ISNIN, 21 Februari 2011
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Troia suatu nama yang tidak asing kerana pernah diriwayatkan oleh Homer dalam puisi epik karya agungnya, Iliad dan Odssey. Kisah Perang Trojan sentiasa dipersegarkan, misalnya pada tahun 2004 dengan pembikinan filem Troy lakonan Brad Pitt, Eric Bana, Orlando Bloom, dan Diane Kruger. Selain legenda pahlawan yang gagah perkasa, seperti Achilles dan Hector, Troia juga tersohor kerana Helen yang jelita, permaisuri Menelaus, Raja Sparta, yang dipujuk lari oleh Paris. Lebih 50 tahun lalu kisah Helen difilemkan dalam Helen of Troy, dan pada 2003, dengan judul yang sama dikeluarkan siri mini televisyen. Dalam pasaran pula terdapat bermacam-macam produk Helen of Troy yang tentunya menjual harapan, terutamanya kepada wanita yang impikan kecantikan, seperti Helen!
Pada 30 November 1996, kerajaan Turki mengisytiharkan tapak Troia dan kawasan sekitarnya sebagai Taman Sejarah Negara. Di dalam lingkungan kawasan seluas kira-kira 136 km persegi, taman ini mengandungi beberapa arkeologi yang menarik sejak zaman Neolitik hingga beberapa tahun kebelakangan ini. Tidak kurang pentingnya daripada warisan budaya ialah warisan semula jadi, untuk pertanian moden semakin memberikan kesannya. Di bahagian hadapan tapak itu berdiri tersergam kuda kayu yang diukir oleh artisan Turki, Izzet Senemoglu pada tahun 1975, sebagai simbol Perang Trojan.
Sejak tahun 1998, Troia dimasukkan dalam senarai tapak yang terkenal dalam sejarah manusia, “Warisan Dunia” Unesco. Meskipun mula-mula lagi nama Troia sering diingati dengan peperangan, namun dalam buku Troia/Wilusa: A Site on the Unesco World Heritage List Guidebook yang saya beli di kedai buku di tapak itu, menyatakan bendera-bendera yang terang ini adalah bermakna untuk mensimbolikkan keamanan yang melakari landskap ini pada abad ke-21.
Dalam buku yang ditulis oleh Manfred O. Korfmann, Pengarah Ekskavasi, yang menarik perhatian saya ialah: “Zon terakhir yang memelihara ekologi secara relatifnya tidak diganggu oleh kemajuan manusia adalah kini sedang terancam. Pelan induk untuk taman ini bercita-cita melindungi kedua-duanya, iaitu legasi budaya dan legasi semula jadi. Kita mesti memelihara landskap Homer supaya generasi akan datang dapat memahami warisan sastera menerusi amanat kawasan desa.”
Bahagian “A Tour of Troia” buku itu yang mengalu-alukan kedatangan para pelawat juga menarik perhatian saya, tetapi berbaur dengan rasa bimbang. “Sebagai pelawat (pelawat-pelawat) yang dihormati,” seperti yang dinyatakan dalam buku itu, “kami mengalu-alukan kedatangan anda ke tapak ini, apabila bilangan anda akan tidak lama lagi berjumlah setengah juta setahun, seperti yang diramalkan pada tahun 2006 atau mungkin tahun 2005! Tapak ini sesungguhnya patut mendapat minat sedemikian.” Dengan pelawat sejumlah itu, barangkali agak sukar Troia untuk mempertahankan sifat semula jadinya, dalam erti kata, kekal seadanya.
Walaupun semasa lawatan itu saya berasa kagum dan teruja dengan landskap Homer tempat terbentuknya batu asas lingkungan peradaban Greek dan Roman – jantung budaya di dunia purba, namun dua makalah yang saya baca pada tahun lalu benar-benar menghantui fikiran saya. Satu daripadanya diterbitkan dalam majalah The Economist pada September 2009, “Unesco and World Heritage Sites: The Limits of Soft Cultural Power.”
Dari satu segi makalah itu memuji Unesco. Sesiapa sahaja yang bermimpi untuk menggunakan autoriti (semacam secara baik) terhadap seluruh dunia dengan bidang kuasa khusus bagi tempat yang paling indah dan mudah terjejas akan berasa seronok dengan membaca sekali imbas 250 halaman atau lebih yang mengandungi pengumuman terbaru daripada Jawatankuasa Warisan Dunia Unesco. Tulis makalah itu. Menyergap secara anggun dari lembah Andes ke kota bertembok di Eropah, dari gunung berkabus di China ke taman permainan Afrika yang tidak mempunyai undang-undang, dokumen membahagikan sedikit marah, amaran, dan pujian kepada ahli politik, kurator, penyokong pemuliharaan haiwan, dan datuk bandar. Sesetengahnya diberikan tahniah kerana mematuhi nasihat budaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu; manakala yang lain diberikan sindiran tersirat tentang apakah yang akan berlaku sekiranya tidak menerima penjagaan yang betul.
Dari satu segi yang lain, makalah itu seperti mendedahkan kepincangan pemuliharaan Tapak Warisan Dunia, baik pada pihak berkuasa berkenaan mahupun Unesco sendiri: “Tempat yang pelancongan dan aktiviti ekonomi lain mungkin juga memijak-mijak prinsip utama Unesco yang mencuba untuk memulihara integriti tapak dan kawasan sekitarnya. Di China, pengiktirafan diterjemahkan dengan cepat kepada hasil pelancongan, dan semua cara aktiviti memuaskan para pelancong yang tidak dikenali.”
Meskipun kuasa lembut Unesco juga boleh berfungsi di negara autoritarian (termasuk negara pasca-Soviet, seperti Azerbaijan), tetapi proses itu gagal di negara yang tadbir urus merupakan sesuatu yang tidak mungkin. Makalah itu memetik komen Francesco Bandarin, Pengarah Pusat Warisan Dunia bahawa “satu kekecewaan besar Unesco, ialah ketidakberkesanan usaha bersama-sama dengan agensi lain untuk memulihara badak sumbu putih yang jarang-jarang ditemui di taman negara Garamba di Congo.”
Makalah dalam The Economist itu mendedahkan bahawa ada pihak mengambil kesempatan daripada pengiktirafan itu, dengan memperbodohkan para pelawat, seperti yang berlaku di gunung Emei, iaitu para pelawat kini melihat bukan sahaja patung Buddha yang terkenal, tetapi deretan gua buatan manusia dengan meniru Buddha China yang lain, dan dekat situ kelihatan patung Shiva yang baru, tidak ada kena mengena dengan dewa Hindu. Tindakan ini mengusik pelawat dengan rasa hiba, “Anda perlu melihat dengan teliti plak itu untuk memastikan sama objek di hadapan anda ialah dinasti Han atau abad ke-21.”
Melalui tindakan yang paling dramatik dan keputusan yang jarang-jarang berlaku, Unesco melucutkan Dresden dan kawasan sekeliling lembah Elbe daripada statusnya sebagai “Tapak Warisan Dunia.” Namun begitu, yang membimbangkan ialah jika setengah dozen kota memutuskan untuk tidak mempedulikan kemarahan Unesco dan meneruskan rancangan pembangunan mereka sendiri, hal ini boleh menjadikan agensi itu kelihatan bodoh dan tidak bertaring.
Dalam makalah yang bersifat penyiasatan, “Is Unesco Damaging the World’s Treasures?” dalam Independent, Simon Usborne mengetengahkan persoalan: Sepatutnya menjadi standard emas untuk pemuliharaan. Tetapi, adakah projek Warisan Dunia Unesco memudaratkan mula-mula lagi tempat yang cuba dilindunginya?
“Sejak penubuhannya 37 tahun lalu,” tulis Usborne, “Warisan Dunia Unesco menjadi jenama global yang capnya ditepek pada tempat yang paling berharga di planet ini.” Dalam senarai itu termasuklah Taj Mahal, Piramid Giza, dan Grand Canyon yang merupakan ciptaan manusia dan keajaiban semula jadi yang dianggap nilai ulung terhadap kemanusiaan dan kepentingan warisan itu melampaui sempadan, politik, dan bahkan ekonomi. Tapak berkenaan dianggap patut mendapat lapisan perlindungan yang muktamad, iaitu ditempatkan pada keadaan di luar jangkauan pencemar, pemaju, penjarah, pengebom, dan tidak dimakan zaman.
Cap Warisan Dunia menjamin pemuliharaan. Sekurang-kurangnya begitulah tanggapan. Bahas Usborne. Tetapi, kini banyak pihak dalam komuniti pemuliharaan yakin bahawa Unesco adalah gagal. Mereka berkata organisasi nazak itu terhuyung-hayang atas asasnya yang pernah dianggap kukuh sebagai prinsip dan keutamaannya pecah berderai dihimpit berat birokrasi pengaruh luar. Lambang Warisan Dunia datang untuk mewakili alat pemasaran yang terlalu hebat, iaitu foder untuk buku mewah “perkara untuk dilihat sebelum anda mati.”
Beliau merujuk kekecuhan yang berlaku tentang St Kilda, yang terpencil, pulau yang dilindungi Unesco di Outer Hebrides. Apabila rancangan diumumkan untuk membuka pusat pelawat di berdekatan Harris, pihak pelindung tempatan St Kilda, maka National Trust for Scotland berasa bimbang kebanjiran pelawat yang banyak di Tapak Warisan Dunia boleh merosakkan tapak itu. Di tempat lain di dunia, penjagaan yang kurang prihatin terdesak untuk mengadakan kempen dolar para pelancong untuk dimasukkan dalam senarai murni Unesco tanpa bersedia untuk orang yang datang beramai-ramai yang tidak dapat dielakkan.
“Pada tahap yang teruk,” tegas Usborne, “para pengkritik yang lantang berkata bahawa Warisan Dunia ialah orang yang memerlukan bantuan dalam kongkongan (a lame duck in straitjacket), tidak berupaya melindungi tempat yang benar-benar terancam di dunia.”
Bermula dengan kejayaan penyelamatan kuil Abu Simbel abad ke-13 S.M. di Mesir oleh Unesco pada tahun 1950-an, kemudian di Italy, Pakistan, dan Indonesia, akhirnya, persidangan PBB di Stockholm pada 1972, semangat pemuliharaan dibentuk sebagai Konvensyen Warisan Dunia. Tapak Warisan Dunia yang pertama dinamai pada tahun 1978, dan kini terdapat 878 tapak berkenaan di 145 buah negara.
Dubrovnik, Crotia adalah antara cerita kejayaan Warisan Dunia, tetapi berbeza ceritanya dengan bekas lombong perak Iwami Ginzan, barat daya Pulau Honshu, Jepun yang jelas menunjukkan kegagalan Unesco. Pada tahun 1970-an, Iwami menyerupai bandar tinggal (ghost town), dan mungkin dilupakan, tetapi untuk tanda mata wang yen pada mata pihak berkuasa pelancongan. Meskipun Iwami tidak memenuhi 10 kriteria yang ditetapkan oleh Unesco, tetapi melalui kempen Jepun, akhirnya tempat ini mendapat “tandatangan” Unesco. Pada tahun berikutnya, hampir satu juta orang membawa kasut, bakul berkelah, dan dompet mereka ke Iwami, berbanding dengan sebelum itu yang dikunjungi kira-kira 15,000 orang setahun yang kebanyakannya orang tempatan yang ingin tahu. Para pelancong dibawa ke tapak itu tanpa kemudahan yang sesuai. Banyak pelancong yang jelas mengharapkan tapak itu sebagai pesaing Piramid, pulang dengan rasa hampa.
Sebenarnya, Iwami hanya merupakan satu contoh daripada banyak contoh lagi, termasuk di China, seperti yang dinyatakan di atas, di Troia, dan bahkan di Malaysia, cap Unesco itu lebih diberikan keutamaan terhadap penggalakan pelancongan. Sebaik-baik sahaja sesebuah tempat diberikan tandatangan Tapak Warisan Dunia, maka yang jelas terbayang dalam fikiran pihak berkuasanya ialah tentang kebanjiran pelancong dan kepesatan perkhidmatan yang berkaitan dengan pelancongan. Keutamaan terhadap pelancongan ini mengabaikan aspek kesediaan dan kemampuan tempat berkenaan untuk menerima pelawat dalam jumlah yang besar. Jauh sekali untuk memikirkan risiko keterhakisan dan kemusnahan.
Wujud yang objektif yang bercanggah antara Unesco dengan pihak berkuasa sesebuah Tapak Warisan Dunia, seperti yang dinyatakan dengan jelas oleh Usborne: “Sememangnya, mudah untuk melihat mengapa pegawai perniagaan dan pelancongan sangat terdesak untuk mendapat cap Unesco, seperti yang berlaku di Iwami. Apabila disebut sahaja perkataan ajaib ‘Tapak Warisan Dunia’ dalam buku panduan, bilangan pelawat akan melambung tinggi. Unesco mahu orang ramai ke sana atas nama pendidikan awam, tetapi pihak berkuasa tapak itu menyebutnya pelancongan.”
Tidak menjadi masalah jika sesebuah tapak dapat menampung pelawat dalam jumlah yang ramai. Dan, bukan hanya tapak yang kecil terpaksa bergelut dengan jumlah pelancong yang tidak terkira banyaknya. Demikian pemerhatian Usborne. Angkor adalah antara tempat yang paling hebat daripada semua Tapak Warisan Dunia. Kompleks kuil batu Kemboja yang berselerak, termasuk puncak menara yang mengagumkan Angkor Wat, ialah permata di Asia Tenggara. Tapak Warisan Dunia sejak tahun 1992, Angkor kini menerima lebih dua juta pelancong setahun. Batu purba di kuih berkenaan haus sedikit demi sedikit oleh pijakan berjuta-juta selipar dan but. Bahkan, Unesco sendiri mengakui bahawa agensi itu “tidak hemat” di Angkor. Francesco Bandarin akur bahawa semua usaha ditumpukan untuk pemulihan kerana Angkor telah pun berkeadaan teruk apabila Unesco memberikan tandatangannya. Namun begitu, beliau mengakui bahawa Unesco hanya memiliki kuasa moral. Unesco memberikan nasihat dan mencadangkan tindakan, tetapi ini senapang ringan (light guns), terpulanglah kepada Kemboja untuk mendengarnya.
Sebagai tambahan, dua tahun lalu tercetus pertikaian terhadap kompleks kuil Preah Vihear, tapak Hindu purba yang menjadi perebutan antara Thailand dengan Kemboja, yang tercetus sejak zaman kolonial apabila tentera Thai menduduki kawasan sekitar kuil itu pada tahun 1954 apabila Perancis menarik keluar tenteranya dari Kemboja yang baru mencapai kemerdekaan. Namun begitu, pertikaian itu menjadi bahaya yang semakin marak yang hampir-hampir mencetuskan peperangan antara kedua-dua negara apabila Unesco menerima permohonan Kemboja untuk mengisytiharkan kompleks kuil itu sebagai Tapak Warisan Dunia, yang dilihat di Phnom Penh sebagai pengiktirafan antarabangsa de-facto tentang tuntutannya itu.
Banyak negara, dan bahkan negeri, seperti yang berlaku di Malaysia – yang terbaru ialah Perak untuk Lembah Lenggong, berebut-rebut untuk mendapatkan perkataan ajaib Unesco. Meskipun lazimnya adalah untuk tujuan pemuliharaan khazanah yang cukup berharga, tetapi ini tidak akan sempurna tanpa kepentingan pelancongan. Justeru, Unesco bercakap bahasa pendidikan, manakala pihak berkuasa tapak bercakap bahasa pelancongan. Akibatnya, pemuliharaan terpaksa tunduk pada pemusnahan. Sementara Troia bukan sahaja turut terjebak dalam dilema itu, tetapi juga mengalami pergelutan identiti, iaitu antara lingkungan peradaban, landskap keamanan, dan kancah peperangan.
Sememangnya, tidaklah mudah untuk Unesco untuk mengawal selia hampir 900 buah Tapak Warisan Dunia yang melibatkan kira-kira 150 buah negara. Pastinya, banyak kerenah yang perlu ditangani dan pelbagai keingkaran yang perlu dihadapi. Keadaan menjadi sukar lagi rumit kepada Unesco apabila akhirnya “wang juga dipandang orang.”
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Budaya Ogos 2010.)
No comments:
Post a Comment