AHAD, 19 Disember 2010
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Pada akhir November lalu menyaksikan dunia dilanda ledakan maklumat berikutan pendedahan “The US Embassy Cables” oleh WikiLeaks melalui The New York Times, The Guardian, Le Monde, El Pais, dan Der Spiegel. Antara pendedahannya, Amerika Syarikat memperluas peranan diplomatnya dalam mengutip sumber rahsia di seberang laut dan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dengan mengarahkan kakitangan Jabatan Negara mengutip nombor kad kredit, kekerapan perjalanan, jadual kerja, dan maklumat peribadi lain tentang kenamaan asing.
Meskipun ini bukan kali pertama pendedahan WikiLeaks, tetapi pendedahan terbaharu ini menggamatkan dunia kerana melibatkan banyak individu dan pelbagai maklumat merentas Atlantik dan Pasifik. Pentadbiran Presiden Barack Obama mengutuk WikiLeaks menggunakan istilah yang paling melampau, dengan jurucakap Rumah Putih, Robert Gibbs merujuk orang yang terlibat dalam pembocoran dan penyebaran kabel diplomatik sebagai penjenayah, dan Setiausaha Negara Hillary Clinton menggambarkan pendedahan WikiLeaks itu sebagai serangan terhadap kepentingan dasar luar Amerika. Daripada bekas calon Presiden John Kerry kepada bekas calon Naib Presiden Senator Joseph Lieberman dan Sarah Palin kepada Peguam Negara Eric Holder, mereka senada mengutuk dan mewajarkan tindakan diambil terhadap Julian Assange, pengasas WikiLeaks.
Bagi golongan yang mempertahankan WikiLeaks, mereka berkata, “kita sepatutnya lebih prihatin tentang pendedahan kesalahan dan bukannya membunuh utusan.” Dalam hubungan ini, Ron Paul, anggota Kongres daripada Parti Republikan yang sentiasa mengkritik cita-cita imperialis Presiden daripada kedua-dua parti, iaitu Demokratik dan Republikan, menolak tanggapan bahawa WikiLeaks merupakan masalah. “Daripada bimbang tentang pendedahan rahsia yang memalukan, kita sepatutnya memberikan tumpuan dasar luar pendayaan (delusi) kita,” bahas Paul yang pernah menawarkan dirinya sebagai calon Presiden dalam pemilihan awal Republikan. “Jangan salahkan WikiLeaks. Kita tidak tahu seluruh cerita di sebalik penerbitan terbaharu dokumen kerajaan Amerika yang sensitif oleh organisasi WikiLeaks.”
Lazimnya, orang ramai terpaksa menunggu 20 atau 30 tahun untuk mengetahui semua bahan berkenaan, iaitu selepas bahan itu tidak lagi dikelaskan sebagai rahsia. Maka, ada yang mengatakan pendedahan WikiLeaks ini “mimpi sejarawan, igauan ngeri diplomat.” Tidak kurang ahli politik yang gelabah, lalu melalak seperti orang dirasuk histeria, bahkan ada yang merasakan diri mereka berdiri terhuyung-hayang di tubir bahaya.
Lambakan terbaharu WikiLeaks, dipercayai menjadikan setiap orang pemenang, iaitu media tradisional dan kewartawanan bukan tradisional, dan paling penting, orang awam. Dengan lebih 250,000 kabel, orang awam bagaikan mengembara dalam hutan belantara yang amat luas yang memungkinkan mereka sesat. Namun, dengan media tradisional bertindak sebagai “pemandu arah,” mereka mampu menempuh pengembaraan yang sukar ini dengan penuh keseronokan dan keterujaan.
Kini, orang mula mempersoalkan adakah WikiLeaks “kumpulan kerajaan terbuka,” “kumpulan antirasuah,” “kumpulan ketelusan,” atau “tapak peniup wisel?” Ada yang menuduhnya adalah antara musuh masyarakat terbuka kerana laman web ini tidak menghormati kedaulatan undang-undang dan tidak menghormati hak individu. WikiLeaks tidak meniup wisel dan juga kewartawanan. Tetapi, ialah jenis vandalisme maklumat.
“WikiLeaks bukannya organisasi berita, sebaliknya merupakan sarang aktivis yang menyiarkan maklumat direka untuk mengaibkan golongan yang berkuasa,” kata George Packer, penulis dalam majalah The New Yorker. Mereka hanya percaya bahawa Jabatan Negara ialah organisasi haram yang perlu didedahkan, yang bukan betul-betul kewartawanan.”
Namun, dari segi menyerang kerahsiaan kerajaan, dipercayai, tidak ada siapa pun dapat melakukannya secekap WikiLeaks. Meskipun WikeLeaks mungkin membangkitkan laungan yang sangat kuat, tetapi orang awam mempelajari kebenaran dengan WikiLeaks mengemukakan pandangan sepintas lalu bagaimana dunia bekerja.
Dalam dunia kewartawanan, WikiLeaks dikatakan mengubah segala-galanya. Untuk menjejak kabel diplomatik yang sangat banyak jika menggunakan kaedah tradisional, pastinya memakan masa yang lama, walaupun menggunakan tenaga beribu-ribu wartawan. Pendedahan pada skala yang sangat besar ini membolehkan WikiLeaks berbangga pada dirinya sendiri, “set dokumen sulit yang sangat besar yang pernah disiarkan untuk domain awam.”
Selama ini wujud anggapan bahawa media digital sentiasa bersaing dengan media cetak, seolah-olahnya kerjasama merupakan sesuatu yang mustahil. Orang dari dunia digital diperhatikan selalu berkata bahawa mereka tidak memerlukan wartawan sama sekali kerana maklumat wujud di mana-mana sahaja dan tidak wujud halangan untuk masuk. Namun, kerjasama WikiLeaks dengan organisasi berita arus perdana untuk mendedahkan kabel diplomatik membuktikan sebaliknya: dunia digital masih memerlukan wartawan. Meskipun para wartawan tidak menyelongkar maklumat itu, tetapi mereka memberikan nilai melalui usaha mereka untuk menjelaskan dan meneliti maklumat berkenaan.
Dengan adanya sinergi, wartawan tradisional masih mendapat manfaat, iaitu dengan menyisihkan kabel Wikileaks untuk mencipta cerita yang bermakna dan lebih menarik untuk ditatapi oleh orang awam. Para wartawan menghuraikan data berkenaan, tetapi pada akhirnya, juga bermakna orang ramai akan memberikan perhatian terhadap data yang disisihkan itu kerana data itu dalam berita arus perdana. Bagi WikiLeaks pula, apa-apa sahaja orang sebut WikiLeaks, iaitu sumber berita, pembekal berita, tuan rumah (hos) kandungan, peniup wisel, musuh negara, perlengkapan ini juga menjadi hal untuk kaitan bentuk berita bukan tradisional.
Editorial akhbar The Guardian dalam keluaran 17 Disember lalu, “WikiLeaks: The Man and The Idea” memaklumkan bagaimana mereka bekerjasama dengan WikiLeaks yang menunjukkan bahawa mereka berusaha mempertahankan kebolehpercayaan dan bukannya melakukan pendedahan dengan sesuka hati. “Kami dan empat lagi organisasi berita telah bekerja dengan WikiLeaks sejak berbulan-bulan lamanya supaya teliti dan bertanggungjawab untuk menerbitkan jumlah kecil kabel.” Editorial itu juga menyebut bahawa rancangan yang lebih luas untuk WikiLeaks adalah untuk bergerak melampaui pengaturan dengan lima akhbar yang terlibat sekarang, dan untuk berkongsi dengan organisasi berita lain yang boleh memaparkan cerita kepentingan tertentu untuk rantau khusus. Namun, editorial itu mengakui bahawa “proses penyuntingan, pengkonteksan, penjelasan, dan penyusunan merupakan sesuatu yang cermat dan teliti. Proses itu merupakan bahagian penting seni (kraf) kewartawanan. Kewartawanan juga adalah mengenai pendedahan.”
Adakah WikiLeaks mengubah kewartawanan selama-lamanya? Jawapannya berbelah bahagi, mungkin ya, atau mungkin sebaliknya. Apabila WikiLeaks membuat pendedahan pada tahun 2008, bahawa kerajaan Kenya biadab, tiada susulan daripada media arus perdana. Hanya pada Julai 2010, WikiLeaks mula mewujudkan perkongsian dengan organisasi media arus perdana, dengan memberi mereka kesempatan melihat lebih awal apa yang dikenali Afghan War Diary. Strategi ini menghasilkan pemberitaan yang meluas tentang implikasi dokumen rahsia. Dengan perkongsian strategik, seperti yang dapat diperhatikan dalam pendedahan terbaharu, hasilnya amat besar, iaitu banyak makalah muncul sejak itu.
Perhatikan bahawa dengan setiap siaran seterusnya, tulis David Carr dalam The New York Times, WikiLeaks menjadi lebih strategik dan diganjarkan dengan lebih mendalam, liputan yang lebih meluas terhadap pendedahannya. “Julian Assange, pengasas WikiLeaks dan peniup semangat, mula kelihatan memahami bahawa kekurangan dan bukannya sentiasa ada, yang memacu liputan peristiwa. Daripada menyelak selimut untuk semua orang melihatnya, beliau mula mengehadkan pendedahan kepada mereka yang memberikan nilai ditambah menerusi persembahan, penyuntingan, dan pemberitaan tambahan.”
Dengan melindungi keradikalannya dan bekerjasama dengan saluran berita arus perdana, Assange mencipta zon selesa untuk rakan kongsinya dalam dunia kewartawanan. Mereka boleh melakukan kerja mereka dan beliau boleh melakukan kerjanya.
Julian Assange, yang juga ketua editor WikiLeaks, pernah menulis “Don't Shoot Messenger for Revealing Uncomfortable Truths” untuk memperlihatkan cita-cita kewartawanannya. Dalam makalah yang diterbitkan dalam akhbar The Australian, Assange memulakan penulisannya dengan memetik raja media, Rupert Murdoch, yang menulis pada tahun 1958: "Dalam perlumbaan antara kerahsiaan dengan kebenaran, pastinya kebenaran sentiasa menang.” Tambah beliau, WikiLeaks juga menerbitkan fakta tanpa berasa takut untuk diketahui oleh orang awam.
Melalui WikiLeaks, Assange mahu meletakkan standard baru, iaitu “kewartawanan saintifik.” Dengan merujuk penulisan DNA untuk jurnal biologi yang berwibawa yang menghendaki penulis mengemukakan data yang memaklumkan penyelidikannya supaya orang ramai boleh mereplikakannya, menyemaknya, dan mengesahkannya, maka hal yang serupa perlu dilakukkan dalam bidang kewartawanan.
WikiLeaks mencipta jenis baru kewartawanan, iaitu kewartawanan saintifik. Bahas Assange dalam makalahnya itu. “Kami bekerjasama dengan saluran media lain untuk membawa berita kepada orang ramai, tetapi juga untuk membuktikan berita itu adalah benar.” Beliau juga menjelaskan maksud kewartawanan saintifik: Membolehkan anda membaca cerita berita, kemudian klik dalam talian untuk melihat dokumen asal yang menjadi asas cerita itu. Cara itu anda boleh pertimbangkan untuk diri anda. Adakah cerita itu benar? Adakah wartawan melaporkannya dengan tepat?
Pesan Assenge, “masyarakat demokratik memerlukan media yang kuat dan WikiLeaks adalah sebahagian media itu. Media membantu memastikan kerajaan sentiasa jujur. WikiLeaks mendedahkan beberapa kebenaran yang sukar tentang peperangan di Iraq dan Afghanistan, dan mencetuskan cerita tentang rasuah korporat.”
Pada pertengahan Februari 2010 Assange menjelaskan mengapa beliau memilih Iceland sebagai pangkalannya. Bagi beliau, “Inisiatif Media Moden” Iceland boleh mengubahnya menjadi sesuatu yang baru di dunia, iaitu tempat berlindung kewartawanan. Dengan merujuk kepada Malaysia Today yang bukan lagi diterbitkan di Malaysia, bahkan American Homeowners Association, memindahkan pelayannya ke Stockholm setelah serangan undang-undang yang tidak henti-henti di Amerika, hujah Assange, wujud jenis baru pelarian, iaitu “penerbit” dan jenis baru perniagaan Internet yang sedang berkembang, “menjadi tuan rumah pelarian,”
Yang jelas, Julian Assange tidak keseorangan, meskipun beliau diasak dari segenap penjuru, yang terbaru oleh Bank of America Corp., menyertai beberapa institusi kewangan lain enggan menangani bayaran untuk WikiLeaks. Banyak orang atau kumpulan ingin bersama-sama beliau, daripada Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva kepada pembikin filem dan penulis, Michael Moore kepada penulis dan pejuang hak asasi manusia, Jemima Khan.
Dengan mengatakan “maharaja tidak memakai pakaian,” John Pilger mengetuai kumpulan wartawan dan organisasi media menulis kenyataan menyokong demokrasi dan mempertahankan WikiLeaks. Mereka berhujah bahawa demokrasi, iaitu pemerintahan rakyat sebagai yang difahami dan diamalkan, dan sejak sekian lama, disekat dengan keras. Tanpa hak, demokrasi tidak boleh dan tidak wujud. Serangan semasa terhadap WikiLeaks merupakan satu lagi contoh demokrasi dirampas oleh golongan elit.
WikiLeaks terus merayau-rayau ke seluruh pelosok dunia untuk mencari mangsanya tanpa memilih bulu. Sentimen dan pendapat awam global setakat ini lebih memihak kepada “armada” media Julian Assange. Sesiapa yang cuba bertelagah dengannya, seperti yang berlaku di Malaysia baru-baru ini, lebih banyak membawa kerosakan dan bukannya mengawal kikis kerosakan.
No comments:
Post a Comment