Artikel Popular

Thursday, September 22, 2011

Mengaibkan Kebijakan

KHAMIS,  22  September 2011
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Sekali lagi,  bekas Perdana Menteri, Tun Dr.  Mahathir Mohamad, mempertahankan dasar tidak popularnya, iaitu  Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris ((PPSMI) yang berlegar dalam Facebook yang disebarkan oleh Mohd  Fudzail.  Mahathir  menyifatkan pihak yang menyokong dasar PPSMI sebagai “nasionalis sebenar” kerana ingin melihat Malaysia sentiasa seiring dengan kemajuan dunia.  Pendirian Mahathir  itu turut disiarkan dalam akhbar The Star hari ini.

Pelaksanaan  PPSMI pada tahun 2003, baik di sekolah kebangsaan mahupun sekolah jenis  kebangsaan,  adalah bertujuan untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris.    Setelah lapan tahun dasar itu dilaksanakan, dan begitu besar peruntukan yang digunakan, penilaian sepatutnya tertumpu pada keberkesanan dasar berkenaan.  Meskipun mungkin sesetengah pejuang bahasa pernah membangkitkan soal tersebut, ini tidak sepatutnya memesongkan matlamat sebenar pelaksanaan PPSMI.  Juga tidak boleh dipesongkan dengan hujah untuk meningkatkan penguasaan sains dan matematik, kerana ini  bukan matlamat pelaksanaannya. Justeru. sebarang usaha untuk memesongkan daripada matlamat sebenar, sesungguhnya merupakan "pelarian besar-besaran." Oleh sebab kerajaan pimpinan Mahathir ketika itu beria-ia benar melaksanakan PPSMI, tanpa mempedulikan pelbagai pandangan pihak lain, maka suatu tindakan yang jujur ialah menilai keberkesanannya dengan mengambil kira kosnya yang sebenar.    

Sidek Baba yang menulis dalam  Utusan Malaysia menganggap "golongan yang masih mengungkitkan supaya pelaksanaan PPSMI diteruskan, termasuk kelompok orang Melayu sendiri ibarat rumah siap pahat berbunyi."  Saya sendiri dalam blog ini, boleh dikatakan kerap juga membahaskan penguasaan sains,  matematik, dan pembacaan  di peringkat global yang secara keselurahan, bukan kerana penggunaan bahasa Inggeris.  Tulisan yang   agak terbaharu, "PPSMI:  Waterloo untuk Najib"  yang merujuk kepada beberapa sumber antarabangsa tentang nasib yang menimpa pelajar  Amerika dalam  bidang matametik dan pembacaan.  


Dalam membahaskan penguasaan sains, matematik, dan pembacaan, saya gemar merujuk kepada sumber antarabangsa yang dapat diperoleh dengan mudah, tetapi jarang-jarang mendapat tempat dalam media tempatan kerana tidak secocok dengan pelaksanaan PPSMI.  Yang terbaharu, tulisan E. D. Hirsh Jr., "How to Stop the Drop in Verbal Scores" yang diterbitkan dalam The New York Times.  Tulisan itu mendedahkan berita terbaharu, tetapi yang tidak memeranjatkan tentang pendidikan di Amerika Syarikat bahawa markah (scores) pembacaan dan penulisan pada SAT merosot lagi sekali. Kecekapan bahasa (language competence) dalam kalangan pelajar sekolah tinggi jatuh dengan ketara pada tahun 1970-an dan tidak pernah pulih.   Beliau yang  bersetuju dengan ahli psikologi kognitif tentang pentingnya pembelajaran bahasa kanak-kanak awal usia (umur dua hingga 10 tahun), membahaskan "Kesan Matthew"  yang berasal daripada Kitab Bible. 


Hujah Hirsch, jelas adalah untuk memastikan bahawa dari peringkat tadika dan seterusnya, setiap pelajar, dari awal lagi, memahami inti pati apa yang didengar atau dibaca.  Jika pelajar prasekolah dan tadika ditawarkan pengajaran yang cukup besar dan koheren berkait dengan dunia manusia dan semula jadi, maka keputusan atau hasilnya menunjukkan hingga lima tahun atau kemudian, mata lisan meningkat dengan ketara.  Beliau menegaskan perhatian yang diberikan terhadap isu struktur, iaitu strategi pembaharuan semasa yang menumpukan perhatian terhadap ujian, peningkatan kualiti guru, peningkatan bilangan sekolah piagam (charter school), dan perubahan lain, tidak mencukupi.


Seandainya kerajaan mengekalkan pelaksanaan PPSMI atas desakan pihak tertentu atau kerana kerajaan pimpinan Najib Razak tidak berani keluar dari ketiak Mahathir, sesungguhnya, langkah ini mengaibkan kebijakan kebanyakan rakyat Malaysia.  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...