Artikel Popular

Thursday, September 15, 2011

Petanda Buruk untuk Barack Obama dan Demokrat

KHAMIS,  15  September 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Setiap kali diumumkan bahawa kadar pengangguran yang tinggi, iaitu kini 9.1 peratus di Amerika Syarikat dan pertumbuhan ekonomi negara itu  yang lemah, dijangkakan berkembang 1.8 peratus pada tahun ini, sesungguhnya, ini bukan petanda baik untuk Barack Obama yang akan  bertanding semula dalam Pilihan Raya Presiden tahun depan. Meskipun di bawah kepimpinannya Osama bin Laden berjaya dibunuh pada awal Mei lalu dan baru-baru ini, Presiden Muammar Gaddafi berjaya digulingkan, faktor ekonomi Amerika Syarikat dijangkakan menentukan jatuh bangun beliau dan Demokrat. Dari banyak segi, catat Major Garrett, Obama menyerupai Presiden George H.W. Bush yang kerana faktor ekonomi, gagal mempertahankan jawatan Presiden.

Apabila pada awal tahun lalu, calon Demokrat tewas di tangan Republikan dalam Pilihan Raya Gabenor di New Jersey dan Virginia, dan yang lebih menonjol apabila kerusi Senat Massachusetts yang ditinggalkan oleh mendiang Edward Kennedy jatuh ke tangan Scott Brown daripada Republikan, sesungguhnya ini merupakan petanda buruk untuk Parti Demokratik dalam Pilihan Raya Separuh Penggal 2010 yang akhirnya terbukti betul.  Untuk Dewan Perwakilan,  Republikan meraihkan kemenangan hampir setiap penjuru negara,   memenangi  lebih 242  kerusi berbanding dengan sekitar 193 Demokrat.     Akan tetapi,  Demokrat masih  menguasai Senat, dengan memenangi 53 kerusi  berbanding dengan 47 Republikan.  

Tatkala Presiden Barack Obama mempersiapkan dirinya untuk Pilihan Raya Presiden 2012 dan bakal calon daripada Republikan terpaksa menghadapi saingan sengit dalam kalangan mereka, satu lagi petanda buruk menimpa  Obama dan Demokrat.  Dengan usahanya terpaksa menempuh laluan sukar dalam masa 14 bulan lagi, Obama menerima kritikan yang tajam apabila calon Demokrat, David Weprin, pada Selasa lalu,   gagal mempertahankan kerusi yang dikosongkan oleh Anthony Weiner (Demokrat) pada bulan Jun  berikutan skandal seks. Dalam pilihan raya di Ninth Congressional District, New York yang sebahagian besar penduduk ialah pengundi Yahudi Ortodoks, calon Republikan, Bob Turner berjaya menawan  kerusi Dewan Perwakilan yang parti itu tidak pernah menang  sejak tahun 1920-an.   Dalam pilihan raya khas untuk Dewan Perwakilan di Nevada, calon Republikan, Mark Amodei menewaskan Demokrat, Kate Marshall.  Dalam kedua-dua pilihan raya itu, calon Republikan menggesa "menghantar mesej" kepada Presiden Obama.

Nate Silver dalam FiveThirtyEight membahaskan bahawa keputusan mana-mana pilihan raya individual untuk Dewan Perwakilan Amerika Syarikat, bahkan ketika era partisan  yang tinggi yang pilihan raya Kongres mempunyai korelasi yang kuat dengan trend pengundian Presiden dan nasional, adalah ditentukan berasaskan kombinasi faktor tempatan dan nasional.  Untuk pilihan raya di Ninth Congressional, banyak diwarnai oleh isu tempatan.  Daripada empat pilihan raya khas yang berlangsung, beliau merumuskan secara keseluruhan, menunjukkan Demokrat mungkin masih bertarung dalam persekitaran politik jenis tahun 2010.  Demokrat mungkin tidak kehilangan lebih banyak kerusia dalam Dewan Perwakilan jika demikian keadaannya, kerana kebanyakan sasaran yang mudah terjejas telah tewas seorang demi seorang, tetapi mengehadkan potensi mereka untuk sebarang pertambahan. Dan keadaan ini boleh mewujudkan keputusan yang teruk kerana Demokrat dalam Senat Amerika Syarikat yang mereka mempunyai dua kali kerusi lebih banya untuk pilihan raya semula.  Silver yang terkenal dengan kebolehannya  menganalisis tinjauan pendapat, berkata bahawa wujud juga kepelbagaian yang luas petunjuk yang memperlihakan ketidakpuasan yang mendalam terhadap Kongres yang boleh memudaratkan Demokrat dalam Senat, tetapi membantu mereka dalam Dewan Perwakilan.

Untuk sepanjang tahun ini, pertarungan untuk mengawal Kongres kelihatan tidak jelas, dengan penerimaan terhadap Presiden Obama menjunam dan anggota Republikan dalam Kongres bahkan tidak popular, tetapi Josh Kraushaar menegaskan bahawa keputusan dua pilihan raya khas Selasa lalu, mula meletakkan gambaran dalam fokus yang lebih jelas dan tidak baik untuk Demokrat.  Secara mudah, Obama dan anggota Republikan dalam kedua-duanya tidak popular, dan para pengundi meluahkan kemarahan mereka terhadap Demokrat, bahkan di daerah yang pasti Demokratik. Walaupun para pengundi memarahi kedua-dua parti, pengajaran daripada pilihan raya Selasa jelas bahawa mereka masih sangat marah terhadap Demokrat - sesuatu yang tidak elok untuk Demokrat untuk Pilihan Raya 2012 yang masih ada lagi 14 bulan.


Namun,  seperti yang dihujahkan oleh Ben Adler, kemenangan Republikan di Ninth Congressional District, New York  bukan boleh dibanggakan.  Republikan berkempen mati-matian untuk memenangi kerusi yang dikosongkan oleh Weiner itu.  "Berita baik untuk Obama dan Demokrat," tulis Adler, "adalah bahawa perlumbaan tidak memberikan banyak mana, seperti yang didakwa oleh Republikan kerana jumlah yang keluar mengundi adalah rendah yang membantu Republikan dan merosakkan Demokrat, terutamanya Obama."  Tambah beliau, "orang Yahudi ortodoks tidak mewakili semua orang Yahudi, iaitu kebanyakannya lebih liberal  tentang isu sosial dan tentang Israel."

Berdasarkan pilihan raya yang diadakan di beberapa negara, termasuk Pilihan Raya Separuh Penggal 2010 di Amerika sendiri, semakin teruk keadaan ekonomi, maka semakin tipis peluang untuk parti yang memerintah untuk mempertahan kedudukannya.  Misalnya, Parti Buruh tumbang di Britain tahun lalu, manakala di Australia, Parti Buruh diselamatkan oleh parti kecil yang sudi bergabung membentuk kerajaan.  Untuk Presiden dan Demokrat, dalam  pilihan raya khas Selasa lalu, para pengundi menghantar mesej yang jelas.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...