Artikel Popular

Thursday, September 8, 2011

Turki-Israel: Retak Menanti Belah

KHAMIS,  8  September 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLLEH




Pada 31 Mei tahun lalu,  komando Israel menyerang Mavi Marmara, salah sebuah kapal  flotila Gaza,    mengorbankan  sembilan nyawa, dengan lapan daripadanya rakyat Turki, manakala seorang lagi, rakyat Amerika keturunan Turki, dan berpuluh-puluh orang cedera.   Berikutan kejadian itu, Turki memanggil pulang dutanya dari Baitulmuqqadis, menghentikan latihan ketenteraan dengan Israel,  dan melarang pesawat tentera Israel menggunakan ruang udaranya.  Turki juga mengancam untuk memutuskan semua hubungan diplomatik jika Israel enggan memohon maaf, membayar pampasan kepada keluarga mangsa, dan menerima penyiasatan antarabangsa. Israel pula bertindak memanggil balik penasihat tenteranya dari Turki dan memberikan amaran rakyatnya melawat Turki, negara Islam  yang pernah menjadi sekutu padunya.  Israel juga enggan membayar pampasan atau memohon maaf.

Ketegangan hubungan antara kedua-dua buah negara itu mencapai tahap yang jarang-jarang berlaku.  Akibat yang tidak diduga daripada keganasan Israel itu  bukan sahaja mencetuskan kutukan dan kemarahan dunia, tetapi juga mendorong akhbar Israel, Haaretz mengisytiharkan "flotila Gaza mengemudi Israel ke dalam lautan kebodohan."  Serangan flotila Gaza ditafsirkan minggu yang mengubah politik Timur Tengah.  Tindakan Israel itu mencetuskan kemarahan antarabangsa, menggoncangkan hubungannya dengan sekutunya, Turki dan Amerika, dan mungkin membentuk semula diplomasi di rantau itu. 

Israel yang enggan memohon maaf kepada Ankara mereka-reka pelbagai alasan untuk mewajarkan dan menghalalkan tindakan komandonya itu. Setelah berbulan-bulan, akhirnya Israel dikatakan  membuat keputusan yang betul dengan memaklumkan bahawa negara itu akan bekerjasama dengan penyiasatan yang diketuai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 

Editorial The New York Times pada awal  Ogos tahun lalu menulis dengan penuh harapan bahawa penyiasatan yang telus dan boleh dipercayai mempunyai peluang untuk meredakan kemarahan antarabangsa terhadap peristiwa serangan itu dan mula membaiki hubungan Israel-Turki yang retak.  "Selama enam minggu selepas peristiwa flotila itu, Israel dan Turki saling mengancam antara satu sama lain dan terjebak ke dalam tangan golongan pelampau dan hampir-hampir memburukkan hubungan antara kedua-dua buah negara." 

Sesetengah anggota Kongres Amerika menambahkan lagi ketegangan dengan gembar-gembur anti-Turki dan mengancam untuk menghukum kerajaan Turki.  Editorial The New York Times pada awal Julai,  yang bersungguh-sungguh meredakan ketegangan,  mengingatkan bahawa Israel, Turki, dan Amerika Syarikat semuanya menanggung kerugian jika keadaan ini berterusan.  Turki ialah negara Islam pertama yang mengiktiraf  Israel.  Perdagangan antara kedua-dua buah negara mencecah AS$2.5 bilion pada tahun 2009.  Sebagai negara sekular, demokrasi pasaran bebas yang berkembang maju, dan anggota Nato, Turki mempunyai minat yang kuat terhadao kestabilan Timur Tengah dan mempunyai hubungan rapat dengan Barat.

David Ignatius yang  mengulas  keterlanjuran tindakan Israel  itu menulis, "dengan menyerang flotila, Israel memilih pergaduhan dengan Turki, musuh yang lebih berbahaya daripada Hamas.  Pergaduhan menjadi bergelora untuk beberapa tahun lalu, Turki kini cuba mencabar hegemoni Israel sebagai kuasa besar tempatan.  Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan ialah populis Muslim dengan amanat berkarisma:  Kami tidak akan membenarkan Israel memperkotak-katikkan kami.  Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad selalunya menjadi  pelawak, sebaliknya Erdogan adalah  benar-benar  keras jika musuh tidak menentu."


Ketegangan yang memuncak dalam hubungan Turki dengan Israel, seperti yang dicatatkan oleh Huge Pope, mencapai nadir minggu itu berikutan tindakan Israel membunuh orang Turki dalam flotila bantuan ke Gaza, membangkitkan persoalan baru tentang keseimbangan yang Turki cuba tunjukkan antara sekutu lama Barat dengan statusnya sebagai kuasa yang sedang meningkat di Timur Tengah.  Pope mengesani bahawa Turki sejak beberapa tahun kebelakangan memainkan peranannya untuk mewujudkan kestabilan di rantau itu:  menjadi tuan rumah perbincangan  mesra antara Israel dengan Syria pada tahun 2008.  Satu demi satu, Turki bersetuju dengan Syria, Lubnan, Jordan, dan Libya untuk melaksanakan perjalanan tanpa visa, untuk membuka jalan raya baru, landasan kereta, dan rangkaian komunikasi, untuk menyepadukan infrastruktur tenaga, untuk menandatangani perjanjian perdagangan bebas, dan untuk mengadakan mesyuarat kabinet secara tetap.  Pengaturan yang sama dipersetujui dengan negara lain di rantau itu.  Turki secara eksplisit meniru pengajaran daripada Kesatuan Eropah yang membuktikan bagaimana pertempuan sedemikian boleh menamatkan kitaran konflik.  


Walau bagaimanapun, Huge Pope menegaskan bahawa pertikaian Turki dengan Israel itu  bukannya  bukti kebencian orang Turki terhadap Barat.   Langkah yang diambil oleh Turki itu tidak juga hanya Timur Tengah atau dasar "Islamik," kerana idea keterbukaan yang lebih luas dan integrasi ini diterapkan untuk hubungan dengan Rusia dan Greece.  "Tidak juga," tulis beliau, "bermakna apa-apa perubahan fundamental dalam pendirian asas Turki terhadap Eropah dan Barat."  Pope menarik perhatian baahwa lebih separuh eksport Turki ke Eropah.  Negara Kesatuan Eropah mencatatkan 90 peratus pelaburan asing di Turki, dan lebih empat juta orang Turki telah pun tinggal di Eropah.  Secara perbandingan,   negara Timur Tengah menerima kurang daripada 25 peratus eskport Turki, mencatatkan hanya 10 peratus pelancongnya, dan menyumbangkan paling banyak 200,000 pekerja imigran.


Meskipun lebih setahun berlalu,  tindak-tanduk Israel bukan sahaja  menyebabkan  keberangan Turki semakin menjadi-jadi, bahkan hubungan antara kedua-dua buah negara  kian  runcing dan genting. Dengan terbitnya laporan penyiasatan PBB pada awal bulan ini, meskipun belum disiarkan secara rasmi, Turki betul-betul memperlihatkan kemarahannya terhadap Israel, yang hubungan antara kedua-dua buah negara itu mencapai zaman keemasan pada tahun 1990-an.  Menurut laporan itu, serbuan Israel terhadap flotila ke Gaza yang diketuai oleh adalah "berlebih-lebihan," tetapi menyatakan bahawa penganjur flotila adalah semberono dan sekatan tentera laut Israel  di  Gaza adalah sah. 


Turki bertindak balas terhadap laporan yang bocor itu dengan pengumuman bahawa Ankara mengusir utusan Israel di negara itu dan akan memotong hubungan ketenteraan dengan Israel, meletakkan hubungan antara bekas sekutu itu pada titik terendah dalam masa 30 tahun.  Turki  terus mendesak Israel memohon maaf kerana kematian tersebut, manakala negara Yahudi itu mati-matian enggan tunduk pada desakan itu, meskipun menerima tekanan yang signifikan daripada Presiden Barack Obama.  Bekas ketua perwakilan  Israel di Turki, Alon Leil dipetik sebagai memberikan amaran bahawa risiko krisis diplomatik merebak ke Jordan dan Mesir.  Keadaan ini merupakan tamparan diplomatik yang sangat serius terhadap Israel.  Jika Mesir dan Jordan mengikuti langkah Turki itu, Israel tidak lagi mempunyai duta di Timur Tengah. 




Seterusnya, Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan mengancam untuk memperluas sekatan terhadap Israel, yang beliau tuduh berkelakuan seperti "budak mua" dan mengesahkan bahawa beliau mempertimbangkan lawatan yang sangat sensitif dari segi politik ke Gaza pada awal minggu depan. Krisis dalam hubungan Israel-Turki semakin dalam apabila Erdogan memberitahu bahawa kerajaannya "menggantungkan sepenuhnya" hubungan industri pertahanan selepas Israel enggan memohon maaf atas serangannya yang menyebabkan kematian ke atas flotila Gaza 15 bulan lalu.  Beliau juga memaklumkan bahawa kehadiran tentera laut Turki diperkukuhkan lagi demi memastikan "kebebasan pelayaran" di Mediterranean Timur dan mengisytiharkan:  "Hubungan perdagangan, hubungan ketenteraan, berkenaan hubungan industri pertahanan, kami menggantungkan semua hubungan itu dengan sepenuhnya."


Melihat keberangan Edorgan itu selepas empat hari berdiam diri,  "adakah beliau mahu membakar jambatan?" tanya Murat Yetkin dalam  Hurriyet:  Daily News. Dengan mengutuk Israel sebagai "budak mua" di rantau itu, khalayak Turki mendapat mesej bahawa ungkapan untuk bermaksud bahawa Amerika Syarikat yang memuakan Israel.  Erdogan sementara menggasak Israel,  mengkritik Amerika Syarikat secara tidak langsung. 


Dalam melihat gelas separuh penuh dalam hubungan Turki-Israel, Barcin Yinanc percaya bahawa perkara baik tentang terjejas hubungan dua hala itu adalah bahawa akan terbukti sebagai pengajaran untuk kedua-dua belah pihak.  Peristiwa Mavi Marmara telah memberikan pengajaran kepada "beberapa orang" dalam kedua-dua kerajaan. Di Turki, tegas beliau, beberapa orang sedar bahawa Turki tidak boleh memejamkan mata terhadap Mavi Marmara, yang hari ini hampir memenuhi matlamatnya menjadi "pembikin permainan" di rantau ini.  Hakikatnya, Mavi Marmara tidak menetapkan pelayaran untuk kali kedua adalah bukti bahawa pengajaran itu diperoleh daripada pengalaman lalu.  Di Israel pula, sesetengah orang sedar bahawa tidak seperti seluruh dunia Arab atau sesetengah negara Eropah, anda tidak boleh lepas dengan mudah daripada Turki sebaik-baik sahaja anda bergaduh dengan negara itu. Itulah sebabnya anggota penting Kabinet Israel mencadangkan memohon maaf.


Kerajaan Israel, dengan membuat keputusan enggan memohon maaf, dikatakan membuat keputusan strategik yang merisikokan hubungan dengan teruk.  Sementara kerajaan Turki juga, dengan langkah yang diumumkannya, bertindak balas dengan cara yang sama.  Kedua-dua kerajaan menyampaikan mesej kepada dunia bahawa kepentingan negara mereka terlalu konflik. 


Walau bagaimanapun, sebaik-baik sahaja terdedahnya laporan penyiasatan PBB itu, editorial The Guardian mengingatkan bahawa Turki dan Israel belayar ke dalam air berombak.  Dan, sekali lagi Israel memilih kemenangan taktikal mengatasi hubungan strategik. "Turki semakin menjadi interlokulator penting di dunia Arab, yang kehilangan diktator, iaitu Mubarak, Gaddafi, dan Ben Ali,"  editorial itu mengingatkan. "Anda mungkin tidak bersetuju dengan tindakan yang Turki ambil, tetapi tiada negara lain di rantau itu, termask Iran dan Syria, yang tidak menggunakan khidmatnya."


Dalam blog "Global Spin," Tony Karon mengakui keretakan hubungan Turki-Israel tidak dapat diperbaiki dalam masa terdekat dan bukan sekadar berpunca keengganan Israel memohon maaf.  Turki, selain sejak akhir-akhir ini merapatkan hubungannya dengan negara Islam, seperti Iran, Syria, dan Palestin, tegas beliau, tindakan Turki juga menunjukkan rasa tidak sabar antarabangsa yang semakin menjadi-jadi dengan dan kehilangan kepercayaan terhadap Washington dalam menangani konflik Israel-Palestin. 


Demikian juga Yigal Schleifer yang menulis  dalam Foreign Policy bahawa keterhakisan hubungan secara berterusan antara dua bekas sekutu ini bukannya bermula dengan peristiwa Mavi Marmara, tetapi bermula dengan serangan Israel ke atas Gaza yang bermula pada Disember 2008.  Bagi Turki, pendudukan Israel yang berterusan di wilayah Palestin (terutamanya Gaza) dianggap sebagai sekatan utama ke arah mewujudkan jenis orde serantau yang lebih harmoni yang Ankara bayangkan.  Bagi Israel pula, tindakan Turki mendampingi Hamas di Gaza, Presiden Bashar al-Assad di Syria (sekurang-kurangnya sebelum tindakan keras beliau kini), dan rejim Iran semuanya membuktikan bahawa kerajaan Islamis sederhana, iaitu Justice and Development Party (AKP) dengan pantas bergerak menyertai "paksi penentangan" serantau terhadap Israel.


Kedua-duanya, iaitu Turki dan Israel sedang berlumba-lumba mengejar hegemoni di Timur Tengah.  Meskipun antara Turki dengan Israel  itu pernah terjalin hubungan yang erat, akhir-akhir ini, kedua-dua negara itu saling meragui antara satu sama lain.  Walau bagaimanapun, Israel lebih memerlukan Turki, dan bukan sebaliknya, lebih-lebih lagi dengan tercetusnya Pemberontakan Arab.  Turki yang dikatakan sebelah kaki di Eropah, manakala sebelah lagi di dunia Islam, semakin memperlihatkan kehadirannya di dunia Islam, antaranya kerana kegagalannya menganggotai Kesatuan Eropah.  Langkah dan tindakan Turki sejak akhir-akhir ini dilihat sebagai kebangkitan semula Empayar Ottoman.  










































No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...