Artikel Popular

Saturday, February 19, 2011

Dokumen Sejarah

SABTU, 19 Februari 2011

Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Thomas Friedman mengakui dalam bukunya, The World is Flat: A Brief History of the Globalized World in the 21st Century, bahawa beliau mula memikirkan penyisihan yang besar selepas berbual dengan ahli teori sains politik dari Harvard University, Michael J. Sandel.  Sandel menyebabkan beliau terkejut seketika dengan menyatakan bahawa jenis proses pendataran atau perataan yang beliau jelaskan itu sebenarnya mula dikenal pasti oleh Karl Marx dan Friedrich Engels dalam The Communist Manifesto (Pluto Press, 115 hlm.; RM51.82). 
Marx, Sandel memberitahu Friedman, merupakan orang yang pertama melihat sepintas lalu kemungkinan dunia sebagai pasaran global, tidak dirumitkan oleh sempadan negara.   The Communist Manifesto  menjelaskan kapitalisme sebagai kuasa yang membubarkan identiti feudal, identiti nasional, dan identiti agama, menyediakan ruang untuk kebangkitan peradaban universal yang dikawal oleh perintah atau imperatif pasaran. 
            Memang  aneh apabila Friedman, golongan neoliberal,   menyanjung pemikiran Marx.   “Sesungguhnya, membaca Communist Manifesto pada hari ini,” tulis Friedman, “saya dalam kekaguman bagaimana  Marx begitu tajam memperincikan kuasa yang mendatarkan dunia ketika kebangkitan Revolusi Perindustrian, dan macam manakah  beliau membayangkan cara kuasa yang sama ini terus mendatarkan dunia adalah betul   hingga kini.” 
            Christopher Hitchens menulis dalam The Atlantic April 2009,  “The Revenge of Karl Marx” mencuba untuk membahaskan bahawa krisis ekonomi pada masa ini mendorong orang ramai untuk merujuk kepada pemikiran Marx.  Dengan berhujah bahawa satu atau dua orang menjangkakan bahawa kerelevanan Marx akan ditemui semula, Hitchens merujuk penulisan John Cassidy dalam The New Yorker pada tahun 1997:  Pengarang bersama Communist Manifesto akan muncul sebagai intelektual yang penting pada masa “akan datang”  untuk sesiapa yang kerjanya adalah untuk mengkaji pasaran.  Buku beliau bernilai untuk selagi kapitalisme kekal.
            Ketika buku ini    pertama kali diterbitkan pada Februari  1848 di  London,   Eropah terjebak dalam krisis; tahun keganasan untuk orde lama di  benua itu.  Buku ini, seperti yang diketahui merupakan idea genius yang marah, Karl Marx dengan kerjasama rakan karib serta penyokong setianya, Friedrich Engels. Meskipun mereka  memulakan penulisan “bayang-bayang yang mengerikan menghantui Eropah, iaitu bayang-bayang komunisme,” namun dikatakan buku ini merupakan program yang ditulis untuk masa depan.  
Pada akhir tahun lalu, dunia menyaksikan ulang tahun ke-20 runtuhnya Tembok Berlin dan tercetusnya Revolusi Baldu, manakala kita di Malaysia menyaksikan Perjanjian Damai antara Kerajaan Malaysia dengan Parti Komunis Malaya – semuanya menandakan kekalahan komunisme. Namun, The Communist Manifesto yang penerbitannya menjangkau lebih 160 tahun masih     merupakan salah sebuah buku yang paling penting sepanjang zaman, iaitu sebagai dokumen yang membantu mentakrifkan kemunculan gerakan sosialis, meminda perjalanan sejarah dunia, dan diiktiraf sebagai sebagai asas pemikiran sosial moden. 
Pada tahun 1998 ketika krisis kewangan melanda Asia Timur, menjadikannya sesuai untuk dibaca,  buku ini  meraikan 150 tahun penerbitannya.  Sempena dengan itu,  Monthly Review Press menerbitkan buku ini dengan kata pengantar oleh Paul Sweezy, seorang Marxis.  Sementara   jurnal Socialist Register dengan  tema jilidnya: “The Communist Manifesto Now”    menggunakan kesempatan ulang tahun itu untuk menyelongkar asal usul pemikiran Marx dan Engels dalam arus revolusioner Eropah pada abad ke-19. 
Ellen Meiksins Wood,  dalam  Monthly Review keluaran  Mei 1998, “The Communist Manifesto After 150 Years”  menulis bahawa  buku ini hanya sekadar sebuah manifesto, sebuah kajian ilmiah yang tidak panjang dan tidak tuntas, tetapi mengundang perisytiharan awam tentang program politik.  The Communist Manifesto dianggap sebagai laporan masa lalu, kini, dan masa depan, bukan hanya masa kini dan masa depan penulisnya, tetapi setiap generasi sejak penerbitannya hingga kepada dan termasuk generasi kita sendiri.
Tahun 2008 meraikan ulang tahun ke-160 penerbitan The Communist Manifesto,  tatkala dunia bergelut dengan krisis ekonomi.  Barbara Ehrenreich yang menulis dalam The Nation keluaran Oktober 2008, “The Communist Manifesto Turns 160”  menegaskan bahawa buku ini menjadikan aneh, tetapi menarik untuk dibaca hari ini.  Dari satu segi, Marx dan Engels memang betul bahawa dalam masyarakat kapitalis, atau sekurang-kurangnya jenis Amerika kapitalisme yang tidak dikawal selia secara terlampau, yang kaya bertambah kaya, para pekerja bertambah miskin, dan golongan kelas menengah dahulu kini di ambang keruntuhan.
David Harvey dalam pengenalannya, menegaskan bahawa buku ini  merupakan dokumen yang luar biasa, penuh dengan wawasan, kaya dengan makna, dan meledak dengan kemungkinan politik.  “Berjuta-juta orang di seluruh dunia,” tulis Harvey, “kaum tani, pekerja, tentera, intelektual, di samping golongan profesional dalam pelbagai bidang, tahun demi tahun diusik dan diilhami oleh karya ini.”
            Dalam menjelaskan mengapa The Communist Manifesto diterbitkan semula, adakah kerana retoriknya, apakah suara masa lalu masih dapat berbicara  dengan kita sekarang, adakah seruan untuk melancarkan perjuangan kelas masih bermakna, David Harvey mengatakan bahawa “kita mempunyai kedua-dua, iaitu hak dan obligasi politik untuk membayangkan dan kalau perlu mentafsirkan semula maknanya, untuk menyoal siasat cadangannya, dan selain itu, untuk bertindak atas wawasan yang kita peroleh daripadanya.”
Krisis ekonomi pada masa ini atau disebut sebagai krisis kapitalisme, sedikit sebanyak mendorong  orang untuk mengetahui apakah kapitalis dan apakah modal.  Dalam buku ini, Marx dan Engels menyebut bahawa untuk menjadi kapitalis adalah bukan hanya peribadi semata-mata, tetapi juga status sosial dalam pengeluaran.  Modal bukan hanya peribadi; modal ialah kuasa sosial.  Apabila modal ditukarkan kepada harta bersama, kepada harta semua anggota masyarakat, maka harta peribadi,  dan dengan itu, tidak diubah kepada harta sosial.
            Marx dan Engels berhujah bahawa sejarah semua masyarakat yang wujud hingga sekarang ialah sejarah perjuangan kelas, dan setiap perjuangan kelas merupakan perjuangan politik.   Masyarakat borjuis moden yang lahir daripada keruntuhan masyarakat feudal tidak menyingkirkan pertentangan kelas, sebaliknya masyarakat borjuis itu melahirkan kelas baru, keadaan baru penindasan, dan bentuk baru perjuangan di tempat yang lama. 
            Proses pendataran atau perataan – memetik metafora  Friedman,   yang  mula dikenal pasti oleh  Marx dan  Engels, adalah melalui kewujudan golongan borjuis:  “Perlunya pasaran yang sentiasa berkembang untuk keluaran mereka  mengejar borjuis di seluruh permukaan dunia.  Mereka mesti menyendeh di merata-rata tempat, menetap di merata-rata  tempat, menjalinkan hubungan di merata-rata tempat.” Seperti yang dinyatakan oleh Marx dan Engels, kapitalisme mempunyai kecenderungan untuk menerobos setiap ceruk-meruk dunia, atau dalam ungkapan yang popular sekarang: globalisasi.             
Tambah Marx dan Engels lagi, “borjuis melalui eksploitasi mereka terhadap pasaran dunia memberikan ciri kosmopolitan kepada pengeluaran dan penggunaan di setiap negara.”  Borjuis juga sebagaimana mereka menjadikan desa bergantung pada bandar, demikian juga mereka menjadikan negara barbarian dan separuh barbarian bergantung pada negara bertamadun, negara  kaum tani bergantung pada negara borjuis, dan Timur bergantung pada Barat.
            Pendataran atau perataan   juga menyebabkan sistem pembuatan menggantikan   sistem industri feudal yang dimonopoli oleh guilds yang tertutup yang tidak lagi cukup untuk menampung kehendak pasaran baru yang sedang berkembang. Sistem pembuatan ini yang juga disebut   industri moden mewujudkan pasaran dunia yang mendorong  penemuan Amerika.  Pasaran ini memberikan pembangunan yang pesat kepada perdagangan, kepada pelayaran, dan kepada perhubungan  darat.   
            Akibat penduduk yang dikumpulkan, alat pengeluaran yang dipusatkan, dan harta yang tertumpu di dalam sebilangan tangan, yang dilakukan oleh  borjuis, tulis  Marx dan Engles,  memerlukan pemusatan politik. “Wilayah yang bebas atau hanya  dihubungkan secara longgar, dengan kepentingan, undang-undang, kerajaan, dan sistem yang wujud secara  berasingan, dilonggokan bersama ke dalam sebuah negara, dengan satu  kerajaan, satu kanun undang-undang, satu kepentingan kelas nasional, satu sempadan, dan satu tarif kastam.” 
Marx dan Engels membaktikan diri mereka terhadap revolusi dan percaya dengan teguh bahawa percanggahan kapitalisme yang wujud dan tidak dapat dibanteraskan akan membangkitkan  perjuangan revolusi yang bersemarak dan akhirnya berjaya untuk menumbangkan sistem itu dan menggantikannya dengan satu sistem yang lebih peri kemanusiaan dan rasional. Kemenangan paradoksikal modal mencetuskan krisisnya yang berpanjangan, seperti yang dinyatakan dalam  The Communist Manifesto menandakan bahawa kapitalisme tidak berupaya mengatasi percanggahan asasnya.
Kedua-dua penulis juga    mengimpikan sosialisme Utopia, iaitu sebuah dunia yang dikuasai oleh kaum proletar dan sebuah masyarakat tanpa kelas.  “Masyarakat,” tulis Marx dan Engels, “tidak lagi hidup di bawah penguasaan borjuis ini, dengan kata lain, kewujudan mereka  tidak lagi secocok dengan masyarakat.”  Tambah kedua-dua penulis ini lagi, “apa yang  borjuis lahirkan, lebih daripada itu, ialah penggali kubur mereka sendiri. Borjuis tumbang dan kemenangan proletar, sama-sama tidak dapat dielakkan lagi.”  Namun begitu, impian ini tidak kesampaian,  bahkan, pada tahun 1989 menyaksikan runtuhnya komunisme dan menandakan kemenangan  kapitalisme.
Walau bagaimanapun, seperti yang dihujahkan oleh Harvey dalam pengenalan, komunisme mungkin diiisytiharkan mati, tetapi kapitalisme yang ganas, kejam, dan kapitalisme yang mengalami revolusi yang berterusan masih subur.  Tegas beliau, Marx dan Engels  menemui cara yang bijak untuk mendedahkan kepada kita apakah kapitalisme dan secara asas tentang dan bagaimana kapitalisme muncul dan berkembang.
The Communist Manifesto, seperti yang diperingatkan oleh kedua-dua penulisnya dalam prakata edisi tahun 1872, ialah “dokumen sejarah yang kita tidak lagi mempunyai hak untuk memindanya”   seolah-olahnya  memperingatkan bahawa buku ini sentiasa relevan sepanjang zaman, selagi kapitalisme berkuasa dan dari semasa ke semasa dalam krisis.
(Nota:  Tulisan asal ulasan buku yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat April 2010.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...