Artikel Popular

Monday, September 12, 2011

Akhirnya Greece Mungkir?

ISNIN,  12  September 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Setelah lebih setahun bergelut dengan krisis hutang dan pelan penyelamat pertama Kesatuan Eropah dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang bernilai 110 bilion euro masih belum memadai,  Greece kini benar-benar di ambang kemungkiran.  Pada hari ini, dilaporkan bahawa Jerman bersiap sedia untuk mengaku kalah berhubung dengan Greece, sebagai langkah dalam isyarat pasaran kredit yang semakin bimbang tentang kemampuan negara itu membayar balik hutangnya kepada para pelabur.   

Selepas hampir dua tahun  berjuang untuk mengekang krisis hutang dalam zon euro dan menyediakan peruntukan yang besar untuk tiga pelan penyelamat Eropah, Canselor Jerman Angela Merkel meletakkan kerja asas untuk apa yang pasaran katakan sesuatu yang paling pasti: kemungkiran Greece.

Pada hari ini juga, pasaran saham dunia  menjunam atas kebimbangan prospek kemungkiran Greece hingga menyebabkan saham perbankan merundum di seluruh Eropah.  Krisis kewangan yang bergelora melenyapkan 114 mata FTSE 100, dengan indeks saham blue-chip jatuh sebanyak 2.6 peratus kepada 5071 mata pada satu tahap.  Berlaku kerugian yang besar dalam pasaran Eropah, iaitu indeks DAX Jerman jatuh lebih daripada tiga peratus kepada tahap paling rendah sejak Julai 2009.  Tiga buah bank terbesar Perancis semuanya jatuh lebih daripada 10 peratus, selepas ahli politik Jerman yang kanan kelihatan menerima bahawa Greece mungkin dipaksa meninggalkan zon euro.


Phillipp Roesler, Menteri Ekonomi Jerman, dipetik sebagai berkata, "kemungkiran secara teratur" untuk Greece tidak boleh lagi dinafikan dan menganggap langkah pengurangan defisit negara itu "tidak cukup."  Ulasan beliau itu muncul selepas Menteri Kewangan Jerman, Wolfgang Schaeuble, seperti yang dinyatakan oleh Der Spiegel diminta membuat persediaan untuk kemuflisan Greece. Laporan itu menyatakan bahawa kerajaan Jerman bersedia dengan dua kesudahannya di bawah senario bahawa Greece kekal dalam zon euro atau negara itu meninggalkan zon itu dan memperkenalkan semula mata wangnya, drachma.

Tatkala dua  buah negara dalam zon euro, iaitu Ireland dan Greece bergelut dengan krisis hutang, antara kedua-duanya, mana satu negara yang memenangi perlumbaan mungkir.  Kini, semakin jelas bahawa Greece akan diisytiharkan sebagai pemenang. 








No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...