Artikel Popular

Friday, September 30, 2011

Masa Depan Euro di Tangan Jerman?

JUMAAT,   30  September 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH 


Adakah zon euro dapat diselamatkan?  Biarkan zon euro berkecai!  Biarkan Greece muflis dan meninggalkan zon yang menggunakan mata wang bersama itu. Ada yang mencadangkan supaya Greece mengikut jejak Argentina, iaitu mungkir demi menyelamatkan negara itu.  Namun begitu,  Greece dikatakan tidak akan meninggal zon euro, tetapi negara tidak boleh dibiarkan bertindak sendirian untuk menyelesaikan krisis yang dihadapinya.


Adakah zon euro terus wujud berikutan krisis hutang euro?" Tanya John Lanchester yang nampaknya pesimistik.  Jika Greece mungkir terhadap hutangnya, akibatnya akan merebak ke seluruh Eropah, dan nyata malapetaka untuk euro. Bagi beliau, krisis ekonomi di Greece merupakan perkara yang paling penting berlaku di Eropah sejak perang Balkan.  Hal ini demikian bukan kerana Greece dari segi ekonomi penting kepada orde Eropah.  Pada kadar pertumbuhan jarang-jarang melebihi tiga peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) zon euro, ekonomi Greece boleh lenyap tanpa dikesan dan hampir tidak dirasai oleh negara lain.  Bahaya yang dihadapi oleh kemungkiran Greece yang di ambang maut adalah semua ada kena mengena dengan bagaimana krisis itu berlaku.


Lanchester meragui tindak-tanduk Jerman dalam menangani krisis euro, menulis:   "Ketika abad ke-20,  bahaya yang paling besar terhadap kestabilan Eropah ialah makna Jerman tentang takdir istimewanya.  Ketika abad ke-21, bahaya yang paling besar terhadap kestabilan Eropah ialah keberatan Jerman untuk menerima takdir istimewanya."


Lebih setahun  zon euro menghantui dunia tentang krisis hutang yang  mustahil dibendung dan  ancamannya terhadap ekonomi global. Setiap kali  pasaran saham global sejak akhir-akhir ini, puncanya ialah dari zon euro.   Oleh sebab jumlah tahap hutang swasta dan kedaulatan di zon euro lebih rendah daripada United Kingdom dan Amerika Syarikat, dan jauh lebih rendah daripada Jepun,  sebenarnya ini merupakan krisis euro dan bukannya  krisis hutang.


Setiap kali berita ekonomi global suram, maka jawapan yang lazim ialah krisis zon euro.  Sementara bagi Kesatuan Eropah, seperti yang ditegaskan oleh Simon Jenkins, tanpa rancangan pertumbuhan, pastinya akan  terheret ke dalam kancah Waterloo kewangan.


Sejak sekian kali,  bahawa krisis zon euro menuntut kepimpinan, daripada Gordon Brown kepada  yang terbaharu,  daripada William Keegan bahawa ke mana-mana sahaja beliau pergi, apabila membincangkan  zon euro, rintihan adalah sama, iaitu kepimpinan.  Tumpuannya, tidak dapat tidak, adalah terhadap ahli politik dan "kepimpinan" Eropah secara umum, dan Canselor Jerman, Angela Merkel secara khusus.  Bahkan, pemimpin  Greece dalam usaha untuk merungkaikan  krisis hutang yang berpanjangan, terpaksa mengharapkan belas ihsan  Jerman. 



Namun begitu, Angela bukan sahaja kelihatan terhegeh-hegeh, tetapi kedudukannya sebagai canselor  kini menjadi pertaruhan jika beliau beria-ria ingin menyelamatkan zon euro. Jerman  didapati  berperang sesama sendiri berhubung dengan pelan penyelamat euro. Persengketaan seperti ini, pastinya menyukarkan Jerman untuk menjadi peneraju usaha  menyelamatkan zon euro itu.  

Kerajaan di zon euro, menurut pemerhatian George Soros, mengambil beberapa langkah yang betul untuk menyelesaikan krisis euro, tetapi mereka tidak pergi terlalu jauh untuk meyakinkan semula pasaran.  Jerman dan anggota lain di zon euro dengan penarafan AAA, bahas Soros, perlu memutuskan, sama ada bersedia untuk merisikokan kredit mereka sendiri untuk membenarkan Sepanyol dan Italy untuk membiayai semula bon mereka pada kadar faedah yang munasabah.  Secara alternatif, Sepanyol dan Italy akan didorong tanpa dapat disekat untuk menyertai program pelan penyelamat.  "Ringkas, Jerman dan negara lain dengan penarafan bon AAA mesti bersetuju dengan rejim bon euro daripada satu jenis atau lain-lain."  Kalau tidak, Soros mengingatkan euro akan musnah.


Dalam wawancara dengan Spiegel lebih sebulan lalu, George Soros mengkritik Jerman kerana kurang kepimpinan di zon euro.  Beliau menegaskan bahawa Berlin mesti menetapkan  Eropah tentang penyelesaian terhadap krisis mata wang. Beliau memihak kepada usaha pewujudan bon euro sebagai jalan keluar daripada pergolakan ini.  Beliau mengingatkan bahawa masa depan euro bergantung pada Jerman.  Jerman mempunyai kemampuan kerana Jerman ialah negara terbesar di Eropah dengan penarafan kredit terbaik dan lebihan yang kronik.


Apabila ditanya mengapa Jerman menerima idea itu,  Soros menjelaskan memang tiada alternatif.  Jika euro musnah, nescaya ini akan menyebabkan krisis perbankan yang di luar kawalan pihak berkuasa kewangan sama sekali.  Justeru,  ini akan mengasak bukan hanya terhadap Jerman, bukan hanya Eropah, tetapi juga seluruh dunia ke dalam keadaan yang sangat mengingatkan tentang Kemelesetan Besar tahun 1930-an, yang juga berpunca daripada krisis perbankan yang di luar kawalan.


Soros yang menulis keluaran terbaharu The New York Review of Books, membangkitkan adakah euro mempunyai masa depan, dan melihat wujud kesamaan antara krisis euro dengan krisis subprima pada tahun 2008 yang menyebabkan keruntuhan pada tahun 2008. Malangnya, krisis euro yang  lebih sukar dikawal, mendedahkan dan dicetuskan oleh kelemahan tersembunyi dalam pembinaan euro, iaitu tiada perbendaharaan bersama.  Krisis ini dengan sendirinya tercetus lebih setahun lalu, iaitu pada tahun 2010.  


Untuk menyelesaikan krisis, yang mustahil menjadi mungkin, Soros mencadangkan adalah penting untuk memikirkan sesuatu yang tidak boleh difikirkan.  Untuk memulakannya, adalah mustahak untuk bersedia kemungkinan mungkir dan pembelotan daripada zon euro dalam kes Greece, Portugas, dan mungkin Ireland.  Untuk mencegah kegawatan kewangan, beliau mencadangkan empat langkah perlu dilaksanakan.  Pertama, deposit bank perlu dilindungi.  Kedua, sesetengah bank di negara yang mungkir perlu terus berfungsi demi memastikan ekonomi tidak musnah.  Ketiga, sistem perbankan Eropah perlu dimodalkan semula dan diletakkan di bawah penyeliaan Eropah, berbeza daripada penyeliaan negara.  Keempat, bon kerajaan negara defisit lain perlu dilindungi daripada jangkitan.  Dua syarat terakhir ini diterapkan, bahkan jika tiada negara yang mungkir.


Dalam makalah itu, sekali lagi beliau menaruh harapan pada Jerman untuk menyelamatkan euro. "Angela Merkel mungkin tidak dapat memujuk kerajaan pakatannya, tetapi beliau boleh bergantung pada pembangkang.  Selepas krisis euro diselesaikan, beliau akan kurang takut daripada pilihan raya akan datang.


Barangkali berita gembira ialah   Angela Merkel berjaya mengharungi ujian politik itu apabila parlimen Jerman meluluskan usul untuk menyusun semula dana pelan penyelamat euro.  Berikutan keputusan itu, dilaporkan merangsang pasaran saham Eropah dan New York sebaik-baik sahaja loceng pembukaan dibunyikan. Namun, tulis Heather Stewart, kemenangan euro Angela Merkel itu tidak menamatkan perang hutang.

Bagi mereka yang membaca rencana utamaTime keluaran 3 Oktober,  "Why Germany Can't Save Europe, Much Less the World," pastinya tidak meletakkan harapan yang tinggi pada Jerman.  Makalah yang ditulis oleh Michael Schuman menegaskan bahawa "dengan krisis hutang zon euro semakin teruk dan lebih banyak pengundi yang marah di negaranya, Angela Merkel diserang dari segenap penjuru.  


Schuman mengemukakan alasan sejarah bahawa usaha para pemimpin Jerman untuk mengawal  negara jirannya tidak berkesudahan dengan baik, dan Jerman berwaspada daripada dilihat cuba menguasai Eropah dari segi diplomasi atau ekonomi, bahkan pada hari ini.  Itu merupakan satu alasan mereka merangkul impian integrasi Eropah dan menyokong euro, berkongsi mata wang, untuk memulakannya.  


Tambah beliau, "sama ada setiap suka ataupun tidak, Jerman menguasai Eropah.  Tatkala ekonomi utama lain di benua itu, iaitu Perancis, Italy, Sepanyol, dan United Kingdom terpaks berhempas pulas untuk keluar daripada kemelesetan ini, ekonomi Jerman berkemungkinan lebih kuat sejak penyatuan Jerman Timur dan Jerman Barat pasca-Perang Dingin pada tahun 1990."  


Schuman mengingatkan bahawa jika Jerman ingin menyelamatkan euro dan ekonomi dunia, maka Angela Merkel perlu merangkul sepenuhnya impian di sebalik kesatuan monetari, iaitu impian yang menyatukan dan membingkas Eropah. Jika tidak, euro hanya benar-benar terhenti di atas mejanya. 


Yang jelas, masa depan euro terletak dalam tangan Jerman. Namun, adakah Jerman benar-benar nekad untuk menyelamatkannya? Banyak orang yang meraguinya dengan pelbagai alasan. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...