Artikel Popular

Wednesday, September 14, 2011

Pasaran Turun Naik, Kemiskinan Meningkat

RABU,14  September
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Data ekonomi pada tahun ini boleh dikatakan tidak membawa berita gembira:  pertumbuhan lembap dan kadar pengangguran tinggi, manakala harga meningkat.  Pasaran saham dunia sejak bulan lalu terus terumbang-ambing, turun naik.  

Di zon euro, sebuah demi sebuah negara bergelut dengan krisis hutang, bermula dengan Ireland, berjangkit ke Greece, Portugal, dan Sepanyol.  Italy yang turut terjebak, terpaksa menoleh ke China untuk membantu menyelesaikan masalah tersebut.  Mungkin negara itu tidak mahu bergantung pada Kesatuan Eropah dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).  Namun, usaha Italy itu gagal meyakinkan pasaran.

Setakat Selasa semalam, pasaran masih turun naik yang berpunca daripada kekeliruan tentang usaha Perancis-Jerman untuk menyelamatkan Greece.  Meskipun pegawai Kesatuan Eropah cuba meredakan cakap-cakap tentang kemungkiran Greece, pasaran kelihatan tidak mempercayainya.

Sementara itu, di Amerika Syarikat, data terbaharu menunjukkan kadar kemiskinan meningkat kepada 15.1 peratus pada tahun 2010, meningkat daripada 14.3 peratus pada tahun 2009, meskipun kemelesetan, secara teknikal berakhir dua tahun lalu. Kadar baru ini tertinggi sejak 1993.  Sebanyak 2.6 juta orang lagi terjebak dalam kemiskinan pada tahun lalu, menjadikan jumlahnya 46.2 juta orang - bilangan terbesar sejak kerajaan mula mengesan kemiskinan pada tahun 1950-an. 

"Pendapatan jatuh, kemiskinan meningkat, perlindungan insurans kesihatan jatuh atau mendatar," Ron Haskins, felo kanan di Brookings Institution, dipetik sebagai berkata.  "Berita tentang kesejahteraa ekonomi di Amerika Syarikat tidak baik.  Semakin teruk, kemiskinan dalam kalangan kanak-kanak meningkat untuk tahun keempat berturut-turut dan pada 22 peratus lebih tinggi sejak 1993.  Kemiskinan dalam kalangan kanak-kanak adalah tertinggi daripada tahap 2010 dalam masa hanya tiga tahun sejak pertengahan 1960-an."

Kemiskinan di negara itu ditakrifkan oleh saiz keluarga dan pendapatan.  Kerajaan persekutuan menganggap keluarga seramai empat orang dengan perolehan tahunan kurang daripada AS$22,314 adalah miskin.  Pada tahun 2010, 9.2 juta keluarga hidup dalam kemiskinan, meningkat daripada 8.8 juta pada 2009.

Ekonomi yang serba-serbi muram ini pastinya menandakan bahawa perjalanan ke arah pemulihan masih jauh.  Bahkan, di tengah-tengah perjalanan itu, kemelesetan curam berganda sedang menanti.  




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...