Artikel Popular

Wednesday, September 7, 2011

Politik Demokrasi Memusnahkan Ekonomi Global?

RABU,  7  September 2011
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH


Selepas cuti umum Hari Pekerja pada hari Isnin, Bursa Saham New York menyaksikan kejatuhan indeks Purata Perindustrian Dow Jones (Dow) jatuh lebih 250 mata sebaik-baik loceng pembukaan berbunyi pada hari Selasa semalam,  berikutan krisis Eropah semakin dalam.  

Di Eropah, meskipun dagangan awal bursa saham melihatkan peningkatan, dijangkakan lebih banyak ketidakstabilan pasaran yang akan menyusul di tengah-tengah kebimbangan seterusnya terhadap peningkatan tahap hutang zon euro.  Tahap tinggi masa kini hutang kerajaan mendorong Michael Heffernan dari Austock Group melabelkan situasi kini sebagai "penyakit  Eropah" yang boleh "menjejaskan pasaran di seluruh dunia pada masa ini." Walau bagaimanapun, keriangan awal pasaran tidak dapat bertahan lama kerana selepas itu, saham Eropah dan Amerika dilaporkan jatuh kerana kebimbangan berterusan tentang tahap tinggi hutang zon euro, di samping risiko kepulangan kemelesetan di kedua-dua belah Atlantik. Keadaan huru-hara pasaran saham global berpunca daripada reaksi terhadap siri berterusan angka ekonomi yang buruk dari Amerika Syarikat dan Eropah. Para pengulas berkata pasaran juga bimbang tentang, sama ada ahli politik Eropah benar-benar memahami dan menghayati masaalah hutang.  Sementara itu, Presiden Bank Dunia, Robert Zoellick memberitah BBC bahawa para pemimpin zon euro perlu melakukan sesuatu yang lebih banyak dan bukan hanya terus-menerus dengan pelan penyelamat untuk negara anggota yang bergelut dengan beban hutang. 

Sementara di Italy, dilaporkan kesatuan sekerja mengotakan janji untuk melancarkan mogok besar-besaran di seluruh negara,  menentang langkah jimat-cermat, meningkatkan lagi tekanan terhadap kerajaan Silvio Berlusconi yang begitu nekad  melaksanakan rancangan pemotongan defisit.  Mogok yang dilancarkan ini melibatkan penutupan pengangkutan udara, darat, dan laut, menghentikan sektor  pembuatan, dan mengehadkan perkhidmatan kerajaan. Meskipun Italy dikatakan memerlukan pertumbuhan dan bukannya mogok, kesatuan sekerja  tetap meneruskan rancangan mereka menentang pemotongan perbelanjaan awam. 

Ketika ekonomi dunia terumbang-ambing dan pasaran saham lintang-pukang,  Switzerland mencetuskan ketakutan terhadap perang mata wang yang baru apabila Swiss National Bank memancangkan franc Swiss pada euro dalam usaha untuk melindungi ekonomi negara itu daripada terjerumus ke dalam krisis hutang Eropah. Larry Elliott dalam reaksinya terhadap penurunan nilai mata wang itu  mengingatkan bahawa langkah perlindungan yang dilaksanakan   oleh Switzerland tidak akan berhasil.  Bagi beliau, campur tangan mata wang merupakan fahaman perlindungan ikut pintu belakang. 

Ezra Klein yang menulis dalam The Washington Post semalam, memerhatikan  krisis ekonomi menjadi krisis politik.  Beliau memulakan penulisannya memetik Rich Miller dan Simon Kennedy yang menulis bahawa "ekonomi dunia terpaksa membayar harga untuk demokrasi."  Tatkala pemulihan dari Amerika Syarikat ke Eropah hilang rentak atau momentum, para penggubal dasar terjebak dalam kebuntuan yang dibentuk oleh keutamaan politik dan ideologi kerajan yang para pengundi pilih. Republikan dan Demokrat di Amerika Syarikat bergaduh tentang bagaimana untuk mengawal defisit belanjawan dan memacu pertumbuhan pekerjaan, manakala para pegawai di seluruh zon euro berbeza pendapat tentang bagaimana cara terbaik untuk melindungi masa hadapan mata wang tunggal itu.



Klein juga memetik John Lanchester yang  dinyatakan dalam "Kematian Kedua John Maynard Keynes Membawa Padah" yang mencatatkan bahawa Belgium mengalami pertumbuhan yang lebih baik jika dibandingkan dengan ekonomi Perancis, Jerman, dan United Kingdom. Yang menjadikan Belgium istimewa, bahas Lanchester, ialah kebuntuan di Brussels yang bermaksud Belgium kini tidak mempunyai kerajaan sejak 15 bulan lalu. Dari sudut pandangan ekonomi, dalam krisis semasa, tiada kerajaan adalah lebih baik daripada mana-mana kerajaan, iaitu mana-mana kerajaan yang wujud.


"Jika fasa satu krisis ekonomi ialah krisis kewangan," tulis Klein, "dan fasa dua ialah krisis pekerjaan, kita kini menyaksikan fasa tiga: krisis politik."  Beliau memerhatikan ahli politik di seluruh dunia mendapati diri mereka tersekat dalam tabiat buruk yang sama:  Dasar yang diperlukan untuk membantu ekonomi sekarang, seperti perbelanjaan di Amerika dan integrasi fiskal seterusnya di Eropah, adalah tidak popular.  Jika anda meluluskannya dan anda mungkin kehilangan pekerjaan anda.  Akan tetapi, membiarkan ekonomi menjadi semakin teruk juga tidak popular.  Membiarkan keterukan itu berlaku dan anda akan kehilangan pekerjaan anda.


Justeru, bahas beliau, kerajaan di seluruh dunia cuba berjalan di laluan tengah.  Di Amerika, kita mempunyai rangsangan yang sangat besar yang tidak pernah kita lihat sebelum ini, tetapi masih hanya separuh hingga satu pertiga apa yang diperlukan untuk menutup jurang output. Akibatnya"  Tiada kemelesetan besar, tetapi tempoh berpanjangan pengangguran yang tinggi.  Di Eropah, wujud lebih dalam integrasi fiskal berbanding dengan yang pernah dibayangkan oleh dunia, tetapi tidak cukup untuk  sebenarnya menyelesaikan krisis hutang di benua itu - atau masalah politik pelbagai kerajaan. "Akibat strategi ini bukan hanya kelemahan ekonomi berterusan, tetapi juga memacu kelemahan politik."


Ezra Klein mengakui bahawa memang mudah dan wajar menyalahkan ahli politik terhadap segala masalah ini.  Beliau sekali lagi memetik Miller dan Kennedy yang menulis bahawa di Barat, ahli politik dikekang oleh keutamaan awam.  Kelumpuhan kita, adalah sebahagian harga demokrasi.  Dalam jangka panjang, harga itu berbaloi untuk dibayar. Akan tetapi, dalam jangka pendek, berhadapan sesungguhnya, dengan harga yang tinggi.


Hanya perlu ditambah di sini, politik populis memburukkan lagi keadaan, manakala pemotongan perbelanjaan kerajaan sewenang-wenangnya bukan jalan penyelesaiannya.

















No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...