Artikel Popular

Sunday, September 4, 2011

Diplomasi Budaya Lawan Perang Budaya

ISNIN,  5 September 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Pada  Julai 1998, 19 buah negara, termasuk negara teman rapat Amerika Syarikat   melihat negara itu sebagai ancaman terhadap budaya. Para pegawai dari  negara berkenaan, termasuk Mexico, Britain, dan Brazil datang ke Ottawa untuk membincangkan cara untuk membezakan budaya daripada perdagangan biasa, dengan matlamat menafikan industri hiburan Amerika membanjiri pasaran mereka dengan mudah.   Kanada dan Mexico berkongsi sedikit dengan negara, seperti Iceland, Crotia, dan lain-lain yang menghadiri mesyuarat itu, kecuali kerana takut bahawa Hollywood dan yang lain dalam industri hiburan Amerika mengancam budaya mereka.  Negara yang terlibat mahu membentuk perkongsian khusus dengan pengaruh yang cukup demi memastikan bahawa budaya dilayan sebagai ciri penting identiti nasional, dan bukannya sekadar kategori lain barang dagangan yang dikawal oleh perjanjian antarabangsa baru yang mencuba perdagangan yang tidak terkawal, termasuk filem, program televisyen, buku, dan majalah, antara negara.

            Kanada dan Mexico dua negara yang bersempadan dengan Amerika Syarikat mahu melindungi budaya mereka daripada diancam oleh industri hiburan Amerika.  Dalam hubungan ini, Kanada lebih unik kerana selain berkongsi bahasa Inggeris, kebanyakan buku, majalah, dan filem datangnya dari Amerika.  Sebanyak tiga perempat muzik yang dimainkan dalam radio Kanada bukannya Kanada.  Sebaliknya, Mexico yang juga berkongsi sempadan yang panjang dengan Amerika Syarikat, berasa terlindung daripada pendedahan berlebihan kepada budaya Amerika oleh bahasa Sepanyol.  Meskipun filem dan program televisyen Amerika adalah popular, perlunya diterjemahkan mengehadkan daya tarikannya yang lebih luas.
Namun, senario yang agak berbeza berlaku  di Czechoslovakia  yang memperlihatkan kejayaan Rolling Stones dari segi diplomasi budaya,  seperti yang dicatatkan oleh  Eduard Freisler  dalam The New York Times pada Ogos tahun lalu.  Di negara itu,  tentera Soviet berpangkalan  sejak tahun 1968, dan pastinya penduduknya tidak boleh menikmati muzik yang dilarang sejak berdekad-dekad.  Mereka diberitahu bahawa muzik meracuni minda mereka dengan imej yang sangat kotor.  Mereka akan dijangkiti oleh propaganda kapitalis Barat.  “Di stadium di Prague, beratus-ratus ribu orang, termasuk saya dan ayah saya, menonton sesuatu yang kami tidak sepatutnya tonton.” Freisler  yang tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya, cuba mengenang kembali: “Dan kini, Rolling Stone datang ke  Prague.”  Tambah beliau dengan penuh keterujaan, “Dan saya tidak pernah mendengar apa-apa seperti suara Mick Jagger yang cepat, sensual, menyanyi tentang keinginan peribadi.”
Freisler memberitahu bahawa rakyat  Czechoslovakia diingatkan untuk empat dekad agar mengorbankan impian tersirat mereka demi kegembiraan kolektif  massa atau rakyat jelata.  Orang ramai yang bertindak mengikut keinginan mereka sendiri, iaitu menentang, selalunya berkesudahan dipenjarakan.  Seakan-akan tidak percaya dapat menonton konsert  Rolling Stones, beliau merakamkan kegembiraan para penonton yang menjadi ganas dan tidak terkawal.  “Mereka melompat-lompat, bertepuk, berteriak, menari, dan menyanyi bersama-sama, memeranjatkan diri mereka.  Saya tidak pernah sebelum ini melihat pertunjukan emosi yang tulen sedemikian daripada orang senegara saya.”  “Dua jam setengah kemudian,” tulis Freisler lagi,  “apabila konsert tamat, orang ramai menangis dan berpeluk-pelukan antara satu sama lain.  Ayah saya menangis dan memeluk saya.” 
Kira-kira satu dekad selepas pertemuan di Ottawa  itu, nyata bahawa  Amerika tidak dapat mempertahankan  penguasaan budayanya  di peringkat global. Dalam “Special Edition/Issue 2009” Newsweek, Martha Bayles menulis “The Return of Cultural Diplomacy,” yang antaranya merujuk kepada laporan 2007 daripada Pew Global Attitudes Survey yang melibatkan  47 buah negara yang mendapati bahawa budaya popular tidak lagi merupakan duta terbaik Amerika.  Menurut laporan itu, golongan majoriti di  beberapa banyak negara Islam, termasuk Bangladesh, Pakistan, Turki, Jordan, dan Mesir, memberitahu bahawa mereka tidak menggemari muzik, wayang, dan televisyen Amerika.  Orang India dan Rusia juga mengemukakan pandangan negatif terhadap eksport budaya Amerika Syarikat. 
Perabadan?  Apakah peradaban? Martha Bayles memberitahu bahawa beliau telah pun boleh mendengar para pembaca mencemuh.  Kekayaan Amerika dari segi seni dan warisan kesusasteraan semakin tidak diketahui dunia, bahkan dalam sahabat Amerika sendiri.  “Di Poland,” tulis beliau, “saya bertemu profesor kesusasteraan Amerika yang mengadu kepada saya bahawa apabila dia memberitahu orang Poland yang lain apa yang dia lakukan untuk hidup, mereka ketawa dan berkata, ‘Itu mustahil, tidak ada hal itu sama sekali.’”
Anekdot ini  jelas Martha diluahkan  oleh Simon Anholt, anggota British Foreign Office Public Diplomacy Board yang mengkaji reputasi global negara dan kota.  Bersamap-sama firma penyelidikan pendapat, GfK Roper, Anholt menjalankan tinjauan tahunan 1000 responden dalam talian di 20 buah negara yang diminta memeringkatkan 50 buah negara mengikut kriteria, seperti “tadbir urus,” “orang ramai,” dan “pelaburan.” Anholt-GfK Roper Nation Brand Index untuk tahun 2008 memeringkatkan Amerika Syarikat di tangga ke-33 untuk “budaya.”  Dengan ketara, tinjauan sebelum yang mengasingkan “budaya popular”  daripada “budaya dan warisan” memeringkatkan Amerika betul-betul akhir dalam kategori kedua itu.  Di sini, Martha memetik pandangan Anholt, “Idea lama bahawa Amerika Syarikat hanya baik untuk budaya popular dan perdagangan kini terjebak ke dalam tanggapan yang sangat negatif.”
Untuk menguatkan hujah bahawa Amerika Syarikat wajar mengembalikan detik indah keunggulan dan kehebatan diplomasi budaya, Martha Bayles mengajak para pembaca merenung era Perang Dingin.  Ketika itu, Washington berusaha berkongsi warisan budaya Amerika menerusi pertukaran  cendikiawan  dan golongan profesional, lawatan seniman dan  penulis, perpustakaan, penterjemahan, dan penyiaran antarabangsa berorientasikan budaya.  Beliau mengesyorkan mana-mana pelaburan baru dalam smart power Amerika sepatutnya memasukkan komponen budaya yang cukup banyak.
Memetik kata-kata Cole Porter, “Democracy is  not leveling down, but leveling up,” Martha berhujah bahawa keunggulan budaya Amerika selalunya mengiktiraf seni berasaskan meritnya, tidak kira dari manakah seniman turun, dan untuk membolehkan hasil indah peradaban dapat dinikmati oleh semua orang.
Di peringkat global, yang sering berlaku  ialah perang budaya berbanding dengan diplomasi budaya,  yang antaranya  berpunca daripada  persaingan dalam  dunia hiburan dan  tuntutan terhadap warisan serta “harta” budaya.  Di rantau Asia misalnya, industri hiburan boleh dikatakan dikuasai oleh India dan China (khususnya Hong Kong) hinggalah Korea muncul pada awal tahun 2000-an, dengan dramanya yang hebat yang mendapat sambutan ramai, antaranya Winter Sonata. Kehadiran drama Korea membanjiri pasaran  bukan sekadar memberikan saingan yang hebat terhadap kedua-dua negara itu dalam industri berkenaan, bahkan juga membangkitkan persoalan negara manakah menguasai atau mewakili    budaya Asia.
Triandafyllidou, Calloni, dan   Mikrakis dalam “New Greek Nationalism” yang diterbitkan dalam Sociological Research Online tahun 1997,   menyerlahkan tuntutan “harta” Greece terhadap tradisi budaya tertentu, dan secara lebih khusus, hubungan antara tuntutan ini dengan ciri etnobudaya identiti nasional Greece.  Makalah itu juga mengkaji   peranan mitos politik dan budaya dalam mentakrifkan (mentakrifkan semula) identiti nasional dan dalam menandakan sempadan, simbolik, dan wilayah, antara “kita” dengan “mereka.” Seperti yang diketahui,  Greece enggan mengiktiraf negara baru itu sebagai Republik Macedonia, dengan tegas mendakwa bahawa nama dan simbol nasionalnya membentuk bahagian budaya dan identiti Greece, dan dengan itu, tidak boleh diterima. Orang Greece menganggap segala-gala “Macedonian” menjadi bahagian warisan budaya  mereka.

Kekompleksan persoalan Macedonia, bahas ketiga-tiga penulis ini adalah disebabkan terjalinnya budaya dengan isu geografi dan politik.  “Dari satu segi, wujud bahagian Greece di Macedonia yang ibu negaranya Thessaloniki dan yang membentuk bahagian integral negara Greece dan bangsa Greece.  Menurut sejarah orang Greek, penduduk wilayah itu mengenali diri mereka terutamanya sebagai orang Greece. Lagipun, wilayah itu dikenali dengan dinasti dan penyempurnaan asal usul Alexander the Great (Iskandar Agung).  Maka, orang Greece menganggap simbol, mitos, dan tradisi yang berkait dengan Alexander sebagai warisan budaya mereka.”
Sebaliknya, menurut kerajaan Skopje, tidak wujud tuntutan sejarah sedemikian tentang kerakyatan Alexander the Great; dia pastinya bukan Slav, tetapi dia juga bukan Greece atau Bulgaria dalam maksud moden konsep kerakyatan.  Justeru, semua bahagian wilayah geografi Macedonia (bekas Yugoslav, Bulgaria, dan bahagian Greece) mempunyai hak yang sama untuk merujuk kepada Alexander kerana warisan budaya dikongsi oleh seluruh wilayah itu.
“Pertikaian antara dua negara berkenaan berhubung dengan nama Republik baru itu,” tulis Triandafyllidou, Calloni, dan   Mikrakis, “merupakan sebahagian ‘perang budaya global’ bahawa dua negara bergaduh untuk mengawal simbol, tradisi, dan leluhur yang gemilang.” 
“Perang”  ini, menurut pemerhatian mereka,  “dan politik identiti yang melibatkannya kini meningkat pada tahap yang paling tinggi, iaitu diplomasi antarabangsa.” Dengan kata lain, dunia kini  bukan hanya terjebak dalam peperangan yang melibatkan tuntutan sempadan, pulau, dan perairan, tetapi juga terlibat  dalam perang budaya. 
Sesungguhnya, kita tidak perlu pergi jauh untuk menyaksikan perang budaya global yang semakin sengit, hanya memadai melihat pertikaian antara negara serumpun: Malaysia dengan Indonesia.  Pada 30 September 2009, Agence France-Presse (AFP) melaporkan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono yang ketika itu berada di Amerika Syarikat, menggesa rakyat negara itu yang berjumlah 234 juta orang,  memakai batik pada 2 Oktober, sebagai meraikan kemenangannya terhadap Malaysia dalam permusuhan yang  sengit  berhubung dengan warisan budaya.  Kemenangan ini adalah berikutan langkah UNESCO memasukkan kaedah pembikinan batik dalam senarai Warisan Budaya Tidak Ketara.  Media Indonesia dalam suasana meraikan kemenangan berhubung dengan keputusan UNESCO yang akan menjadi kenyataan, yang merupakan bab akhir percangkaran kecil dengan Malaysia yang dituduh “mencuri” apa-apa sahaja dari Indonesia: daripada batik kepada tarian kepada lagu.  Namun, Judi Achjadi, pakar batik di Indonesian Heritage Society dipetik sebagai berkata, “pengiktirafan UNESCO tentang batik Indonesia itu tidak bermakna Malaysia yang juga mempunyai tradisi dalam pembikinan batik, tidak mempunyai hak terhadap bentuk seni itu, yang tersebar merentas Asia, Timur Tengah, dan Afrika.”
Pertikaian antara Malaysia dengan Indonesia tentang warisan budaya berlaku sebelum ini, iaitu pada bulan Ogos  berikutan  salah laporan bahawa Malaysia menayangkan iklan pelancongan yang mempromosikan  tarian pendet dari Bali. “Malaysian and the Stolen Indonesian Culture,” demikian tajuk makalah Mario Rustan dalam Asia News Network/Jakarta Post  ketika tercetusnya pertikaian berhubung dengan tarian pendet pada tahun 2009.  Dakwaan bahawa budaya Indonesia dirompak oleh Malaysia kelihatan ada kewajarannya.  “Budaya yang dicuri itu,” tegas  Mario, “ialah tarian pendet dari Bali, yang tidak ada  cara sama sekali akan sampai di Malaysia menerusi budaya Melayu yang dikongsi atau menerusi kaum imigran Jawa dan Bugis. Hingga hari ini, suara yang mengutuk Malaysia masih kedengaran, dengan professor dan ahli sains politik berkata bahawa Malaysia tidak mempunyai budaya peribumi dan dengan itu, mempunyai seakan-akan  kompleks  rendah diri, justeru mencuri budaya Indonesia.”
Tarian pendet yang  gemalai dengan alunan manja gadis Bali,  berubah wajah:  Indonesia dan Malaysia terheret ke kancah persengketaan. Media Indonesia mencomotkan  Malaysia dengan  kedurjanaan, seperti yang ditayangkan pada  program berita televisyen:  “Budaya Indonesia dirompak oleh Malaysia.” Juga melalui media alternatif:  “Malaysia menuntut tarian pendet Bali sebagai budaya mereka, dan Malaysia memberi kita Noordin Mohammed  Top”  yang merujuk kepada suspek pengganas yang paling dikehendaki, ialah warga Malaysia.  “Pendet milik kami! Noordin Mohammed Top milik anda.”
Pada 12 September 2009,  dilaporkan bahawa   permusuhan tentang warisan budaya antara Indonesia dengan Malaysia berubah menjadi  buruk apabila kumpulan yang menggelarkan  diri mereka Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) sambil memegang buluh runcing dengan kepala mereka  dililit, mencetuskan ketegangan, sweeping atau menyapu warga Malaysia dengan mengadakan sekatan di Jalan Diponegoro, Jakarta. 
Walau bagaimanapun, Mario Rustan mengakui bahawa seperti yang selalu ditekankan oleh para penulis lain, “sesetengah butiran budaya, yang Indonesia dakwa ‘dirompak’ oleh Malaysia bukannya secara eksklusif milik Indonesia, seperti batik, angklung, gamelan, dan wayang.”  Yang jelas, pertikaian warisan budaya, iaitu tarian pendet, bukannya antara Indonesia, tetapi antara sekumpulan rakyat negara itu dengan Malaysia. 
Perang budaya, sesungguhnya tidak boleh diringan apabila melibatkan antara negara, seperti antara Thailand dengan Kemboja yang berebut kuil  Preah Vihear yang kini diberikan taraf Warisan Dunia UNESCO.  Pertikaian berhubung dengan warisan budaya bersama-sama pertikaian sempadan akhirnya mencetuskan peperangan antara kedua-dua negara  yang jalan penyelesaiannya boleh dikatakan semakin rumit.
Oleh sebab dari semasa ke semasa berlaku perang budaya di peringkat global, maka universalisme budaya itu sukar dipertahankan lagi.  Pastinya juga perang budaya itu dirangsangkan lagi oleh kebangkitan nasionalisme di sesebuah negara, seperti Greece yang dirujuk sebelum ini, turut membabitkan perang budaya.  Jangan terperanjat bahawa pada suatu masa kelak, perang budaya mengatasi diplomasi budaya.  Negara yang dianggap serumpun, seperti Malaysia-Indonesia,  dan negara yang bertutur  bahasa yang sama, iaitu Kanada dan Britain di satu pihak dan Amerika Syarikat di satu pihak lain, terjebak  dalam perang budaya. 
Masyarakat dunia  sering membayangkan budaya itu sesuatu yang indah,  murni, dan luhur sifatnya, tetapi hakikatnya, segala-galanya berubah.  Budaya atau secara lebih khusus warisan budaya boleh mencetuskan persengketaan  antara negara.  Selain itu, penguasaan sesebuah budaya terhadap budaya lain, meskipun budaya popular juga boleh membangkitkan penentangan daripada negara yang budayanya dikuasai itu.   
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Budaya Julai 2011.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...