Artikel Popular

Tuesday, January 31, 2012

Kesatuan Eropah: Pertumbuhan Perlahan, Pengangguran Laju

SELASA,  31 Januari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Jika minggu lalu, Davos menjadi tempat lebih 2000 orang elit global berkampung, kini beralih ke Brussels apabila para pemimpin Kesatuan Eropah berkumpul di sana.   Dalam sidang kemuncak itu, dilaporkan bahawa 25 daripada 27 buah negara anggota,  pada hari Isnin semalam untuk menandatangan perjanjian baru yang direka untuk menghentikan perbelanjaan berlebih-lebihan di zon euro dan menghentikan krisis hutang yang memincangkan zon tersebut, manakala para pemimpin Kesatuan Eropah berikrar untuk merangsangkan pertumbuhan dan pekerjaan. 

Perdana Menteri David Cameron yang negaranya bersama-sama Republik Czech enggan menandatangani perjanjian itu, dipetik sebagai berkata bahawa pembaharuan seterusnya masih diperlukan oleh negara zon euro untuk menamatkan krisis hutang.  "Saya tidak fikir bahawa perjanjian ini dengan sendirinya akan menyelesaikan masalah zon euro."  Dan, sekali lagi David Cameron bertikam lidah dengan Presiden Nicolas Sarkozy berhubung dengan cukai urus niaga kewangan.  

Sama ada perjanjian baru ini dapat menyelamatkan Eropah ataupun tidak, hal ini dibahaskan oleh Ezra Klein dalam bentuk soal jawab melalui Wonkblog.  Dari satu segi yang lain, para pemimpin Kesatuan Eropah, dilaporkan,  semakin didesak supaya tidak  melaksanakan jimat-cermat dengan ketat apabila Sepanyol memaklumkan ekonominya menguncup dalam suku keempat 2011 dan  kos untuk menginsuranskan hutang Portugal mencecah tinggi dari segi rekod.  Sementara itu, Greece pula terus terumbang-ambing dan terus bergelut dengan krisis ekonomi sehingga menimbulkan persoalan apakah yang perlu dilakukan terhadap negara itu

Secara keseluruhannya, masuk tahun ketiga bertekak, zon euro merupakan hubungan yang lemah dalam ekonomi dunia.

Baru-baru ini, Paul Krugman mendedahkan bahawa kemerosotan yang dialami oleh Britain adalah lebih lama daripada yang dialaminya ketika Kemelesetan Besar pada tahun 1930-an. Beliau juga  membandingkan negara itu dengan Italy dalam dua tempoh kemelesetan. Britain juga diperhatikan berkemungkinan terhumban ke dalam curam kemelesetan berganda.

Dalam carta hariannya, The Economist menunjukkan bahawa negara Kesatuan Eropah mencatatkan pertumbuhan yang perlahan, manakala pengangguran adalah tinggi. 


Sebagaimana tahun-tahun sebelumnya, pastinya Eropah, khususnya zon euro terus menjadi tumpuan dan terus mencemaskan dunia. Jika pada tahun ini dunia sekali lagi terhumban ke dalam kemelesetan, maka pastinya, pusat gempanya ialah Eropah.


Krisis Integriti

SELASA,  31  Januari  2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Orang British menjadi semakin kurang jujur dan kepercayaan mereka terhadap pemimpin kerajaan dan perniagaan jatuh begitu rendah di tengah-tengah ketakutan bahawa negara itu menjunam ke dalam "krisis integriti."  Pembohongan, mengadakan hubungan sulit, memandu ketika  mabuk, mengadakan hubungan seks bawah umur, dan membeli barang curi, semuanya lebih boleh diterima yang dibandingkan dengan dekad lalu.  Akan tetapi, orang ramai kurang bertolak ansur  terhadap fraud faedah.  

Gambaran bahawa Britain semakin mengendur tentang "ketidakjujuran tahap rendah" itu yang didedahkan oleh The Independent, memetik kajian yang dijalankan oleh University of Essex, yang menunjukkan "masalah integriti" berkemungkinan semakin teruk kerana orang muda lebih bertolak ansur terhadap kelakuan tidak jujur berbanding dengan generasi yang lebih tua. Akhbar itu juga melaporkan penubuhan Centre for the Study of Integrity pertama Britain yang akan meneliti isu yang berbangkit daripada skandal baru-baru ilni, seperti penggodaman telefon, perbelanjaan anggota parlimen, dan krisis perbankan. 

Selain mendedahkan ketidakjujuran di Britain, akhbar itu juga melalui carta menyenaraikan beberapa negara  yang peratusan penduduki yang mempercayai ahli politik, pemimpin perniagaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan media adalah rendah, antaranya Sweden (49 peratus), Amerika Syarikat (49 peratus), Korea Selatan (44 peratus), Poland (44 peratus), United Kingdom (41 peratus), Ireland (41 peratus), dan Perancis (40 peratus). 

Sebagai respons terhadap pendedahan itu, dalam soal ketidakjujuran, orang British semuanya bersekongkol. Simon Blackburn yang turut menulis menegaskan bahawa perkara penting tentang ketidakjujuran adalah bahawa kita sepatutnya cuba untuk menjadi jujur tentang ketidakjujuran.  Kemerosotan moral warga British ini turut dibahaskan dalam The Guardian

Seperti yang dinyatakan, Amerika Syarikat yang turut tersenarai sebagai salah sebuah negara tertinggi dari segi ketidakjujuran, sejak beberapa bulan lalu menyaksikan keberangan rakyat, seperti melalui gerakan Menduduki Wall Street. Kepercayaan rakyat Amerika terhadap Kongres merudum sehingga mendorong Senator Kirsten Gillbrand menulis dalam The Huffington Post bagaimana untuk memulihkan kepercayaan mereka.

Pemilihan awal calon Presiden daripada Parti Republikan mendedahkan tembelang peribadi beberapa calon, daripada   cukai pendapatan dan pelaburan  Mitt Romney kepada "perkahwinan terbuka"  Newt Gingrich.  Mungkin pembohongan terbesar pemimpin Amerika adalah berhubung dengan pencerobohan terhadap Iraq pada tahun 2003, yang pernah didedahkan oleh Jonathan Stein dan Tim Dickinson dalam Mother Jones

Salah faktor utama orang politik, termasuk di negara kita, gemar berbohong adalah kerana orang ramai sentiasa mendengar dan melanggani pendustaan itu. Bahkan, mereka sering ditokoktambahkan, diperelokkan oleh konco-konco atau "askar upahan mereka" yang berkeliaran di alam siber. Justeru, tidak memeranjatkan bahawa banyak masyarakat di dunia bergelut dengan krisis integriti. 

Monday, January 30, 2012

Keterhakisan Kelas Menengah dan Kesannya terhadap Demokrasi Liberal

ISNIN,  30  Januari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Sesiapa yang membaca penjelasan Anwar Ibrahim tentang undang-undang liwat di Malaysia melalui tulisan Shibani Mahtani dalam The Wall Street Journal, pastinya menyedari sesuatu tentang bekas Timbalan Perdana Menteri ini: "Fashioning himself as the face of liberal democracy in the Muslim-majority country."  

Tulisan ini tidak bertujuan membahaskan setakat mana benar atau tepatnya gambaran yang diberikan bahawa Anwar "berwajah demokrasi liberal."  


Seperti yang diketahui bahawa demokrasi liberal dibincangkan dengan terperinci oleh Francis Fukuyama dalam bukunya, Penamat Sejarah dan Manusia Terakhir  yang diterbitkan oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad daripada The End of History and the Last Man

Fukuyama antaranya berhujah bahawa mufakat luar biasa berkaitan dengan kesahihan demokrasi liberal sebagai sistem pemerintahan yang muncul di seluruh dunia sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini kerana sistem ini  mengatasi ideologi yang bertentangan dengannya.  Hujah beliau lagi, demokrasi liberal mungkin membentuk "takat akhir evolusi ideologi manusia" dan "bentuk akhir sistem kerajaan manusia," dan dengan demikian, sistem berkenaan membentuk "penamat sejarah."


Seterusnya, dalam buku terbaharunya, The Origin of Political Order:  From Prehuman Times to the French Revolution, Fukuyama menjelaskan  demokrasi liberal moden yang berjaya menggabungkan semua tiga set institusi dalam keseimbangan yang stabil: negara, kedaulatan undang-undang, dan kerajaan yang bertanggungjawab.

Namun demikian, Fukuyama dalam makalah terbaharunya, "The Future of History" dalam Foreign Affairs  mula melahirkan kebimbangannya tentang kelangsungan demokrasi liberal berikutan keterhakisan golongan kelas menengah.  Sambil menegaskan kebangkitan yang kurang menonjol populisme Amerika sayap kiri, meskipun berlaku  krisis kewangan global yang bermula pada tahun 2008, beliau menulis:  "Debat intelektual yang serius diperlukan segera kerana bentuk semasa kapitalisme yang diglobalisasikan menjejaskan asas sosial kelas menengah yang pada golongan ini terletaknnya demokrasi liberal."

David Ignatius yang menulis dalam The Washington Post mengingatkan bahaya kelas menengah yang sedang dilanda kemerosotan, memetik tulisan Fukuyama itu  "sebagai menandakan masa yang tidak menentu."  Francis Fukuyama, bahas Ignatius, "menawarkan pengenalan yang baik untuk apa yang mungkin menjadi isu politik tahun 2012, iaitu kemerosotan kelas menengah di Amerika Syarikat dan di seluruh dunia.  Tanpa kelas menengah, hujah Fukuyama, demokrasi liberal hilang tunjangnya."

Melindungi kelas menengah merupakan slogan yang dihafazkan oleh kedua-dua parti dalam Pilhan Raya Presiden tahun ini.  "Akan tetapi, hujah Fukuyama, seperti yang diketengahkan oleh Ignatius, "bahawa bahaya bukan datangnya daripada cukai atau dasar perbelanjaan tertentu mana-mana parti, tetapi daripada ekonomi global moden yang sangat dinamik." 

Meskipun Fukuyama tidak mengkaji semula keghairahannya terhadap demokrasi liberal yang beliau masih lihat sebagai "ideologi yang gagal di banyak tempat di seluruh dunia hari ini."  Sebaliknya, Fukuyama, jelas Ignatius, mempersoalkan, sama ada pasaran global mungkin menjadi musuh demokrasi liberal, dan bukannya inang ideologi tersebut. 

Ignatius menamatkan penulisannya dengan mengingatkan wujud tanda amaran, iaitu apabila orang ramai melihat negara totalitarian untuk sistem yang berfungsi.

Keterhakisan kelas menengah, khususnya di Amerika Syarikat semakin mendapat perhatian, bahkan Presiden Barack Obama dalam ucapan State of the Union baru-baru ini menggariskan usaha untuk menyelamatkan golongan tersebut yang dibahaskan secara meluas, antaranya oleh Steve Mariotti dalam The Huffington Post

Charles A. Kupchan menulis dalam The New York Times lebih sebulan yang lalu bahawa globalisasi yang sepatutnya dimainkan untuk kebaikan masyarakat liberal, malangnya kira-kira dua dekad, upah kelas menengah dalam demokrasi utama dunia mengalami kebekuan dan ketidaksamaan ekonomi melebar secara ketara.  "Keadaan getir golongan kelas menengah Barat," tegas beliau, "adalah akibat terutamanya integrasi ke dalam pasaran global berbilion-bilion pekerja upah rendah dari dunia membangun." 

Balik kepada imej  demokrasi liberal yang cuba diperlihatkan oleh Anwar Ibrahim  pada dirinya. Sebagaimana Najib Razak  dengan bangga "mendakap demokrasi" yang kini semakin comot, demikian juga Anwar "berpegang pada tunjang" sedang reput.  

Kedua-duanya, iaitu Najib atas nama demokrasi dan Anwar atas nama demokrasi liberal  sama-sama "belayar dalam sebuah kapal yang usang" yang menunggu detik dan ketika untuk ditelan gelombang. 


Sunday, January 29, 2012

Pilihan Raya dan Ekonomi

AHAD,  29  Januari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Beberapa buah negara akan mengadakan pilihan raya pada tahun ini.  Untuk  Pilihan Raya Presiden, antaranya Rusia, Perancis, dan Amerika Syarikat. Malaysia meskipun tempoh lima tahun genap pada tahun 2013,  dijangkakan Pilihan Raya Umum akan diadakan pada tahun ini.  

Selagi ekonomi tidak membawa berita baik, misalnya pertumbuhan lemah dan kadar pengangguran tinggi, khususnya dalam kalangan belia, nescaya mana-mana calon yang mempertahankan jawatan atau mana-mana parti yang memerintah terpaksa menempuh laluan yang sukar.  Presiden Taiwan, Ma Ying-Jeou, misalnya, menang semula dengan majoriti kecil pada 14 Januari lalu.  Sementara Presiden Perancis Nicolas Sarkozy, seperti yang dilaporkan oleh The Independent, dijangkakan  mengumumkan bahawa beliau tidak bertanding untuk penggal kedua.  Antara alasannya, beliau  "gelisah" dan "tertekan" akibat kehilangan penarafan kredit AAA Perancis pada awal bulan ini. 

Di  Amerika Syarikat pula yang kini menyaksikan persaingan sengit antara Mitt Romney dengan Newt Gingrich pada peringkat pemilihan awal Republikan, Pilihan Raya Presiden akan berlangsung pada November ini. Dijangkakan bahawa sebagaimana tahun 2008, dalam pilihan raya kali ini, ekonomi domestik merupakan faktor penting berbanding dengan faktor luar negara.  Jika banyak berita muram tentang ekonomi, seperti pertumbuhan dan kadar pengangguran, nescaya "selamat tinggal Rumah Putih" untuk Presiden Barack Obama, demikian juga sebaliknya. 

Tatkala Republikan  bertelagah sesama sendiri untuk menentukan calon, Presiden Obama terus  mempersiapkan dirinya untuk pusingan kedua, seperti yang diperhatikan oleh banyak pengulas, antaranya James Fallows, dalam ucapan State of the Union Presiden baru-baru ini:  mewujudkan peluang pekerjaan dan menyelamatkan golongan kelas menengah, yang ada kalanya senada dengan Menduduki Wall Street, meskipun  populismenya diragui.  

Oleh sebab pertarungan Pilihan Raya Presiden 2012 adalah terletak pada medan ekonomi, maka apakah berita baik untuk Presiden Obama? Seperti yang dilaporkan, ekonomi Amerika Syarikat pada suku keempat tahun 2011 mencatatkan pertumbuhan 2.8 peratus, menjadikan pertumbuhan keseluruhan pada tahun lalu adalah sederhana, iaitu 1.7 peratus.  

John Cassidy yang menulis dalam blog The New Yorker, mengulas laporan  pertumbuhan terbaharu itu dalam konteks Pilihan Raya Presiden.  Tegas beliau, pertumbuhan yang sederhana akan bergerak seiringan dengan pilihan raya tersebut.  Ekonomi tidak berkembang cukup pesat untuk mengurangkan kadar pengangguran secara dramatik, untuk menjadi rahmat kepada Obama.  Akan tetapi, tumbuh pesat cukup untuk menyangkal dakwaan Republikan bahawa dasar Presiden adalah gagal.  

Walau bagaimanapun, Cassidy tetap mempertahankan pendirian beliau tentang unjuran ekonomi tahun 2012 supaya berhati-hati dengan perasaan optimisik, yang beliau tulis sebelum ini

Untuk mana-mana calon atau parti yang mempertahankan pemerintahan, mesejnya jelas:  lebih pesat pertumbuhan, lebih banyak undi yang diperoleh.  Semakin tinggi kadar pengangguran, semakin banyak undi yang hilang. Justeru, pastikan perut rakyat sentiasa berisi kalau mahukan peti undi berisi!


Friday, January 27, 2012

Davos 2012: Soros Bertelagah dengan Merkel

SABTU,  28  Januari 2012
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Krisis euro bukan sahaja menarik perhatian pemimpin dunia, penggubal dasar, pengawal selia, ahli akademik, para pengulas, ahli ekonomi terkenal, seperti Joseph Stiglitz, Paul Krugman, dan Nouriel Roubini, tetapi juga spekulator mata wang, iaitu George Soros.  Bagi kita, rakyat Malaysia,  Soros tidak asing lagi kerana beliau terkenal berikutan krisis kewangan Asia 1997/1998. 

Sebagaimana beberapa individu yang lain, George Soros juga tidak jemu-jemu untuk membicarakan dan mengetengahkan krisis yang melanda zon euro, yang beliau sifatkan, "tahun baru, krisis sama."   Beliau juga menulis bagaimana menyelamatkan euro dalam The New York Review of Books, sambil memperkenalkan buku barunya, Financial Turmoil in Europe and the United States, yang cuba menjelaskan dan takat kemungkinan, meramalkan hasil krisis euro.

Bersempena mesyuarat tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF), di Davos,  George Soros sekali lagi menjadi perhatian, seperti yang diungkapkan oleh John Arlidge dalam Newsweek, "Soros dan penggerak dunia berkampung sekali lagi di Davos, Switzerland."  Soros juga, seperti yang ditulis oleh  Arlidge,  sedang memerhatikan kedatangan perang kelas di Amerika Syarikat. 

Pada hari Rabu, hari bermulanya mesyuarat tahunan itu, pelabur hartawan George Soros, mengambil pendirian yang tegas terhadap kesusahan kewangan yang dihadapi oleh Kesatuan Eropah, ketika beliau menyampaikan ucapan tentang masa depan blok mata wang.  Beliau berkata bahawa Eropah bergelut dalam "lingkaran kemerosotan" yang memperteguh dirinya, dengan menambah, sebagai "Anggota yang lemah dalam zon euro ditinggalkan sebagai negara Dunia Ketiga yang meminjam dalam mata wang asing."  Bagi Soros, krisis euro mungkin menghancurkan Kesatuan Eropah.

Soros  beberapa bulan lalu pernah berkata bahawa masa depan euro terletak pada Jerman.   Davos bukan sahaja tempat muhasabah diri yang "menyaksikan hantu Karl Polanyi merayau-rayau,"  tetapi juga menyaksikan pertelagahan antara George Soros  dengan Canselor Angela Merkel berhubung dengan masa depan euro. Angela Merkel dalam ucap tamanya mempertahankan strategi zon euro yang diterajui oleh Jerman dalam menangani krisis hutang.  Beliau berkata bahawa pembaharuan fiskal dalam pelaksanaan, sumber disediakan untuk membantu ekonomi yang menanggung beban hutang, dan yang paling penting, Eropah sepakat dalam komitmen untuk mata wang bersama.  Peraturan yang sangat ketat terhadap kewangan awam, kaedah yang paling ketat mengenakan  peraturan itu akan diperkenalkan.  Wujud fokus baru terhadap merangsang pertumbuhan dan mewujudkan pekerjaan. 


Mendukacitakan kerana Angela Merkel tidak mengemukakan idea baru di Davos, menyebabkan para hadirin berasa kesal.  Banyak yang beliau katakan telah pun didengari sebelum ini, tidak ada satu pun yang beliau lakukan begitu banyak untuk merangsang keyakinan di euro atau Eropah.  


Akhirnya, debat antara Merkel dengan Soros menjadikan kegagalan pendekaan Canselor Jerman itu kepada krisis betul-betul jelas.  Strategi krisis hutang yang diperkenalkan oleh Merkel dianggap direka bentuk untuk merangsang keyakinan para pelabur, seperti Soros.  Nyata harapan ini meleset sama sekali.  Sehingga apa yang dikatakan itu dikotakan, ancaman terhadap euro tidak akan lenyap. 


Soros, seperti yang dilaporkan tidak keseorangan dalam kritikannya terhadap Jerman.  Dalam makalahnya untuk Financial Times,  Presiden Bank Dunia juga mendesak Jerman mengambil kepimpinan yang jelas dalam memerangi krisis. 



Krisis Pendidikan Global

JUMAAT, 27 Januari 2012
Oleh:  ZULKIFLI   SALLEH

Tatkala dunia tertumpu terhadap Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang sedang berlangsung di Davos, bekas Perdana Menteri British, Gordon Brown memperkatakan krisis pendidikan global, yang antaranya  diterbitkan dalam The Huffington Post

Gordon Brown yang menulis dalam The Daily Beast, "Our Silent Education Crisis," menegaskan bahawa krisis global dalam pendidikan adalah senyap, krisis tidak nampak, mungkin kerana mereka yang menerima kesan segera, iaitu golongan miskin di dunia dan kanak-kanak paling mudah terdedah dan ibu bapa mereka mempunyai suara yang lemah.  

Namun, beliau mengingatkan, "sememangnya, kita menghadapi bahaya besar bahawa kita mengabaikan bukti yang amat besar bahawa serba kekurangan dalam bidang pendidikan akan mengorbankan kehidupan, melemahkan pertumbuhan ekonomi, merangsang pengangguran belia, dan memperkukuh semula ketidaksamaan nasional dan global." 

Pokok pangkalnya, jelas Gordon, pendidikan memberikan sumbangan yang penting terhadap pembangunan ekonomi yang dinamik, mobiliti sosial yang lebih besar, dan pengurangan kemiskinan.  Pendidikan adalah kunci yang mendedahkan potensi manusia dan mempersiapkan generasi masa depan untuk menyertai ekonomi global yang semakin berasaskan pengetahuan. 

Menunggu Lampu Hijau

JUMAAT,  27  Januari  2012
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH


Carta harian  terbaharu The Economist mengemukakan indeks bilik bergoyang-goyang (wiggle-room index)  untuk memerhatikan ekonomi sedang muncul manakah yang mempunyai paling kuat kuasa tembak  monetari dan fiskal. 

Daripada 27 buah negara yang disenaraikan, China, Indonesia, dan Arab Saudi mempunyai kapasiti yang lebih besar untuk menggunakan dasar monetari dan fiskal untuk menyokong pertumbuhan.  Negara lain yang mendapat lampu  hijau itu ialah Peru, Rusia,  Singapura, Korea Selatan, dan Chile. 

Dari sudut yang lain, Mesir, India, dan Poland mempunyai kurang ruang untuk rangsangan.  Argentina, Brazil, Hungary, Pakistan, Turki, dan Vietnam juga dalam zon merah.  Sementara Malaysia yang turut tersenarai dalam indeks itu, menduduki zon  jingga bersama-sama sembilan buah negara lain, termasuk Thailand dan Filipina.

Sementara itu, Bank Dunia  baru-baru ini mengingatkan bahawa negara membangun perlu bersedia untuk menerima keadaan yang lebih teruk akibat krisis hutang kedaulatan Eropah boleh merebak ke setiap pelosok dunia. Sebanyak 30 buah negara membangun yang disenaraikan bergantung pada pembiayaan luaran untuk lebih 10 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).  Bank Dunia dalam laporan terbaharunya itu  menyatakan unjuran pertumbuhan global, termasuk rantau Asia Timur dan Pasifik.


Thursday, January 26, 2012

Davos 2012: Kapitalisme dalam Krisis

KHAMIS, 26 Januari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Sejarawan Eric Hobsbawm pernah menulis bahawa sosialisme gagal, dan kini, kapitalisme muflis.  "Tahun baru, krisis sama," tulis George Soros. Walaupun beliau tidak mengatakan krisis kapitalisme, sebaliknya krisis zon euro, tetapi seseorang dapat mencungkil akar umbi krisis yang melanda zon itu, yang pastinya tidak terlepas daripada krisis kapitalisme. 


Sejak berlaku krisis kewangan lebih tiga tahun lalu, kepincangan atau ketempangan kapitalisme sering diperkatakan. Bahkan, kapitalisme   dianggap berlawan dengan demokrasi, seperti yang berlaku di zon euro, dan perlawanan antara kedua-duanya diperhatikan dengan cukup mendalam oleh   John Molyneux dalam Socialist Review

Namun, ada yang beranggapan bahawa krisis ekonomi semasa bukannya krisis kapitalisme, sebaliknya krisis globalisasi.  Clive Crook yang menulis dalam Bloomberg pada awal  bulan in menafikan krisis kapitalisme, sebaliknya menegaskan krisis kepimpinan. Sambil menggasak puak kiri, Crook mempertahankan kemelesetan terburuk sejak tujuh dekad tidak memusnahkan atau bahkan mengganggu sokongan popular untuk kapitalisme yang sebenarnya wujud.  Dalam erti kata, yang beliau maksudkan kapitalisme ekonomi campuran, berasaskan pasaran, pencarian untung, dan persaingan ditambah dengan campur tangan yang kuat oleh negara.


Namun, penafian bahawa tidak berlaku krisis kapitalisme, tidak lebih "pertahanan yang tidak dapat dipertahankan" atau sekadar "menegakkan benang basah." Hal ini demikian kerana  Bloomberg Global Poll  menunjukkan bahawa menurut para pelabur kapitalisme dalam krisis.  Kebanyakan mereka bersetuju bahawa   ketidaksamaan pendapatan merosakkan ekonomi dan kerajaan perlu melakukan sesuatu untuk menanganinya, iaitu mengambil berat idea protes "Menduduki" di seluruh dunia.  


"Kapitalisme adalah dalam krisis kerana wujud ketidaksamaan yang besar dan  meluas dalam agihan pendapatan/kekayaan di ekonomi Barat, dan sama-sama-sama  memecahbelahkan ketidaksamaan generasi," kata peserta tinjauan pendapat itu, Michael Derks.  "Hal ini memerlukan campur tangan kerajaan secara besar-besaran kerana ekonomi tidak dapat bertahan jika kerajaan tidak melabur untuk generasi yang lebih muda."  


Menjelang mesyuarat tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos itu, BBC melaporkan bahawa debat kapitalisme menjadi agenda mesyuarat itu dengan memetik pengasas WEF, Klaus Schwab yang berkata:  "Kapitalisme dalam bentuk sekarang tidak lagi sesuai dengan dunia sekeliling kita." 


Davos, seperti yang dilaporkan bermula dengan debat yang bersemangat tentang masa depan kapitalisme. Adakah kapitalisme mempunyai masa depan? Adakah kapitalisme sesuai untuk abad ke-21?  Inilah persoalan yang perlu dijawab oleh lebih 2600 orang terkaya dan paling berkuasa di dunia yang berkumpul di Davos pada tahun ini. Dengan persoalan yang sama, Time dalam debat yang dianjurkannya di Davos, membangkitkan, "adakah kapitalisme berfungsi pada abad ke-21?"


Apabila berlaku kemelesetan terburuk sejak Kemelesetan Besar 1930-an dan memerlukan masa yang lama untuk memulihkannya, pastinya perhatian tertumpu pada kapitalisme.  Tegasnya, kapitalisme dihadapkan ke muka pengadilan.  


Dan, memetik Larry Elliot, "Davos menjadi sanatorium untuk mereka yang menafikan ketenatan kapitalisme." 

Kebebasan Akhbar

KHAMIS,  26  Januari 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Reporters Without Borders dalam Press Freedom Index 2011/2012 menyatakan tiga buah negara Timur Tengah, iaitu Syria, Bahrain, dan Yaman semakin teruk dari segi penarafan. Dalam memaklumkan indeks kebebasan akhbar tahunan ke-10, Reporters Without Borders menjelaskan bahawa "indeks tahun ini menyaksikan banyak perubahan penarafan, perubahan yang menggambarkan tahun yang kaya dengan perkembangan yang sukar dipercayai, terutamanya di dunia Arab.  Banyak media melakukan pengorbanan yang besar untuk liputan mereka tentang aspirasi demokratik atau gerakan penentangan."

Jelas laporan itu lagi, kawalan terhadap berita dan maklumat terus menarik perhatian kerajaan dan menjadi persoalan kelangsungan untuk rejim totalitarian dan yang bersifat menindas.  Pada tahun lalu juga ditonjolkan peranan utama yang dimainkan oleh netizens dalam menghasilkan dan menyebarkan berita."

Tindakan keras merupakan dunia tahunan pada tahun 2011.  Tidak pernah berlaku kebebasan maklumat berkait rapat dengan demokrasi. Tidak pernah berlaku wartawan, menerusi pemberitaan mereka, menyakitkan hati  musuh kebebasan begitu banyak.  Tidak pernah berlaku tindakan penafisan dan serangan fizikal terhadap wartawan dilihat begitu banyak.

Menduduki senarai 10 negara teratas dari segi kebebasan akhbar, ialah Finland, Norway, Estonia, Belanda, Austria, Iceland, Luxemburg, Switzerland, Cape Verde, dan Kanada. Daripada 179 buah negara yang dikaji, Malaysia menduduki tangga ke-122, Brunei tangga ke-125, manakala Singapura tangga ke-135,  Thailand tangga ke-137, Filipina tangga ke-140, dan Indonesia tangga ke-146. Hanya sebuah negara Asean yang menduduki di bawah 100, iaitu Timor-Leste yang menduduki tangga ke-88.  

Amerika Syarikat jatuh ke tangga ke-47 dalam laporan  terbaharu ini adalah berpunca daripada  tindakan   terhadap wartawan yang membuat liputan tentang gerakan Menduduki Wall  Street.   

In order to have a bigger spread in the scores and increase the differentiation between countries, this year’s questionnaire had more answers assigning negative points. That is why countries at the top of the index have negative scores this year. Although the point system has produced a broader distribution of scores than in 2010, each country’s evolution over the years can still be plotted by comparing its position in the index rather than its score. This is what the arrows in the table refer to – a country’s change in position in the index compared with the preceding year.
RankCountryScore
1Finland-10,00
-Norway-10,00
3Estonia-9,00
-Netherlands-9,00
5Austria-8,00
6Iceland-7,00
-Luxembourg-7,00
8Switzerland-6,20
9Cape Verde-6,00
10Canada-5,67
-Denmark-5,67
12Sweden-5,50
13New Zealand-5,33
14Czech Republic-5,00
15Ireland-4,00
16Cyprus-3,00
-Jamaica-3,00
-Germany-3,00
19Costa Rica-2,25
20Belgium-2,00
-Namibia-2,00
22Japan-1,00
-Surinam-1,00
24Poland-0,67
25Mali0,00
-OECS0,00
-Slovakia0,00
28United Kingdom2,00
29Niger2,50
30Australia4,00
-Lithuania4,00
32Uruguay4,25
33Portugal5,33
34Tanzania6,00
35Papua New Guinea9,00
36Slovenia9,14
37El Salvador9,30
38France9,50
39Spain9,75
40Hungary10,00
41Ghana11,00
42South Africa12,00
-Botswana12,00
44South Korea12,67
45Comoros13,00
-Taiwan13,00
47United States of America14,00
-Argentina14,00
-Romania14,00
50Latvia15,00
-Trinidad and Tobago15,00
52Haiti15,67
53Moldova16,00
54Hong-Kong17,00
-Mauritius17,00
-Samoa17,00
57United States of America (extra-territorial)19,00
58Malta19,50
-Bosnia and Herzegovina19,50
-Guyana19,50
61Italy19,67
62Central African Republic20,00
63Lesotho21,00
-Sierra Leone21,00
-Tonga21,00
66Mozambique21,50
67Mauritania22,20
68Croatia23,33
-Burkina Faso23,33
70Bhutan24,00
-Greece24,00
72Nicaragua24,33
73Maldives25,00
-Seychelles25,00
75Guinea-Bissau26,00
-Senegal26,00
77Armenia27,00
78Kuwait28,00
79Togo28,50
80Serbia29,00
-Bulgaria29,00
-Chile29,00
-Paraguay29,00
84Kenya29,50
-Madagascar29,50
86Guinea30,00
-Kosovo30,00
-Timor-Leste30,00
-Zambia30,00
90Congo30,38
91Benin31,00
92Israel (Israeli territory)31,25
93Lebanon31,50
94Macedonia31,67
95Dominican Republic33,25
96Albania34,44
97Cameroon35,00
-Guatemala35,00
99Brazil35,33
100Mongolia35,75
101Gabon36,50
102Cyprus (North)37,00
103Chad37,67
104Ecuador38,00
-Georgia38,00
106Nepal38,75
107Montenegro39,00
108Bolivia40,00
-Kyrgyzstan40,00
110Liberia40,50
111South Sudan41,25nc
112United Arab Emirates45,00
113Panama45,67
114Qatar46,00
115Peru51,25
116Ukraine54,00
117Cambodia55,00
-Fiji55,00
-Oman55,00
-Venezuela55,00
-Zimbabwe55,00
122Algeria56,00
-Tajikistan56,00
-Malaysia56,00
125Brunei56,20
126Nigeria56,40
127Ethiopia56,60
128Jordan56,80
129Bangladesh57,00
130Burundi57,75
131India58,00
132Angola58,43
133Israel (extra-territorial)59,00
134Tunisia60,25
135Singapore61,00
-Honduras61,00
137Thailand61,50
138Morocco63,29
139Uganda64,00
140Philippines64,50
141Gambia65,50
142Russia66,00
143Colombia66,50
144Swaziland67,00
145Democratic Republic of Congo67,67
146Indonesia68,00
-Malawi68,00
148Turkey70,00
149Mexico72,67
150Afghanistan74,00
151Pakistan75,00
152Iraq75,36
153Palestinian Territories76,00
154Kazakhstan77,50
-Libya77,50
156Rwanda81,00
157Uzbekistan83,00
158Saudi Arabia83,25
159Côte d’Ivoire83,50
-Djibouti83,50
161Equatorial Guinea86,00
162Azerbaijan87,25
163Sri Lanka87,50
164Somalia88,33
165Laos89,00
166Egypt97,50
167Cuba98,83
168Belarus99,00
169Burma100,00
170Sudan100,75
171Yemen101,00
172Vietnam114,00
173Bahrain125,00
174China136,00
175Iran136,60
176Syria138,00
177Turkmenistan140,67
178North Korea141,00
179Eritrea142,00



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...