Artikel Popular

Sunday, September 18, 2011

Demokrasi yang Koyak Rabak

AHAD,  18 September 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




"Demokrasi merupakan satu cara pemerintahan yang paling buruk."  Kata Winston Churchill, seperti yang dipetik oleh Gary Hart, yang kemudian memasukkan bahagian yang melucukan yang ditambah oleh bekas Perdana Menteri British itu, "tidak ada  sebarang cara lain yang lebih baik daripada itu."  Setelah membangkitkan keterbatasan kuasa, Hart menulis:  "Sementara itu, di Washington dan Madison, dan tidak lama lagi di banyak ibu negeri  lain di seluruh negara ini, kita akan melihat demokrasi dalam tindakan dengan demonstrasi jalanan yang tidak banyak berbeza dengan yang berlaku di Kaherah di kota-kota lain. Walau bagaimanapun, demokrasi mudah apabila ekonomi berkembang.  Demokrasi  mula keriang-keriut dan retak, apabila pertumbuhan ekonomi mengecut."

Tatkala Amerika Syarikat begitu ghairah menyebarluaskan demokrasi, terutamanya di dunia Arab, satu demi satu terdedah kelemahan demokrasi, termasuk yang diamalkan di negara itu sendiri, antaranya politik wang. Dan, lebih teruk lagi, demokrasi Amerika boleh "dibeli" oleh dana asing, seperti yang didedahkan oleh Dan Froomkin dalam The Huffington Post dua bulan lalu.  "Setiap kitaran pilihan raya," tulis Froomkin, "membawa keprihatinan baru tentang kepentingan mempengaruhi pilihan raya Amerika Syarikat dan secara rahsia menyalurkan wang kepada kempen politik Amerika Syarikat."  

Jelas beliau, namun,  kerajaan dan perbadanan asing secara terbuka membelanjakan berpuluh juta dolar setahun membeli pengaruh di Washington dengan mengupah pelobi yang mempunyai hubungan yang sangat baik. Sesetengah wang itu mudah sahaja berjalan perlahan-lahan ke dalam tabung pilihan raya ahli politik menerusi sumbangan kempen yang dermawan pelobi berkenaan secara rutin lakukan untuk membeli akses dan ganjaran untuk kawan.  Beliau memetik Jon Povehouse, Profesor Sains Politik di University of Wisconsin yang menganggarkan bahawa kepentingan awam membelanjakan kira-kira AS$200 juta untuk melobi pada tahun 2008.

Roger Cohen  melalui kolumnya dalam The New York Times menulis:  "Satu misteri pada dekad pertama abad ke-21 ialah kemerosotan demokrasi.  Hal ini  bukannya  bahawa negara dengan sistem demokratik mengecil dari segi bilangan, tetapi bahawa demokrasi kehilangan serinya.  Demokrasi ialah idea tanpa cahaya.  Dan, itu membimbangkan."  Demokrasi terhakis daya tarikannya, tegas Cohen, antaranya kerana peperangan yang dilancarkan ke atas Iraq dan Afghanistan atas nama demokrasi merosakkan reputasinya.  Sementara Barat yang demokratik bergaduh, China yang tidak demokratik berkembang.  China muncul di pentas dunia menawarkan kestabilan, mengelakkan kemaraan ketenteraan, dan menghasilkan pertumbuhan tahunan  10 peratus yang negara demokrasi Barat hanya sekadar boleh bermimpi.  Selain itu, sempadan antara demokrasi dengan autoritarian menjadi semakin kabur.    Diktomi antara kebebasan dengan kekejaman tiba-tiba dianggap abad ke-20 secara ekstrem. Autoritarian baru China atau Rusia sukar untuk ditakrifkan, dan dengan itu, sukar untuk dihadapi.

Baru-baru ini, George Monbiot mendedahkan bagaimana kumpulan pemikir secara rahsia memusnahkan demokrasi.  Terdapat berbelas-belas kumpulan di United Kingdom yang menggelar diri mereka kumpulan pemikir pasaran bebas atau konservatif, tetapi mempunyai agenda konsisten yang luar biasa.  Mereka cenderung menentang undang-undang yang melindungi kita daripada bank dan perbadanan; mendesak penswastaan aset negara; menegaskan  bahawa golongan kaya sepatutnya membayar cukai yang kurang; dan untuk menghina bercurah-curah terhadap kehangatan sejagat.  Apa yang kumpulan pemikir sebut ekonomi pasaran bebas kelihatan lebih seperti program untuk kuasa korporat.  

Sementara di Amerika Syarikat, jelas Monbiot, kumpulan yang mendakwa mereka ialah kumpulan pemikir pasaran bebas terdedah sebagai kumpulan melobi korporat yang canggih, bertindak bersama-sama untuk mempromosikan pandangan orang membiayai mereka.  Kumpulan tersebut dibiayai oleh hartawan adik beradik Koch, membina dan mengarahkan gerakan Tea Party.  Adik beradi Koch dan syarikat minyak Exxon, seperti yang beliau dedahkan, juga membiayai kawanan besar kumpulan pemikir yhang secara kebetulan, semua secara serentak memutuskan bahawa perubahan cuaca buatan manusia merupakan mitos.

Pembiayaan kumpulan ini, beliau mengingatkan, "sepatutnya tidak dianggap perkara pendedahan sukarela.  Lobi korporat secara rahsia, seperti membelanjakan skandal, akan menjadi persoalan mengapa orang ramai naik meluak terhadap politik."

Sejak Pemberontakan Arab tercetus pada awal tahun ini, banyak perbincangan menyentuh   peranan media sosial, seperti Facebook, Twitter,  dan blog.  Tidak kurang juga peranan al-Jazeera yang mewarnai "jalan Arab" dan mencetuskan kebangkitan rakyat Arab.  Namun, tiga hari  lalu, Bob Cesca menarik perhatian bahawa liputan debat rangkaian  berita kabel boleh memusnahkan demokrasi. Beliau yang membangkitkan pertunjukan permainan CNN dengan menulis:  "Media berita kabel telah pergi daripada hanya merekahkan metafora  permainan dan sukan kepada menjadi permainan sebenarnya, dengan ahli politik sebagai peserta dan panel tetamu yang digilirkan tentang propagandis yang ketawa tertahan-tahan dan 'penganalisis' sebagai hakim."

Tidak syak lagi bahawa demokrasi di banyak negara, termasuk Amerika Syarikat dan Britain, manakala negara tidak ketinggalan, koyak rabak di sana sini.  Dari semasa ke semasa akan terdedah kelemahan atau keburukan demokrasi, meskipun ini tidak bermakna bahawa demokrasi sudah tiba di penghujungnya.  Seperti yang dikatakan oleh Roger Cohen bukannya bilangan negara yang demokratik semakin berkurangan, sebaliknya demokrasi hilang seri atau keceriaannya.  Demokrasi kelihatan cukup comot.   Bahkan, ada yang meragui demokrasi yang akan diamalkan di dunia Arab yang menggulingkan rejim mereka.  











No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...