Artikel Popular

Friday, September 9, 2011

Politik Paria

JUMAAT, 9  September  2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


                                                             Jane  Harman 

Dalam Newsweek keluaran 15 Ogos baru-baru ini, bekas anggota Kongres, Jane Harman melahirkan rasa terkejut melihat disfungsi dalam Kongres.  Dalam "Escape From the Asylum," beliau menulis melihat krisis hutang Amerika Syarikat, timbul rasa kepingin terhadap era dwipartisan.  Beliau memberitahu banyak orang bertanya kepada beliau bila dan mengapa Kongres menjadi pecah-belah.  "Kemusnahan ini bermula pada tahun 1980-an apabila ahli politik mula menilai kemenangan pilihan raya dan membina majoriti parti tunggal mengatasi tanggunjgawab tadbir urus.  Jelas Jane, kini Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Woodrow Wilson International Center for Scholars, "kini, anggota perwakilan akan menyalahkan orang lain kerana tidak menyelesaikan masalah dan bukannya bekerja bersama-sama dengan mereka berasaskan penyelesaian dwipartisan.  Bekerja bersama-sama memerlukan perkongsian kredit, tetapi mungkin memberi parti  lain peluang untuk menang, iaitu  sesuatu tidak boleh difikirkan sekarang.  

Jane membangkitkan apa yang berlaku dalam krisis siling hutang baru-baru ini.  "Memberikan pujian kepada Presiden Barack Obama kerana mencari jalan penyelesaian secara tolak ansur boleh membantu beliau untuk dipilih semula sebagai Presiden, dan hal ini tidak mudah diterima oleh sesetengah anggota Republikan, yang berminat menjatuhkan beliau, biarpun ekonomi negara kita dan kedudukan  di dunia merupakan  kerosakan kolateral."

Meskipun beliau tidak dapat menyembunyikan perasaan kekecewaannya terhadap apa yang berlaku dalam politik negaranya yang seakan-akan setaraf dengan politik negara Dunia Ketiga,  beliau masih lagi menulis secara sopan,  tertib, dan tidak memperlihatkan kemarahan.  Beliau tidak seperti Erick Erickson yang pernah mencatatkan  bahawa Barack Obama adalah kini paria sosial dan kebanyakan anggota Demokrat dan beliau sendiri tahu akan hal ini.

Pastinya, apa yang berlaku dalam politik Amerika Syarikat, seperti yang dikesali oleh Jane Harman itu, boleh dikaitkan dengan pemerhatian Joel Klein dalam Time kira-kira empat tahun lalu bahawa organisasi sederhana yang paling berkuasa dalam kedua-dua parti menjadi paria.

Politik paria tidak hanya berlaku di Amerika Syarikat, kerana seperti yang pernah dibahaskan oleh Peter Mair lebih 10 tahun lalu, wujud di negara Eropah Barat.  Hingga berakhirnya Perang Dingin, tulis Mair, "kebanyakan negara Eropah Barat mengamalkan bentuk politik paria, dengan dua set parti pada amnya diketepikan daripada arus perdana.  Dari satu  pihak  spektrum politik ialah komunis.  Satu  pihak politik lagi ialah pewaris fasisme pratahun 1945. Satu parti ialah Italian Social Movement, yang secara tetap memenangi kira-kira enam peratus undi, tetapi secara konsisten diketepikan daripada perkongsian kuasa dalam pakatan tengah-kanan yang memerintah Italy dari tahun 1950-an hingga 1980-an. Neofasis dipinggirkan di Jerman Barat pada tahun 1960-an, sebagaimana populis yang lebih moden yang kelainan daripada kanan melampau yang muncul di Denmark dan Norway pada tahun 1970-an.

Walau bagaimanapun, jika dirujuk kepada pemikiran politik Hannah Arendt, konsep paria merupakan sesuatu yang positif, yang berbeza sama sekali dengan tanggapan umum.  Hannah membezakan tanggungjawab politik dengan tanggungjawab paria.  Tanggungjawab politik merupakan tanggungjawab bersama, manakala tanggungjawab paria yang berbeza daripada tanggungjawab jenayah kerana alasan yang jelas bahawa orang paria, menurut takrif, tidak ikut serta dalam tanggungjawab politik.

Lain padang, lain belalang; demikian juga dengan pemahaman dan amalan  tentang politik paria.  Jika kita melihat dalam konteks politik negara sekarang, maka boleh dikatakan bahawa politik paria cukup buruk, sangat comot.  Politik yang  tidak ada kelas sama sekali.  Politik yang cuba mengheret masyarakat kembali ke  Zaman Batu. Politik paria yang sarat dengan gembar-gembur, bergelora dengan kebencian, bergelumang dengan kejahilan, dan bercelaru dengan kebodohan.  Politik yang menjulang kejahatan dan kecelakaan.









No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...