Artikel Popular

Saturday, March 31, 2012

Hilang dalam Peralihan

SABTU,  31 Mac 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Tengah hari tadi, seorang diri, tanpa ditemani anak dan isteri, saya mengunjungi Restoran Tarbush di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Dalam pada menunggu ketibaan beriani kambing sambil "kena" teh Arab,  walaupun perut sudah bergelora, saya "tebeng" (bahasa orang Terengganu) juga membaca The Economist keluaran akhir Mac yang saya beli di kedai bersebelahan.  

Pada halaman hadapan majalah itu terpampang "How India is Losing its Magic" ("Bagaimana India Hilang Keajaibannya"), manakala dalam ruangan Leaders terkandung makalah, "Hilang Keajaibannya," politik mencegah India daripada memenuhi potensi ekonominya yang luas.  Makalah yang bermula dengan menyatakan bahawa India ialah tanah angka yang besar, tempat lebih satu bilion orang, satu juta dahagi, dan seribu bahasa  yang berbeza, tetapi tidak terlalu banyak lakaran yang dapati diperkatakan sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1947, kecuali dua perkara.

Pertama, melahirkan pertumbuhan malas, minda yang melenturkan pita merah dan birokrasi yang melemaskan.  Kedua, meningkat secara beransur-ansur selepas liberalisasi pada tahun 1990-an, maka dengan itu, pada pertengahan tahun 2000-an, India ialah tanah membangkitkan optimisme untuk usahawan. 

India yang mengalami pertumbuhan ekonomi yang pesat, tetapi akhirnya  seperti penyangak Bollywood yang enggan beralah, India lama muncul semula yang menggerunkan.  Alasan utama ialah politik terdesak di negara itu. 

Pertumbuhan yang pesat, kira-kira enam peratus  pada akhir tahun 1980-an, kepada setinggi 10 peratus, membebaskan berjuta-juta penduduki India daripada kemiskinan.  Sementara ahli strategi di Pentagon mula melihat India sebagai kuasa besar dalam pembikinan dan demokratik yang mengimbangi China. 

Tanpa menafikan bahawa ekonomi India semakin membesar, makalah dalam The Economist itu menegaskan bahawa pertumbuhannya perlahan pada suku terakhir tahun 2011, iaitu 6.1 peratus.  Meskipun kerajaan  masih menaruh harapan bahawa ekonomi akan bingkas semula, banyak orang bimbang bahawa trend pertumbuhan sekarang mustahil melebih tujuh peratus. 

Pita merah dan rasuah yang sukar dihapuskan, kini semakin teruk.  Secara keseluruhannya, politik banyak menimbulkan masalah, antaranya mempunyai cita-cita yang terbatas: sukar untuk meluluskan pembaharuan. "Sebagaimana China memerlukan pertumbuhan lapan peratus untuk mengekalkan kestabilan sosial, India mungkin memerlukan pertumbuhan enam peratus untuk mengekalkan kestabilan kewangan."

Dalam makalah yang lain, "Unfinished Journey" dinyatakan bahawa India banyak mencapai kejayaan.  Golongan miskin semakin berkurangan, iaitu daripada 407 juta orang pada tahun 2004 kepada 355 juta orang pada 2009, berkurangan sebanyak 52 juta orang dalam tempoh lima tahun.  Dalam kalangan 247 juta isi rumah, dua pertiga adalah desa, kadar celik huruf meningkat daripada 74 peratus pada tahun lalu berbanding dengan 65 peratus pada tahun 2001; 63 peratus kini mempunyai telefon; hampir 60 peratus mempunyai akaun bank; 93 peratus isi rumah di bandar dan kota mempunyai sekurang-kurangnya beberapa akses kepada kemudahan elektrik, dua pertiga memasak menggunakan gas, dan seterusnya.

Akan tetapi,  demi memastikan kemajuan yang dicapai itu berterusan, dan untuk India yang bercita-cita menjadi kuasa besar, dua perkara adalah perlu:  kerajaan yang memastikan kewangannya teratur dan pertumbuhan ekonomi yang pesat yang berterusan. 

Makalah itu juga menyentuh kegagalan parti pemerintah, iaitu Parti Kongres dalam pilihan raya negeri baru-baru ini:  kalah di Goa dan Punjab, tetapi menang di Manipur dan Uttarkhand.  Namun, yang paling penting kegagalan Parti Kongres  dalam pilihan raya di Uttar Pradesh yang dihuni oleh 200 juta orang penduduk apabila parti hanya memenangi 28 kerusi daripada 403 kerusi yang dipertandingkan, satu tamparan terhadap Rahul Gandhi. 

India, seperti yang diketahui merupakan sebuah negara BRIC (Brazil, Rusia, India, dan China) yang pertemuan terbaharu ekonomi sedang muncul berlangsung di New Delhi.  Namun, seperti yang pernah dibahaskan oleh Fareed Zakaria yang dipetik dalam penulisan blog sebelum ini, "I"  mungkin tidak lagi bermaksud India, sebaliknya  mungkin Indonesia. 


Hilang atau Ditambah dalam Terjemahan

SABTU,  31 Mac 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Carta harian The Economist menunjukkan beberapa bahasa apabila diterjemahkan daripada teks bahasa Inggeris, termasuk ruang adalah lebih panjang dari segi peratusan. Hanya bahasa Cina dan Arab yang lebih pendek jika diterjemahkan daripada teks bahasa Inggeris.  

Bahasa Cina, menurut carta harian itu, adalah unggul untuk mikroblog yang lazimnya menghedkan mesej kepada 140 simbol, tetapi kebanyakan mesej, bahkan tidak sampai pada tahap itu. Bahasa Arab pula memerlukan lebih banyak ruang, tetapi tulisan Arab lazimnya menggugurkan huruf vokal. 

Pemberontakan Arab menyaksikan perkembangan pesat ciak-ciak di Timur Tengah pada tahun lalu.  Bahasa Arab adalah kini menjadi kelapan yang paling digunakan dalam Twitter, dengan lebih dua juta ciak-ciak awam setiap hari. Sementara bahasa Sepanyol dan Portugis merupakan dua bahasa Eropah yang paling kerap digunakan dalam Twitter selepas bahasa Inggeris, mempunyai kepandaian untuk mengurangkan jumlah huruf. 

Bahasa lain yang turut dibandingkan ialah bahasa Hungary, Italy, Jerman, Perancis, Rusia, Tagalog,  Indonesia, dan Urdu.



Friday, March 30, 2012

Shimon Peres: Perdamaian, Pemberontakan Arab, dan Nuklear Iran

JUMAAT,  30 Mac 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Dalam ruangan "10  Questions" keluaran terbaharu Time, terkandung temu bual dengan Presiden dan bekas Perdana Menteri Israel, Shimon Peres.  Berhubung dengan persetujuan perdamaian Oslo, beliau menafikan usaha itu gagal dan bukan juga berakhir. Tegas beliau, perdamaian akan menjadi kenyataan dalam dekad mendatang.  

"Jika kita mampu menggembleng semua muhibah yang perlu, kita dapat mencapai perdamaian lebih awal kerana wadah  telah diketahui, prinsip telah pun dipersetujui" jelas beliau.

Peres berasa optimis terhadap Pemberontakan Arab yang mewujudkan kerajaan dikuasai oleh golongan Islam di Tunisia dan Mesir.  Bagi beliau, Islam mempunyai tafsiran yang berbeza: Islam lembut, Islam kuat, dan Islam ekstrem. "Justeru, kita perlu melihat apakah tafsiran mereka tentang hubungan dengan Israel." 

Berhubung tindakan terhadap Iran yang dikatakan membina kemudahan nuklear, Peres nampaknya menolak keutamaan Israel untuk menyerang Iran terlebih dahulu.  "Jika anda dapat melakukannya melalui sekatan ekonomi atau sekatan politik, langkah itu lebih baik."  Namun tambah beliau, "Saya tidak fikir bahawa anda  perlu memberitahu segala-gala yang anda ingin lakukan" sambil menafikan bahawa Israel berhasrat mengeluarkan senjata nuklear.  Di sini, Peres menceritakan kisah kecil dengan Amr Moussa, Menteri Luar Mesir ketika itu. "Satu hari, beliau  datang bertemu saya dan berkata, 'Simon, kita kawan baik.  Bawa saya ke Dimona untuk melihat apakah yang ada di sana.  Saya menjawab, 'Amr, adakah anda gila? Jika saya bawa anda ke sana, dan anda dapati tidak ada apa-apa.  Anda akan berhenti daripada takut, maka saya tidak ada kerja lagi.'" 

Temu bual itu juga menyentuh kewujudan kira-kira enam juta orang Yahudi yang merupakan warganegara Israel dan lebih tujuh orang Yahudi yang tidak menjadi warganegara Israel. Satu juta rakyat Israel tinggal di luar negara. "LIhat," jelas Peres, "kami wujud selama 4000 tahun, 2000 tahun dalam diaspora, dalam buangan.  Tidak ada orang di Timur Tengah yang bertutur dalam bahasa asal mereka, kecuali Israel." 

Shimon Peres juga menjawab pertanyaan tentang penyertaan beliau dalam Facebook dan hubungan Turki dengan negaranya.  Beliau mempertahankan tindakan tentera yang menyebabkan kematian rakyat Turki di atas kapal Mavi Marmara pada tahun 2010. "Saya menemui setiap tentera Israel yang berada di atas kapal itu.  Mereka melakukan yang terbaik tidak membunuh setiap orang.  Apa yang berlaku, mereka mempertahankan diri."


Pemulihan: Terlalu Awal untuk Mengisytiharkan Kemenangan

JUMAAT,  30  Mac 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH
Tatkala paluan gendang pemulihan semakin rancak, Immanuel Wallerstein menulis dalam laman Webnya, meragui bahawa kemelesetan (recession) telah berakhir. Dalam tulisan awal Januari tahun lalu, beliau mempersoalkan siapa yang memperolokkan siapa? Meskipun media memaklumkan bahawa "krisis" ekonomi sudah berakhir, dan ekonomi-dunia kembali kepada ragam pertumbuhan dan keuntungannya, beliau mengingatkan bahawa "seperti yang saya katakan berulang-ulang kali, kita bukannya dalam kemelesetan, tetapi dalam depression."  Selain Wallerstein,  Robert Reich  turut berbicara dengan nada yang sama dengan mempersoalkan "pemulihan  siapa"? - membayangkan pemulihan yang diwar-warkan itu sekadar memberikan kepada sebilangan kecil golongan


Apabila ekonomi mengalami kebekuan,  kadar pengangguran masih tinggi, pendapatan tidak meningkat, dan pertumbuhan perlahan, orang mula meragui bahawa pemulihan pada laluan yang betul. Meskipun krisis Eropah menghampiri pengakhiran, untuk Amerika Syarikat, Pengerusi Rizab Persekutuan, Ben Bernanke, memberikan amaran  bahawa pemulihan negara itu tidak dipastikan.  


Bernanke yang memetik "pucuk hijau" pemulihan di Amerika Syarikat pada Mac 2009 hanya menyaksikan kadar pengangguran di negara beliau meningkat kepada 10 peratus tujuh bulan kemudian.  Bagi beliau, "terlalu awal untuk mengisytiharkan kemenangan."  Kadar pengangguran masih terlalu tinggi dan penggubal dasar tidak menolak opsyen seterusnya untuk merangsang ekonomi. Bernanke masih belum yakin tentang kekuatan dan tahan lama pemulihan ini, terutama sekali kerana sesuatu menyamai berlaku pada akhir tahun 2010 dan permulaan 2011.  Banyak kekenduran dalam pasaran buruh Amerika Syarikat. 


Bagi Eropah pula, United Kingdom misalnya, yang baru sahaja  dimaklumkan mengalami penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku keempat tahun 2011, diisytiharkan oleh Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) kembali semula kepada kemelesetan pada tahun 2012.  OECD menjangkakan bahawa outuput negara akan merosot 0.4 peratus dalam tiga bulan pertama ini pada asas tahunan. 


Sementara di zon euro, Greece yang nampaknya dapat menarik nafas lega sekurang-kurangnya untuk seketika, perhatian tertumpu pula pada Portugal yang dijangkakan terjebak ke dalam kancah masalah  kedua terbesar. Dengan kata lain, Portugal akan menyusuli Greece pada akhir tahun ini. Sementara jangkitan Sepanyol menimbulkan kebimbangan terhadap negara jirannya di zon euro, kini tercetus mogok umum yang boleh memburukkan lagi ekonomi negara itu.  


Betulkah berlaku pemulihan? Soal The Economist dengan keraguan kerana meskipun tinjauan untuk ekonomi dunia lebih baik daripada keadaan sebelum ini, risiko besar masih berlegar-legar.  Pertumbuhan global terjejas oleh rasa kurang gembira ekonomi sedang muncul, di samping kemelesetan di Eropah, masih berkemungkinan lebih perlahan tahun ini jika dibandingkan dengan tahun 2011. 


Selalu benar sejak krisis kewangan tahun 2008, jelas majalah itu, harapan para pelabur untuk pertumbuhan yang kuat dan berpanjangan dihampakan, sama ada oleh nasib malang (peningkatan harga minyak), dasar yang teruk (terlalu banyak jimat-cermat belanjawan yang terlalu pantas), ataupun realisasi yang menyakitkan bahawa pemulihan selepas kehancuran aset pada amnya,  lemah dan mudah dan rapuh.


Ekonomi Amerika secara keseluruhan berkemungkinan akan tumbuh pada kadar trend, iaitu sekitar 2.5 peratus.  Kadar ini jauh lebih rendah daripada yang mungkin dijangkakan selepas kemelesetan normal; tetapi selepas krisis kewangan, apabila para pengguna dibebani oleh hutang, maka pemulihan cenderung menjadi anemia.  Tahap pertumbuhan tidak mengurangkan kadar pengangguran dengan pantas, tetapi akan berlaku penambahbaikan pada tahun 2011,  dan  lebih penting, merupakan langkah pertama ke arah pemulihan pemulihan mapan diri. Sebaliknya, Eropah masih dalam perjalanan yang jauh untuk pemulihan.


Rana Foroohar dan Bill Saporito yang menulis dalam Time keluaran terbaharu (hanya pelanggan majalah ini dapat akses dalam talian),  menegaskan pemulihan Amerika adalah perlahan, kadang-kadang baik, kadang-kadang tidak, dan anemia.  Dan pemulihan ini tidak cukup kuat untuk merangsang ekonomi dunia. "Ingat pemulihan Amerika Syarikat?" Tanya Foroohar dan Saporito yang menjelaskan bahawa secara rasmi, berlaku pada pertengahan tahun 2009, iaitu 18 bulan selepas sistem kewangan dan setiap yang lain dalam ekonomi Amerika musnah.  Akan tetapi, banyak tidak menyedarinya kerana mereka tidak merasainya dan kadar pengangguran masih lebih lapan peratus. 


Beberapa  minggu lalu, tanda pengembangan ekonomi Amerika kelihatan di mana-mana sahaja, lalu mendorong Jim O'Neill, Ketua Ahli Ekonomi di Goldman Sachs untuk menegaskan: "Ekonomi Amerika Syarikat kembali kepada kenormalan."  Namun, hujah Foroohar dan Saporito, takrif kenormalan (tanda condong adalah oleh kedua-dua penulis itu) banyak berubah dalam dua dekad lalu.  Dari segi teknikal, Amerika Syarikat dalam pengembangan kerana output kini menggerhanai puncaknya pada tahun 2007. Akan tetapi, dari segi praktik, hujah mereka, "tidak pernah berlaku pemulihan."


Jelas kedua-dua penulis ini, pertumbuhan pendapatan tidak wujud, Amerika masih mempunyai AS$3.7 trilion rumah yang masih belum terjual, dan 5.3 juta pekerjaan kurang untuk guna tenaga penuh. Hakikatnya, setiap pemulihan sejak tahun 1990 adalah lemah dan memakan masa.  Mereka memetik McKinsey Global Institute bahawa dari Perang Dunia Kedua ke tahun 1990, guna tenaga Amerika Syarikat kembali kepada tahap prakemelesetan kira-kira dua suku selepas KDNK berkembang. Dalam tiga pemulihan sejak itu, tertinggal lebih jauh.  Pada kadar pewujudan pekerjaan sekarang, maka memerlukan 33 bulan lagi untuk memulihkan pekerjaan yang hilang pada tahun 2008 dan 2009 (tanda condong adalah oleh kedua-dua penulis itu). 


Ringkas, pemulihan tidak seindah seperti yang dibayangkan, dan oleh itu, jangan tergesa-gesa untuk meraikannya.   Memetik Ben Bernanke sekali lagi, "terlalu awal untuk mengiystiharkan kemenangan."  Justeru, pertempuran masih terbuka luas di hadapan yang pasti tidak dapat dielakkan.  



Thursday, March 29, 2012

Pelayaran Tenang di Laut China Selatan?

KHAMIS, 29  Mac 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Kehadiran China secara agresif di Laut China Selatan dikhuatiri boleh menggugat kestabilan serantau.  Beberapa buah negara Asean, seperti Filipina dan Vietnam melahirkan rasa kurang senang dan menunjukkan protes mereka terhadap sikap China ini. China bersama-sama enam lagi negara lain mengemukakan tuntutan masing-masing di samudera yang berkemungkinan mencetuskan Perang Dingin baru. Ketegangan di Laut China Selatan sejak akhir-akhir ini menyaksikan berlakunya perlumbaan senjata di rantau ini.

Sementara Amerika Syarikat bersedia menawarkan diri untuk membantu beberapa negara di rantau ini demi menyeimbangi China. Bahkan, Amerika Syarikat dalam usaha untuk mengekang kuasa China, pergi lebih jauh lagi, iaitu mengadakan kerjasama ketenteraan dengan Australia.

Pertembungan di Laut China Timur dan Laut China Selatan, menurut Michael T. Klare,  berpunca daripada perebutan untuk menguasai rizab yang sangat besar, iaitu minyak dan gas asli. Di Laut China Timur, antara China dengan Jepun, manakala di Laut China Selatan, antara China, Filipina, Vietnam, Malaysia, Brunei, dan Indonesia. 


Namun, seperti yang dibahaskan oleh  M. Taylor Fravel dalam Foreign Affairs, Beijing  tidak mungkin bersifat pendesak jika bahawa keinginan  negara Asia Tenggara  untuk mengeratkan lagi hubungan dengan Amerika Syarikat. 

Tanda pertama pendekatan baru China, jelas Fravel, muncul pada Jun lalu, apabila Hanoi menghantar duta khas ke Beijing untuk berbincang tentang pelbagai pertikaian maritim kedua-dua negara itu. Usaha ini menghasilkan perjanjian pada Julai 2011 antara China dengan 10 buah negara Asean untuk akhirnya melaksanakan perisytiharan tatakelakuan mereka yang mulanya dirangka pada tahun 2002 selepas tercetusnya beberapa peristiwa di Laut China Selatan. 

Sejak musim panas, pegawai kanan Cina, terutamanya pemimpin politik atasan, seperti Presiden Hu Jintao dan Perdana Menteri Wen Jiabao, berulang-ulang kali menegaskan semula garis panduan mendiang Deng Xiaoping untuk menangani konflik maritime China untuk menumpukan perhatian terhadap kerjasama ekonomi, meskipun melengahkan penyelesaian akhir tuntutan yang mendasari itu. Pada Ogos 2011 misalnya, Presiden Hu membangkitkan pendekatan Deng dengan menyatakan bahawa "keprihatinan China mungkin mengetepikan pertikaian dan secara aktif meneroka bentuk pembangunan bersama di kawasan laut yang relevan. 

China beralih kepada pendekatan lebih sederhana, jelas Fravel bahawa Beijing akhirnya menyedari bahawa sifat pendesak adalah merosakkan kepentingan dasar luarnya yang lebih luas. Satu prinsip strategi besar semasa China adalah untuk mengekalkan hubungan baik dengan kuasa besar, jiran-jiran terdekatnya, dan dunia membangun.  Melalui tindakannya di Laut China Selatan, China melemahkan prinsip ini dan mencemarkan imej mesra di Asia Tenggara yang negara itu berusaha untuk memupuk pada dekad sebelum ini. Tindakan China itu juga melahirkan kepentingan yang dikongsi dalam kalangan negara di rantau ini dalam menentang China, dan mendorong negara berkenaan untuk mendapatkan sokongan Washington. Tindak-tanduk China itu memberikan rasional yang kuat untuk penglibatan Amerika Syarikat yang lebih luas di rantau ini dan memasukkan pertikaian di Laut China Selatatan dalam hubungan Amerika Syarikat-China.

Flavel mengakhiri tulisannya dengan memberikan sebuah harapan yang cerah untuk rantau ini:  Sama ada pendekatan baru berkekalan dalam jangka panjang, sekurang-kurangnya menunjukkan bahawa China, jika negara itu mahu, mampu menentuukurkan semula dasar luarnya. Hal ini merupakan berita baik untuk kestabilan di rantau ini.


Wednesday, March 28, 2012

Ekonomi United Kingdom Sakit?

KHAMIS,  29 Mac 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Data terbaharu membawa gambaran yang berbeza.  Di Amerika Syarikat, dilaporkan pesanan barang tahan lama meningkat 2.2 peratus pada bulan Februari, berikutan peningkatan peningkatan permintaan terhadap kereta, komputer, dan kelengkapan modal. Walau bagaimanapun, peningkatan ini masih rendah jika dibandingkan dengan yang diunjurkan iaitu 3.6 peratus. 

Sementara ekonomi United Kingdom, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dilaporkan  menguncup 0.3 peratus dalam suku keempat tahun 2011.  Penguncupan ini lebih besar jika dibandingkan dengan yang dianggarkan, iaitu 0.2 peratus.  Pertumbuhan United Kingdom secara keseluruhan disemak menurun kepada 0.7 peratus, selepas sebelum ini dijangkakan mencecah 0.8 peratus.  Pada tahun 2012, ekonomi negara itu dianggarkan tumbuh hanya 0.8 peratus.  Kebanyakan ahli ekonomi yang  memikirkan bahawa United Kingdom dapat mengelakkan satu lagi kemelesetan, yang ditakrifkan mengalami penguncupan dua suku tahun berturut-turut. 

Bil yang meningkat dan gaji yang dibeku,  menurut Pejabat Perangkaan Negara (ONS), bermakna bahawa pendapatan boleh guna isi rumah sebenar jatuh sebanyak 1.2 peratus tahun lalu, kejatuhan tahunan terbesar dari segi kuasa beli sejak tahun 1977. Kejatuhan ini bermakna setiap isi rumah di United Kingdom mmepunyai kurang kira-kira 430 paun untuk berbelanja tahun lalu jika dibandingkan dengan tahun 2010.  Tinjuan yang muram bermakna bahawa isi rumah akan "berasa tersepit" untuk beberapa ketika kerana ekonomi masih lembap. 

Pastinya, ahli ekonomi mempunyai pendirian atau pandangan yang berbeza tentang penguncupan KDNK itu. "Gambaran besar tentang ekonomi United Kingdom terus-menerusi mengecewakan," tulis Jeremy Warner yang mengingatkan bahawa negara itu terpaksa berhempas pulas untuk meninggalkan ketagihannya terhadap penggunaan.  Ekonomi Britain mengalami kejatuhan yang lama, tegas The Economist, sebaik-baik sahaja dimaklumkan bahawa KDNK negara itu merosot.  Prestasi Britain sejak kemerosotannya bermula pada tahun 2008 kini kelihatan lebih teruk daripada Kemelesetan Besar, dan menunjukkan beberapa tanda penambahbaikan tidak berapa lama lagi. 

Sementara itu, Larry Elliott menulis dengan nada yang keras, "sama ada kemelesetan teknikal ataupun tidak, ekonomi United Kingdom sakit."  Berita bahawa kejatuhan output dalam tiga bulan terakhir tahun 2011 adalah lebih besar daripada anggaran asal memeranjatkan City. Semakan daripada kejatuhan 0.2 peratus kepada kejatuhan 0.3 peratus bermakna sekadar berkembang 0.7 peratus pada tahun lalu. Tegas beliau,  prospek untuk tahun 2012 tidak lebih baik. 

"Hakikatnya," tulis Elliott, "tidak penting, sama ada ekonomi dari segi teknikal dalam kemelestan ataupun tidak.  Yang jelas, keadaan ini ialah satu ekonomi yang sakit dan satu pengajaran daripada penyemakan anggaran ini daripada ONS bahawa anda benar-benar hilang wang oleh perasaan pesimistik tentang United Kingdom."

Meskipun kemerosotan KDNK ini berbetulan dengan keterukan krisis hutang kedaulatan di zon euro, hakikatnya tegas beliau, "faktornya ialah kelemahan penggunaan isi rumah, yang menyebabkan syarikat keberatan untuk melabur. Pada tahun 2011, pendapatan isi rumah sebenar (diselaraskan dengan inflasi) jatuh sebanyak 1.2 peratus."

Dengan langkah kerajaan British untuk melakukan pemotongan sehingga membangkitkan gerakan antijimat-cermat sebagai tanda penentangan rakyat,  pastinya melemahkan lagi kuasa beli dan penggunaan isi rumah. Belanjawan negara itu, seperti yang dibahaskan oleh editorial The Guardian, gagal meningkatkan taraf hidup golongan yang memerlukannya, dan dalam konteks negara kebajikan, golongan miskin terpaksa menanggung beban kerana defisit. 


Penguncupan KDNK United Kingdom itu membangkitkan persoalan adakah benar bahawa krisis Eropah hampir berakhir, seperti yang diyakini oleh para pemimpin benua itu. 


Soros Gasak Fundamentalisme Pasaran

RABU, 28  Mac 2012
Oleh:  ZULKIFLI   SALLEH


Dalam buku terbaharunya, Financial Turmoil in Europe and The United States:  Essays, dalam pengenalan,  George Soros   mengkritik fundamentalisme pasaran.  Sepintas lalu, pastinya memeranjatkan apabila orang, seperti Soros   mengkritik pasaran yang menjadikan beliau kaya-raya. Namun, bagi mereka yang mengikuti tulisan spekulator mata wang itu, tentunya tidak berasa terkejut kerana  beliau pernah menggasak kapitalisme dalam The Crisis of Global Capitalism.  

Berikutan krisis kredit, beliau mengkritik paradigma pasaran kewangan yang diterima umum bahawa pasaran cenderung ke arah keseimbangan dan penyelewengan daripada keadaan itu adalah rawak, tegas beliau adalah kedua-dunya, iaitu palsu dan mengelirukan, seperti yang beliau bahaskan dalam The New Paradigm for Financial Markets:  The Credit of 2008 and What it Means

Dalam buku terbaharunya yang merupakan himpunan makalah beliau, Soros membangkitkan bahawa berikutan pemilihan Ronald Reagan sebagai Presiden Amerika Syarikat dan Margaret Thatcher Perdana Menteri United Kingdom, fundamentalisme pasaran menjadi kepercayaan dominan di dunia. Puak fundamentalis pasaran percaya bahawa pasaran kewangan akan memastikan peruntukan optimum sumber sekiranya kerajaan berhenti campur tangan dalam pasaran.  Mereka memperoleh kepercayaan itu daripada hipotesis pasaran cekap dan teori jangkaan rasional.  

"Doktrin ini yang difahami oleh beberapa orang sahaja," tulis Soros, "berasaskan andaian tertentu yang mempunyai kerelevanan yang sedikit dengan dunia sebenar, walau bagaimanapun, doktrin ini sangat berpengaruh." Doktrin ini bahas beliau, menguasai jabatan ekonomi di universiti Amerika yang terkenal dan dari sana, merebak jauh dan meluas.  Pada tahun 1980-an, doktrin ini menjadi panduan dasar di Amerika Syarikat dan United Kingdom.  Kedua-dua buah negara ini memulakan pembatalan kawal dan mengglobalisasikan pasaran kewangan. Inisiatif ini merebak, seperti virus. 

Seterusnya, Soros menegaskan bahawa "malangnya, kepercayaan asas fundamentalisme pasaran memang jelas silap.  Pasaran kewangan jika dibiarkan kepada perantinya sendiri, tidak semestinya cenderung ke arah keseimbangan."  Beliau mengingatkan bahawa sejarah menunjukkan bahawa pasaran kewangan wujud, pasaran ini sentiasa memacu krisis kewangan.  Setiap krisis mendorong respons daripada pihak berkuasa.  Maksudnya, bagaimana pasaran kewangan dimajukan, bergerak seiringan dengan perbankan pusat dan kawal selia pasaran.

Dengan mengkritik fundamentalisme pasaran, maka George Soros boleh diletakkan "sekapal" dengan ahli ekonomi dan pengulas yang lain, antaranya Joseph Stiglitz, Paul Krugman,  Roger Bootle, Robert Skidelsky,  Nouriel Roubini,  John Cassidy, dan beberapa intelektual Marxis,  seperti Samir Amin,  Immanuel Wallerstein, Robert Brenner,  John Bellamy Foster, dan David Harvey.   


Tuesday, March 27, 2012

Akhbar dalam Talian Menjangkau Khalayak Global

SELASA, 27  Mac 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Pada awal Februari lalu, blog ini muncul dengan akhbar dalam talian paling popular bahawa  antara begitu banyak akhbar yang dapat diakses, The Daily Mail,  akhbar dalam talian  paling popular di dunia, mengatasi akhbar terkemuka,  seperti The New York Times, USA Today, dan The Wall Street Journal.  

Seterusnya, The Economist, baru-baru ini muncul dengan liputan bahawa demi kelangsungan, akhbar dalam talian terpaksa mencari khalayak di seluruh pelosok dunia.  "Pada Januari," tulis majalah itu, "The New York Times hilang kedudukan teratas dalam penarafan comScore sebagai laman Web akhbar terbesar di dunia kepada Daily Mail Britain,"  sambil mengingatkan "pertarungan menjadi semakin besar menggambarkan fenomena yang berkembang:  penerbitan  berita nasional memasuki global." 

Jelas majalah itu, hanya satu perempat pembaca dalam talian Daily Mail adalah di Britain. The Guardian yang memenuhi para pembaca yang meminati berita yang cenderung kepada kiri dan serius berbanding dengan kecabulan sayap kanan Daily Mail, mempunyai satu pertiga di Britain dan satu pertiga lagi di Amerika. Pesaing utama kedua-dua akhbar Britain ini ialah dua penerbitan Amerika, iaitu The New York Times, yang seperti The Guardian, menyasarkan para pembaca berita serius, dan The Huffington Post, yang sejak pelancarannya pada tahun 2005 muncul sebagai laman terbesar antara empat akhbar itu (akhbar ini tidak tergolong dalam kategori "akhbar" comScore). 

The Huffington Post direka untuk jangkauan perhatian yang pendek generasi yang berhubung secara dalam talian dan ketagihan kepada media sosial.  Daripada empat akhbar itu, The Huffington Post  baru-baru ini mampu meningkatkan "kelembapannya," bilangan cerita setiap pelawat baca.  Dan akhbar ini mencampurkan kedua-duanya, iaitu berita keras dan tidak berisi (kebanyakannya ditulis semula daripada sumber lain, meskipun meningkatkan jumlah ialah berita asal) dengan longgokan pendapat yang murah hati oleh bloger jemputan.

Berbanding dengan akhbar Amerika, akhbar British yang besar, dibangunkan sebagai saluran berita nasional, menggunakan kecondongan politik untuk membezakan diri mereka dalam pasaran yang bersaing.  Maka, juga, kejayaan The Guardian dan Daily Mail di Amerika.  Seperti saluran Fox News temui sebelum ini, banyak orang Amerika menggemari sumber berita mereka yang mempunyai kecondongan politik. 

Jelas The Economist lagi, kedua-dua akhbar Amerika itu, kurang global jika dibandingkan dengan pesaing akhbar British mereka, dengan tiga perempat dan dua pertiga pembaca  masing-masing adalah di Amerika. Akan tetapi, perkadaran itu juga menghala ke arah penurunan. 

Saluran berita global, tegas majalah itu, pastinya bukan sesuatu yang baru:  BBC, CNN, dan al-Jazeera, di samping Financial Times, The Wall Street Journal, dan bahkan The Economist, sudah lama menyasarkan khalayak di seluruh dunia, dan wayar berita, seperti Reuters dan Blomberg menawarkan dalam talian secara besar-besaran dan percuma. Akan tetapi, pasa depan, memetik hujah Ken Doctor, penganalisis media di Outsell, sebuah firma perunding, "akan wujud sebilangan kecil saluran berita nasional dalam talian.  Kebanyakannya akan, sama ada mencari cara baru untuk menghasilkan wang daripada khalayak tempatan yang kecil, ataupun cuba menjadi besar di peringkat global sedapat  yang mungkin.

Keempat-empat akhbar yang diperkatakan itu, mempunyai pertaruhan yang berbeza. Edaran bercetak Daily Mail ialah dua juta, menduduki tempat kedua selepas tabloid Sun di Britain, dan kemerosotan edaran adalah perlahan jika dilbandingkan dengan kebanyakan akhbar lain. Akhbar ini masih menghasilkan keuntungan yang memuaskan.  The Guardian dan The New York Times kehilangan pembaca dengan cepat, kos kewartawanan yang berpengaruh meningkat tinggi, dan meskipun syarikat pemegangan mereka baru-baru ini menghasilkan keuntungan, hasil yang merosot membimbangkan.



Bagi The Guardian, seperti yang dibahaskan oleh Charlie Beckett, jelas bahawa pembaca teras melihat jenama akhbar ini sebagai lebih daripada hanya kewartawanan, iaitu sebahagian kehidupan peribadi dan sosial mereka.  Apabila ditanya untuk menjelaskan The Guardian, mereka menggunakan perkataan, seperti "jujur," "terbuka," "pintar," "pelbagai," "liberal," "bangga diri."  Sememangnya, bahasa yang sama kita mungkin gunakan tentang hubungan manusia, persahabatan atau bahkan keluarga. 

Sebagaimana makalah dalam The Economist itu,  Beckett juga menyatakan bahawa berjuta-juta orang membaca The Guardian dalam talian berbanding edisi bercetak.  Jualan bercetak merosot setiap tahun pada kadar unjuran 12 peratus, manakala trend  digital akan menguasai. Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa "meninggalkan edisi bercetak mungkin menjimatkan kos, tetapi juga menimbulkan masalah untuk pembaca The Guardian yang setia" dengan memetik seorang pembaca lama yang berkata:  "Jika kita tidak mempunyai akhbar, kita tidak berbual antara satu sama lain ketika sarapan."

Bagi Beckett, dalam masa depan digital, The Guardian mesti mengubah para pembacanya menjadi sumber.


Monday, March 26, 2012

Kapitalisme Gaya Asia Menyelamatkan Barat?

SELASA,  27  Mac 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Tatkala krisis ekonomi melanda dunia kira-kira empat tahun lalu, perhatian tertumpu terhadap Asia, paling tidak dua negara,  iaitu China dan India.  Kedua-dua negara BRIC ini berjaya mengharungi kemelesetan global, diharapkan mengeluarkan dunia daripada kemelesetan terburuk sejak Perang Dunia Kedua. Tanpa menafikan bahawa pakej rangsangan ekonomi yang dilaksanakan oleh banyak negara, termasuk Amerika Syarikat, China, dan bahkan  Malaysia tidak terkecuali, membolehkan dunia keluar daripada kemelesetan.  Walau bagaimanapun, dalam konteks Amerika Syarikat, Dean Baker yang menulis dalam The Guardian, menafikan bahawa pegawai Rizab Persekutuan dan Pentadbiran Obama menyelamatkan negara  itu daripada Kemelesetan Besar kedua. 

Tatkala Eropah terus bergelut dengan krisis hutang, harapan diletakkan pada China agar menyelamatkan benua itu daripada terjebak dalam krisis yang berpanjangan. Walaupun Eropah mencari jalan penyelesaian sendiri, melalui troika, iaitu Kesatuan Eropah, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), dan Bank Pusat Eropah (ECB), cakap-cakap tentang Asia menyelamatkan Barat masih belum reda. 

Banyak  orang Asia, seperti yang dibahaskan oleh Michael Schuman dalam Time, percaya bahawa sistem ekonomi lebih hebat daripada sistem ekonomi Amerika Syarikat dan Eropah, dan bahawa para penggubal dasar di Washington, London, dan Berlin, sepatutnya bangun dan memberikan perhatian. Selama berdekad-dekad, Asia dilatih dalam kekaguman  tentang kapitalisme oleh Barat, dan mendapat manfaat yang besar.  Kini, banyak orang Asia percaya bahawa, masa telah tiba untuk Barat belajar daripada Asia.

Schuman memetik tulisan  Kishore Mahbubani dalam blog Financial Times, yang menegaskan bahawa kapitalisme gaya Asia merupakan penyelesaian kepada duka nestapa Barat. Di sebalik keyakinan Mahbubani, namun Schuman mengemukakan persoalan yang sukar dijawab:  Apakah pengajarannya?  Mampukah Asia benar-benar mengembalikan untuk nasib ekonomi Barat?


Bagi Schuman, bukan sesuatu yang baru untuk mencadangkan Barat belajar daripada Asia kerana hal seperti ini pernah diketengahkan oleh Ezra Vogel pada tahun 1979 dalam bukunya, Japan as Number One.  Lagipun, beliau sendiri pernah tinggal di beberapa tempat di Asia selama 16 tahun, juga percaya bahawa negara lain di dunia dapat belajar banyak perkara besar daripada kebangkitan Asia. Akan tetapi, beliau mengemukakan persoalan:  Bagaimana dengan kapitalis Barat? 


Bagi sesiapa yang membaca tulisan Schuman itu, pastikan tertanya-tanya:  Apakah kapitalisme Asia sebenarnya?  Dalam hubungan ini, beliau menjelaskan bahawa banyak penganalisis melakukan kesilapan pemikirkan bahawa setiap negara Asia yang mengalami pertumbuhan yang pesat mengikuti dasar yang sama, yang tidak betul secara keseluruhannya, tetapi wujud juga kesamaannya: (1)  Para penggubal dasar Asia tidak mempercayai pasaran bebas; (2)  Kerajaan Asia secara tradisinya mengelakkan daripada program kebajikan meluas yang popular di Barat; (3) semua ekonomi Asia terlalu memikirkan eksport; dan (4), dasar Asia cenderung mengutamakan industri berbanding dengan perkhidmatan dan pelaburan berbanding dengan penggunaan untuk memacu pertumbuhan.


Selepas mencatatkan kesamaan itu, Schuman mengemukakan persoalan:  Justeru, bagaimana  kapitalisme "Asia" ini mampu menyelamatkan Barat?  Sekali lagi beliau merujuk hujah Mahbubani bahawa Barat perlu menerima pakai sikap berorientasikan hasil Asia ke arah campur tangan kerajaan dalam ekonomi.  "Barat, tegas Mahbubani, "mesti menjadi kurang dipengaruhi dari segi ideologi untuk memikirkan pasaran menyelesaikan masalah lebih baik jika dibandingkan dengan kerajaan, dan lebih bersedia untuk melihat negara sebagai kuasa positif yang berpotensi dalam mencapai hasil ekonomi." 


Kesilapan pertama Barat jelas Mahbubani, adalah menganggap kapitalisme sebagai ideologi yang baik, bukannya sebagai instrumen pragmatik untuk meningkatkan kebajikan manusia.  Alan Greenspan berkemungkinan mangsa yang sangat besar atas keyakina ideologi bahawa pasaran selalunya mengetahui sesuatu dengan lebih baik. 


"Akan tetapi," jelas beliau lagi, tidak ada masyarakat Asia, bahkan Jepun yang menjadi mangsa  keyakinan ideologi ini. Sebaliknya, orang Asia percaya bahawa tidak ada masyarakat dapat hidup makmur dan sejahtera tanpa tadbir urus kerajaan.  Untuk kapitalisme untuk berfungsi dengan baik, kerajaan perlu memainkan peranan kawal selia yang penting dan memikul peranan penyeliaan."


Berhubung dengan penglibatan  kerajaan, Schuman nampaknya menyanggah pendirian Mahbubani:  "Pada pendapat saya, banyak penganalisis memperbesar-besarkan peranan kerajaan dalam sejarah pertumbuhan Asia.  Seperti yang pernah saya bahaskan dengan panjang lebar dalam buku saya, The Miracle:  The Epic Story of Asia's Quest for Wealth, fakro sebenar kebangkitan rantau ini ialah perusahaan swasta, perdagangan bebas dan keusahawanan, dan bukannya pembangunan yang 'diterajui oleh negara.'  Memang benar bahawa campur tangan negara membantu memulakan pertumbuhan, dan  dasar perindustrian tertentu membantu memajukan sebilangan kecil sektor khusus.  Akan tetapi, negara cenderung mewujudkan banyak malapetaka jika dibandingkan dengan kejayaan, seperti yang berlaku dalam krisis ekonomi di Jepun dan Korea Selatan."


Bahas Schuman lagi, "Asia menggunakan kuasa pasaran untuk membetulkan herotan sistem negaranya, dan bukan sebaliknya.  Justeru, saya tidak yakin bahawa kerajaan di Barat sepatutnya meniru kecenderungan kerajaan Asia untuk memanipulasikan dan mengawal kapitalisme." 


Schuman tidak bersetuju dengan Mahbubani berhubung dengan kapitalisme dan kebajikan masyarakat bahawa kapitalisme Asia melakukan lebih baik dari segi melindungi pekerja dan memupuk kesamaan. Dalam hubungan ini, Schuman dengan memetik sumber CIA,  membangkitkan bahawa ketidaksamaan pendapatan bahawa di China dan Singapura sangat sama dengan dengan di Amerika Syarikat, di Hong Kong lebih tinggi, dan di Korea Selatan dan Jepun, ketidaksamaan adalah lebih rendah. Seterusnya, beliau berhujah bahawa kerajaan Asia tidak mewujudkan jaringan keselamatan sosial yang cukup.  Faedah pengangguran dan program kebajikan lain cenderung untuk tidak seberapa, memindahkan beban kepada syarikat dan keluarga.  


Walau bagaimanapun, Schuman mengakui bahawa kapitalisme Asia mengutamakan pewujudan pekerjaan dan guna tenaga, dan di sini Barat dapat belajar sedikit sebanyak daripada Asia.  Apabila keadaan menjadi buruk, dorongan pertama Asia Inc., adalah tidak memberhentikan sejumlah pekerja dan memindahkan tanggungjawab untuk mereka kepada masyarakat secara keseluruhan.


Mengenai ketidaksamaan di Asia, Frederic Neumann menulis pada awal bulan ini, adalah pada tahap bahaya. Sepanjang dekad lalu, Asia mengalami tahap rendah secara relatifnya dari segi ketidaksamaan.  Keadaan ini berubah.  Ketaksamaan pendapatan kini meningkat dengan pantas berbanding dengan dahulu dan meningkat dengan ketara jika dibandingkan dengan tempat-tempat lain. 


Schuman mengakhiri tulisannya dengan mengakui bahawa mungkin Barat dapat diselamatkan oleh kapitalisme Asia, jika demikian bermakna mengetepikan pertengkaran politik dan astaka besar ideologi dan melakukan apa-apa sahaja yang perlu untuk mewujudkan kemakmuran dan kesejahteraan. 



Sunday, March 25, 2012

Mendakap Model Kerepot

ISNIN, 26  Mac 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Empat hari lalu, berlegar dalam Twitter bahawa Pope Benedict XVI yang dalam rangka lawatan ke Cuba, menyarankan agar negara itu meninggalkan komunisme. Beliau dilaporkan berkata bahawa Marxisme sudah tidak ada tempat di dunia sezaman dan menggesa rakyat Cuba mencari "model baru."  



Teguran beliau itu, seperti yang diperkatakan oleh John Hooper dalam The Guardian, sekurang-kurangnya seterus terang seperti yang dilakukan oleh pemimpin sebelum beliau, iaitu John Paul II, dalam lawatan pecah tanah ke Cuba 14 tahun lalu.  Menjawab pertanyaan tentang lawatannya ke Cuba, yang masih kekal menjadi kubu komunis sejak lebih 50 tahun, Benedict berkata:  "Hari ini terbukti bahawa ideologi Marxis dari segi cara ideologi difikirkan tidak lagi secocok dengan realiti."

Sejak Kesatuan Soviet berkecai lebih 20 tahun lalu, Cuba dikatakan tinggal keseorangan.  Rusia bersama-sama negara Eropah Timur,   tunduk pada kapitalisme, manakala China  diperhatikan,  ghairah mendakap neoliberalisme: penswastaan, pembatalan kawal selia, dan liberalisasi.  Kemboja, seperti yang dilaporkan dalam Bloomberg Businessweek,  mendakap kapitalisme melalui tawaran awam permulaan (IPO) pertama sejak Pol Pot. 

Cuba yang kini di bawah kepimpinan Raul Castro, seperti yang diperkatakan oleh Jens Glusing,  terbuka selera terhadap pasaran bebas akhir-akhir ini apabila beliau memperkenalkan pembaharuan pasaran.  Gereja Katolik menyokong usaha ini, dan lawatan  Pope Benedict  merangsang usaha untuk membuka negara itu.   Castro dikatakan mahu menggabungkan ekonomi dikendalikan negara dengan pembaharuan berasaskan pasaran dengan harapan mengubah Cuba yang mempunyai 11 juta orang penduduk, menjadi semacam  Vietnam Carribbean. 

Dalam bidang ekonomi, perkara yang tidak dapat difikirkan sebelum ini tiba-tiba berlaku.  Untuk mengurangkan perbelanjaan, kerajaan baru-baru ini memberhentikan 500,000 orang pekerja.  Mereka kini dibenarkan membuka kedai dan perniagaan kraftangan, menjual hartanah, kereta, dan menanam sayur-sayuran di sekeliling rumah.  Dalam tempoh setahun, bilangan perniagaan yang sangat kecil meningkat berganda kepada hampir 350,000 buah.

Hingga baru-baru ini, penerima manfaat daripada ekonomi melambung di Cuba kebanyakannya orang Eropah, Amerika Latin, Kanada, dan Cina.  "Orang Cuba membayar tepat pada waktunya dalam bentuk tunai dan dalam mata wang asing," kata ahli perniagaan Jerman yang menetap di Havana sejak bertahun-tahun. Sesungguhnya, ganancia, perkataan Sepanyol yang bermaksud keuntungan, tidak lagi dianggap perkataan kotor di Havana, tempat wujudnya mentaliti kerubut emas.  

"Dalam laluan ke arah kapitalisme.  Akhirnya, perubahan berlaku di Cuba akhirnya," isytihar The Economist dalam keluaran terbaharunya.  "Amerika Syarikat dapat melakukan lebih banyak untuk menggalakkan perubahan itu."  Pada tahun 1998, Pope John Paul melawat Cuba, menggalakkan pihak luar menunggu pembukaan politik jenis yang menjatuhkan komunisme di negara asalnya, Poland.  Malangnya, bahkan lebih dua dekad selepas runtuhnya Tembok Berlin, Cuba masih kekal sebagai  sebuah negara daripada sebilangan kecil negara di seluruh dunia yang komunisme masih diamalkan.  Fidel Castro yang uzur meletakkan jawatan pada tahun 2006, tetapi adiknya, Raul yang menggantikannya, dikelilingi oleh kumpulan Stalinis yang berumur. 

"Akan tetapi, sekarang kelihatan berbeza," tulis majalah itu. "Raul Castro, meskipun bukannya demokrat, jelas merupakan manusia yang lebih praktik berbanding dengan abangnya.  Beliau mengakui bahawa masa semakin suntuk untuk Cuba. Jumlah penduduk mengecut dan berumur, ekonomi menjadi tidak produktif, dan negara tidak dapat lagi menanggung perkhidmatan sosial  kebapaan yang Cuba pernah banggakan."

Perubahan yang Raul Castro perkenalkan hampir pasti tidak dapat diterbalikkan.  Dalam hubungan ini, kebanyakan perladangan Cuba diswastakan.  Secara keseluruhannya, satu pertiga tenaga kerja negara itu dijangkakan dipindahkan pada tahun 2015 kepada sektor swasta yang baru dilaksanakan.  Rakyat kini boleh membeli dan menjual rumah dan kereta, dan   bilangan telefon bimbit dan komputer di pulau meningkat dengan  pantas.  Keadaan ini kelihatan titik tolak sama dengan revolusi Deng Xiaoping di China. 

Kewajaran dan kebijakan Cuba meninggalkan Marxisme tidak perlu dipersoalkan lagi, meskipun Karl Marx dikatakan semakin popular sejak akhir-akhir ini,  tetapi bagaimana pula tindakan negara itu mendakap pasaran bebas?  Sejak tercetus krisis ekonomi kira-kira empat tahun lalu, pasaran bebas yang menjadi kebanggaan Amerika Syarikat dan sekutunya "dihadapkan ke  muka pengadilan."  Dengan kata lain, pasaran bebas kelihatan seusang-usangnya, lalu membangkitkan persoalan:  Adakah Cuba mendakap model yang sudah kerepot? 


Buku Terbaik untuk Pilihan Raya

AHAD,  25  Mac 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Tahun ini boleh dikatakan sibuk dengan pilihan raya.  Pada awal bulan ini, berlangsung Pilihan Raya Presiden Rusia yang menyaksikan kemenangan Vladimir Putin dan sekali gus menandakan kegagalan usaha untuk melakukan perubahan rejim. Pilihan Raya Presiden Perancis akan menyusul; demikian juga Amerika Syarikat yang kini rancak dengan pemilihan awal Parti Republikan, dengan pemilihan terbaharu di Louisiana yang memihak kepada Rick Santorum yang menang selesa. Sementara di Malaysia, Pilihan Raya Umum sudah dekat, seperti yang dibayangkan oleh Perdana Menteri Najib Razak. 

Di tengah-tengah kehangatan Pilihan Raya 2012, David Ignatius memperkenalkan dan memperkatakan tiga buah buku  yang yang wajar dibaca, iaitu The World America Made oleh Robert Kagan; Liberal Leviathan oleh John Ikenberry; dan No One's World oleh Charles Kupchan. 

Ketiga-tiga buku ini, tegas Ignatius merupakan buku ilmiah serius, tetapi menyentuh persoalan yang setiap pengundi dapat memahaminya: Adakah kedudukan Amerika di dunia terjejas?  Mampukah Amerika Syarikat bangkit semula, dan apakah strategi pemulihan yang betul? Atau adakah orde antarabangsa liberal yang kita kenali sejak tahun 1945 terpaksa tunduk kepada sesuatu yang berbeza dan tidak tersusun, tidak kira apa-apa sahaja usaha yang kita lakukan?

Dalam debat yang melibatkan tiga pihak ini, jelas Ignatius yang menulis dalam The Washington Post, "setiap penganalisis bermula dengan pengenalpastian bahawa hari-hari mudah kuasa Amerika yang tidak dicabar sudah berakhir. Akan tetapi, apakah yang muncul seterusnya? 

Seperti yang dinyatakan oleh Ignatius, Kagan berhujah bahawa tidak ada alternatif yang baik untuk kepimpinan Amerika Syarikat dan bahawa kita tidak sepatutnya melakukan "bunuh diri kuasa besar tindakan terlebih dahulu" dengan menyetujui tuntutan daripada negara yang sedang bangkit, seperti China. Kagan mengingatkan bahawa keadaan menjadi lebih teruk tanpa Amerika Syarikat; orde liberal tidak dapat bertahan tanpa kuasa Amerika Syarikat, kuasa keras dan kuasa lembut.  Bagi beliau, "Jika kuasa Amerika merosot, orde dunia akan merosot bersama-samanya.  Kuasa Amerika itu akan digantikan oleh sesetengah jenis orde, menggambarkan keinginan dan kualiti kuasa dunia lain.  Atau mungkin kuasa itu akan runtuh semata-mata."

Sementara Ikenberry pula, seperti yang dikupas oleh Ignatius, berhujah bahawa orde global  lebih tahan dan stabil jika dibandingkan dengan ketakutan Kagan.  Orde ini, tegas Ikenberry, merupakan struktur pelbagai hala atau multilateral tulen, dan kekuatannya dihasilkan daripada rangkaian institusi yang Amerika Syarikat tolong wujudkan, seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Bank Dunia, dan NATO. Amerika adalah kuat jika negara itu beroperasi menerusi strukut kuasa yang dalam yang menyebarkan nilai asas kapitalisme dan demokrasi ke hampir seluruh pelosok dunia.  

Presiden Barack Obama dikatakan berkongsi analisis asas Ikenberry tentang dunia pelbagai kutub atau multipolar, meskipun beliau juga bersedia untuk menggunakan kuasa Amerika satu pihak, ala Kagan. 

Gambaran yang lebih pesimistik diberikan oleh Kupchan yang berhujah bahawa dunia mula apa yang beliau nyatakan "peralihan global" dan bahawa "angan-angan" untuk menjangkakan dunia akan menyenangkan Amerika Syarikat dan sekutu Baratnya.  Masalahnya ialah bahawa model China, Iran, Turki, dan Rusia pada masa depan tidak kelihatan seperti Amerika."

David Ignatius menamatkan tulisannya dengan menegaskan  bahawa tiga idea besar ini, tetapi idea itu  dinyatakan dengan jelas dan tepat dalam tiga buah buku ini yang bukan merupakan penahan pintu sains politik yang kita ingat daripada kolej.  "Saya berharap Kagan, Ikenberry, dan Kupchan akan merangsangkan debat politik jujur yang Amerika perlukan tentang bagaimana cara terbaik menggunakan kuasanya." 

Dari ketiga-tiga buku yang diperkatakan itu, pastinya buku Robert Kagan lebih mendapat perhatian dan banyak diperkatakan kerana pemikiran atau idea beliau menjadi rujukan Presiden Barack Obama dalam ucapannya sempena State of the Union:  Obama membaca esei yang diubahsuaikan daripada buku ini, diterbitkan oleh The New Republic di bawah tajuk "The Myth of American Decline."  Dengan memetik tulisan Kagan itu, Obama dikatakan "menawan" dasar luar Mitt Romney kerana Kagan merupakan salah seorang anggota jawatankuasa penasihat dasar luar Romney - salah seorang bakal calon Presiden, manakala isteri beliau (Kagan) bekerja dengan Hillary Clinton di Jabatan Negara Amerika Syarikat.  

Selain itu, tentang kemerosotan Amerika sering diperkatakan oleh para sarjana dan cerdik pandai politik, tetapi juga oleh Putera Alwaleed.  Dalam wawancara beliau dengan Forbes, putera Arab Saudi itu menegaskan bahawa "cakap-cakap tentang berakhirnya Amerika sebagai omong-omong kosong."  Namun dari satu segi yang lain, penafian terhadap kebangkitan China, seperti yang diperlihatkan oleh Kagan, boleh dianggap sebagai keangkuhan - memetik Martin Jacques


Walau apa-apa pun, di Amerika Syarikat, di tengah-tengah  kehangatan pilihan raya, sekurang-kurangnya orang masih ingat akan buku.  Sebaliknya,   di negara kita, Malaysia, menjelang pilihan raya,  orang terlalu dihantui oleh "lembu" dan "keselamatan Israel." Kalau yang lebih serius, Najib semakin rancak menari mengikut rentak pembangkang: politik populis yang boleh menghancurkan negara.


Friday, March 23, 2012

Pemusnahan Kreatif: Terburainya Penjilidan

SABTU,  24 Mac 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Setelah diterbitkan selama 244 tahun dalam bentuk bercetak, akhirnya Encyclopedia Britannica, ensiklopedia bercetak yang paling terkenal di dunia,  penerbit memaklumkan bahawa ensiklopedia itu tidak lagi diterbitkan dalam naskhah fizikal yang baru.  Edisi yang mengandungi 32 jilid dengan harga AS$1395 yang diterbitkan oleh syarikat beribu pejabat di Chicago menyatakan bahawa terbitan tahun 2010 adalah yang terakhir, versi masa depan akan diterbitkan sepenuhnya dalam talian.   

Menurut The Financial Times, hanya 8500 naskhah dicetak untuk edisi terbaharu itu. Edisi pertama muncul pada tahun 1768 di Scotland.  Sementara itu, blog The New York Times dilaporkan memetik Jorge Cauz, Presiden Encyclopedia Britannica Inc., sebagai berkata, "Sesetengah orang akan berasa sedih tentang keputusan ini.  Akan tetapi, kita  kini mempunyai alat yang lebih baik.  Laman web dikemaskinikan secara terus-menerus, eksiklopedia ini lebih mahal, dan mempunyai multimedia."

"Dunia baru yang berani yang mempunyai sedikit produk kertas," ulas Katy Steinmetz terhadap pengumuman berakhirnya edisi bercetak ensiklopedia itu.  Jualan dari pintu ke pintu merupakan teknik terbaik pada pertengahan 1900-an, dan rujukan digital pertama dicipta melalui LexisNexis pada tahun 1981.  CD-ROM muncul pada tahun 1989 dan Britannica memasuki Web pada tahun 1994. Jelas Katy, "tatkala orang ramai beralih kepada Internet bersama-sama soalan mereka, syarikat tersebut masih meletakkan kepercayaan terhadap produk berjilidnya, melihat jualan merosot. Hari Willy Loman berakhir dan produk terpaksa bertungkus-lumus untuk mengimbangkan trafik Web dengan keperluan untuk hasil langganan."  

Pengumuman berakhirnya penjilidan eksiklopedia berlaku di tengah-tengah perdebatan tentang persaingan antara p-buku dengan e-buku yang merupakan penerbitan masa depan untuk penerbitan sendiri. Di samping pendedahan bahawa e-buku menyukarkan seseorang untuk mengingati apa yang dia baru  baca.    

Sementara bagi mereka yang masih mempercayai p-buku, bermati-matian mengatakan bahawa e-buku tidak dapat menghapuskan penerbitan tradisional, seperti yang dibahaskan oleh  Tim Parks dalam blog The New York Review of Books pada Februari lalu. Meskipun e-buku dapat dibeli dengan segera di mana-mana sahaja kita tinggal di dunia, kita membayar kurang, kita tidak menggunakan kertas, dan tidak memerlukan ruang, tegas beliau, "saya mahu pergi melampaui kepratikan kepada pengalaman pembacaan itu sendiri, iaitu keterlibatan kita dengan teks." 

Ketika berlangsungnya Festival Kesusasteraan Bath, The Independent melaporkan bahawa tercetus perdebatan, "Adakah buku ditakdirkan mati?"  Nicola Solomon, Setiausaha Sgung Persatuan Pengarang yang anggotanya memperoleh kurang 10,000 paun setahun, memberitahu hadirin bahawa dalam lingkaran digitan, buku sebenar dengan halaman dan jaket habuk kini dikenali sebagai "media legasi."  Beliau mengemukakan angka, seperti buletin kesihatan yang tertekan.  Jualan bercetak jatuh 18 peratus pada tahun lalu, satu pertiga mahasiswa mengakui mereka "tidak meminati buku bercetak," dan 20 peratus lepasan sekolah mendakwa mereka tidak pernah membaca buku sama sekali.  Sebaliknya, beliau memaklumkan bahwa jualan Kidle (satu juta pada musim Krismas) adalah perlahan dan mungkin mendatar, dan lebih banyak orang kini meminati buku jika dibandingkan sebelum ini. Rumus beliau,  "pasaran semakin menjadi berpecah-pecah."

Beberapa bulan lalu, kita menyaksikan pemusnahan kreatif melenyapkan Kodak.  Kini, satu lagi produk yang wujud hampir  dua setengah abad menjadi mangsa pemusnahan kreatif yang berterusan pada zaman digital - memetik George F. Will yang menulis dalam The Washington Post. "Selepas 244 tahun, memulakan penerbitan lima tahun sebelum Boston Tea Party tahun 1773, Encyclopedia Britannica akan mulai sekarang boleh didapati hanya dalam bentuk digital kerana ensiklopedia ini cuba menyaingini laman Web rujukan, seperti Google dan Wikipedia."

Dari semasa ke semasa, kita akan menyaksikan produk terkubur atau lenyap dari pasaran dan organisasi menjadi usang atau tidak relevan.  Hakikatnya, pemusnahan kreatif sentiasa memburu mangsanya tanpa mengenal belas kasihan.  Hanya melalui inovasi yang berterusan,  sesuatu produk terus berdaya saing, dan organisasi mampu meneruskan kelangsungannya. 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...