Artikel Popular

Wednesday, September 7, 2011

Penarafan Universiti Mengarut?

RABU, 7  September 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Cerita penarafan universiti belum lagi reda.  Beberapa akhbar hari ini menyiarkan komen atau pandangan tersebut daripada  Menteri Pengajian Tinggi dan seorang Naib Canselor yang "syok sungguh" terhadap penarafan universiti.  Barangkali Naib Canselor berkenaan,  siang malam, makan minum,  duduk terbayangkan penarafan universiti.

Baru-baru ini,  QS World University Rankings 2011/12 menyenaraikan University of Cambridge menduduki tempat pertama, diikuti oleh  Harvard Univeristy dan Massachusetts  Institute of Technology (MIT), Yale University, University of Oxford, dan seterusnya.  

Walau bagaimanapun, David Blanchflower yang menulis dalam New Statesman dua hari lalu, mempersoalkan penarafan tersebut, dan bagi beliau, University of Cambridge  bukannya universiti terbaik di dunia.  Selepas menyenaraikan 20 buah universiti terbaik, bermula dengan University of Cambridge dan berakhir dengan University of Edinburgh, Blanchflower menegaskan:  Penarafan ini karut sama sekali dan tiada siapa pun patut mempercayainya.  Keputusan itu berdasarkan pengkaedahan yang benar-benar cacat yang mengurangkan penekanan terhadap kualiti penyelidikan dan memberikan lebih penekanan terhadap perkara remeh  (fluff). 

Beliau memperincikan peratusan yang menjadi asas penarafan tersebut:  40 peratus - reputasi akademik daripada kajian global, 10 peratus - daripada reputasi majikan, 20 peratus - daripada petikan oleh fakulti, 20 peratus - daripada nisbah pelajar dengan fakulti, lima peratus -   perkadaran pelajar asing, dan lima peratus - perkadaran fakulti asing.

"Pengkaedahan ini,"  bahas Blanchflower, "direka bentuk untuk mengurangkan penekanan terhadap prestasi universiti-universiti Amerika Syarikat yang cenderung tidak mempunyai perkadaran tinggi pelajar asing atau fakulti asing, tetapi siapa yang peduli?"  Memang tidak jelas, sama memiliki lebih banyak pelajar dan fakulti asing, bahkan mempunyai penarafan positif (italic oleh beliau sendiri); kurang perkadaran itu kemungkinan lebih baik.  Justeru, fakulti United Kingdom semua berkata mereka seronok, tetapi itu tidak mengukur kualiti munasabah."

Setelah mengkiritk pengkaedahan yang digunakan, Blanchflower beralih penarafan yang disediakan oleh  University of Shanghai yang menurut beliau, lebih realistik, yang menarafkan kualiti dan kuantiti output penyelidikan  fakulti, di samping penerimaan Hadiah Nobel dan medal lapangan yang diterima oleh kedua-duanya, iaitu fakultinya dan alumni dengan banyaknya.

Bagi beliau, pengkaedahan yang digunakan dan penarafan  oleh University of Shanghai adalah lebih boleh dipercayai, yang meletakkan Cambridge di tangga kelima dan Oxford di tangga ke-10, dan hanya dua buah universiti United Kingdom tergolong dalam senarai 20 terbaik.

Bagi ahli akademik dan cerdik pandai yang asyik bercakap tentang penarafan universiti kita, mereka sepatutnya meneliti penulisan David Blanchflower ini.  Beliau tidak mudah "menuai" keputusan penarafan, sebaliknya beliau menganalisis secara kritis pengkaedahan yang diterima pakai oleh kedua-dua penarafan tersebut.   Jangan kerana terlalu "syok" terhadap penarafan, "kera di hutan disusukan," iaitu mengutamakan pelajar asing yang bagi Blanchflower, impak kehadiran mereka hampir sifar.








No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...