Artikel Popular

Friday, September 23, 2011

Krisis Kapitalisme, Sosialisme yang Selamatkan

JUMAAT,  23  September 2011
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH


Pasaran menjunam, Rizab Persekutuan memberikan amaran risiko kecenderungan menurun,  Presiden Bank Dunia, Robert Zoellick berkata beliau hilang keyakinan terhadap pemulihan, dan laporan European Central Bank, sama ada euro terus hidup.  Demikian liputan langsung krisis hutang   The Telegraph.  Berikutan amaran Rizab Persekutuan, liputan berita  menunjukkan bahawa pasaran dunia menjunam. Semakin jelas bahawa ekonomi dunia perlahan dengan ketara menyebabkan pasaran saham terbenam pada hari Khamis semalam. 

Sementara itu, di Wall Street semalam, indeks Purata Perindustrian Dow Jones (Dow), menjunam lebih 200 mata sebaik-baik sahaja loceng pembukaan dibunyikan.  Pasaran seluruh dunia dilaporkan jatuh kerana tinjauan ekonomi global kelihatan semakin goyang, dengan para pelabur bimbang akan nasib bank-bank Eropah dan pertumbuhan China dan bertindak balas terhadap tinjauan muram tentang ekonomi Amerika Syarikat daripada Rizab Persekutuan.  Kemuraman pasaran menjalar dari Asia ke Eropah ke Amerika Syarikat.

Kapitalis betul-betul dalam krisis akibat krisis kewangan 2008-2009, dan nampaknya sukar untuk kapitalis untuk pulih. Yang terbaharu, Riccardo Bellofiore mengulangi penegasan dan perbahasan  krisis kapitalisme,  dengan memetik Karl Marx bahawa sejarah berulang dengan sendirinya, pertama sebagai tragedi, kemudian sebagai farsa.  Untuk Eropah, tegas Bellofiore, masalah adalah kengganan untuk pembiayaan semula, pertama Greece, kemudian Ireland, kemudian Portugal.  Bahagian mereka dalam hutang awam zon eur dengan nisbah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah rendah secara tidak munasabah:  membatalkan hutang akan kurang kesakitan.  Krisis datang kerana "pasaran" dan agensi penarafan melihat kebodohan para pemimpin Eropah yang tidak berkesan dalam usaha menyelamatkan negara yang terbeban oleh hutang, dan yang memperkenalkan program jimat cermat yang kecundang dengan sendirinya. 

Mengakui bahawa krisis dapat diselesaikan hanya dengan menangani sekali gus dengan krisis  Eropah dalam usaha menghentikan kesan domino.  Namun, hujah beliau, krisis ini bukan hanya krisis kewangan, tetapi krisis kapitalis, iaitu merupakan bahagian serangan terhadap buruh. 

Krisis kewangan yang akhirnya mendorong banyak kerajaan campur tangan, antaranya melalui pelan penyelamat dan pemiliknegaraan bank-bank, dianggap sebagai amalan sosialisme.  E.J.  Dionne Jr. yang mengakui  dalam The Washington Post semalam bahawa di Amerika Syarikat, sosialismem menyelamatkan kapitalisme.  Langkah kerajaan Amerika Syarikat menyelamatkan General Motors dan Chrysler, meskipun bukan sosialis dalam maksud klasik, bahas Dionne, merupakan sosialisme atau mungkin "kapitalisme negara" kerana kerajaan untuk sementara waktu mengambil pemilikan yang besar dalam syarikat apabila tiada sesiapa dalam sektor swasta bersedia untuk memasukkan modal yang cukup demi mencegah syarikat berkenaan daripada jatuh muflis.  Hari ini, syarikat berkenaan berkembang maju.

Selain itu, industri auto menjadi contoh bagaimana kesatuan sekerja mengambil langkah terbaik untuk menyelamatkan kepentingan anggota mereka, manakala juga memastikan kemakmuran syarikat yang mengupah mereka.

Krisis kapitalisme kian hari kian dalam yang pastinya tidak mampu diubati oleh kapitalisme itu sendiri.  Krisis kewangan 2008-2009 memperlihatkan bahawa kapitalisme kecundang dengan sendirinya. Pemusnahan kreatif yang membolehkan kapitalisme berkembang selama ini, benar-benar mengheret kapitalisme ke dalam kancah kemusnahan. Dan,   tanpa sosialisme,  kapitalisme memerlukan masa yang lama untuk bangkit semula, kalaupun tidak kojol selama-lamanya.  



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...