RABU, 9 Februari 2011
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Dari semasa ke semasa, para pemimpin, bahkan Raja-Raja Melayu mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak mempersoalkan dan mempertikaikan kontrak sosial yang wujud di negara yang menjadi tonggak kepada pembinaan bangsa. Alasannya mudah, jika satu golongan mempersoalkan mengapa satu golongan mendapat itu dan ini, golongan yang dipersoalkan pula mempersoalkan mengapa golongan itu pula diberikan itu dan ini. Akibat, semuanya terperangkap dalam rantaian saling tindakan.
Pada suatu ketika, tercetus polemik tentang kewujudan kontrak sosial di negara ini; ada yang mengatakan bahawa kontrak sosial tidak wujud. Ada yang mengatakan bahawa kontrak sosial wujud dengan merujuk kepada perjanjian antara bapa pengasas yang mewakili tiga kaum utama di negara ini. Persoalan tentang kewujudan kontrak sosial seakan-akan menyamai apa yang disebut mitos dan fakta oleh Mike Huben, dalam kertasnya "No One Has a Right to My Property" tentang kontrak sosial di Amerika Syarikat. Huben memulakan perbincangan dengan “mitos: tidak ada perkara, seperti kontrak sosial; fakta: Perlembagaan dan undang-undang kita membentuk kontrak sosial. Perlembagaan dan undang-undang negara mengandungi kontrak sosial.”
Seperti yang selalu dinyatakan, kontrak sosial dalam falsafah politik, perjanjian sebenar atau hipotesis atau perjanjian antara yang diperintah dengan pemerintah mereka, mentakrifkan hak dan kewajipan masing-masing. Teori kontrak sosial berbeza menurut tujuan masing-masing: sesetengah direka untuk mewajarkan kuasa raja (the sovereign); sesetengahnya pula bertujuan untuk melindungi individu daripada penindasan oleh raja yang terlalu berkuasa.
Samir Amin, intelektual Marxis, dalam Capitalism in the Age of Globalization menganggap bahawa dalam falsafah Pencerahan (Enlightenment), kontrak sosial dipegang untuk mengasas negara bangsa – sebagai negara dan bangsa, oleh itu, tidak wujud tanpa kontrak sosial. Konsep kontrak sosial ini membayangkan konsep keindividualan burjuis yang dianguerahi dengan kebebasan. Seterusnya, Samir Amin menyebut bahawa revolusi borjuis Inggeris pada abad ke-17 juga berasaskan idea Pencerahan, nilai demokratik, dan konsep kontrak sosial yang berlaku lebih awal daripada Perancis. Namun, dalam konteks integrasi ekonomi Eropah masa kini, beliau juga menyatakan “kontrak sosial antara modal dengan buruh.”
Walaupun sesetengah golongan di negara ini mempersoalkan kontrak sosial, namun para penyokong kontrak sosial daripada kalangan orang Melayu-bumiputera masih bernada lembut dan bersikap toleransi. Tidak seperti pendirian Mike Huben yang dengan berani mengingatkan: “jika ada orang yang enggan menerima kontrak ini, maka mereka mesti tidak tinggal di Amerika.” Beliau mencadangkan supaya pendukung kebebasan (libertarians) berhijrah ke Chile yang selama 17 tahun melaksanakan reformasi pasaran bebas dan Somalia yang mengamalkan anarki tulen dan Dawarnisme Sosial.
Untuk menguatkan hujahnya mengapa setiap orang Amerika perlu mematuhi kontrak sosial, Huben menyebut dalam kontrak ini, para pengundi bersetuju menukarkan wang mereka untuk memperoleh barang dan perkhidmatan kerajaan, dan untuk mematuhi undang-undang yang diluluskan oleh penggubal undang-undang mereka yang dipilih secara demokrasi. “Seperti mana-mana kontrak,” beliau mengingatkan, “keengganan mana-mana pihak untuk mematuhinya dianggap melanggar kontrak, dan mewajarkan penguatkuasaan undang-undang yang sesuai diambil.”
Sehingga kini, penyokong kontrak sosial di Malaysia belum lagi menujukkan pendirian yang tegas, seperti Huben. Mereka belum lagi mengemukakan desakan, seperti “mesti tidak tinggal” dan “penguatkuasaan undang-undang yang sesuai diambil.”
Menurut Huben lagi, kebanyakan tentangan terhadap idea kontrak sosial berpunca daripada pendukung kebebasan. Mereka menentang bahawa itu bukan sosial kontrak kerana kerajaan tidak memiliki apa-apa terhadap kontrak berkenaan. Namun, hujah beliau, “kerajaan pemilik muktamad wilayah masyarakat kerana terletak hak kerajaan dengan kekuatan (tentera, polis) dan kawalan (perundangan, kehakiman) untuk mempertahankan dan mengawal sistem harta kita. Oleh itu, kontrak sosial kita ialah perjanjian antara pemilik harta (masyarakat, seperti yang diwakili oleh kerajaan) dengan pengundi (constituent) yang mahu menggunakan harta itu.”
Seandainya Jean-Jacques Rousseau bangkit dari kuburnya, pasti beliau berasa terkejut dan gembira kerana peninggalan pemikirannya masih mendapat tempat di sebuah negara bernama Malaysia - yang tidak pernah menjadi tanah jajahan Perancis. Meskipun Thomas Hobbes dan John Locke juga berbicara tentang kontrak sosial, namun pemikiran Jean-Jacques Rousseau, ahli falsafah Perancis sering dirujuk. Rousseau menerbitkan buku The Social Contract, peristiwa penting dalam sejarah sains politik apabila beliau mengemukakan pandangan tentang kerajaan dan hak warganegara. Dalam bukunya itu, beliau menegaskan bahawa orang (people) “mempunyai kewajipan untuk mematuhi hanya kuasa sah.” Dan, hanya pemerintah yang sah akhirnya, orang.
“Manusia dilahirkan bebas, dan dia di mana-mana sahaja dalam rantai.” Kata pembukaan yang terkenal dalam karya yang mengundang perdebatan yang penuh semangat tanpa kesudahan sejak penerbitan pertama buku The Social Contract pada tahun 1762. Daripada premis ini, beliau meneruskan perbincangan tentang hak kebebasan (liberty) dan undang-undang, kebebasan dan keadilan hingga kepada pandangan masyarakat yang dianggap oleh sesetengah pihak sebagai rangka tindakan (blueprint) totalitarinisme, manakala kepada yang lain, perisytiharan prinsip demokratik.
Dengan menolak pandangan bahawa setiap orang mempunyai hak semula jadi untuk menggunakan wibawa terhadap orang lain, Rousseau menegaskan, sebagai gantinya, pakatan atau kontrak sosial yang sepatutnya wujud antara semua warganegara sesebuah negara dan yang sepatutnya sumber kuasa berdaulat. Rousseau memang jelas dalam membincangkan agama sivil dan bukannya agama persendirian: “tetapi agama negara mesti lebih penting, dan agama negara mesti terulung (supreme).” Beliau melangkah jauh lagi dengan “mencadangkan hukuman mati kepada mereka yang berkelakuan bertentangan dengan prinsip agama yang mereka isytiharkan.” Agama negara yang dinyatakan oleh Rousseau itu membuka beberapa tafsiran; adakah bermaksud agama rasmi di sesebuah negara yang martabatnya lebih tinggi daripada agama-agama lain.
Penegasan Mike Huben bahawa “keputusan untuk tinggal di dalam wilayah Amerika Syarikat merupakan perjanjian asas untuk patuh mengikut kontrak sosial” sepatutnya menjadi pegangan setiap warganegara Malaysia. Melihat pertikaian terhadap kontrak sosial, sesuai disimpulkan bahawa “memori sejarah tidak wujud lagi” - memetik Eric Hobsbawm, sejarawan yang terkenal.
No comments:
Post a Comment