Artikel Popular

Monday, September 19, 2011

Kemiskinan di Dunia Pertama: Amerika Syarikat

ISNIN,  19  September 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Dalam Dewan Ekonomi keluaran Julai tahun ini, melalui "Dunia dalam Kemiskinan," saya antaranya memetik Robert Zoellick, Presiden Bank Dunia, yang memaklumkan bahawa pada tahun 2010, berpuluh-puluh juta orang di Afrika dan di tempat lain akan terheret ke dalam kancah kemiskinan, meskipun dunia sedang pulih daripada krisis kewangan global.  Saya juga memetik Bob Herbert yang menulis melalui kolumnya dalam The New York Times pada awal januari tahun ini,  yang mengkritik Pentadbiran Barack Obama yang terlalu mesra dengan perniagaan besar dan bank mega, yang  boleh dikatakan kaya, yang sentiasa terus berkembang , tanpa mengira apa-apa yang berlaku terhadap ekonomi Amerika Syarikat.  Sebaliknya, boleh dikatakan golongan miskin di negara itu tidak dipedulikan.  

"Ahli politik dan media," tulis Herbert, "berkelakuan seolah-olah golongan miskin tidak wujud.  Namun begitu, dengan pekerjaan tidak munasabah yang masih kurang dan kemerosotan golongan kelas menengah, golongan miskin menjadi lebih signifikan dan merupakan segmen penduduk terdesak yang meningkat."   Beliau memaklumkan perbualannya dengan Peter Edelman, profesor di Georgetown University Law Center tentang isu yang berkaitan dengan kemiskinan, yang menyatakan bahawa bilangan orang dalam kategori teruk secara tragik meningkat lebih 17 juta orang.  Mereka terdiri daripada golongan yang cuba hidup pada pendapatan separuh di bawah garis kemiskinan, iaitu AS$22,000 setahun untuk sekeluarga sebanyak empat orang.

Kemiskinan lazimnya merupakan fenomena negara Dunia Ketiga, negara yang pernah mengalami penjajahan dan seterus mencapai kebijajahan.  Di Malaysia, seperti yang diketahui, pada tahun 1971 kerajaan melancarkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bermatlamat serampang dua mata, iaitu membasmikan kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Oleh sebab berleluasanya kemiskinan di negara ini pada suatu ketika, maka ini mengundang para sarjana tempatan dan luar negara mengkaji fenomena ini.  Bahkan, di universiti tempatan, seperti Universiti Sains Malaysia, melalui Pusat Pengajian Ilmu Kemasyarakatan, menawarkan kursus sosiologi, yang pernah saya ambil, iaitu "Kemiskinan dan Ketidaksamaan."

Untuk mengaitkan kemiskinan dengan negara maju atau Dunia Pertama, memang  sukar, meskipun disedari bahawa fenomena yang tidak diingini ini wujud di negara berkenaan.  Ketika berlaku rusuhan dan penjarahan di London dan kota-kota Inggeris yang lain pada awal Ogos lalu, antara faktor yang dibangkitkan ialah kemiskinan, walaupun keganasan itu juga berlaku di kawasan kejiranan yang kaya.  


Pada Selasa lalu, kerajaan persekutuan mengumumkan  Income, Poverty, and Health Insurance Coverage in the United States: 2010,  bahawa kadar kemiskinan di Amerika Syarikat meningkat kepada 15.1 peratus pada tahun 2010, meningkat daripada 14.3 peratus pada tahun 2009, meskipun kemelesetan, secara teknikal berakhir dua tahun lalu.  Kadar pengangguran yang baru ini tertinggi sejak 1993.  Sebanyak 2.6 juta orang lain terjebak dalam kemiskinan pada tahun lalu, menjadikan jumlahnya 46.2 juta orang, suatu jumlah terbesar sejak kerajaan negara itu mula mengesan kemiskinan pada tahun 1950-an.


Sebelum dan pada hari laporan tersebut dimaklumkan, perbincangan tertumpu pada kemerosotan dan kejatuhan kelas menengah, seperti yang dibangkitkan oleh  Michael A.  Fletcher dalam The Washington Post berdasarkan laporan terbaharu oleh Pew Charitable Trust, dan seterusnya oleh Paul Harris




Namun begitu, Katha Pollitt dalam The Nation keluaran 26 September yang boleh didapati lebih awal melalui dalam talian, cuba menarik bahawa golongan miskin di Amerika Syarikat masih wujud dan masih miskin. Beliau mempersoalkan bahawa banyak perbincangan adalah tentang "kelas menengah" yang berhadapan dengan upah yang beku, perampasan rumah, maxed-out credit cards, dan anak-anak yang masih tinggal di dalam bilik tidur mereka semasa kecil. Katha juga merujuk kepada Bob Herbert, kolumnis terakhir yang membuat liputan tentang kemiskinan secara dan dengan penuh ghairah, telah pergi. "Kegagalan untuk membincangkan golongan miskin, lelaki atau wanita, tidak bermakna bahawa mereka telah berlalu pergi.  Pada tahun 2009, kadar kemiskinan rasmi ialah 14.3 peratus, iaitu 43.6 juta orang, meningkat daripada 39.8 juta orang pada 2008.  Seorang dalam tiga orang Amerika berpendapatan rendah (di bawah 200 peratus garis kemiskinan).  Apakah jenis impian Amerika yang meninggalkan mereka tercicir?"


Berikutan pemakluman laporan yang amat tidak menyenangkan itu, John Cassidy  muncul melalui blognya  dalam The New Yorker  bahawa kemiskinan dan pendapatan Amerika merupakan empat dekad kehilangan. Bagi beliau, hal ini bahkan bukan hakikat bahawa pendapatan isi rumah median, iaitu pendapatan isi rumah dalam pertengahan agihan pendapatan, kini balik kepada tahap seperti yang pernah dialami pada tahun 1996, iaitu kira-kira AS$49,500 dari segi dolar yang diselaraskan inflasi.  Pastinya, ini fakta yang sangat membimbangkan."  Namun, beliau mengakui bahawa kebanyakan orang telah pun fahami idea bahawa kita melalui "dekad yang hilang."  Untuk mendapatkan gambaran, anda hanya melihat pasaran saham dan cek gaji terakhir anda.  Beliau menegaskan Era Keemasan telah pergi selama-lamanya, dan kelas menengah yang besar turut pergi bersama-samanya.  Bukannya silap sesiap; hanya bagaimana kapitalisme dibangunkan.  Beiau menyalahkan pembukaan pasaran Amerika kepada persaingan asing yang murah; serangan terhadap kesatuan sekerja dan undang-undang buruh; amalan meninggalkan usaha melatih (dan melatih semula) sejumlah besar tenaga kerja bukan siswazah kolej.


Senator Bernie Sanders yang menganggap kemiskinan seakan-akan hukuman mati, menulis bahawa krisis kemiskinan di Amerika merupakan satu isu moral dan ekonomi yang sangat besar yang mendepani negara Amerika.  Namun, tegas beliau, krisis ini jarang-jarang dibincangkan dalam media arus perdana.  Krisis kemiskinan ini bahkan kurang mendapat perhatian Kongres.  Mengapa orang patut peduli?  Banyak orang miskin tidak mengundi.  Mereka pastinya tidak memberikan sumbangan kewangan yang besar untuk kempen, dan mereka tidak mempunyai pelobi yang kuat yang mewakili kepentingan mereka.


Sementara Robert J. Samuelson melalui kolumnya dalam The Washington Post  menjelaskan bahawa pendapatan dan  kemiskinan  Amerika tersekat dalam perangkap pesimisme Kemelesetan Besar.  Kedua-duanya bergerak ke arah yang bertentangan, iaitu pendapatan isi rumah median merosot, manakala kemiskinan meningkat.  Daripada sekadar angka, mesejnya kelihatan seperti yang berlaku sebelum ini, iaitu kemelesetan membawa kesan yang sangat teruk.  Pengangguran yang tinggi, seperti yang dibahaskan oleh beliau, memburukkan lagi keadaan.




Amerika dari segi koefisien Gini, yang mengukur ketidaksamaan agihan pendapatan, dipercayai hampir dengan Rwanda. Di sebalik statistik kemiskinan itu, ulas The Huffington Post, ialah kehidupan sebenar dan kesakitan sebenar.


Sesungguhnya, angka terbaharu tentang kadar kemiskinan di Amerika Syarikat tidak memeranjatkan:  pertumbuhan yang lemah, iaitu kurang dua peratus,  pengangguran yang tinggi, iaitu 9.1 peratus, dan jurang agihan pendapatan yang semakin melebar.


Mengulangi semula apa yang pernah dikatakan sebelum ini, "Uncle Sam, anda benar-benar republik pisang."

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...