Artikel Popular

Saturday, September 10, 2011

Perang Dingin di Laut Luas

SABTU,  10  September 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Penulisan "Laut China Selatan Bergelora" yang mendedahkan kehadiran China di laut yang strategik dan kaya dengan hasil bumi menimbulkan kebimbangan dalam kalangan negara serantau, terutamanya Filipina, Vietnam, Jepun, dan Taiwan, telah lebih bulan berlalu.   Namun, sejak itu, dari semasa ke semasa, muncul  penulisan yang membahaskan kehadiran China di rantau ini. 

Kebangkitan China sebagai kuasa ekonomi dunia dan ketenteraan mencetuskan banyak persoalan,  dari segi kestabilan seratau khususnya, dan dunia amnya.  Bolehkah China meneruskan hubungannya dengan paria antarabangsa, meskipun negara itu menjadi pemain yang bereputasi baik dalam politik global

Beijing nampaknya sedar akan kebimbangan yang semakin menjadi-jadi terhadap China, baru-baru ini menjelaskan bahawa negara itu akan mengelakkan "pencerobohan, peluasan atau peperangan," tetapi tidak mengorbankan tuntutannya terhadap Taiwan dalam usaha meredakan ketakutan terhadap  pembinaan kekuatan ketenteraannya dan sifat pendesak wilayah.  Washington dan jiran-jiran China melahirkan kebimbangan yang kian memuncak tentang tuntutan Beijing di Laut China Selatan, perbelanjaan ketenteraan dan kelengkapan teknologi tinggi baru yang termasuk kapal pengangkut pesawat yang diuji bulan lalu.

Bagi Amerika Syarikat, seperti yang dibahaskan oleh Naib Presiden, Joseph  Biden, dalam The New York Times,  kebangkitan China bukannya bermakna kojolnya negara kuasa besar itu.  Walau bagaimanapun,  Aaron L.  Friedberg yang menulis dalam akhbar yang sama, "China's Challenge at Sea" mempunyai pendirian yang berbeza bahawa usaha mengurangkan perbelanjaan ketenteraan Amerika Syarikat akan mencetuskan cabaran strategik daripada China yang kini menguasai ekonomi dunia.  Beliau mengingatkan apabila Perang Dingin berakhir, Lautan Pasifik menjadi dalam hubungan ini, tasik Amerika.  Dengan tentera udara dan lautnya yang beroperasi di seluruh pangkalan di negara yang bersahabat, seperti Jepun dan Korea Selatan, Amerika Syarikat mampu mempertahankan dan menenangkan sekutunya, menghalang bakal penceroboh, dan memastikan pelayaran selamat untuk perkapalan komersial di seluruh Pasifik Barat dan ke Lautan Hindi.
   


"Akan tetapi," tulia Friedberg, "keadaan itu mula berubah.  Pada pertengahan 1990-an, China mula meletakkan kepingan apa yang perancang Pentagon rujuk sebagai 'kemampuan antiakses.' Dengan kata lain, Beijing tidak mencuba menandingi kuasa Amerika dalam erti kata, pesawat untuk pesawat dan kapal untuk kapal, sebaliknya Beijing mencuba cara kos berkesan untuk melemahkan Amerika Syarikat."  Jelas beliau, China membina sejumlah besar peluru balisik bukan nuklear yang tidak mahal secara relatifnya, tetapi senjata itu sangat tepat, di samping membina peluru berpandu yang dilancarkan dari laut dan udara.  Senjata itu mampu memusnahkan atau melumpuhkan sebilangan kecil pelabuhan dan lapangan terbang yang Amerika gunakan untuk operasi tentera udara dan laut di Pasifik Barat dan menenggelamkan kapal selam yang senjatanya dapat sampai ke kawasan yang jaraknya beratus-ratus batu ke laut, termasuk pengangkut pesawat Amerika.


Tambah Friedberg, "masalah ini tidak boleh hanya diatasi melalui dialog.  Dasar ketenteraan China tidak mencetuskan salah faham; dasar itu merupakan bahagian strategi yang disengajakan yang negara lain kini mesti cari cara untuk melaksanakannya.  Kekuatan menghalang penceroboh; kelemahan memikat penceroboh.  Beijing akan mengutuk tindakan seperti itu sebagai provokatif, tetapi sememangnya, tindakan China yang kini membawa ancaman untuk menggugat kestabilan Asia.


Pada bulan lalu, Austin Ramzy menulis dalam Time tentang pergolakan di lautan, mengapa tentera laut China menyebabkan Asia berasa risau apabila negara itu melancarkan pengangkut pesawat, Varyag. Beliau menarik perhatian bahawa China memodenkan angkatan tenteranya, dengan perbelanjaan ketenteraan tumbuh secara purata tahunan sebanyak 15 peratus sejak tahun 2000.  Dan, selepas selama satu dekad mantera yang menyakitkan hati di Asia Timur dan Asia Tenggara, Beijing mula mengambil pendirian yang lebih agresif terhadap pertikaian wilayah.  Beberapa faktor yang mendorong Beijing mengambil pendekatan yang lebih keras, termasuk kemungkinan perairan yang dipertikaikan mungkin mengandungi rizab tenaga yang bernilai, keinginan untuk mencabar pengaruh serantau Amerika Syarikat, kemunculan pengaruh nasionalisme, dan takut dilihat lemah sebelum peralihan kepimpinan pada tahun depan.


Pertikaian terhadap perairan Asia, jelas Ramzy, menarik perhatian Amerika Syarikat apabila pada tahun lalu, Setiausaha Negara Hillary Clinton mengisytiharkan bahawa Amerika Syarikat mempunyai "kepentingan negara" dalam pelayaran di Laut China Selatan, dan menawarkan pertolongan Washington untuk menjadi orang tengah.  China memberikan respons dengan marah bahawa Amerika Syarikat mencuba untuk "mengantarabangsakan" isu yang sepatutnya diselesaikan dalam negara yang berjiran.  Beliau memetik Ian Storey, felo di Institute of Southeast Asian Studies di Singapura bahawa "hakikatnya, ketegangan yang tercetus dalam dua atau tiga bulan lalu, kemungkinan mencecah tahap tertinggi jika dibandingkan yang pernah kita alami sejak berakhirnya Perang Dingin.


Ketegangan di Laut China Selatan juga mendapat perhatian Robert D. Kaplan yang menulis makalah yang agak panjang dalam Foreign Policy keluaran September/Oktober, "The South China Sea is the Future of Conflict" bahawa abad ke-21 mentakrifkan medan peperangan adalah di laut.  Kaplan yang terkenal dengan kebijakannya membandingkan tempat dan masa memulakan penulisannya:  Eropah ialan landskap; Asia Timur ialah pandangan laut.  Di situlah letaknya perbezaan penting antara abad ke-20 dengan ke-21. 


Setelah meninjau sejarah konflik  yang berlaku di dunia, termasuk Perang Dunia Kedua dan  era Perang Dingin, Kaplan konflik di laut di rantau ini.  Asia Timur, atau lebih tepat lagi, Pasifik Barat, tulis beliau, "begitu cepat menjadi pusat baru dunia untuk aktviti tentera laut, alamat dinami perbezaan secara fundamental."


Sebagaimana dengan beberapa penulis lain, Kaplan melihat konflik di Laut China Selatan berpunca daripada lokasi dan rizab tenaga, di samping pertkaian wilayah yang kejam yang begitu lama mengelilingi perairan ini, misalnya pertikaian yang berkait dengan Kepulauan Spratly yang menjadi  tuntutan bertindih.


Sebagaimana tanah  Jerman membentuk barisan depan ketenteraan Perang  Dingin, perairan Laut China Selatan mungkin membentuk barisan depan ketenteraan abad mendatang.  Tulis Kaplan, "oleh sebab tentera laut China menjadi semakin kuat dan oleh sebab tuntutan China terhadap Laut China Selatan bercanggah dengan tuntutan negara pesisir lain, maka negara lain  ini akan terpaksa membangunkan seterusnya kapasiti tentera laut mereka.  Mereka juga akan menyeimbangkan ancaman China dengan semakin bergantung pada Tentera Laut Amerika Syarikat." 


Dari segi penglibatan Amerika Syarikat di Laut China Selatan,Kaplan menjelaskan menjamin status quo yang tidak mudah, menghedkan pencorobohan China, terutamanya kerana petanya dan berkhidmat sebagai memerhatikan diplomat dan tentera laut China.  Apa yang Amerika Syarikat sediakan untuk negara di rantau Laut China Selatan adalah kurang hakikat kebaikan demokratiknya jika dibandingkan dengan hakikat kekuatan mentahnya.  Sememangnya, benar-benar keseimbangan kuasa antara Amerika Syarikat dengan yang akhirnya memastikan Vietnam, Taiwan, Filipina, Indonesia, Singapura, dan Malaysia bebas, mampu untuk memainkan satu kuasa besar terhadap yang lain.


Meskipun Robert Kaplan mengakui  konflik ini tidak semestinya mencetuskan peperangan di rantau ini, hakikatnya beliau tidak menolak kemungkinan itu sama sekali dengan andaianya China menyerang Taiwan, atau China dan Vietnam, yang kian bersengketa terjebak dalam peperangan, seperti yang berlaku pada tahun1979 dahulu.  Beliau menarik perhatian tentang perlumbaan membina kekuatan ketenteraan yang bukan sahaja melibatkan China, tetapi juga negara Asia Tenggara.  Perbelanjaan pertahanan mereka meningkat kira-kira satu pertiga dalam dekad lalu, bahkan ketika belanjawan pertahanan Eropah merosot.  Import senjata ke Indonesia, Singapura, dan Indonesia, masing-masing  meningkat 84 peratus, 146 peratus, dan 722 peratus  sejak tahun 2000. Vietnam membelanjakan AS$2 bilion untuk kapal selam dan jet pejuang buatan Rusia baru-baru ini,  manakala Malaysia baharu sahaja membuka pangkalan kapal selam di Sabah.


Kemungkinan Laut China Selatan menjadi perairan Perang Dingin  sukar  dinafikan.  Lagipun, seperti yang pernah ditafsirkan oleh Immanuel Wallerstein, berakhirnya Perang Dingin pada tahun 1991 tidak berlaku serentak.  Di Eropah, semua negara yang dikenali sebagai komunis runtuh, tetapi di Asia, tiga negara komunis utama masih wujud, iaitu China, Korea Utara, dan Vietnam. Wujud perbezaan antara Perang Dingin di Eropah dengan Asia, jelas beliau. "Di Eropah, Perang Dingin adalah 'dingin,' tetapi agak 'panas' di Asia."


Kepanasan itu nampaknya belum reda hingga kini, dan Perang Dingin   mula beralih ke Laut China Selatan.  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...