Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Dalam perjalanan dari Cappadocia ke Ankara, Turki, sejauh 300 km, bas pelancongan
yang membawa kami tiba-tiba berhenti dua kali. Berhenti yang pertama, hanya
pemandu bas dan pemandu pelancong yang
turun dan kedua-duanya kelihatan mencari sesuatu. Kemudian, kami meneruskan perjalanan semula,
tetapi tidak berapa jauh bas berhenti lagi.
Kali ini, selain mereka berdua, beberapa pelancong dari Malaysia turut turun –
mencari sesuatu di tepi jalan. Apabila
mereka semua naik semula ke dalam bas, pemandu pelancong memberitahu bahawa pemandu bas mencari batu
gunung berapi untuk kawannya membuat
ukiran.
Seterusnya,
dia mengingatkan pelancong Malaysia itu bahawa
batu tidak boleh dibawa keluar dari Turki, dan perbuatan
tersebut merupakan satu kesalahan. Sepanjang perjalanan, juga semasa di Ankara, pemandu pelancong itu
beberapa kali mengulangi peringatannya bahawa batu tidak boleh dibawa keluar: “Kalau anda benar-benar ingin memiliki batu
itu, anda boleh memilikinya setakat di Istanbul.” (Destinasi terakhir kami sebelum pulang ke
Kuala Lumpur.)
Meskipun pada
zaman ini maklumat, modal, dan manusia (termasuk buruh) bebas bergerak sehingga
memudarkan sempadan negara bangsa, namun
seperti yang berlaku di Turki,
perjalanan batu ada batasnya. Jika
difikirkan secara mendalam, peraturan
itu ada kewajaran atau rasionalnya
kerana batu bersama-sama tanah, air, dan pasir merupakan bumi, dan oleh itu,
ialah wilayah dan kedaulatan sesebuah
negara. Nasionalisme tidak semestinya selalu tunduk
pada telunjuk globalisasi.
Sesungguhnya, pemandu
pelancong itu memberikan tutorial ringkas yang amat berguna: “Kalau anda
membawa keluar batu, selepas ini anda
akan membawa keluar sebuah bangunan, sebuah gunung, kemudian
sebuah negara.” Sesuatu yang amat bernilai yang wajar
dipelajari daripada peringatan itu ialah bagaimana Turki menyemai dan memupuk semangat kecintaan terhadap negara dalam kalangan
rakyatnya, hatta sebiji batu tidak boleh dibawa keluar. Benda yang kecil, seperti batu dan pasir yang
mungkin bagi kebanyakan orang dianggap
remeh, tetapi amat penting dari segi kedaulatan dan keselamatan negara, dan oleh
itu, tidak boleh ditolak ansur sama sekali.
Apabila mendengar peringatan pemandu pelancong itu, fikiran saya terus terbayang kepada berleluasanya penyeludupan pasir
dari beberapa buah negeri di
Semenanjung Malaysia ke negara jiran. Bahkan, pernah didedahkan banyaknya lori
yang mengangkut pasir ke Singapura, tetapi pihak berkuasa menafikannya. Fikiran saya juga teringat akan
seorang anggota Parlimen daripada parti
pembangkang yang mengemukakan soalan di Dewan Rakyat mengapa pasir tidak
dieksport ke Singapura. Seandainya dia
memahami pengajaran moral mengapa batu
tidak boleh dibawa keluar dari Turki, pastinya dia tidak berani menunjukkan
kejahilannya dengan mengemukakan soalan sedemikian. Hari ini, pasir, esok lombong pasir, dan lambat-laun negara. Negara jiran yang
memperoleh pasir, sama ada melalui eksport ataupun penyeludupan, boleh menggunakannya
untuk pelbagai tujuan, daripada pembinaan kompleks perniagaan kepada kompleks
pertahanan.
Bagaimana strategiknya pasir bagi Singapura pernah
mendapat liputan akhbar The New York Times pada 16 Mac
2007. Dalam makalah “Neighbor Leaves Singapore Short of Sand”
Wayne Arnold dan Thomas Fuller menulis, “Sesetengah negara mempunyai
rizab minyak strategik; manakala negara lain mempunyai simpanan stok beras atau
gandum. Negara pulau Singapura mempunyai
rizab kecemasan pasir diimport. Pasir
disimpan di sana untuk menjamin
permintaan Singapura yang tidak pernah puas untuk membina konkrit, peringatan
mudah terdedahnya sebagai sebuah negara tanpa daerah pedalaman untuk
membekalkan negara itu dengan sumber yang cukup penting.”
Menurut tulisan itu lagi, kerajaan Singapura kini terpaksa
menggunakan sorokan pasirnya selepas pembekal biasanya, iaitu Indonesia
tiba-tiba melarang eksport pada bulan Februari, dengan alasan impak ledakan
pembinaan Singapura terhadap alam sekitar pantai dan pulau-pulau di Indonesia. Kini,
dengan harga pasir hampir tiga kali ganda sebelum larangan kerajaan Indonesia,
Singapura mengggunakan simpanan stok pasirnya sementara mencari pembekal baru.
Bagi mereka yang
tidak peka terhadap tindak tanduk Singapura yang tidak mempedulikan kepentingan
negara jirannya, terutama Indonesia, Malaysia, dan Thailand, di sini dipetik penegasan Arnold dan Fuller,
“Larangan itu menambahkan lagi hal-hal terkini dalam rangkaian pertikaian
antara Singapura dengan jiran-jirannya terhadap air, penebusgunaan tanah,
konsesi satelit, pengambilalihan korporat, dan pola penerbangan Tentera Udara
Singapura, sekadar menyebut beberapa contoh.”
Sekali air bah, sekali pasir berubah. Walau bagaimanapun,
dalam konteks politik Malaysia apabila beberapa kepimpinan negeri bertukar tangan selepas Pilihan Raya Umum 2008,
peribahasa ini tidak selalunya benar. Janji tinggal janji. Jika
Barisan Nasional (BN) lazimnya dikaitkan
dengan politik kayu balak, kini Pakatan Rakyat (PR) boleh dikaitkan dengan
politik pasir. Timbalan Perdana Menteri,
Tan Sri Muhyiddin Yassin memang tepat
apabila beliau menyamakan pembangkang
seperti burung kakaktua yang
hanya pandai mengkritik, tetapi tidak
tahu mentadbir apabila berkuasa. Beliau
berkata, seperti dalam isu pasir apabila kerajaan negeri
Selangor ternyata tidak dapat menyelesaikannya, sedangkan mereka ini pada masa
sama hebat mengkritik kerajaan Pusat dalam isu yang lain.
Mungkin ada yang berhujah bahawa dakwaan beliau itu lebih mencerminkan pendirian pihak yang bersengketa dari segi politik. Namun begitu, keluh kesah rakyat yang membuak dan bergelora memperlihatkan pendirian
yang senada. Ketika perlombongan pasir di Selangor terus-menerus
dibongkar, akhbar The Malay Mail
pada 26 Julai lalu melaporkan duka nestapa penghuni rumah pangsa
kos murah Hulu Kelang, Selangor tentang bekalan air yang mereka ungkapkan dalam
bentuk pantun: Air kami kena cantas/
Pasir habis kena kebas/ Cukai pintu janji melepas/ Ceramah lebat kerja HAMPAS.
Sesungguhnya, perlombongan pasir di Selangor menghangatkan lagi pergolakan politik di negeri itu khusus dan di peringkat negara
amnya. Pendedahan aktiviti perlombongan
pasir itu – menurut cerdik pandai politik - Selangor dilanda oleh skandal.
Pendedahan baru-baru ini tentang aktiviti perlombongan pasir yang begitu
hampir dengan Paya Indah Wetlands dikatakan adalah terlalu buruk terhadap
pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim – dari segi kesan alam sekitar, di
samping cara syarikat diberikan hak eksklusif untuk lombong pasir menjalankan
perniagaannnya.
Walau bagaimanapun, politik pasir bukan hanya berlaku di Selangor, bahkan juga berlaku di tempat lain, seperti di Oregon,
Amerika Syarikat, yang sedikit sebanyak ada persamaannya. Sebagaimana
di Selangor, politik pasir di Oregon menyaksikan pertembungan antara kepentingan swasta dengan
kepentingan awam. Filem dokumentari Politics of Sand mendedahkan sejarah yang mendalam tentang
pantai Oregon memberikan tumpuan terhadap politik yang semakin pudar dan usaha yang dicurahkan untuk memastikan pantai itu boleh digunakan oleh orang awam. Pertarungan untuk memulihara pantai Oregon
untuk kegunaan orang awam yang digunakan sejak turun-temurun, menjadi sengit
dan semua warganegara di seluruh Oregon
terlibat secara berani dalam konflik yang berpunca daripada pemilikan swasta
pantai itu. Berlaku ancaman peribadi,
bilik-bilik dipenuhi asap, pengesanan
perbualan telefon, ancaman pekerjaan, dan banyak sekali perebutan politik.
Dalam keadaan yang lebih serius, politik pasir boleh membawa kepada pertumpahan darah. Sebaliknya, di Selangor, bagaimana tegang dan runcingnya politik pasir, sekadar melibatkan tunjuk perasaan, laporan
polis, ceramah politik, dan gembar-gembur media. Di kampung Birbhum, India, seperti yang dilaporkan oleh akhbar The Telegraph pada awal Jun tahun ini,
“Sand Politics Turns Bloody,” tiga orang penyokong Communist Party of India (CPM), disyaki dipukul hingga mati oleh penyokong
Trinamul Congress. Menurut
polis, pembunuhan itu kemungkinan kesan
sampingan persengketaan yang berpunca daripada mengorek pasir di tebing sungai
di Labhpur 250 km dari Calcutta. Tiga
lelaki bersepupu itu membeli pasir
daripada dua pemegang permit dikatakan berasa bimbang kemungkinan perniagaan
dirosakkan oleh pihak ketiga. Menurut
akhbar itu lagi, perdagangan pasir di tempat itu bernilai lebih Rs70,000 sehari.
Meskipun nilai pasir di Selangor tidak setinggi nilai
pasir minyak di Kanada, namun kedua-duanya tetap mempunyai persamaan.
Perlombongan pasir sering menjadi
sasaran tuntutan yang bercanggah, iaitu antara kepentingan perniagaan dengan
kepentingan alam sekitar. Ketika Presiden
Barack Obama melawat Kanada pada Februari tahun lalu, ketibaannya di Ottawa
disambut oleh kain rentang aktivis Greenpeace, “Climate Leaders Don’t Buy Tar
Sands”, yang mendesak beliau mengambil
pendirian yang tegas tentang pasir minyak yang banyak sekali di negara itu.
Pasir minyak mewakili rizab yang sangat besar di luar Timur
Tengah, tetapi mengeluarkan minyak mentah yang tebal dari pasir mengeluarkan
jumlah yang banyak gas rumah hijau, yang menjadi punca kehangatan global.
“Presiden Obama dan orang awam Amerika perlu tahu bahawa tar pasir mengeluarkan
minyak yang kotor di bumi ini. Pasir tar
merupakan bencana kehangatan global antarbangsa,” kata Mike Hudema daripada
Greenpeace. Walau bagaimanapun,
dikatakan masalah bagi Obama ialah bahawa Kanada ialah pembekal tunggal
terbesar tenaga ke Amerika Syarikat.
Tatkala perlombongan pasir di Selangor masih hangat lebih-lebih
lagi kerana melibatkan percakaran
politik, pada kulit depan majalah The
Economist dalam keluaran 17 – 23 Julai 2010, terpampang, “Shifting
Sands: Change in Coming to the West’s
Arab Allies” dengan gambar lukisan seakan-akan wajah Presiden
Hosni Mubarak – dengan seluruh badannya, kecuali kepala dan tangan kanannya
yang masih terangkat, ditimbusi oleh
pasir. Sungguh kuat kuasa pasir sehingga
presiden mampu ditelannya. Rupa-rupanya heboh tentang pasir tidak hanya berlaku di
Selangor, bahkan juga kedengaran di dunia Arab, sehingga mendapat liputan media
antarabangsa. Akan tetapi, di sini mengorek, di sana mengalih. Di sini wang, di sana kuasa, tetapi wang dan
kuasa saling berkaitan: politik dalam perniagaan.
Dalam rencana utamanya, “Thanks You and Goodbye” majalah itu menyebut bahawa dua buah negara
yang paling penting di dunia Arab terletak dalam tangan autokrat yang tua,
iaitu Hosni Mubarak di Mesir dan Raja Abdullah di Arab Saudi. Mungkin kedua-duanya akan dapat mengawal
pewarisan. Namun begitu, majalah itu
mengingatkan bahawa peralihan dalam autokrasi selalunya bermakna
ketidakstabilan. Nasib kedua-dua negara
ini penting kepada Barat kerana dua alasan:
tenaga dan keselamatan. Mesir dan
Arab Saudi ialah sekutu yang boleh dipercayai, walaupun cacat. Jika kedua-dua negara ini terhuyung-hayang,
kepentingan Barat di dunia Arab dalam bahaya.
Oleh sebab itu, rejim berkenaan perlu digalakkan untuk melonggarkan lagi
sistem ekonomi dan politik negara mereka dan mengubah sistem berkenaan menjadi
kedudukan yang memberikan harapan dan bukannya ketakutan.
Jika pemimpin di negeri-negeri yang terlibat dalam perlombongan pasir melihat gambar lukisan Hosni Mubarak yang ditimbusi pasir, pasti
mereka dihantui oleh bayang-bayang yang mengerikan! Seakan-akan memberikan peringatan bahawa jangan cuba mengorek pasir kerana silap
langkah, boleh tertimbus diri sendiri!
Sebagaimana tsunami, pasir juga mampu menelan apa-apa dan sesiapa
sahaja.
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat, Oktober 2010.)