Artikel Popular

Tuesday, September 20, 2011

Menanti Kelahiran yang Sukar

SELASA, 20   September 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Penyelesaian sebuah negara atau dua buah negara sering menjadi persoalan  terhadap masalah Palestin.  Rakyat Israel dan rakyat  Palestin mesti saling wujud secara aman dan akhirnya membenarkan pergerakan bebas orang ramai dan barang antara kedua-dua belah pihak, tulis Alon Ben-Meir dalam The Huffington Post, menjelaskan pendiriannya tentang konflik Israel-Palestin yang mencetuskan kekeliruan dan kontroversi. Beliau yang menentang penyelesaian sebuah negara, menegaskan bahawa rakyat  Palestin tidak akan menewaskan tentera Israel dan Israel tidak akan berjaya mengekalkan dan menguasai rakyat Palestin. Beliau membangkitkan bahawa Israel diwujudkan sebagai tempat perlindungan terakhir untuk orang Yahudi.  Israel kekal bebas, merdeka, dan demokratik. Israel boleh, sesungguhnya mesti, mengekalkan jati diri nasional orang Yahudi di negara itu menerusi majoriti orang Yahudi yang berkekalan.  Bagi beliau, hanya cara wawasan ini boleh dicapai ialah pewujudan penyelesaian dua buah negara, iaitu negara Yahudi dan negara Palestin.


Namun, Michael A.  Cohen yang menulis dalam Foreign Policy mengingatkan agar difikirkan semula tentang penyelesaian dua negara kerana setiap orang tahu bahawa Palestin yang merdeka, sebelah menyebelah dengan Israel, sukar berfungsi sekarang juga, bahkan lebih tiada harapan daripada yang mereka fikirkan. Justeru, bagi beliau, penyelesaian sebuah negara merupakan alternatif.  Undi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang akan datang mungkin mempunyai impak terhadap hubungan diplomatik antara kedua-dua belah pihak, dan mungkin semakin mengasingkan Israel di peringkat antarabangsa, tetapi tidak semestinya membawa banyak perubahan realiti di "padang."  Akibatnya adalah bahawa, terutama oleh kuasa berasa malas, rakyat Israel dan Palestin menjurus kepada penyelesaian sebuah negara.


Dengan nada yang keras, Efraim Karsh membahaskan bahawa tidak wujud negara Palestin dan tidak layak diberikan taraf negara.  Enam puluh empat tahun selepas penubuhan negara Israel, tegas beliau, masyarakat Palestin kelihatan tidak membuat persediaan yang lebih baik untuk taraf negara.  Dan, PBB akan melakukan penganiayaan yang teruk terhadap rakyat Palestin dengan menerima Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang korup dan disfungsi sebagai anggota yang terbaharu.  Selain membangkitkan tragedi yang menerima rakyat Palestin di bawah dua pemimpin yang menentukan pembangunan negara pada abad ke-20, iaitu Hajj Amin Husseini dn Yasser Arafat, Karsh mengingatkan bahawa pendudukan Israel di Tebing Barat dan Gaza ketika perang tahun 1967 meletakkan asas untuk masyarakat sivil Palestin; di samping meningkatkan taraf hidup mereka,   wilayah itu menjadi ekonomi yang berkembang pantas keempat di dunia, dan meningkatkan jangkaan hayat.


Sejak awal bulan ini, banyak tumpuan diberikan terhadap langkah Palestin untuk  mendapat pengiktirafan sebagai sebuah negara.  Minggu ini, PBB  dijangkakan mengalu-alukan anggota baru, iaitu negara Palestin. Sekali lagi, PBB menjadi pentas tengah untuk konflik Israel-Palestin yang tidak pernah reda.  Perjuangan untuk tanah, tegas Colum Lynch, antara orang Arab dengan orang Yahudi berpanjangan dalam sejarah 66 tahun PBB, tahan lebih lama daripada krisis politik utama lain pada abad ke-20, dari pengakhiran era kolonial dan Perang Dingin ke gangguan genosid moden di Eropah, Asia, dan Afrika.


Kepimpinan Palestin  kini memperlihatkan pendirian bahawa mereka ingin mendapat keanggotaan penuh PBB menerusi  Majlis Keselamatan berbanding melalui Perhimpunan Agung PBB.  Pegawai kanan Pihak Berkuasa Palestin (PA) percaya mereka memperoleh sokongan daripada negara yang cukup untuk meluluskan resolusi dalam Majlis Keselamatan PBB untuk mengiktiraf negara Palestin.  Wakil Rusia ke PBB berkata Moscow akan menyokong usaha Palestin untuk mendapatkan taraf negara di PBB. Menurut perhitungan David Bosco pada 16 September lalu, Palestin dijangkakan memperoleh sokongan daripada tujuh negara anggota tetap Majlis Keselamatan, lima negara mungkiin  berkecuali, dua negara  mungkin menentang, dan satu negara, iaitu Amerika Syarikat pasti menentang. 

Sementara Turki yang semakin  berang terhadap Israel menyatakan secara terbuka bahawa negara itu menyokong usaha Palestin itu.  Arab Saudi pula, seperti yang dilihat dalam makalah Turki al-Faisal, yang pernah berkhidmat sebagai ketua agensi perisikan Saudi dan bekas duta ke Amerika Syarikat, seakan-akan memberikan kata dua jika Amerika Syarikat menggunakan kuasa veto, "Arab Saudi tidak lagi mampu bekerjasama dengan Amerika dengan cara yang sama yang pernah berlaku dari segi sejarah.

Untuk Eropah, benua itu dicadangkan mengatakan "ya" terhadap usaha Palestin kerana tidak selalunya Eropah mempunyai peluang untuk memainkan peranan di pentas dunia.  Akan tetapi, oleh sebab Palestin mendesak pengiktirafan sebagai negara di PBB, maka Kesatuan Eropah mendapati dirinya cuba dipujuk oleh setiap pihak, dan dengan itu, lebih berpengaruh terhadap proses Timur Tengah jika dibandingkan dengan mana-mana masa sejak Perjanjian Oslo.

Cabaran yang paling besar yang pernah dihadapi 27 buah negara anggota Kesatuan Eropah, tulis Martti Ahtisaari dan Javier Solana, mewakili barisan yang bersatu.  Wujud 10 alasan yang mendorong untuk mereka bergabung keliling undi "ya"  dan memastikan pendekatan dua negara untuk keamanan Timur Tengah hidup.  "Undi kritikal kemungkinan di Perhimpunan Agung, tentang resolusi untuk meningkatkan gred status Palestin daripada pemerhati kepada negara bukan anggota.  Palestin kemungkinan memperoleh undi majori, tetapi apa yang menjadi lebih penting daripada keputusan undi ialah saiz dan komposisi."  Walau bagaimanapun, Kesatuan Eropah dikatakan masih berbelah bahagi dan belum memutuskan, sama ada menyokong Palestin ataupun sebaliknya.

Akhbar  The Observer  dalam editorialnya menyatakan negara Palestin merupakan hak moral  dengan mengimbas semula proses kewujudan negara Israel:  kelulusan Resolusi 181 di Majlis Keselamatan yang menyokong kewujudan negara Yahudi di Palestin yang disekat, perisytiharan negara itu oleh David Ben-Gurion dan majlis orang Yahudi di museum Tel Aviv pada 14 Mei 1948; pengiktirafan negara Israel pada petang itu Presiden Truman  dari Amerika Syarikat dan oleh Kesatuan Soviet beberapa hari kemudian.

Lebih enam dekad kemudian, tulis editorial itu, orang Palestin yang pada mulanya enggan menerima rancangan pemecahan PBB dalam keadaan baru itu, memohon pengiktirafan yang sama, pertama di hadapan Majlis Keselamatan, untuk negara mereka sendiri berasaskan sempadan tahun 1967 yang bebas daripada pendudukan dan penempatan oleh setengah juta orang penduduk Israel, mampu menentukan hal ehwal mereka sendiri. "Idea tentang negara Palestin sepatutnya tidak kontroversi."  Negara Palestin yang sebenar dan angin segar sedang meniup di Timur Tengah, satu yang dengannya  Amerika Syarikat perlu kemukakan terma. Selepas 18 tahun gagal dalam proses perdamaian, PA pergi ke PBB minggu ini dan memohon supaya diterima sebagai negara anggota.


Palestin nampaknya nekad untuk mendapat pengiktirafan itu, meskipun terpaksa menerima tekanan yang berat daripada Washington menangguhkan percubaan taraf negara itu, dengan Israel dan Amerika Syarikat menegaskan bahawa hanya perbincangan langsung dapat mencapai perdamaian.  Akan tetapi, Palestin dipetik sebagai berkata bahawa 20 tahun rundingan yang intensif, impian untuk negara merdeka tidak menjadi kenyataan, dan percubaan yang berjaya itu meletakkan mereka lebih bertaraf yang sama untuk perbincangan masa depan dengan Israel. Para perunding Palestin, seperti yang dilaporkan oleh guardian.co.uk, menuduh Washington gagal menawarkan langkah yang mungkin menjerumuskan krisis diplomatik  berhubung dengan pengiktirafan PBB terhadap negara Palestin. 


Dengan pendirian Amerika Syarikat yang pasti memvetokan taraf negara Palestin dan tindakan itu dilihat sebagai mengaibkan Presiden Obama kerana beliau pernah berjanji tidak akan menggunakan veto seperti yang presiden sebelum beliau lakukan, dan pastinya menjejaskan sokongan terhadap beliau di negara Arab. Presiden Obama menyatakan pendirian yang jelas bahawa beliau akan memvet resolusi itu, tetapi pegawai Rumah Putih dan Eropah cuba mengelakkan pertembungan diplomatik yang pasti berlaku, dengan memberikan amaran, boleh menyahstabilkan seterus di  wilayah itu.  Kedua-dua pemimpin, iaitu Israel dan Palestin tidak mempedulikan amaran itu.  


Berlaku pertikaian lidah, catat Daniel Politi, antara Presiden PA, Mahmoud Abbas dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. Politi menjelaskan bahawa sebaik-baik sahaja Amerika Syarikat menggunakan kuasa veto, pihak Palestin boleh pergi ke Perhimpunan Agung untuk undi yang tidak memberikan keanggotaan penuh, tetapi meningkatkan gred statusnya kepada "negara pemerhati bukan anggota."  Jika Amerika Syarikat terpaksa menggunakan kuasa veto, ini boleh memberikan tamparan terhadap usaha Obama untuk menempatkaan dirinya pada pihak penunjuk perasaan di seluruh dunia Arab.


Langkah Palestin untuk membawa isu taraf negara  ke PBB, seperti yang dikatakan  benar-benar menguji keterbatasan pengaruh Amerika Syarikat di Timur Tengah, termasuk dengan sekutunya di wilayah itu, Israel.  Amaran Obama bahawa Amerika Syarikat akan menggunakan kuasa  veto dengan harapan untuk memujuk Israel dan Palestin meneruskan rundingan perdamaian, bukan sahaja tidak dipedulikan oleh kepimpinan Palestin yang  berasa mereka dikhianati oleh Pentadbiran Obama, tetapi juga tidak dipedulikan oleh kerajaan Israel. Dengan membawa kes Palestin itu ke PBB, Mahmoud Abbas dilihat sebagai menentang kedua-duanya, iaitu Amerika Syarikat dan Israel.  "Apa yang menunggu Obama di PBB, The Huffington Post mengingatkan, "ialah hampir kepada mimpi ngeri diplomatik yang mungkin mengasingkan Amerika Syarikat, Kongres yang marah, perpecahan Timur Tengah yang lebih dalam, dan menggerhanakan agendanya yang seterusnya."  Detik Timur Tengah! 




Pendirian Pentadbiran Obama dan Kongres yang menentang langkah Palestin, menurut pemerhatian James Zogby boleh mencetuskan pertembungan dengan pendapat awam Arab.  Beliau berpendapat desakan Kongres kerana takut akan AIPAC membalas dendam supaya Amerika menghentikan bantuan terhadap PA, sememangnya kurang bijak.  Beliau menarik perhatian tentang tinjauan pendapat paling di seluruh dunia Arab yang menunjukkan kedudukan Amerika Syarikat pada tahap paling rendah.  "Akan wujud akibat kerana Palestin penting dan pendapat Arab penting.  Dan, dalam konteks,  Pemberontakan Arab, mereka lebih penting lagi berbanding dengan sebelum ini."  



Dengan tunduk pada penentangan "J Street," iaitu orang Yahudi liberal sebagai alternatif kepada AIPAC, terhadap percubaan  Palestin itu,  tulis Tom Hayden, "Amerika Syarikat semakin terasing."  Beliau juga mengingatkan Pemberontakan Arab yang mengubah dinamik yang berkekalan. Pada sebelah Arab, tiada lagi negara yang akan menjadi sekutu Israel dalam menutup aspirasi Palestin, seperti yang pernah dilakukan oleh Mesir.  Langkah Palestin itu bukan sahaja menyebabkan Amerika Syarikat terasing, tetapi juga Israel, seperti yang dibahaskan  oleh  Karl Vick dalam Time keluaran 26 September yang diperoleh lebih awal dalam talian.  Israel dalam tindak balasnya, mengugut untuk mengambil langkah menghukum, termasuk menahan hasil kastam yang dikutip bagi pihak PA, yang bernilai kira-kira 69 juta paun, yang dihantar setiap bulan mengikut terma Perjanjian Oslo.  Tindakan Israel ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan diplomat Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah kerana ini boleh menyahstabilan PA dengan teruk, dan bahkan kemungkinan menyebabkan PA runtuh.




Langkah Palestin itu, seperti yang diperhatikan oleh Marc Ginsberg, tidak membuahkan hasil.  Jelas bahawa tegas beliau,  "majoriti   Palestin berkongsi penilaian saya dan tidak menyokong resolusi PBB" merujuk tinjauan bahawa 60 peratus rakyat Palestin di Tebing Barat menentang hala tuju Mahmoud Abbas, mengutamakan diteruskan semula rundingan langsung.  Jelas bahawa majoriti Palestin lebih tenang daripada pemimpin mereka.  Mereka mengetahui semua dengan terlalu baik apakah yang berlaku kelak.  Perisytiharan satu pihak taraf negara merupakan bahana untuk malapetaka kewangan.  Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah, yang merupakan sumber utama pendanaan Palestin terpaksa memotong semua bantuan.


Di tengah-tengah keghairahan Palestin ke PBB untuk memperoleh taraf negara, Mehdi Hasan mengingatkan bahawa mereka terjebak ke dalam perangkap yang dipasangkan oleh mereka sendiri. Dengan apa yang disebut "proses perdamaian" tidak tahu ke mana perginya, dan dengan bilangan penempatan Israel semakin meningkat, undi PBB merupakan tindakan keadaan terdesak, dan bukannya kekuatan, pada pihak kepimpinan Palestin.  Risiko adalah tinggi, manfaat sedikit dan jauh antara.


Dua bulan lalu, Adam Shatz yang menulis dalam London Review of Books menegaskan penyelesaian tiada negara dengan membangkitkan perhatian rakyat Palestin yang sangat rapat berbanding dengan orang lain di dunia Arab ketika revolusi di Tunisia dan Mesir.  Pertama, emosi yang mereka alami adalah rasa tidak percaya; kedua, terutamanya apabila mereka bendera Palestin dikibarkan di Dataran Tahrir adalah berasa lega bahawa mereka tidak lagi keseorangan.  Beliau seolah-olahnya membayangkan revolusi yang seterusnya adalah di bumi Palestin.  Dan, kepimpinan Palestin tidak perlu pergi ke PBB untuk mendapatkan pengiktirafan kerana apa guna semuanya itu jika Israel masih mengenakan sekatan jalan raya.  


Pada awal tahun ini, al-Jazeera mendedahkan Palestine Papers, tetapi tiba-tiba tercetus Pemberontakan Kedua yang bermula di Tunisia, kemudian Mesir, dan seterusnya negara lain di dunia Arab.  Akibatnya, kertas yang mengandungi maklumat tentang pengkhianatan terhadap rakyat Palestin oleh pemimpin mereka sendiri dan pemimpin Arab yang bersekongkol, khususnya dengan Washington.  Membaca kertas itu pastinya membangkitkan keraguan terhadap para pemimpin Arab tentang pendirian mereka berhubung dengan taraf negara Palestin  yang akan dibahaskan di PBB.  





































No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...