Artikel Popular

Monday, September 26, 2011

Negara Kebajikan, Kebajikan Negara

ISNIN,  26  September 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Gambaran umum ialah bahawa semua masyarakat maju dikatakan membantu orang  yang benar-benar tidak mampu menolong diri mereka sendiri sebagai sesuai, berperikemanusiaan, dan perlu. Namun,  wujud isu serius yang lain berkait dengan falsafah negara kebajikan bahawa banyak orang mampu menjaga diri mereka tidak mempunyai motivasi untuk menambahbaikkan kehidupan mereka apabila mereka boleh bergantung pada kerajaan untuk menyediakan barang dan perhidmatan untuk mereka.  Keadaan ini membangkitkan rasa geram dalam kalangan mereka yang bekerja apabila mereka dipaksa untuk membayar untuk orang yang   kononnya tidak mampu menjaga diri mereka sendiri, dengan terpaksa membayar cukai yang semakin meningkat.  Justeru, negara kebajikan dikatakan mencetuskan perang kelas dan mencegah kesamaan dan bukannya mencapai kesamaan.  Konsep negara kebajikan dianggap mungkin elok pada kertas, sedangkan untuk mewujudkan negara yang benar-benar saksama, diibaratkan “jauh panggang dari api.” 

Sebenarnya, wujud beberapa persoalan berhubung dengan  negara  kebajikan, yang lebih tertumpu pada penyalahgunaan kemudahan yang disediakan berbanding dengan tujuan atau matlamat negara kebajikan itu sendiri.    Yang lazim dibangkitkan ialah golongan   penganggur yang menikmati kemudahan ini, dan   diakui bahawa  dalam satu-satu keluarga, tidak seorang pun yang bekerja,  dan mereka memang mencari pekerjaan, tetapi gagal. Sedangkan,  ada pula yang tidak pernah mencuba mencari pekerjaan, dan bahkan ada yang tidak pernah terfikir pun untuk berbuat demikian.  Meskipun terdapat beberapa alasan seseorang tidak bekerja, misalnya kehilangan upaya dan sakit mental, hanya sedikit yang tidak bekerja kerana bodoh.  Sebaliknya, mereka cerdik kerana tanpa  pekerjaan, maka orang lain, melalui negara kebajikan,    terpaksa menanggung keperluan asas mereka sekeluarga. Golongan ini juga  berusaha melahirkan anak yang banyak kerana dengan itu, mereka mendapat lebih banyak   jumlah bantuan.  Keadaan seperti inilah mendorong  pembayar cukai  mendakwa bahawa  mereka seolah-olah “memikul biawak hidup.”  
Negara kebajikan,  seperti dinyatakan dalam laman web TalkTalk, ialah sistem politik yang negara mempunyai tanggungjawab (bukannya individu atau sektor swasta), untuk   kebajikan warganegaranya, menyediakan taraf  hidup minimum yang dijamin, dan insurans terhadap bahaya kemiskinan, sakit, dan pelucutan sosial.  Perkhidmatan kebajikan termasuk keselamatan sosial, yang menyediakan peruntukan terhadap ganggungan perolehan pendapatan akibat sakit, kecederaan, umur tua, atau pengangguran. Perkhidmatan sosial itu mengambil bentuk pengangguran dan faedah sakit, elaun keluarga, tambahan pendapatan, disediakan dan lazimnya dibiayai menerusi skim insurans negara. Perkhidmatan itu juga termasuk kesihaan dan pendidikan, lazimnya dibiayai  pencukaian, dan peruntukan “perumahan sosial” yang disubsidikan.  Pengangkutan awam yang disubsidikan, kemudahan rekreasi, perpustakaan awam, dengan diskaun khas untuk orang tua, penganggur, dan orang hilang upaya,  merupakan unsur bukan teras negara kebajikan.
            Di Britain, negara kebajikan yang lahir pada tahun 1945, dijelaskan oleh arkitek intelektual, Lord Beveridge, sebagai struktur yang dibina untuk melindungi individu “dari buaian hingga ke liang lahad.” Nilai yang mendirikan negara kebajikan Beveridge adalah untuk menyediakan sokongan dan menaikkan harga diri individu dan autonomi, dan bukannya mewujudkan pergantungan pada negara. Model ini dikatakan menguasai setiap negara Eropah Barat, dengan tradisi dan politik tempatan menentukan kepelbagaian penerapannya.  Pada tahun 1960-an, semua Eropah demokratik ialah demokratik sosial, menggabungkan pasaran bebas dan perlindungan sosial massa.
Namun, berikutan krisis kewangan tahun 2008, seperti yang diperhatikan oleh Guy Sorman dalam guardian.co.uk pada Oktober tahun lalu, dengan makalah “The Welfare State, RIP,” maka negara Eropah tidak ada pilihan, kecuali mengurangkan perbelanjaan mereka, dan menyasarkan faedah kebajikan yang mewakili, secara purata, separuh perbelanjaan awam Eropah adalah cara yang paling mudah untuk membawa kelegaan fiskal  dengan segera.  Walau bagaimanapun, Sorman yang kurang bersetuju dengan sistem ini  mengakui: “Negara kebajikan tidak lenyap dari Eropah, tetapi akan diukur balik dan memberikan tumpuan terhadap mereka yang sebenarnya memerlukan pertolongan.” 

Demikian juga dengan Amerika Syarikat, tempat bermulanya krisis kewangan, menyaksikan seakan-akan berakhirnya negara kebajikan, walaupun Pentadbiran  Obama, lebih setahun lalu hampir-hampir menukarkan Amerika menjadi negara kebajikan  gaya Eropah dengan melaksanakan perbelanjaan defisit 41 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan meluluskan undang-undang  penjagaan kesihatan.
            Pada Oktober 2006,  iaitu sebelum krisis ekonomi, Jeffrey D. Sachs menulis dalam Scientific American bahawa negara kebajikan masyarakat adalah melampaui ideologi dan menegaskan satu cabaran yang sungguh besar bagi pembangunan mapan adalah untuk menggabungkan kehendak masyarakat terhadap kemakmuran ekonomi dan keselamatan sosial. Sejak berdekad-dekad ahli ekonomi dan ahli politik bagaimana untuk merukunkan kuasa pasaran yang tidak diragui dengan perlindungan insurans sosial  yang menenteramkan.  Sachs dalam usaha menolak pemikiran ahli ekonomi pasaran bebas kelahiran Austria, Friedrich von Hayek bahawa cukai yang tinggi akan menjadi “jalan ke perhambaan,” ancaman kepada kebebasan itu sendiri, membandingkan   antara  negara yang berbahasa Inggeris dengan negara Nordic dari segi percukaian, meskipun kedua-dua kumpulan negara itu  berpendapatan tinggi.
            Beliau menegaskan bahawa secara purata, negara Nordic yang mengenakan cukai yang tinggi,  mengatasi negara Anglo-Saxon dari segi kebanyakan ukuran prestasi ekonomi.  Kadar kemiskinan lebih rendah di negara Nordic, dan pendapatan negara untuk setiap penduduk dalam umur bekerja, adalah secara purata tinggi.  Kadar pengangguran secara kasar sama dalam kedua-dua kumpulan itu, hanya tinggi sedikit di negara Nordic.  Situasi belanjawan lebih kukuh di negara Nordic, dengan lebihan yang sangat besar sebagai bahagian KDNK.
        Walau bagaimanapun, tegas Sachs, negara Nordic mengekalkan dinamisme mereka, meskipun melaksanakan cukai yang tinggi, iaitu banyak menyediakan peruntukan bagi penyelidikan dan pembangunan dan pengajian tinggi. Negara Nordic juga memastikan perbelanjaan sosial secocok dengan sistem ekonomi berasaskan pasaran, iaitu terbuka dan berdaya saing.
          “Hasil untuk isi rumah di bahagian bawah agihan pendapatan sungguh mengagumkan,” tulis Sachs, dan merumuskan “von Hayek adalah silap.  Dalam demokrasi yang kuat dan bertenaga, negara kebajikan masyarakat yang pemurah bukannya jalan ke perhambaan, tetapi sebaliknya jalan ke keadilan, kesamaan ekonomi, dan daya saing antarabangsa.”
        Namun begitu, pada tahun yang sama, tetapi beberapa bulan lebih awal, Per Bylund mendedahkan kepincangan negara kebajikan yang dilaksanakan di salah sebuah negara Nordic, melalui tulisannya  dalam Mises Dailies,  “How the Welfare State Corrupted Sweden.”  Beliau memulakan penulisannya bahawa   orang tua di Sweden  berkata untuk menjadi orang Sweden bermakna menyediakan keperluan dengan sendiri, menjaga diri anda sendiri, dan jangan sekali-kali membebankan orang lain.  Berdikari dan kerja keras merupakan tanggapan bersama  kehidupan sopan, dan tanggapan bersama kemoralan.  Itu semua berlaku kurang 100 tahun dahulu.
          “Masalah adalah bahawa negara kebajikan diwujudkan dan akan mengubah kehidupan orang ramai secara dramatik  dan mempengaruhi kemoralan mereka dalam cara fundamental. Tulis Bylund, “negara kebajikan mungkin merupakan projek yang berjaya jika orang ramai mempunyai harga diri dan kemoralan untuk menyediakan keperluan mereka sendiri dan hanya meminta pertolongan jika benar-benar diperlukan.”  Dan tambah beliau, “negara kebajikan kemungkinan berfungsi di dunia ceteris paribus, iaitu apakah yang negara kebajikan benar-benar anggapkan. Akan tetapi, di dunia yang sering berubah, dan negara kebajikan, dengan  itu, memerlukan orang ramai menjadi lebih kuat dan kemoralan yang lebih tinggi kepada orang ramai dalam masyarakat yang tidak ada negara kebajikan.”
         Bagi Bylund, negara kebajikan melahirkan orang ramai yang bergantung benar-benar tidak berupaya mencari nilai dalam kehidupan; sebaliknya, mereka mendapati diri mereka tidak berupaya dari segi perasaan manusia tipikal, seperti harga diri, mulia, dan empati.  Perasaan ini, bersama-sama dengan cara untuk mewujudkan makna untuk kehidupan, telah diambil alih oleh negara kebajikan.
         Dalam makalahnya, “Beyond the Welfare State” yang diterbitkan dalam National Affairs (Issues No. 7 Spring 2011) yang kemudiannya dipetik secara meluas, Yuval Levin membahaskan secara kritis dan mendalam tentang masa depan negara kebajikan demokratik sosial. Semua dunia maju, seperti yang beliau perhatikan, negara menyedari hakikat bahawa negara kebajikan sosial akhirnya tidak dapat dipertahankan lagi.  Alasannya sebahagiannya institusi, iaitu negara pentadbiran secara menyedihkan tidak cekap dan tidak responsif.  Alasannya juga sebahagiannya budaya dan moral, iaitu percubaan untuk menyelamatkan warganegara daripada beban tanggungjawab melemahkan keluarga, sikap tidak bergantung pada orang lain, dan pemerintahan sendiri.  Akan tetapi, dari segi praktik, yang utama  ialah fiskal, iaitu negara kebajikan nyata   tidak mampu lagi dilaksanakan.


  
Walau bagaimanapun, Levin mengakui “pada hakikatnya, kita tidak berhadapan pilihan antara negara kebajikan liberal dari satu pihak dengan jimat pada satu pihak yang lain.  Pilihan itu merupakan dua sisi duit syiling yang sama.  Jimat cermat dan kemerosotan apa yang akan kita hadapi jika kita tidak melakukan pembaharuan terhadap negara kebajikan.”  Beliau mencadangkan bahawa pilihan yang Amerika hadapi adalah antara kombinasi itu dengan pendekatan yang berbeza untuk mengimbangkan aspirasi masyarakat mereka yang semakin dalam. Menolak penyelesaian daripada puak Kiri, Levin meletakkan keyakinan pada puak Kanan:  “Puak konservatif  mesti menyediakan bukan sahaja hujah terhadap negara kebajikan liberal, tetapi juga terhadap wawasan yang berbeza, jawapan berbeza untuk soalan bagaimana kita mungkin mengimbangkan aspirasi kita.   Hujah itu mesti menjadi wawasan yang menitikberatkan usaha pertumbuhan ekonomi, kebaikan republik, dan mobiliti sosial terhadap keselamatan ekonomi, kebajikan nilai semula jadi, dan kesamaan kebendaan; yang mentakrifkan semula jaringan keselamatan sebagai cara menjadikan golongan miskin lebih  berdikari dan bukannya menjadikan golongan kelas menengah kurang berdikari; dan yang menterjemahkan keunggulan ini menjadi bentuk institusi yang sesuai dengan zaman moden kita, iaitu masyarakat dinamik.”  Bagi Levin, zaman negara kebajikan  mesti  berlalu:  “Wawasan yang berbeza kini mula mengambil bentuk.  Dengan perlahan-lahan, sedikit demi sedikit, kita mula melihat apakah yang mesti menggantikan negara kebajikan.” 
          Jaguh negara kebajikan kita, bahas Levin,  melihat kapitalisme demokratik sebagai realiti yang kukuh yang patut diatasi dan demokrasi sosial sebagai keunggulan tinggi yang patut dicapai.  Akan tetapi, pandangan ini ada kemundurannya.  Wawasan demokrasi sosial yang mewarnai kehidupan politik kita untuk berdekad-dekad, tetapi mengecewakan kita.  Kapitalisme demokratik sebenar, iaitu masyarakat bebas dengan ekonomi bebas dan komitmen untuk membantu setiap warganegara menikmati faedah kedua-duanya merupakan keunggulan yang mesti membimbing dasar domestik Amerika dalam tahun mendatang. 
              Beliau menyedari banyak akibat yang tidak diingini, meskipun bukannya tujuan negara kebajikan, lalu beliau    memetik kata-kata  Irving Kristol pada tahun 1997, pengasas neokonservatif:  “Sekular, pengasas demokratik sosial negara kebajikan moden benar-benar memikirkan bahawa dalam jenis negara kebajikan yang kita miliki hari ini orang ramai lebih bersemangat awam, berfikiran lebih tinggi, lebih ‘berpuas hati’ dari segi insaniah.”
            Tulisan Yuval Levin itu membangkitkan komen  serta  polemik,  dan di sini dipetik,  antaranya oleh William McGurn yang menulis dalam The Wall Street Journal pada awal April lalu, “After the Welfare State.”  Kedengarannya negara kebajikan sedang runtuh.  Dari Albany ke Athens,  semua kecuali pemerhati yang sangat kabur, kini mengakui bahawa model yang kita ikuti terkandas dari segi moral, sosial, dan fiskal.  Yang kurang jelas apakah yang menggantikannya.  Sementara Ezra Klein yang menulis “Beyond the Welfare State” dalam akhbar The Washington Post pada Jun lalu mendakwa Levin menetapkan untuk menulis esei yang membayangkan semula negara kebajikan secara radikal dan dengan jelas menggariskan kelesuan intelektual golongan liberal  moden. 
          Dalam laman webnya,  FrumForum  David  Frum menulis tujuh makalah ringkas sebagai reaksi terhadap gagasan Levin itu,  “adakah kita bergerak melampaui negara kebajikan.”  Dalam satu makalah, Frum menegaskan:  “Apa yang terfikir-fikirkan di sinia bukannya berakhirnya ‘negara kebajikan,’ seperti yang kebanyakan orang Amerika gunakan istilah, iaitu negara yang membantu orang miskin.  Apa yang kita terfikir-fikirkan ialah berakhirnya insurans sosial, sekurang-kurangnya, seperti yang diterapkan kepada penjanggaan kesihatan untuk pesara. 
        Sementara itu, dalam makalah terakhir, Frum seolah-olah mengingatkan Yuval Levin bahawa beliau (Levin)  ialah bintang meningkat terang dalam tradisi Irving Kristol yang terkenal memperjuangkan negara kebajikan konservatif, dan terutamanya program insurans sosial untuk orang tua.  Sebagai ingatan terhadap golongan konservatif, seperti Levin, maka Frum memetik pesanan  Kristol bahawa “idea negara kebajikan secara sempurna tekal dengan falsafah politik konsevatif, seperti yang Bismarck ketahui, 100 tahun dahulu.  Dalam masyarakat kita yang dipembandarkan, diperindustriankan, dan terlalu bergerak, orang ramai memerlukan tindakan kerajaan untuk beberapa jenis... mereka memerlukan bantuan sedemikian; mereka menuntutnya; mereka akan mendapatnya.”  Dan, Frum mengingatkan bahawa tugas konservatisme adalah untuk membentuk negara insurans sosial,   bukannya menghapuskannya.
           Di Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah, seperti yang diperhatikan oleh Dennis Prager, “The Welfare State and the Selfish Society” dalam National Review Online negara kebajikan menyebabkan anak muda masih bergantung pada ibu bapa mereka , meskipun  usia mereka menjangkau akhir 20-an, bahkan 30-an tahun. Mengapa berlaku demikian kerana di negara kebajikan, mereka tidak berasa malu untuk berkelakuan sedemikian.  “Negara kebajikan,” tulis Prager, “membolehkan, dan dengan itu, melahirkan orang yang leka yang menjadi lebih dan lebih mementingkan  diri apabila masa beredar:  Berapa banyak faedah yang akan saya terima daripada negara?  Berapa banyak akan negara bayar untuk pendidikan saya?  Berapa banyak akan negara bayar untuk penjagaan kesihatan dan apabila saya bersara?  Berapakah  umur muda yang saya boleh bersara?  Berapa banyakkah masa bercuti yang boleh saya dapat setiap tahun?  Berapa hari saya boleh saya kata sakit dan mendapat upah? Berapa bulan boleh saya tuntut wang penjagaan bapa atau menjadi ibu (maternity)?” 
           Memetik Prager, “kapitalisme mengajar orang ramai supaya kerja lebih keras, tetapi negara kebajikan mengajar orang ramai supaya mahu lebih keras.  Mana satu yang lebih baik?”  Tepuk dada tanya selera?  Sesungguhnya, pelaksanaan negara kebajikan banyak menimbulkan masalah kepada kerajaan yang terpaksa menanggung beban kewangan yang besar yang berkemungkinan meletakkan negara sebagai pertaruhan, dan juga kepada masyarakat yang boleh menyebabkan ingin terus berada dalam zon selesa dengan bergantung pada negara kebajikan.  Namun, apakah alternatifnya jika negara kebajikan berkubur yang nampaknya sukar dijawab oleh Yuval Levin sendiri.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...