Artikel Popular

Tuesday, September 6, 2011

Badai Semalam: Takut

SELASA,  6  September 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH






Takut, tegas Immanuel Wallerstein dalam komentarnya lebih setahun lalu, bukan tidak rasional.  Takut adalah akibat krisis struktur sistem-dunia.  Takut tidak boleh diselesaikan dengan band-aids yang kerajaan gunakan untuk merawat penyakit serius yang kita hadapi hari ini.  Apabila naik turun terlalu besar dan terlalu pantas, tiada seorang pun yang dapat merancang secara rasional.  Justeru, orang ramai tidak lagi bertindak sebagai pelaku rasional dengan menggunakan budi bicara dalam ekonomi-dunia yang normal secara relatif. Dan, ini merupakan darjah ketakutan yang memuncak adalah bahawa realiti fundamental era kini.

Sejak krisis ekonomi yang berlaku sejak tiga tahun lalu, takut sentiasa menghantui orang ramai di mana-mana sahaja.  Pernah dikatakan bahawa manusia mengambil masa lima minit untuk berasa takut, tetapi memerlukan masa yang lama untuk pulih daripada ketakutan.  Isnin semalam, pasaran saham Eropah menjunam lagi kerana amaran krisis yang lebih luas merebak dalam sektor kewangan di rantau itu dan keraguan yang menjadi-jadi tentang keupayaan ahli politik zon euro untuk bertindak secara berkesan.  

Kemerosotan ekonomi di Eropah, menurut The Washington Post, rantau yang banyak menampung perdagangan dunia akan merosakkan rantau itu sendiri.  Akan tetapi, krisis kewangan  dalam erti kata yang sebenar di Eropah boleh memberikan impak kemusnahan terhadap kedua-dua belah Antlantik.  Sistem kewangan Eropah dan Amerika Syarikat berjalin rapat, dalam erti kata bahawa kegagalan bank utama dan kehilangan keyakinan di sebuah kawasan boleh menggoncangkan seluruh sistem.

Semalam juga menyaksikan 49 bilion  paun sterling lesap dari segi nilai saham utama  United Kingdom berikutan kebangkitan semula ketakutan terhadap kestabilan ekonomi British dan kebimbangan terhadap nasib bank-bank British didakwa oleh pengawal selia Amerika Syarikat.  Indeks FTSE 100 dilaporkan jatuh sebanyak 3.6 peratus, iaitu sebanyak 189.45 mata kepada 5102.58 mata selepas keyakinan para pelabur dikejutkan oleh kejatuhan yang tidak dijangkakan dalam pertumbuhan sektor perkhidmatan bulan Ogos.   Kejatuhan nilai saham yang sangat besar di United Kingdom itu dikaitkan dengan ketakutan terhadap kemelesetan curam berganda.

Para pelabur di seluruh Eropah juga dalam sentimen berhati-hati yang menyaksikan indeks utama di Jerman,  Perancis, dan  mengalami kejatuhan  yang teruk, iaitu lima peratus kerana ketakutan terhadap pelan penyelamat yang baru dan kemelesetan.  Bank-bank yang menjadi tumpuan penjualan dalam pasaran saham di seluruh Eropah kerana kebimbangan tentang pertumbuhan global dan krisis hutang zon euro menghantui semula para pelabur.

Josef Ackermann, Ketua Pegawai Eksekutif Deutsche Bank, dalam persidangan di Frankfurt, memberikan amaran tercetus semula krisis kewangan.  Turun naik pasaran semasa meningatkan beliau akan hari-hari sebelum runtuhnya Lehman Brothers pada September 2008.  Beliau juga mengkritik Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang mendesak permodalan semula mandatori bank-bank Eropah adalah "tidak membantu."

Amerika Syarikat yang cuti umum Hari Pekerja terselamat daripada badai semalam.  Sementara itu, Presiden Barack Obama dalam rapat umum Hari Pekerja di Detroit memaklumkan  bahawa beliau tidak akan menunggu Kongres untuk meluluskan pelan pekerjaan yang beliau akan perkenalkan.  Pelan yang beliau akan cadangkan itu akan menunjukkan, sama anggota Republikan dalam Kongres "boleh meletakkan kepentingan negara mendahului kepentingan parti."

Seperti yang dinyatakan dalam penulisan sebelum ini, Amerika Syarikat mengalami kadar pengangguran yang teruk, iaitu 9.1 peratus, dan pada Jumaat lalu diumumkan bahawa tidak ada pekerjaan baru untuk bulan Ogos.  Angka yang suram ini mengundang Paul Krugman melalui kolumnya dalam The New York Times muncul dengan  "gangguan yang membawa padah."  Hal ini demikian, kerana sejak fasa krisis kewangan yang runcing berakhir, perbincangan dasar di Washington bukannya dikuasai oleh pengangguran, tetapi oleh dakwaan bahaya yang dihadapi oleh defisit belanjawan.  Cerdik pandai dan organisasi media menegaskan bahawa risiko yang paling besar yang Amerika hadapi ialah ancaman bahawa para pelabur akan menarik palam pada hutang Amerika Syarikat.  Justeru, beliau berharap demi kepentingan negara, dan terutamanya berjuta-juta orang Amerika yang menganggur yang peluang mereka untuk mendapatkan pekerjaan lain agak tipis, Presiden Obama melaksanakan rancangan untuk mewujudkan pekerjaan.

Tatkala ketakutan kian memuncak, Eropah, seperti yang dinyatakan oleh bekas Canselor Jerman, Gerhard Schroder dalam wawancara dengan Der Spiegel, perlu dikejutkan daripada tidur.  Sementara editorial The Guardian mencadangkan bahawa untuk menyelamatkan ekonomi global, para pemimpin dunia perlu sama-sama menggembleng tenaga.  Akan tetapi, ahli politik hari ini, sebagaimana mereka pada tahun 1930-an, terlalu leka dengan kekhuatiran parokial  untuk mengambil pandangan global.

Bilakah badai yang sentiasa menakutkan, baik  dalam dunia pekerjaan mahupun dalam pasaran saham akan reda, sememangnya sukar diramalkan.  Yang jelas,  kemungkinan besar  dunia terjebak dalam kemelesetan semula atau kemelesetan  curam berganda.  




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...