Artikel Popular

Tuesday, September 13, 2011

Perang Dingin Turki-Israel

SELASA,  13  September 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan dalam wawancaranya dengan televisyen al-Jazeera baru-baru ini, memaklumkan bahawa serangan Israel terhadap bantuan flotila Gaza tahun lalu merupakan "punca peperangan,"  tetapi negaranya memperlihatkan "kesabaran" daripada mengambil apa-apa tindakan.  Beliau menegaskan bahawa serangan Israel itu yang membunuh sembilan orang aktivis berlaku di perairan antarabangsa, dan dengan itu, "menyalahi undang."

Serangan ke atas kapal Mavi Marmara itu, catat Ibrahim Kalin, terbukti menjadi titik tolak hubungan Turki-Israel.  Selepas kecacatan fundamental laporan Palmer-Uribe yang bocor kepada media pada 1  September dan keengganan kerajaan Netenyahu untuk memohon atas tindakan kejamnya itu, hubungan kedua-dua buah negara mencecah titik yang paling rendah. Akan tetapi, cara kerajaan Israel bertindak balas terhadap krisis dan keengganannya menjunjung undang-undang antarabangsa dan mempertahankan prinsip keadilan, bahas Kalin yang merupakan penasihat kanan Perdana Menteri, mempunyai implikasi melampaui hubungan dua hala dan  mendasari kegagalan suram Israel untuk menggarap dinamik Timur Tengah.  Isreal juga gagal memahami penyelesaian Turki untuk melindungi hak warganegaranya.

Krisis diplomatik antara Turki dengan Israel sejak lebih setahun lalu, menurut pemerhatian Henri J. Barkey, membawa perisytiharan Perang Dingin oleh kerajaan Turki terhadap Israel.  Beliau menulis dalam The National Interest:  "Turki mengusir duta Israel, menurunkan taraf hubungan diplomatik dengan Israel kepada tahap setiausaha kedua dan membatalkan hubungan ketenteraan."    Kesan krisis ini, bagi Barkey, terhadap kestabilan Mediterranean timur dan Pentadbiran Obama agak teruk.  Kerajaan Erdogan kini secara eksplisit menyatakan sesuatu yang dimaksudkannya dua tahun lalu, iaitu Washington perlu memilih antara dua sekutu, iaitu Ankara dan Baitulmuqqadis.  Hal ini bukan sahaja meletakkan Washington dalam kedudukan yang sukar, tetapi juga memperlihatkan kegagalan diplomasi Amerika Syarikat yang kini akan secara konstan perlu bertindak sebagai penimbal antara dua sekutu rapatnya.   "Pemberontakan Arab, terutamanya peristiwa di Syria, dan rancangan pengunduran Amerika Syarikat dari Iraq, bahas beliau, "meletakkan Turki kepada tahap penting yang tidak pernah berlaku sebelum ini."

Lawatan empat Tayyip Erdorgan ke Afrika Utara  semalam mengeruhkan lagi hubungan antara Turki dengan Israel.  Negara Yahudi itu kini semakin berasa terasing selepas terpaksa menarik balik diplomatnya dari Kaherah.  Erdogan yang   melawat Mesir,  Tunisia dan Libya, iaitu semua negara yang terlibat oleh Pemberontakan Arab, dijangkakan membolehkan beliau memperlihatkan seterusnya dirinya sebagai seorang tokoh politik  terkemuka di dunia Arab menerusi ucapan tentang wawasan dasar luar Turki untuk rantau itu, di samping membangkitkan kritikan terhadap Israel.   Lawatan beliau bermula  dengan Mesir, yang keadaan berjaga-jaga yang ketat diisytiharkan pada hari Sabtu lalu di Kaheral berikutan penunjuk perasaan menggempurkan bangunan tempat terletaknya keduataan Israel dan bertempur dengan polis, menyebabkan pemindahan duta dan  staf lain. 

Perseikatan antara Turki dengan Mesir, bahas editorial The Guardian, menyebabkan Israel berhapan dengan pengasingan serantau.  Binyamin Netanyahu, sama ada boleh bersedia untuk satu lagi peperangan atau menerima bahawa Israel tidak lagi mengenakan kehendaknya terhadap jirannya. Editorial itu mengingatkan Mesir tidak lagi mengambil pendirian seperti yang dilakukannya apabila Israel melancarkan kempen ketenteraan terhadap Gaza pada tahun 2008 seandainya satu lagi peperangan tercetus. Perdana Menteri Netanyahu kini menghadapi pilihan sebenar. Beliau mesti sedar, editorial itu mengingatkan, "bahawa mengaibkan Turki dengan enggan memohon maaf kerana kematian di atas kapal Mavi Marmara dahulu merupakan kesilapan yang sangat besar."  Dengan kata lain, Israel boleh membuli mana-mana negara di Timur Tengah, terutamanya Palestin, tetapi jangan mengada-ngada dengan Turki, lebih-lebih lagi dengan wujudnya perseikatan antara negara itu dengan Mesir.  Netanyahu kini  menyedari bahaya ini apabila reaksinya pada hari Sabtu  terhadap peristiwa di Kaherah, mengikut standard beliau, adalah berhati-hati dan sederhana. 

Israel mesti sedar bahawa Pemberontakan Arab banyak perubahan di dunia Arab, suatu realiti baru.   Seperti yang ditegaskan oleh Peter Preston, Israel mesti mengenali jirannya yang berubah.  Perhatikan dua buah negara yang dalam peralihan yang mendalam.  Satu ialah Turki, dengan tentera dari segi angka lebih kuat daripada Britain, Perancis, dan Jerman yang dicantumkan bersama-sama.  Satu lagi ialah Mesir, yang pemerintahan sementara tentera yang dominan.  Dan kemudian, tertinggal jauh di belakang, muncul Israel, tanah yang peralihan, sesungguhnya, sesuatu yang rapat dengan pemikiran kedua, tidak pernah berlaku. 
Salah satu kebimbangan sesetengah apabila tercetusnya Pemberontakan Arab yang ketika itu menumbangkan rejim di Tunisia dan Mesir ialah tentang kepentingan Amerika Syarikat dan Israel.  Selama ini kepentingan mereka boleh dikatakan terjamin ketika negara Arab  di bawah autokrat, tetapi belum pasti di bawah demokrat.  
Musim bunga Arab, musim sejuk Israel. Sementara Turki kian memperlihatkan penampilannya di dunia  Arab yang meletakkan Israel dalam keadaan terhimpit dan tertekan.







No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...