Artikel Popular

Saturday, September 24, 2011

Asal-usul Krisis Euro: Bukan Fiskal

SABTU,  24  September  2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Paul Krugman dalam blognya memetik Kash Mansori bahawa asal-usul krisis euro bukannya berpunca daripada fiskal.  Pokok pangkal di sini ialah bahawa negara dalam zon euro tidak mempunyai alat dasar untuk mengurus imbangan bayaran mereka.  Krugman mengakui bahawa amat sukar dalam masa sebenar untuk meyakinkan orang ramai bahawa aliran masuk modal membawa ancaman, tidak kira bagaimana jelas angka kelihatan.


Mansori yang menulis dalam blognya menegaskan bahawa krisis zon euro lebih konsisten dengan pandangan punca sistemik berbanding dengan pandangan punca tempatan.  Dalam kata lain,  meskipun mereka tidak semestinya membuat keputusan yang betul setiap ketika, negara zon euro pinggir terpaksa menentang kuasa eksogen luaran, iaitu durian runtuh aliran modal dan berhenti tiba-tiba yang cenderung mengasak mereka ke kancah krisis kewangan.  Beliau mengakui bahawa sesetengah kepastiannya sepatutnya pergi ke negara yang bergelut dengan krisis itu sendiri, tetapi mesti juga diakui bahawa sebaik-baik sahaja negara berkenaan menerima pakai euro, kuasa yang paling kuat bersiap sedia untuk mencetuskan kemungkinan krisis kewangan, dan tidak dapat dielakkan sama sekali, tidak kira apakah yang kerajaan negara euro pinggir lakukan. Kelakuan tidak bertanggungjawab oleh negara pinggir tidak mencetuskan krisis zon euro; sebaliknya, tegas Mansori, mata wang bersama yang melakukannya sendiri.


Perdana Menteri British, David Cameron semasa di Ottawa dua hari lalu, dilaporkan memberikan amaran  ekonomi global staring down the barrel dan diancam oleh kegagalan para pemimpin untuk bersetuju tentang penyelesaian yang kekal untuk menstabilkan mata wang tunggal itu. 


"Pemulihan daripada kemelesetan," tegas Cameron, "untuk ekonomi maju akan menjadi sukar. Pertumbuhan di Eropah tegun, pertumbuhan di Amerika tegun."


Sejak sekian lama, amaran demi amaran tentang krisis zon euro yang berterusan boleh mengancam ekonomi global dan mengheret semula dunia ke kancah kemelesetan. Namun, yang jelas kelihatan para pemimpin zon euro, yang sepatutnya menerajui jalan keluar daripada krisis itu, seperti Angela Merkel dari Jerman dan Nicolas Sarkozy dari Perancis masih terhegeh-hegeh. Berlin dan Paris dikatakan bertungkus-lumus mencegah jangkitan, tetapi usaha Sarkozy meyakinkan Angela adalah menyembunyikan kelemahan negaranya sendiri.  Sesetengah pihak berasa prihatin bahawa Jerman terpaksa berjuang keseorangan.


Apabila keadaan semakin teruk, maka percubaan oleh para pemimpin dunia untuk mengawal kejatuhan pasaran saham global kelihatan gagal pada hari Jumaat semalam apabila saham di London dan tempat lain di Eropah diperhatikan meneruskan kejatuhan akibat ketakutan akan masalah seterusnya yang menimpa bank-bank Eropah.  Sementara indeks Purata Perindustrian Dow Jones (Dow) pada hari Jumaat semalam mengalami minggu terburuk sejak kemuncak krisisk kewangan pada tahun 2008, ditusuk oleh kebimbangan yang teruk tentang krisis hutang yang pilin dan amaran daripad Rizab Persekutuan tentang ekonomi Amerika Syarikat.  Berikutan pasaran saham global yang lintang-pukang ini, amaran sekali diberikan kepada para pemimpin Kesatuan Eropah supaya menyelesaikan krisis zon euro dengan segera, daripada Presiden Barack Obama, kepada Setiausaha Perbendaraan Amerika, Timothy Geithner kepada Canselor George Osborne.


Pengarah Urusan, Tabung Kewangan Antarabangsa, Christine Lagarde, memberitahu Eropah bahawa mereka  sekali lagi  mesti menyelamatkan bank-bank yang lemah. IMF menganggarkan bahawa bank-bank kehilangan 300 bilion euro pada tahun lalu akibat risiko yang semakin tinggi tentang  kemungkiran Greece dan negara zon euro lain yang mudah terdedah pada krisis. 


Senarai masalah  semakin panjang dan semakin bertambah, tulis Larry Elliot  bahawa  Eropah, Amerika Syarikat, dan China bergelut dengan masalah masing-masing yang menyebabkan dunia mengulangi tragedi tahun 2008.  




Apa yang diperhatikan oleh  Ha-Joon Chang lebih sebulan lalu bahawa "ekonomi dunia dalam keadaan huru-hara sekali lagi"  semakin jelas.  "Kita melihat dua minggu kejatuhan hampir universal dalam pasaran saham utama, dicetuskan oleh merebaknya krisis zon euro ke Sepanyol dan Italy, krisis fiskal yang dibuat-buat di Amerika Syarikat direka-reka oleh Republikan, dan kelembapan ekonomi di seluruh dunia.


Nouriel Roubini dan Nicolas Berggruen baru-baru ini mengingatkan supaya dihentikan keadaan serba tak kena. Hanya integrasi sepenuhnya mampu menyelamatkan Eropah.  Bagi mereka, krisis zon euro menjejaskan seluruh ekonomi global.  "Selepas banyak bulan kecelaruan ditempuhi," tulis Roubini dan Berggruen, "tetapi tidak menyelongkar akar umbi sistemik krisis ekonomi, fiskal, dan kewangan, Eropah kini pada titik hujung."  Tambah kedua-dua penulis ini, "Jika Eropah meneruskan sedikit lagi dengan status quo keadaan serba tak kena, dan bukannya membuat keputusan yang muktamad, nescaya zon euro akan berkecai dan ekonomi negara menjadi lemah."


Melihat krisis euro yang berlanjutan ini dan boleh mengheret ekonomi global ke kancah kemelesetan sekali lagi, maka seperti yang dicadangkan oleh  John Kornblum dalam The Washington Post pada hari ini, bahawa tanpa euro, kemungkinan kurang penggunaan lagak, dan Jerman tidak akan muncul sebagai penjana, seperti pada hari ini.  Akan tetapi, wujud kesan penting yang lain.  Eropah mungkin tidak menyumbang secara signifikan terhadap krisis kewangan tahun 2008.


Tindak-tanduk para pemimpin Eropah yang membiarkan krisis zon euro berlanjutan, seakan-akan mereka sudah mempunyai jawapan yang muktamad: Biarkan euro berkecai;  atau biarkan Greece tersingkir daripada zon mata wang bersama ini.  Apakah ini percaturan mereka, meskipun dunia terpaksa menanggung harga yang sangat tinggi, iaitu sekali lagi terjebak dalam kemelesetan?   

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...