Artikel Popular

Friday, September 23, 2011

Erdogan Lanyak Israel, Ahmadinejad Gasak Amerika Syarikat

JUMAAT,  23  September 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berlangsung sekarang boleh dikatakan diwarnai oleh Pemberontakan Arab kedua,  krisis ekonomi yang masih belum reda, dan usaha Palestin untuk mendapatkan taraf negara.  Tentang usaha Palestin ini, pastinya divetokan oleh Amerika Syarikat.  Mengapa Amerika bertindak sedemikin dijelaskan dengan terperinci oleh Marc Ginsberg bahawa Presiden Amerika daripada Demokrat lebih pro-Israel jika dibandingkan dengan Republikan, dan Presiden Barack Obama sendiri, meskipun kelihatan tidak sehaluan dengan Benyamin Netanyahu, banyak menghulurkan bantuan kepada Israel dari segi ketenteraan dan keselamatan. 

Lagipun, memetik Robert Fisk, Obama memang tidak berupaya dalam menghadapi realiti Timur Tengah, meskipun Palestin, seperti yang dibahaskan oleh Jonas Gahr Store, telah pun bersedia untuk taraf negara, bahkan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengakui bahawa Pihak Berkuasa Palestin (PA) mencapai kejayaan yang menakjubkan dalam membina institusi awam Palestin.

Yang tidak kurang menarik,  kehadiran  Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan yang di mana-mana kesempatan menyerang Israel, menggunakan kemunculannya  di PBB itu untuk melanyak Israel sekali lagi.  Beberapa jam sebelum beliau berucap, Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad menyampaikan ucapan yang memperlihatkan sikap anti-Barat beliau. 

Seperti yang dilaporkan oleh The New York Times, Erdogan menyebut satu per satu senarai panjang rasa tidak puas hati  terhadap Israel, bekas sekutu serantau.  Beliau menjelaskan konflik Israel-Palestin sebagai "luka berdarah" yang komuniti antarabangsa tidak boleh terima lagi, menuduh Israel menghalang semua percubaan untuk menyelesaikan masalah.  Daripada senjata nuklear kepada mengawal wilayah yang diduduki kepada bantuan kemanusiaan, tegas Erdogan, Israel menentang harapan dan norma dunia.  Beliau menyindir, "Jika anda mahu menghantar kotak tomato kepada Palestin, ini tertakluk kepada kelulusan Israel, dan saya tidak fikir itu merupakan kemanusiaan," sambil mencadangkan semangat baru perubahan di Timur Tengah yang bermaksud Israel tidak boleh lagi terus menerus memupuk persengketaan.

Sementara Mahmoud Ahmadinejad muncul di Perhimpunan Agung untuk tahun  ketujuh, berkata bahawa kemiskinan, tiada tempat berteduh, dan penafian hak asas boleh disusurgalurkan kepada "ketamakan untuk fahaman kebendaan di Amerika Syarikat dan Eropah."  Seperti yang beliau lakukan dalam ucapannya sebelum ini, Ahmadinejad membangkitkan persoalan tentang Holokus, menyalahkan Barat kerana menggunakan alasan mereka untuk menghulurkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Israel dan untuk menindas rakyat Palestin.  "Mereka mengancam sesiapa sahaja yang mempersoalkan Holokus dan 11 September dengan sekatan dan tindakan ketenteraan?"


Berikutan dakwaan beliau bahawa  Amerika Syarikat  dan negara Eropah Barat sebagai "kuasa yang angkuh,"  diplomat dilaporkan meninggalkan Perhimpunan Agung itu dan diikuti oleh beberapa negara lain, seperti 27 buah negara anggota Kesatuan Eropah.  Beliau menggasak Amerika Syarikat dan kuasa kolonial Eropah kerana menculik berpuluh-puluh juta orang Afrika dan menjadikan hamba abdi, kerana kesediaan mereka "menggugurkan beribu-ribu bom ke atas negara lain," dan kerana menguasai Majlis Keselamatan PBB.  Beliau menuduh Amerika Syarikat kerana menggunakan bom nuklear terhadap Jepun dalam Perang Dunia Kedua dan menyokong kediktatoran tentera dan rejim totalitarian di Asia, Afrika, dan Amerika Latin.

Buat pertama kali, dunia menyaksikan gandingan pemimpin Turki-Parsi yang berdiri di tengah pentas tanpa berasa takut dan gementar untuk menyatakan pendirian mereka tentang ketidakadilan dan kepincangan yang berlaku di dunia ini.  Untuk Erdogan, tindakannya melanyak Israel yang beliau anggap "budak yang dimuakan," secara tersirat, menyindir Amerika Syarikat yang diketahui umum memuakan Israel sejak sekian lama.  Pastinya, gandingan  tersebut menjadi lebih sempurna sekiranya muncul pemimpin dunia Arab.  Namun, kebanyakannya terhuyung-hayang di lurah  kejatuhan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...