasan.”  Meskipun di negara itu, politik selalu tegang, tetapi penunjuk perasaan yang terlibat tidak ingin menggulingkan kerajaan kerana tiada kerajaan yang hendak digulingkan.   Sebenarnya, tidak ada penunjuk perasaan atau khemah yang ditemui di taman tersebut, seperti yang dilaporkan oleh The Independent, tetapi hanya wujud dalam bentuk grafik kartun pada http://www.camping16.be/ satu daripada beberapa laman web yang tiba-tiba muncul untuk menuntut  supaya ditamatkan “ibu” segala krisis politik Belgium.
Seterusnya, pada 23 Februari lalu, berpuluh-puluh ribu orang Belgium mengadakan tunjuk perasaan di jalanan untuk memalukan pemimpin politik yang gagal membentuk kerajaan lebih tujuh selepas pilihan raya dan meletakkan negara itu pada belas kasihan pasaran kewangan.  “Malu: tiada kerajaan, negara hebat,” penunjuk perasaan digalakkan berpakaian putih, antaranya bersuara, “Bagaimana kebuntuan politik Belgium dapat dirungkai?  Mengapa parti-parti Belgium tidak dapat membentuk kerajaan?” 
            Walau bagaimanapun, Belgium agak bernasib baik kerana rakyatnya, tanpa mengira apakah bahasa pertuturan mereka,  bersatu padu mendesak parti politik berusaha  membentuk kerajaan campuran. Tunjuk perasaan yang mereka adakan adalah demi kebaikan negara dan masa depan mereka.  Pada masa yang sama, terbayang kecewaan mereka:  Pelakon Belgium, Benoit Poelvoorde mencadangkan semula lelaki Belgium tidak bercukur sehingga kerajaan dibentuk; pelajar mengadakan tunjuk perasaan dengan menanggalkan pakaian mereka hanya tinggal seluar dalam; senator Sosialis meminta pasangan anggota Parlimen, senator, dan pemimpin parti politik tidak mengadakan hubungan seks sehingga kebuntuan diselasaikan; dan  demonstrasi bir. 
Untuk menyelesaikan kebuntuan ini, Khaled Diab mencadangkan Belgium perlu merekacipta semula landskap politiknya dan mewujudkan parti politik nasional kerana parti politik tempatan tidak boleh memegang daya tarikan nasional dalam pilihan raya persekutuan, dan keselamatan sosial mesti kekal di persekutuan.  Dari segi sosial, Belgium memerlukan media nasional dan sistem pendidikan dwibahasa secara universal.  Jika ahli politik Belgium gagal menyelesaikan perbezaan mereka dengan segera, tegas beliau, mungkin tiba masanya mereka disingkirkan.
            Sesungguhnya, banyak yang kita boleh pelajari daripada kemelut politik Belgium yang berpunca daripada perbezaan  bahasa, dengan kumpulan penutur setiap bahasa agak seimbang.   Jangan pandang rendah terhadap isu bahasa kebangsaan.  Dan, jangan laksanakan dasar cacamarba dalam sistem pendidikan, seperti pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) kerana dasar “bidan terjun” lebih banyak membawa kerosakan daripada kebaikan.  Sesungguhnya, keterhakisan kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sejak awal tahun 1990-an,   kini dapat dikesan akibatnya: kegagalan dalam pembinaan bangsa.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...