Artikel Popular

Monday, September 5, 2011

Kematian Kedua John Maynard Keynes Membawa Padah

SELASA,  6  September 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


"Kita semua Keynesian sekarang,"  diperkenalkan pada tahun 1965  oleh ahli ekonomi konservatif, Milton Friedman, seperti yang dipetik oleh Time. Walau bagaimanapun, beberapa bulan kemudian, Friedman dalam suratnya kepada majalah itu menjelaskan  kenyataan asal beliau bahawa "Dari satu makna, kita semua Keynesian sekarang; dari satu makna yang lain, tiada lagi orang yang berpegang pada Keynesian." Penjelasan itu, bagaimanapun, tidak menamatkan spekulasi adakah beliau Keynesian, seperti yang pernah  dibahaskan oleh Roger W.  Garrison.  Bahkan penjelasan itu juga tidak menghalang Presiden Richard Nixon untuk mengisytiharkan pada tahun 1971, "Kita semua Keynesian sekarang."  

Krisis ekonomi yang melanda dunia antara tahun 2008 - 2009, menyaksikan kepulangan John Maynard Keynes bersama-sama Joseph Schumpeter, Hyman Minsky, Irving Fisher, dan bahkan Karl Marx.  Banyak penulisan, baik buku mahupun jurnal dan majalah yang membahaskan krisis terburuk sejak Perang Dunia Kedua, seolah-olahnya tidak sempurna tanpa memetik pemikiran ahli ekonomi British yang terkenal pada abad ke-20.  

Namun, kepulangan Keynes dengan cukup bergaya itu adalah untuk seketika kerana sejak tahun lalu, banyak negara mula melaksanakan strategi keluar dan memperkenalkan langkah jimat-cermat.  Dengan itu, mengucapkan "selamat tinggal" kepada beliau dalam erti kata bahawa pakej rangsangan ekonomi yang dilaksanakan oleh banyak negara pada tahun 2009 demi mengelakkan daripada terjerumus ke dalam Kemelesetan Besar, tidak diteruskan lagi, meskipun pemulihan masih lemah.  Seperti yang ditegaskan oleh Sean O'Grady, sekali lagi pengajaran Keynes dilupakan.  Selepas bangkit semula sekejap dengan penuh bersemangat, beliau dimasukkan semula ke dalam kotak.


Ketika banyak negara berasak-asak meninggalkan Keynesian pada tahun lalu, William Greider muncul dengan "Goodbye Keynes, Hello Hoover."  Kematian kedua John Maynard Keynes, seperti yang diperhatikan oleh Eric Alterman dalam The Nation keluaran 19 September yang boleh didapati terlebih dahulu dalam talian, apabila Presiden Barack Obama didesak supaya mengurangkan perbelanjaan domestik tahunan dan  pendanaan awam untuk faedah sosial. Republikan dikatakan membunuh ekonomi Keynesian dengan percubaan mereka memotong perbelanjaan ketika ekonomi melantun  daripada kemelesetan.

Kita tidak perlu menunggu lama untuk melihat kesan negatif akibat kematian kedua Keynes itu: pemulihan lemah, pertumbuhan rendah, pengangguran tinggi,  dan kemungkinan besar dunia terjebak semula dalam kemelesetan. Michael Spence, profesor di Stern School of Business, New York University, yang juga Penerima Hadiah Nobel Ekonomi,   memberitahu Bloomberg Television baru-baru ini bahawa wujud peluang  "kemungkinan 50 peratus" ekonomi global terjunam ke dalam kemelesetan.


Data terbaharu untuk Amerika Syarikat misalnya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tumbuh hanya satu peratus pada musim bunga, meningkatkan ketakutan terhadap kemelesetan, manakala untuk bulan Ogos, tidak ada pekerjaan baru yang diwujudkan. Pengumuman pada Jumaat lalu bahawa  guna tenaga yang  beku  menyebabkan pasaran saham sebelah menyebelah Atlantik menjunam.  Laporan itu juga membimbangkan kerana Amerika Syarikat, seperti yang ditegaskan oleh Mohamed A. El-Erian,  kini bergelut dengan kadar pengangguran yang tinggi, iaitu 9.1 peratus.  Apabila tidak ada pertumbuhan pekerjaan, maka seperti yang cuba dibahaskan oleh Stephen Gandel dalam blog "curious capitalist" seakan-akan  kemelesetan sedang menunggu negara itu. 

Seperti yang pernah dibincangkan dalam beberapa penulisan dalam blog ini pada bulan lalu, pertumbuhan ekonomi kebanyakan negara adalah lemah.  Selain Amerika Syarikat,  KDNK United Kingdom, untuk suku tahun   hanya 0.2  peratus.  Ekonominya yang lembap memerlukan United Kingdom melihat di luar zon euro untuk jalan penyelesaiannya, dengan memberikan tumpuan terhadap China, terutamanya. Sementara Eropah terpaksa bergelut dengan pengangguran yang tinggi, pertumbuhan yang perlahan, dan krisis hutang yang berterusan, dengan ekonomi Portugal, Ireland, Italy, Greece, dan Sepanyol (yang disebut PIIGS), berhempas-pulas untuk mengelakkan kemungkiran.  Namun, James Surowiecki  yang menulis dalam The New Yorker, menegaskan Eropah tidak pernah belajar daripada kesilapan apabila Bank Pusat Eropah (European Central Bank) terus bergayut pada pendekatan peningkatan kadar faedah.  




Barat kini, menurut pemerhatian John Lanchester yang menulis tentang ekonomi global dalam London Review of Books, dicengkam kuat oleh ideologi antiperbelanjaan, meskipun terpaksa bergelut dengan pertumbuhan yang lemah.  Beliau yang mengenal pasti ciri yang menonjol tentang krisis semasa ialah hutang, kegagalan politik, dan keruntuhan struktur sistem perbankan global, secara berjenaka mengesyorkan negara Barat yang mencapai pertumbuhan yang lemah agar mencontohi Belgium.  Ini kerana negara itu walaupun tidak mempunyai kerajaan sejak 15 bulan lalu, masih mencipta pertumbuhan 0.7 peratus.  "Tiada kerajaan," tulis Lanchester, "bermakna tiada sesiapa yang menyibuk akan semua kerajaan lain lakukan: tiada potongan dan tiada pakej 'jimat-cermat'.  Sektor awam Belgium berbelanja seperti biasa, dan dengan itu, meneruskan pertumbuhan ekonomi."


Lanchester yang mendedahkan kegagalan politik akan menyebabkan kedua-duanya, iaitu Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat mula menjadikan pemandangan ekonomi sezaman menyerupai ekonomi pada tahun 1930-an ketika berlakunya Kemelesetan Besar.  Memang terasa tertekan apabila melihat dunia maju bukan sahaja berjalan semasa tidur menuju kepada satu lagi kemelesetan, tetapi juga mendakap mesra dasar yang kemungkinan besar tercetusnya kemelesetan.  Beliau mengingatkan bahawa "kerajaan tidak boleh secara serentak memotong perbelanjaan, manakala pada masa yang sama meneruskan pertumbuhan ekonomi mereka."  Dengan kata lain,  pemotongan perbelanjaan akan menjejaskan pertumbuhan, dan dengan itu, "yang mana satu idaman kalbu?" Pemotongan tidak akan menamatkan krisis, demikian peringatan Michael Burke, George Irvin, dan John Weeks dua hari lalu. 


Dalam wawancara dengan Der Spiegel dua hari lalu, Christine Lagarde, Pengarah Urusan baru Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) melahirkan kebimbangan beliau tentang kemelesetan global yang baru dan menyeru negara perindustrian supaya bekerja bersama-sama  melawan ancaman kemelesetan.  Beliau memberitahu bahawa di IMF, mereka melihat,  terutamanya pada musim panas, jelas bahawa krisis keyakinan memburukkan lagi keadaan.  Langkah perlu diambil demi memastikan putaran  ganas ini pecah.  IMF juga menyeru Amerika Syarikat dan Eropah meninggalkan jimat-cermat fiskal dan beralih kepada langkah rangsangan, dengan memberikan amaran bahawa ekonomi global menghadapi "ancaman lingkaran kemerosotan."

Pandangan tersebut, tulis Ambrose Evans-Pritchard dalam The Telegraph, "membangkitkan keberangan di Berlin yang melihat IMF sebagai agen Keynesian dan kenakalan Perancis kerana Christine ialah Menteri Kewangan negara itu hingga dua bulan lalu."  

Dalam membahaskan bahawa perlunya semangat pengantarabangsaan dan rancangan untuk pertumbuhan global, Ed Balls mencadangkan dunia mesti menolak fahaman pengasingan yang bersikap berpuas hati pada tahun 1930-an dan mengikuti bimbingan Keynes, iaitu masalah global memerlukan penyelesaian global.  Keynes pernah berkhidmat sekejap sebagai penjawat awam, tetapi untuk seluruh hayatnya, beliau  memberikan nasihat kepada Perdana Menteri secara percuma.  Sebagai ahli akademik, upah yang diterimanya tidak banyak, tetapi beliau lebih memahami kuasa pasaran jika dibandingkan dengan kebanyakan peniaga di Wall Street.

Anda hanya hidup dua kali, memetik filem James Bond tahun 1967: Apakah nasib yang sama menimpa John Maynard Keynes selepas beliau dikuburkan semula?  Apakah beliau akan bangkit semula dalam masa terdekat ini sekiranya nasihat IMF yang dipetik di atas dipatuhi oleh banyak negara, iaitu meninggalkan  jimat-cermat fiskal dan merujuk semula kepada rangsangan fiskal?  

Yang pasti, semakin lama dunia bergelumang dengan kemelesetan, semakin jelas kelihatan "hantu" Keynes merayau-rayau, tetapi bukan untuk mengacau, sebaliknya untuk memberikan nasihat.  









No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...