Artikel Popular

Wednesday, September 21, 2011

IMF: Risiko Kemelesetan Curam Berganda

RABU,  21  September 2011
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH




Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam  World Economic Outlook (WEO) terbaharunya memberikan amaran semalam bahawa Amerika Syarikat dan zon euro berhadapan dengan risiko terjebak semula ke dalam kemelesetan, kecuali para penggubal dasar menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh dua kuasa ekonomi terbesar di dunia.

Ekonomi global, menurut IMF adalah "dalam bahaya" dan bahawa ramalannya pemulihan perlahan dan  terenjut-enjut dibahayakan lagi oleh kedalaman krisis hutang kedaulatan Eropah atau percubaan terlalu terburu-buru untuk mengekang defisit belanjawan Amerika. 

Dalam ringkasan eksekutifnya, WEO  memaklumkan bahawa aktiviti global  menjadi lemah dan menjadi lebih tidak seimbang, keyakinan jatuh dengan ketara baru-baru ini, risiko kecenderungan menurun  menjadi-jadi.  Unjuran laporan  itu menunjukkan bahawa pertumbuhan global adalah sederhana, iaitu kira-kira empat peratus sepanjang tahun 2012, daripada lima peratus tahun 2010. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar di ekonomi maju diunjurkan berkembang pada kadar anemia, iaitu kira-kira 1.5 peratus pada tahun 2011 dan dua peratus pada 2012. 

Akhbar The Guardian yang memetik WEO itu memaklumkan bahawa kadar pertumbuhan China diramalkan jatuh sedikit, daripada 9.5 peratus pada 2011 kepada sembilan peratus pada 2012, manakala India diramalkan berkembang sebanyak 7.5 pada 2012 selepas tumbuh 7.8 peratus pada 2011.  Afrika Sub-Sahara dijangkakan terus mengalami pertumbuhan yang rancak, meningkat daripada 5.2 peratus pada 2011 kepada 5.8 peratus pada 2012.  Sebaliknya, negara maju kaya diramalkan tumbuh hanya di bawah dua peratus pada 2012, cepat sedikit jika dibandingkan dengan 1.6 peratus yang IMF ramalkan  untuk 2011.

Khusus untuk United Kingdom, IMF memotong ramalan pertumbuhannya, iaitu KDNK negara itu akan berkembang 1.1 peratus pada 2011 berbanding dengan laporan WEO yang sebelum ini, iaitu April lalu, 1.7 peratus, dan sebanyak 1.6 peratus pada 2012 berbanding dengan 2.3 peratus tahun ini.  Ramalan untuk United Kingdom itu rendah jika dibandingkan unjuran untuk Jerman (2.7 peratus), Perancis  (1.7 peratus), Amerika Syarikat (1.5 peratus), dan Kanada (2.1 peratus).  Walau bagaimanapun, pertumbuhan United Kingdom pada tahun 2012 sepatutnya mengatasi Jerman dan Perancis.  IMF mengingatkan United Kingdom perlu menangguhkan jimat-cermat jika pertumbuhan terus perlahan.

Laporan IMF itu dipetik  bahawa jika bank-bank Eropah mula mengakui kemungkinan kerugian pada pegangan mereka terhadap bon Greece dan kerajaan lain, ini boleh menyebabkan dunia terjerumus ke dalam kemelesetan yang baru.

Dengan pengumuman laporan IMF itu, maka sekali lagi ekonomi tidak membawa khabar gembira, sebaliknya  terus muram.  




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...