Artikel Popular

Wednesday, November 30, 2011

Hillary Lawat Myanmar, Senat Lulus "ISA"

RABU,  30  November 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Pada hari ini, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary  Rodham Clinton melawat Myanmar menunjukkan anjakan dramatik dalam dasar terhadap negara yang terkenal kerana melakukan penindasan, membuka yang menunjukkan fokus baru Amerika Syarikat terhadap Asia dengan membina hubungan negara yang penting dari segi strategi bersempadan dengan China. 

Hillary dikatakan mengadakan lawatan bersejarah selama tiga hari, iaitu hingga 2 Disember di negara yang terasing dari dunia luar.  Untuk kali pertama dalam masa lebih 50 tahun, Setiausaha Negara Amerika Syarikat melawat negara itu. Selain melawat dua kota yang berbeza, iaitu  Naypyidaw dan Yangon, pasti lawatan tersebut tersemai harapan agar Myanmar merangkul mesra demokrasi dan hak asasi manusia. 

Lawatan Hillary Clinton itu, tulis The New York Times, merupakan ganjaran yang paling sifnifikan setakat ini, bahkan ketika Pentadbiran Obama mendesak supaya negara itu mengambil langkah yang lebih signifikan untuk menamatkan pemerintahan yang menindas dan pengasingan antarabangsa. Sekasa  di Busan, Korea Selatan sebelum ke Myanmar, belilau  memberitahu, "Saya ingin melihat untuk diri saya sendiri dan bagi pihak kerajaan kami apakah hasrat kerajaan Myanmar sekarang berhubung dengan pembaharuan berterusan, kedua-duanya, iaitu  dari segi politik dan ekonomi."  

Beliau dilaporkan membawa bersamap-samanya insentif yang akan diberikan untuk pemimpin autoritarian negara itu untuk meneruskan gerakan terbaharu ke arah pembaharuan dan juga berhasrat mendesak mereka tentang perniagaan senjata yang disyaki antara Myanmar dengan Korea Utara.

Namun, ketika Amerika Syarikat asyik "menyibuk" dengan pembaharuan ke arah demokrasi dan hak asasi manusia di negara asing - Myanmar, di  negara sendiri, pada hari Selasa semalam,  Senat mengundi untuk meluluskan peruntukan kontroversi untuk membenarkan tentera menahan pengganas yang disyaki di bumi Amerika Syarikat dan menahan mereka tanpa had masa tanpa perbicaraan. Langkah itu, sebahagian National Defense Authorization Act yang besar, meskipun ditentang oleh pendukung kebebasan awam puak kiri dan kanan, diluluskan dengan 61 undi menyokong, manakala 37 menentang undang-undang kalau di Malaysia dikenali ISA.  Kelulusan oleh Senat itu, ulas Dahlia Lithwick, membenarkan kewujudan negara polis tentera.

Sementara itu, bagi gerakan Menduduki Wall Street, di Los Angeles, polis dilaporkan menahan lebih 200 orang penunjuk perasaan dan 50 orang di Philadelphia. Sejak munculnya gerakan Menduduki,  tindakan kejam pihak polis sering didedahkan, yang terbaharu menyembur lada putih terhadap penunjuk perasaan.  Tindakan polis terhadap penunjuk perasaan di kota-kota Amerika, tulis Naomi Wolf yang juga pernah ditahan polis kerana terlibat dalam gerakan itu, merupakan kebenaran yang mengejutkan. Kekerasan yang dilakukan dalam serbuan polis di seluruh Amerika bukan kebetulan.  Tulisan Naomi tentang kekejaman polis Amerika itu, menurut  Matt Seaton, menerima pelbagai reaksi dan respons, disyorkan pada Facebook 235,000 kali, diciak-ciakkan hampir 7000 kali, mendapat hampir 1000 komen dan ditinjau dalam masa tiga hari, oleh kira-kira satu juta orang.  

Amerika Syarikat selalu menunjukkan dirinya sebagai jaguh demokrasi dan kebebasan, tetapi seperti yang didedahkan oleh Peter Van Buren dalam Mother Jones baru-baru ini, "tiada kebebasan bersuara untuk penjawat awam di negara itu" merujuk pemecatan Morris Davis yang dipecat bukan kerana prestasi kerjanya yang lemah, tetapi kerana dia menulis dalam The Wall Street Journal

Sesungguhnya,  tidak memeranjatkan jika Hillary Clinton semasa mengadakan pertemuan atau perbincangan dengan pemimpin autoritarian Myanmar, "bermuka selamba" tentang demokrasi dan kebebasan. Hal ini kerana, Amerika daripada pemimpin kepada pejuang demokrasi dan hak asasi manusia kepada media (bukan semuanya), bersifat "talam dua muka" yang selalu nampak "kuman di seberang laut."


Ketidaksamaan Pendapatan Membawa Padah

RABU,  30  November 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Dari dunia Arab ke Eropah ke Amerika Syarikat dan juga  ke  tempat-tempat lain, menyaksikan kebangkitan rakyat atau massa yang luar biasa yang  menakjubkan, mengalirnya semangat revolusi dunia tahun 1968.  Kebangkitan ini dikenali dengan beberapa nama, tetapi yang paling terkenal ialah Pemberontakan Arab dan  Menduduki Wall Street. Meskipun berlaku di banyak tempat di dunia ini, bermacam-macam identiti, dan faktor yang mencetuskan kebangkitan itu adalah pelbagai, kesamaan juga wujud, iaitu  berpunca daripada ketidaksamaan pendapatan.  Golongan 99 peratus menentang golongan satu peratus yang menguasai kekayaan.  Golongan satu peratus ini, seperti yang diperkatakan oleh George Monbiot, pemusnah terbaik kekayaan dunia yang pernah berlaku.  

Di Amerika Syarikat, sesetengah pengulas menyebut perang kelas, iaitu ketidaksamaan pendapatan golongan kaya berbanding dengan golongan miskin.  Dalam mengisytiharkan perang kelas,  Emma Davis, menulis:  "September ini menandakan tahun ketiga krisis kewangan global yang amat dalam. Juga menandakan kemunculan gelombang baru penentangan terhadap ketamakan global, iaitu 'Menduduki Wall Street,' gerakan antarabangsa sekarang."  Sememangnya, tidak sukar untuk memahami perang kelas ini keraja "sejak tahun 1980, kenaikan produktiviti," bahas Barbara Kiviat,  "tidak disertai dengan kenaikan upah dan faedah sampingan yang menyebabkan kaum pekerja hidup dalam kemiskinan dan ketidaksamaan pendapat semakin melebar."  

Gerakan Menduduki Wall Street, seperti yang ditegaskan oleh Nin-Hai Tseng, mengetengahkan fokus baru terhadap isu yang banyak orang Amerika sejak lama lihat sebagai masalah:  jurang yang semakin melebar antara golongan yang memiliki dengan yang tidak memiliki. Isi rumah kaya di negara ini semakin kaya, sedangkan setiap orang yang lain hidup menderita.  Jelas wujud sesuatu yang silap akan hal ini, yang bagi beliau, tidak memadai menyalahkan korporat yang tamak dan bank yang jahat.  Sebaliknya, beliau cuba menarik perhatian tentang lenyap pekerjaan untuk kelas menengah yang berlaku dengan begitu pantas.  

Menggunakan laporan terbaharu Bank Rizab Persekutuan New York, beliau menunjukkan bahawa  pada tahun 1980, tiga perempat semua pekerja Amerika Syarikat adalah dalam pekerjaan kemahiran sederhana.  Pada tahun 2009, angka ini merosot kepada dua pertiga.  Sementara operator mesin adalah 10 peratus daripada pekerjaan di peringkat negara lebih dekad lalu dan pekerjaan pentadbiran terdiri daripada 18 peratus, bahagian kedua-dua pekerjaan ini masing-masing jatuh kepada empat peratus dan 14 peratus pada tahun 2009. 

Namun, Nin-Hai Tseng mengingatkan bahawa kehilangan pekerjaan kelas menengah tidak hanya berlaku di Amerika Syarikat, tetapi juga di banyak ekonomi maju di dunia ini.  Dan, meskipun berlaku lebih tiga dekad, pekerjaan kemahiran sederhana lebih terjejas daripada kebanyakan pekerjaan yang lain ketika Kemelesetan Besar. 

Untuk menjawab  mengapa protes di Amerika Syarikat berlaku sekarang, mengapa tidak tahun 2008 tatkala Wall Street hampir runtuh, atau 2009 ketika pengangguran dan perampasan rumah meningkat, George Packer yang meninjau beberapa orang yang terlibat dalam protes di Zuccotti Park, menjelaskan bahawa pemilihan Barack Obama kelihatan seakan-akan berakhirnya pertarungan, dan bukannya permulaan, dan mengambil masa tiga tahun untuk kembali semula ke medan. 


Packer yang menulis "All the Angry People" dalam The New Yorker keluaran 5 Disember, yang dapat diperoleh melalui dalam talian terlebih dahulu, menegaskan bahawa sebelum Menduduki Wall Street, sebelum pergolakan ekonomi  beberapa tahun melahirkan gerakan tidak tersusun bagi golongan yang tidak memiliki.  Bagi sesetengah orang Amerika, daya usaha perundangan Presiden Barack Obama, seperti rangsangan, pembaharuan penjagaan kesihatan, kawal selia kewangan, dan pembaharuan kredit kad, menawarkan harapan terbaik untuk meredakan kesusahan negara.  Tea Party, gerakan populis puak kanan dengan sokongan kuat daripada individu dan perbadanan yang kaya-raya, menarik minat media, menguasai wacana politik, dan menjelaskan duka lara negara dari aspek yang mengabaikan peranan golongan  satu peratus. 

"Akan tetapi," jelas Packer lagi, "Pentadbiran Obama gagal memanfaat kemarahan orang ramai atau memulihkan ekonomi, dan Tea Party kelusuhan sambutan yang diterimanya selepas Pilihan Raya Separuh Penggal 2010.  Apabila  Menduduki Wall Street menghidupkan api,  kayu  kering kontang.  Tiba-tiba, muncul cara awam yang dramatik untuk membicangkan masalah, iaitu wang dalam politik, ketidaksamaan pendapatan, ketamakan korporat yang orang Amerika berasa kecewa, tetapi seakan-akan sukar dipengaruhi."





Sejak kemunculan gerakan Menduduki Wall Street yang  Naomi Klein pernah mengisytiharkan "perkara yang paling penting di dunia sekarang,"  yang kian memperoleh rentak,    seperti Menduduki London, dengan kecekalan enggan berundur,  turut disedari umum betapa meluasnya jurang ketidaksamaan pendapatan. Dan disedari juga bahawa ketidaksamaan pendapatan buruk untuk ekonomi.  Gerakan Menduduki Wall Street, hujah Matthew P.  Drennan, menolong mengingatkan bahawa bank-bank diselamatkan oleh pembayar cukai, manakala isi rumah menerima bantuan kerajaan yang tidak seberapa dalam mengelakkan perampasan rumah, mengurangkan beban cukai, atau mencari pekerjaan menerusi rangsangan ekonomi yang serius. 


Seperti Packer, Drennan juga cuba menjelaskan mengapa keberangan rakyat jelata itu berlaku sekarang, sedangkan ahli ekonomi mengisytiharkan Kemelesetan Besar telah berakhir.  Bagi beliau, "keadaan ekonomi berjuta-juta individu adalah sama ada semakin teruk ataupun tidak bertambah baik jika dibandingkan dengan kedalaman kemerosotan pada tahun 2009."  Beliau memetik laporan terkini bahawa pendapatan isi rumah median, diselaraskan dengan inflasi, jatuh 6.7 peratus sejak perisytiharan rasmi berakhirnya kemelesetan.  Angka itu mengesahkan apa yang berjuta-juta orang ketahui betul bahawa ketidaksamaan sudah tidak terkawal lagi dan tidak menunjukkan tanda akan reda.


Taraf hidup kebanyakan rakyat Amerika, jelas Drennan adalah trend ke bawah untuk satu dekad.  Ketika menjelang  Kemelesetan Besar, iaitu pada tahun 2007, pendapatan median lebih rendah daripada pendapatan median pada tahun 2000, menjelang kemelesetan sebelum ini. Kini, pendapatan median jatuh lebih banyak.  Dalam tiga dekad sebelum 2000, pendapatan isi rumah untuk 95 peratus Amerika pada dasarnya beku, manakala lima peratus isi rumah menguasai kebanyakan pertumbuhan pendapatan.  Dengan kata lain, ketidaksamaan pendapatan semakin melebar. 


Untuk mempertahankan gerakan Menduduki Wall Street, Eduardo Porter, menjelaskan ketidaksamaan pendapatan  secara terperinci. Orang yang di atas, menurut beliau, adalah 1.4 juta keluarga yang memperoleh secara purata AS$1 juta pada tahun 2009. Golongan kaya Amerika sentiasa menguasai pendapatan isi rumah yang meningkat sepanjang tiga dekad lalu, bahkan tatkala pendapatan majoriti besar keluarga Amerika merosot.  Bahagian satu peratus atas daripada jumlah pendapatan kasar negara yang diselaraskan adalah 17 peratus pada tahun 2009, jatuh daripada 23 peratus dua tahun sebelumnya.  Akan tetapi, mereka masih memperoleh pendapatan lebih tinggi jika dibandingkan seluruh separuh penduduk yang di bawah.  




Antara tahun 1979 hingga 2007, menurut kajian Pejabat Belanjawan Kongres (CBO), secara keseluruhan, dari segi dolar diselaraskan dengan inflasi, purata pendapatan isi rumah selepas cukai berkembang sebanyak 62 peratus, namun Eugene Robinson mengingatkan bahawa bagi mereka yang di bawah, iaitu satu perlima isi rumah dengan pendapatan paling rendah, kenaikan hanya 18 peratus.  Bagi golongan tiga perlima pertengahan, peningkatan hanya 40 peratus.  Sebaliknya, golongan satu peratus, pendapatan selepas cukai mereka meningkat sebanyak 275 peratus.   


Laporan kajian oleh Pejabat Belanjawan Kongres mendedahkan bagaimana golongan satu peratus memperoleh kekayaan, manakala golongan 99 peratus hidup dalam kemiskinan. Jika sebelum ini banyak pihak meragui dakwaan golongan 99 peratus,   menurut The Economist pendedahan laporan tersebut menyebabkan gerakan Menduduki Wall Street mendapat suntikan semangat. Jelas bahawa  ketidaksamaan pendapatan di Amerika tidak meningkat secara dramatik sepanjang 20 tahun lalu apabila golongan satu peratus atas tidak tergolong.  Dengan kemasukan mereka, gambaran berbeza sama sekali.  Data bukan sahaja menunjukkan ketidakadilan terhadap golongan majoriti dan golongan kaya tidak ubah seperti penjahat (bandit).


Dalam "The Globalization of Protest,"  Joseph Stiglitz menyusuri gerakan protes yang bermula di Tunisia pada Januari, kemudian ke Mesir, seterusnya ke Sepanyol, dan bagaimana kini menjadi global, dengan protes melanda Wall Street dan kota-kota di seluruh Amerika. Globalisasi dan teknologi moden kini membolehkan gerakan sosial untuk mengatasi sempadan, sepantas kemampuan idea.  Beliau menegaskan bahawa protes sosial menemui bumi yang subur di mana-mana sahaja dalam erti kata bahawa "sistem" yang gagal, dan keyakinan bahkan dalam demokrasi, iaitu proses pilihan raya  tidak menjadikan perkara betul, sekurang-kurangnya bukan tanpa tekanan kuat daripada demonstrasi jalanan. 


Stiglitz yang pernah melawat tapak protes Tunisia, berbual dengan indignados Sepanyol,  seterusnya berjumpa revolusioner remaja Mesir di Dataran Tahrir, dan berbual dengan penunjuk perasaan Menduduki Wall Street di New York, menemui tema bersama, dinyatakan oleh gerakan Menduduki Wall Street dalam ungkapan yang mudah: "Kami adalah 99 peratus."


Slogan tersebut, tegas beliau, meniru makalah beliau yang diterbitkan dalam Vanity Fair pernah dipetik dalam blog ini sebelum ini, "Of the 1%, by the 1%, for the 1%"  yang menjelaskan  kenaikan besar-besaran dalam ketidaksamaan di Amerika Syarikat:  satu peratus penduduk mengawal lebih 40 peratus kekayaan dan menerima lebih 20 peratus pendapatan.  


Pada satu tahap, penunjuk perasaan pada hari ini, jelas Stiglitz hanya meminta sedikit, iaitu peluang untuk menggunakan kemahiran mereka, hak untuk kerja yang agak memuaskan dengan upah yang agak memuaskan,  ekonomi dan masyarakat yang lebih saksama.  Harapan mereka ialah evolusioner dan bukannya revolusioner.  Akan tetapi, pada tahap lain, mereka menuntut sesuatu yang lebih besar, iaitu demokrasi yang orang ramai, dan  bukannya dolar, adalah penting, dan ekonomi pasaran yang memberikan manfaat yang diharap-harapkan. 


Stiglitz pergi jauh untuk menjelaskan bahawa kedua-dua itu berkait.  Pasaran yang dibiarkan bebas mencetuskan krisis ekonomi dan politik.  Pasaran berfungsi mengikut cara yang sepatutnya apabila pasaran beroperasi di dalam rangka kawal selia kerajaan yang sesuai; dan rangka yang boleh ditegakkan dalam demokrasi yang mencerminkan kepentingan umum, dan kepentingan satu peratus.  "Kerajaan terbaik yang wang boleh beli tidak lagi memadai."


Sememangnya, slogan "Kami adalah 99 peratus" kuat dan menarik perhatian umum, untuk memperlihatkan penentangan terhadap golongan satu peratus.  Namun, Paul Krugman melalui kolumnya dalam The New York Times, menegaskan bahawa 99 peratus tidak memadai, sebaliknya 99.9 peratus.   Slogan itu hebat dan secara betul mentakrifkan isu sebagai golongan  kelas menengah melawan golongan elilt (berbanding dengan golongan kelas menengah melawan golongan miskin).


Walau bagaimanapun, Krugman menegaskan bahawa slogan 99 sasarkan adalah terlalu rendah.  Pecahan besar yang satu peratus atas peroleh sebenarnya dibolot oleh kumpulan yang lebih kecil, iaitu 0.1 peratus, golongan terkaya satu per 1000 daripada jumlah penduduk. Beliau juga merujuk laporan Pejabat Belanjawan Kongres untuk menunjukkan ketidaksamaan pendapatan yang amat ketara dalam kalangan rakyat Amerika.


Mereka yang mendapat faedah yang membawa kepada krisis kewangan, seperti yang disyorkan oleh Timothy Garton Ash, memberikan pampasan sekarang.  Melakukan amal jariah adalah bukannya pengganti untuk pembaharuan sistemik, tetapi banyak membantu. "Di antara langkah St Paul's Cathedral (tempat penunjuk perasaan Menduduki London berkumpul) dengan mesyuarat G-20 di Cannes, saya mempunyai mesej kepada banker: beri balik sesetengahnya."


Kemarahan yang memarakkan perkembangan pantas gerakan Menduduki Wall Street tidak akan padam. Tinjauan pendapat menunjukkan sehingga separuh rakyat Amerika menyokong penunjuk perasaan atau sekurang-kurangnya percaya bahawa mereka mencerminkan pendapat awam.  Tanpa mengambil kira apakah yang berlaku terhadap golongan 99 peratus dan perkhemahan mereka, bahas John Cassidy, pemimpin perniagaan Amerika perlu mengambil serius apakah pengajaran untuk mereka.  Tambah beliau, sejak akhir-akhir ini, sesetengah pemimpin membuktikan bahawa mereka memahami apakan yang mendorong rintihan itu. 


Setelah sejak sekian lama, golongan satu peratus, atau disebut oleh David Harvey, "Parti Wall Street"  tidak dicabar di Amerika Syarikat, kini mereka "bertemu buku dengan ruas."  Apabila golongan kaya mengaut dan mengumpulkan kekayaan mereka dengan tamak haloba, sedangkan golongan majoriti terus dihimpit oleh kemiskinan, pastinya kesabaran golongan ini  ada batasnya.  


Dari Dataran Tahrir ke Wall Street, ketidaksamaan pendapatan yang kian melebar jika tidak dibendung, dan bahkan golongan elit politik bersekongkol dengan satu peratus, nescaya akan membawa padah.  Paling tidak perang kelas, dan pada tahap yang paling serius, pemberontakan atau revolusi.  


Pengajaran untuk para penggubal dasar dan pihak berkuasa di negara kita, pertumbuhan ekonomi mesti disertai dengan pengagihan, mesti wujud kesan lelehan. "Kek yang mengembang" mesti diagihkan sama rata mengikut hak dan kelayakan."  Bahaya jika  terlalu terpasung dalam polemik meritokrasi melawan tindakan afirmatif, sedangkan ketidaksamaan pendapatan kian melebar.    





Monday, November 28, 2011

Eropah Terbenam ke dalam Kemelesetan

SELASA,  29  November 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Tiga peristiwa utama yang t mendapat perhatian:  Pemberontakan Arab, khususnya pilihan raya pertama Mesir selepas Presiden Hosni Mubarak ditumbangkan dan pergolakan di Syria; gerakan Menduduki; dan krisis hutang  Eropah

Dua hari lalu, Robert Kuttner menulis bahawa Eropah terhuyung-hayang di tepi curam ekonomi yang sangat dalam, bahkan Jerman yang selama ini dianggap kukuh ekonominya tidak dapat bertahan. Peringatan tentang keterukan krisis Eropah sering dibangkitkan, meskipun belum menjadi kenyataan bahawa zon euro runtuh, tetapi Eropah gagal menyelamatkan euro,  dan Kesatuan Eropah berakhir.   Meskipun disedari bahawa hanya Jerman mampu menyelamatkan euro, negara itu  nampaknya keberatan, dan semakin keberatan apabila Jerman bukan lagi tempat  pelaburan yang selamat. Oleh sebab jangkitan merebak, zon euro terpaksa memohon pertolongan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), yang terbaharu Italy, meskipun IMF menafikannya.   "Eropah berpecah belah," tulis James Traub dalam Foreign Policy baru-baru ini bahawa benua itu, sama ada "tersadung" ataupun "terlentang."

Pertama Greece;  kemudian Ireland dan Portugal; kemudian Italy dan Sepanyol.  The Economist mengimbas krisis euro, bulan demi bulan, krisis di kawasan  euro menjalar dari pinggir yang mudah terjejas zon mata wang ke arah pusatnya, dibantu oleh penafian, silap diagnosis, dan berlengah-lengah oleh penggubal dasar zon euro.  "Hati-hati batu jatuh.  Krisis di kawasan euro berubah menjadi panik dan mengheret zon berkenaan ke dalam kemelesetan.  Risiko bahawa mata wang bersepai dalam beberapa minggu semakin mencemaskan." 

Nyata bahawa pelan penyelamat dan langkah jimat-cermat tidak berkesan, sehingga diragui sama ada euro dapat bertahan ataupun sebaliknya.  Dalam blognya, Paul Krugman menulis sumpahan euro, mengingatkan kegilaan wang keras Bank Pusat Eropah (ECB) mungkin memusnahkan euro. 

Tatkala krisis zon euro semakin teruk, Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan meramalkan Eropah terbenam ke dalam kemelesetan dan United Kingdom turut mengalami nasib yang sama pada tahun 2012. OECD yang meramalkan kemelesetan curam berganda, mendedahkan bahawa ekonomi United Kingdom akan terjebak semula ke dalam kemelesetan dalam beberapa bulan mendatang.  Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) United Kingdom akan menyusut dalam suku akhir tahun 2011 dan suku pertama tahun 2012, iaitu kali pertama OECD meramalkan kemelesetan curam berganda untuk United Kingdom. 

Organisasi kumpulan pemikir yang beribu pejabat di Paris, seperti yang dipetik oleh The Guardian, juga  mengurangkan ramalan pertumbuhan ekonomi utama Barat dan menggesa para penggubal dasar mengambil tindakan segera untuk mencegah merebaknya jangkitan daripad krisis hutang kedaulatan Eropah. Sementara zon euro diramalkan    tumbuh hanya 0.2 peratus pada tahun hadapan. 

Apabila Eropah terbenam ke dalam kemelesetan, pastinya banyak negara di luar benua itu akan turut diheret bersama-sama.  Pendek kata, banyak negara yang tidak selamat. 




Mesir: Dari Revolusi ke Demokrasi

ISNIN,  28  November 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Di Mesir pada hari ini berlangsung  pilihan raya parlimen selepas tercetus revolusi prodemokrasi pada Januari lalu yang akhirnya  menumbangkan  Presiden Hosni Mubarak. Meskipun "bapak firaun telah pergi, "anak-anak firauan" masih berkeliaran, atau dengan kata lain, anggota elit rejim purba masih berkuasa, meskipun keluarga Mubarak tidak lagi berkuasa.   Golongan tersebut dianggap mengkhianati revolusi Mesir - menawan Dataran Tahrir - tempat yang menjadi aspirasi untuk mencetuskan kebangkitan rakyat di seluruh dunia.   Dan, apabila Dataran Tahrir bergolak semula pada minggu lalu, tentera Mesir benar-benar didapati menawan revolusi. Selain itu, Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (MTAT) yang diketahui oleh  Fil Marsyal Hussein Tantawi yang mengambil alih pucuk pimpinan  Mesir,  diperhatikan  tidak bersama-sama rakyat jelata.  Tentera Mesir, menurut istilah Barry Lando, "negara dalam negara."

Kemuncak pada 22 November lalu, dan hari-hari berikutnya, berpuluh-puluh ribu orang rakyat Mesir membanjiri Dataran Tahrir dalam perhimpunan terbesar sejak hari-hari terakhir pemerintahan Mubarak.  Kemarahan penunjuk perasaan tertumpu pada matlamat menggulingkan presiden mereka.  "Ini bukannya revolusi yang banyak rakyat Mesir rasa yang mereka perjuangkan dan sanggup menanggung kesengsaraan untuk itu," demikian pemerhatian The Economist.  Kekecewaan rasa tertipu, dan ketakutan bahawa penindasan berlaku semula seperti yang diamalkan selama 30 tahun kediktatoran Mubarak, mendorong  tercetusnya  protes dramatik terbaharu ini. 

Bagi penunjuk perasaan, catat Shadi Hamid daripada pemerhatian beliau sendiri, mereka tidak mempercayai parti-parti politik, bahkan mereka melarang beberapa ahli politik memasuki Dataran Tahriri, berteriak kepada ahli politik berkenaan apabila mereka cuba masuk.  Banyak yang tidak mempercayai matlamat revolusi dapat dicapai melalui peti undi.  Dalam pilihan raya yang dijadualkan berlangsung pada hari Isnin, calon-calon "revolusioner" kemungkinan memenangi peratusan kecil undi, jika mereka berjaya  melepasi bendul parlimen.

Berikutan protes tersebut, Amerika Syarikat dilaporkan meningkatkan tekanan terhadap pemerintahan tentera Mesir supaya menyerahkan kuasa pemimpin awam, dan giliran jeneral untuk mengubah politik era Mubarak kepada ketua kerajaan baru untuk memenuhi tuntutan lebih 100,000 penunjuk perasaan yang penuh sesak di Dataran Tahrir.  Penunjuk perasaan menolak pelantikan Kamal el-Ganzouri sebagai Perdana Menteri, dengan berteriak. "Tidak sah! Tidak sah!"  Dikatakan juga bahawa tunjuk perasaan pada Jumaat lalu merupakan "peluang terakhir."  Meskipun pilihan raya parlimen berlangsung pada hari ini, penunjuk perasaan masih berkhemah di Dataran Tahrir mendesak pengunduran kepimpinan tentera

Pergolakan terbaharu di Dataran Tahrir, seperti yang diperhatikan oleh Wendell Steavenson dalam The New Yorker, "Mesir terletak di tepi curam: penuh resah."  Sementara rakyat Mesir tidak akan selesai dengan separuh revolusi.  Khairi Abaza yang menulis dalam International Herald Tribune mengingatkan tentera Mesir supaya berundur.  Beliau menyalahkan MTAT yang memandang rendah keazaman dan kecekalan rakyat Mesir untuk melakukan pembaharuan demokratik. Pemberontakan yang menumbangkan Presiden Hosni Mubarak pada Februari lalu tidak menghasilkan peralihan tulen kepada demokrasi. Pemberontakan itu hanya menafikan tentera topeng orang awam yang di belakangnya menggunakan kawalan hampir enam dekad. 

Meskipun berlaku pertumpahan darah dan pengkhianatan,  hujah Jack Shenker dalam The Guardian, Dataran Tahrir masih berdiri teguh. "Tuntutan penunjuk perasaan hanya satu dan mudah.  Pemerintahan tentera mesti berakhir, dan berakhir sekarang, orang ramai bercakap dalam satu nada. Masa untuk bertolak ansur telah berakhir." Isyarat dan teriakan mendesak kejatuhan pemerintahan tentera, dan penolakan konsesi terbaharu jeneral yang memerintah, iaitu pelantikan Perdana Menteri yang baru, seperti yang ditegaskan oleh Abigail Hauslohner, penjelmaan terbaharu revolusi menunjukkan tidak ada tanda-tanda untuk mengendur. 
Tatkala ketegangan memasuki hari kelima, Omar Robert Hamilton menulis dengan yakin bahawa selagi Dataran Tahrir bertindak, maka selagi itu Tahrir merupakan demokrasi, mendakwa bahawa tentera dan Ikhwanul Muslimin (Muslim Brotherhood) yang terdesak mencuba apa-apa sahaja untuk menyekat  kesuburan revolusioner.  Mereka akan gagal. Sementara Adrian Hamilton yang muncul dalam The Independent dengan nada yang lebih tegas bahawa jangan andaikan bahawa pemberontakan Mesir gagal.  Beliau mengkritik golongan yang pada mulanya meletakkan harapan yang tinggi pada Pemberontakan Arab dan kini dalam bahaya menjadi terlalu pesimistik. Apa yang diperlukan oleh Mesir yang dinyatakan oleh Michael Meyer-Resende dalam "Rules for Transition,"  perundingan peralihan dan tatacara pembuatan keputusan yang mewujudkan kepercayaan dan konsensus.
Ketika Mesir di ambang pilihan raya pertama selepas kejatuhan Mubarak, Hussein Tantawi mengingkari orang ramai yang berkumpul di Dataran Tahrir.  Dalam usahanya untuk mengetepikan penunjuk perasaan itu, berkata kerajaan "tidak akan membenarkan pengacau campur tangan dalam pilihan raya." 
Dalam tempoh kira-kira sebulan, dunia Arab menyaksikan tiga buah negara mengadakan pilihan raya, pertama Tunisia pada akhir bulan lalu. Dan baru-baru ini, Maghribi yang cepat-cepat mengadakan pilihan raya sebelum rejim ditukar. Kedua-duanya menyaksikan kemenangan parti Islamis.  Hari ini, tiba giliran Mesir yang menunggunya dengan penuh tegang.
Kehadiran demokrasi di dunia Arab ketika di sana sini demokrasi koyak-rabak: Amerika Syarikat dengan kelumpuhan politik; Greece dan Italy pemimpin yang dipilih oleh rakyat digantikan oleh teknokrat; dan  Belgium kerana perbalahan bahasa, 18 bulan tanpa kerajaan yang sah.  


Demokrasi yang dibawa ke dunia Arab, khususnya Mesir, ialah demokrasi yang sedang runtuh. Runtuh kerana politik itu sendiri, dan runtuh kerana menyelamatkan kapitalisme.  Rakyat Mesir terpaksa membayar harga yang tinggi untuk demokrasi, hakikatnya, alternatif yang ada pada mereka ialah rejim mesti pergi. 




Sunday, November 27, 2011

Israel: Pemimpin Bermasalah, Negara Berakhir?

AHAD,   27  November 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Anak yang "dimuakan," iaitu Israel semakin besar kepala.  Pada awal  bulan ini, terbongkar rahsia bahawa Israel merancang untuk menyerang kemudahan nuklear Iran, tetapi diingatkan bahawa rancangan yang dijangkakan dilancarkan bersama-sama Amerika Syarikat dan Britain akan membawa malapetaka. Bahkan, Israel, seperti yang dilaporkan, enggan memberitahu Amerika Syarikat tentang niatnya terhadap Iran.  MajalahTimedalam keluaran terbaharunya mendedahkan beberapa letupan bom di pangkalan peluru berpandu Iran yang terletak di pinggir kota Teheran,  yang mengorbankan sekurang-kurangnya 17 orang, termasuk Mejar Jeneral Hassan Moqqadam, adalah angkara agensi perisikan Israel, Mossad.

Bersempena sidang kemuncak G-20 di Cannes, Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy memberitahu Presiden Barack Obama bahawa Perdana Menteri  Benjamin Netanyahu adalah pendusta.  Sarkoz memberitahu betapa kecewanya beliau akan tindak-tanduk Netanyahu tanpa menyedari bahawa pembesar suara  tidak ditutup, lalu didengar oleh pemberita yang mengikuti terjemahan serentak.  Obama sebagai reaksinya berkata, "Anda menyampah akan dia, tetapi saya terpaksa berurusan dengan dia lebih kerap daripada anda." Richard Cohen menulis  dalam The Washington Post, berhubung perbualan antara kedua-dua pemimpin itu,  memetik bekas Perdana Menteri Israel,  Yitzhak Shamir yang pernah memberitahu tabiat buruk Netanyahu, menegaskan bahawa Netanyahu itu orang bermasalah.


Tatkala Palestin bersiap sedia untuk memohon taraf negara di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada September lalu, Benny Morris menulis dalam Newsweek yang membayangkan Israel berakhir. Di Israel sendiri, bahas beliau, tidak wujud  lagi masyarakat yang liberal demokratik, egalitarian yang diimpikan oleh David Ben-Gurion, yang pernah wujud suatu ketika dahulu; sebaliknya, Israel bergaduh dengan rakyat Arab dan sesama sendiri.


Dalam kata-kata Ruth,  balu Moshe Dayan, "impian Zionis berkecai."  Dalam makalah yang ditulis oleh Rula Jebreal mendedahkan bahawa Ruth Dayan, sejak kematian suaminya, pemimpin tentera yang terlibat dalam Perang Arab-Israel tahun 1967, bertindak sebagai salah seorang negarawan tua yang paling lantang.  Enam puluh tiga tahun selepas bapa pengasas mula mendirikan negara demokratik, selamat, dan makmur, Israel masih terpaksa berjuang, iaitu tidak wujud perjanjian damai dengan Palestin, ketegangan antara Arab dengan Israel semakin menjadi-jadi, dan keganasan berlarutan.  Di bawah kepimpinan Benjamin Netanyahu dan Parti Likudnya, Israel berkecai dengan perpecahan politik. Kerajaan bergerak ke arah kanan dari segi politik demi mengekalkan majoriti di Parlimen.  Namun, sepanjang musim panas, rakyat Israel yang liberal mendirikan khemah di kota-kota   mengadakan tunjuk perasaan akibat ketidaksamaan pendapatan yang meluas dan kenaikan kos sara hidup.


Ruth yang kaya dengan memori tentang Israel  dahulu dan naik berang apabila diminta beliau membandingkannya dengan Israel sekarang:  “Kami membina negara ini inci demi inci, dan kami kehilangan banyak nyawa.  Kami membina institusi awam dan sosial, sekolah, kilang.  Apa yang berlaku sekarang adalah dahsyat.  Mereka memusnahkan negara ini. Saya bangga menjadi orang Israel.  Saya hidup menerusi setiap peperangan, menanggung setiap detik kesengsaraan, tetapi tidak pernah berhenti mempercayai keamanan.  Saya kehilangan sahabat dan anggota keluarga.  Saya pendamai, tetapi kerajaan Israel tidak mahu mencari keamanan. Kita bergerak dari satu peperangan ke satu peperangan, dan keadaan ini tidak pernah berhenti. Saya fikir, Zionisme berkecai."

Meskipun Moshe dikenali sebagai wira perang dalam kalangan orang Israel dan Arab, Ruth sentiasa menunjukkan persahabatan dengan orang Arab.  Sebagai ketua Maskit ketika itu, beliau melibatkan orang Arab untuk membuat ambal dan barang niaga yang lain.  "Ini tentang hidup bersama-sama, bekerja bersama-sama, membina jambatan," jelas beliau.  "Kini, kami menggunakan buruh asing kerana rakyat Palestin tidak dibenarkan.  Dan peluasan penempatan yang berlanjutan di mana-mana sahaja, saya tidak boleh terima.  Saya tidak boleh bertolak ansur terhadap keterhakisan dalam wilayah ini dan sekatan jalan raya di mana-mana sahaja.  Dan tembok yang menakutkan! Ini tidak betul."

Ruth Dayan dianggap pemikir bebas dalam masyarakat Israel. Dan penumpuan dan usaha konstan beliau untuk membawa rakyat Israel dan Palestin hidup bersama-sama merupakan legenda. Beliau juga mempunyai hubungan yang erat dengan komuniti Arab.  Sementara suaminya, Moshe Dayan yang pada mulanya menafikan kewujudan Palestin, mengubah pendiriannya kemudian apabila sebagai Menteri Luar, beliau bersetuju dengan autonomi Palestin, berunding perjanjian Camp David dengan Mesir. Israel bersetuju berundur dari Semenanjung Sinai.  Jelas Ruth, Yasir Arafat yang selalu menciumnya apabila mereka berjumpa, menghormati suaminya.  Demikian juga Raja Abdullah dari Jordan yang pernah berkata, "Apakah yang mendatangkan keseronokan ialah mempunyai suami anda sebagai musuh.” 

Moshe, jelas Ruth  lagi, "melayan sentiasa  orang Arab dengan hormat, bahkan selepas Perang Enam Hari, beliau mengunjungi sendiri Tebing Barat.  Beliau gemar menghabiskan masa dengan orang Arab, dan  melawat Nablus tanpa pengawal peribadi.  Beliau percaya bahawa kerja itu membawa kami bersama-sama. Beliau berdialog dengan orang Arab."

Israel sekarang, bagi Ruth Dayan, bukannya mimpi, negara yang banyak kesukaran. Israel mempunyai masyarakat teknologi tinggi yang berkomunikasi menerusi iPad, iPhone, dan Facebook, dan bukannya mempunyai anak-anak yang bercakap antara sama lain.

Dalam "Israel's Other Occupation," Gershom Gorenberg, memerhatikan  "peperangan," satu lagi perjuangan yang semakin memuncak di penempatan Tebing Barat utara, atau Samaria.  Persaingan seharian antara orang Yahudi dengan Palestin untuk mengawal tanah yang terletak di antara Laut Mediterranean dengan Sungai Jordan.  Namun, beliau menegaskan bahawa alasan untuk Israel  mencapai penyelesaian dua negara dan berundur dari Tebing Barat bukan hanya untuk mencapai perdamaian dengan rakyat Palestin yang hidup di wilayah yang diduduki sekarang.  Alasannya adalah untuk memastikan bahawa Israel sendiri kekal demokrasi, satu dengan majoriti Yahudi dan jaminan kesamaan untuk minoriti Arab mereka.  "Israel tidak perlu membawa peperangan dari rumah Samaria.  Israel perlu meninggalkan peperangan pada masa lalu itu."

Berhubung dengan rancangan perjanjian damai antara Israel dengan Palestin pada tahun 2008, seperti yang diulas oleh David Ignatius, "terlalu besar untuk dilaksanakan."  Justeru, keadaan terus wujud seadanya:  Palestin terus haru-biru, Israel hanyut dalam keangkuhannya.  



















Minoriti: Angka Lawan Sosial

AHAD, 27 November 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Barangkali belum terlewat dan bahkan tidak keterlaluan untuk kembali semula kepada "The Contradictions of the Arab Spring" tulisan Immanuel Wallerstein yang pernah dipetik sebelum ini tentang persamaan ciri revolusi dunia 1968 dengan Pemberontakan Arab, gerakan Menduduki Wall Street, dan protes yang berlaku di seluruh dunia sekarang.   

Dalam kalangan  orang yang dilupakan, Wallerstein antaranya memasukkan golongan "minoriti" yang dari segi konsep menurut beliau, bukannya dari segi angka, tetapi dari segi sosial. Golongan minoriti sosial ini ditakrifkan dari segi kaum atau agama atau bahasa atau sesetengahnya kombinasinya. 

Di mana-mana sahaja, termasuk di negara kita, orang lazimnya cenderung membincangkan golongan minoriti dari segi bilangan atau jumlah. Penganiayaan,  penindasan, atau peminggiran golongan minoriti berlaku kerana golongan itu kecil dari segi bilangan.   Mereka mungkin tidak menyedari bahawa bahawa minoriti juga dilihat dari segi sosial.  Dengan itu,  bermakna bahawa  majoriti dari segi bilangan, kemungkinan minoriti dari segi sosial; demikian juga minoriti dari segi bilangan, kemungkinan majoriti dari segi sosial.   


Dengan menggunakan konsep minoriti angka dan minoriti sosial yang diperkatakan oleh Immanuel Wallerstein itu, jika dilihat dalam konteks negara kita, siapakah golongan minoriti? Paling tidak, jika dilihat dari segi kaum, bahasa, dan yang tidak kurang penting dari segi pemilikan kekayaan atau penguasaan ekonomi.  Dari segi bahasa misalnya, meskipun bahasa Melayu dituturkan oleh golongan majoriti di negara ini, dari segi sosial, merupakan minoriti: terpinggir dan terhakis.


Bagi golongan tertentu yang sering melalak mendakwa bahawa mereka merupakan golongan minoriti yang  sering dianaktirikan oleh dasar-dasar nasional, harap lakukan sedikit "kerja rumah."  Jangan asyik melihat minoriti dari segi angka, tetapi juga  dari segi sosial.  



Bersama Masa

AHAD, 27  November 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH






Majalah Time dalam  pada 28 November, terpampang gambar Perdana Menteri Turki, "Erdogan's  Way."   Dalam keluaran berganda itu, Richard Stengel, Editor Urusan  menulis, "The New Global Reach of Time" yang menyusur sejarah kewujudan majalah itu. Pengasasnya, Henry Luce yang lahir di China,  sejak mula lagi mahu Time menjelaskan dunia kepada Amerika dan Amerika kepada dunia.  Beliau melihat jenis kewartawanan yang Time tolong wujudkan, iaitu autoritatif, dilaporkan secara mendalam, dan berminda saksama sebagai kuasa positif dan contoh untuk seluruh dunia.

Stengel yang menulis dalam ruangan "Editor's Desk" juga memaklumkan bahawa Time International lahir daripada kemusnahan Perang Dunia .  Ketika perang, edisi format yang lebih kecil Time yang dikenali kuda padi diedarkan kepada angkatan tentera Amerika Syarikat di Eropah dan Asia.  

Kini, majalah tersebut, seperti yang dinyatakan oleh Stengel merupakan institusi global agung, dengan tiga edisi antarabangsa, iaitu Eropah, Timur Tengah, dan Afrika; Asia; dan Pasifik Selatan, dan pengedarannya di seluruh dunia sebanyak 4.2 naskhah.  Sebanyak 35 peratus daripada 22 juta pelawat Time.com sebulan adalah dari luar Amerika Syarikat, dan para pembaca antarabangsa mengakses cerita, blog, galeri foto, suapan Twitter, halaman Facebook dan Tumblrs pada komputer, tablet, telefon pintar, dan bahkan melalui televisyen yang dihubung Internet.  Stengel dengan bangga menegaskan bahawa edisi wilayah majalah ini dicipta dan dihasilkan untuk mencerminkan minat para pembaca tempatan, termasuk keluaran terbaharu ini.  

Bagi para pembaca yang membaca atau melanggani Time, pastinya mereka dapat mengesani pembaharuannya serta kehebatan tulisan atau makalah yang terkandung di dalamnya.  Secara keseluruhannya, rencana utamanya merupakan sesuatu yang mampu membangkitkan minat para pembaca, baik yang tertumpu pada Amerika mahupun antarabangsa. 

Majalah ini, seperti yang diketahui, mengalami zaman surut pada tahun 1990 sehingga dilakukan rombakan secara besar-besaran, tetapi pada peringkat permulaan masih gagal menarik minat para pembaca.  Kejayaan Time sekali membuktikan bahawa Internet dan media sosial bukan suatu ancaman terhadap terbitan bercetak, sebaliknya saling lengkap melengkapi antara satu sama lain.  Apabila yang disajikan kepada para pembaca melalui dalam talian, sesungguhnya menambahkan lagi minat serta keinginan mereka untuk memilik edisi bercetak. 

Beberapa minggu lalu, sambil menikmati makanan serta  minuman di Old Town bersama-sama Abdul Ghafar Abdullah dari Dewan Bahasa dan Pustaka, kami berbincang panjang lebar tentang penerbitan majalah dalam talian  DBP.  Saya memberitahu beliau tentang kandungan majalah dalam talian yang selain daripada bercetak sepatutnya mengandungi tulisan atau bahan asalnya sendiri setiap hari.   Saya meminta beliau melihat, antaranya  Time, Newsweek, The Daily Beast,  The Economist, The Nation, The Atlantic, dan The New Yorker. Saya memberitahu beliau bahawa saya tidak tidak pernah melihat majalah dalam talian DBP, meskipun saya mengetahui akan kewujudan majalah berkenaan.  

Sambil berbual, beliau  melalui telefon bimbitnya mengakses beberapa majalah DBP itu, yang nyata ketinggalan zaman kerana keluaran yang dimuatkan ialah bulan Oktober, sedangkan ketika itu sudah masuk minggu kedua November. Saya mengemukakan cadangan bahawa untuk menjadikan majalah dalam talian hidup, beberapa penulis tetap perlu ada untuk menyumbangkan penulisan setiap hari.  Selain itu, editornya pula mesti dinamik, kreatif, dan inovatif untuk mencari bahan untuk dimasukkan atau disambungkan dengan majalah talian itu.




Saturday, November 26, 2011

Jawatankuasa Super Gagal

AHAD,  27  November 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Sekali lagi Amerika Syarikat bergelut dengan kelumpuhan politik.  Yang terbaharu ialah kegagalan Jawatankuasa Super yang ditubuhkan Ogos lalu berikutan krisis siling hutang.  Jawatankuasa kongres itu yang dianggotai oleh enam anggota Republikan dan enam Demokratik ditubuhkan  untuk mengurangkan  defisit  AS$1.2 trilion dalam masa 10 tahun.    

Berikutan kegagalan itu, Presiden Barack Obama dan pemimpin menyalahkan antara satu sama lain, dan seperti yang dibahaskan oleh Jack White kegagalan sistem politik untuk menangani krisis ekonomi: politik perkauman. Kegagalan Jawatankuasa Super ini merupakan kemenangan kepada gerakan Menduduki, tulis Michael McAuliff dalam The Huffington Post. Namun, kegagalan ini, tegas David Corn, baik untuk Presiden Obama.

Akhbar The Washington Post, mengaitkan kegagalan tersebut dengan dwipartisan yang semakin menjadi-jadi di Amerika Sekarang.  Pertama, Jawatankuasa Super gagal kerana Republikan enggan bekerjasama. Kedua, jawatankuasa tersebut gagal kerana Demokrat mendesak AS$1 trilion dalam cukai baru.

Meskipun banyak pihak yang meratapi kegagalan tersebut, bagi Fareed Zakaria, tidak ada apa-apa yang perlu dikecohkan. Tanpa melakukan apa-apa, Kongres boleh mencapai banyak perkara. Beliau memetik Ezra Klein bahawa akibat kegagalan itu, Republikan dihantui oleh mimpi buruk.  Strategi Republikan yang menyekat mana-mana urus janji kelihatan tidak bijak. Bahkan, penubuhan Jawatankuasa Super untuk mengurangkan perbelanjaan yang melibatkan pertahanan, dianggap Niall Ferguson suatu bahaya kerana ancaman China dan pergolakan di Timur Tengah.





Debat Pemikiran Ekonomi

SABTU,  26  November 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Meskipun dunia masih  belum bebas sepenuhnya daripada krisis ekonomi yang berlaku sejak  tiga tahun lalu,  para penggubal dasar, menurut pemerhatian Mohamed A.  El-Erian dan Michael Spence, "berdebat dan menunggu" berbanding dengan "bertindak dan belajar" tidak berusaha mencari jalan penyelesaian yang segera. Sementara para pemimpin dunia terkial-kial untuk bertindak, sekadar menghadiri pertemuan atau sidang kemuncak untuk memperlihatkan  kepada dunia bahawa mereka sepakat untuk bertindak, tetapi sebenarnya mereka tidak melakukan apa-apa: daripada  krisis zon euro yang menyaksikan kesan domino   kepada kegagalan  G-20 yang kini menyaksikan  kebangkitan fahaman perlindungan.   

Di sebelah menyebelah Atlantik, keadaan semakin kalut kerana bukan hanya merebaknya krisis ekonomi, tetapi juga mengalirnya idea yang buruk.  Pastinya, idea berkenaan bukan hanya muncul daripada pemimpin dan penggubal dasar, tetapi juga daripada ahli ekonomi sendiri.  Kapitalisme dalam krisis, dari  Amerika Syarikat ke zon euro, dan  dunia Arab terus bergolak, tetapi seperti yang dibahaskan oleh Mehdi Hasan, siapa yang ingin mempercayai pakar, termasuk ahli ekonomi  yang gagal melihat kedatangan krisis.  "Ahli ekonomi yang berpaut kukuh pada teori neoklasik 'jangkaan rasional' dan 'pasaran cekap,' tetapi gagal mengesan ribut kewangan yang berkumpul memadu kekuatan."


Namun, apa yang Mehdi Hasan ketengahkan itu, bukan sesuatu yang baru sama sekali kerana banyak diperkatakan seolah-olah ahli ekonomi gagal mengesan  krisis yang akan melanda.  Demikian juga amaran ahli ekonomi Nouriel Roubini ("Dr  Doom") pada tahun 2006 bahawa krisis akan melanda Amerika Syarikat.  Sebenarnya, selain Roubini, ahli ekonomi lain, antaranya Joseph Stiglitz juga memberikan amaran tentang krisis yang akan berlaku, tetapi tidak dipedulikan oleh pengawal selia, penggubal dasar, dan bahkan pemimpin negara itu.

Dalam "Wanted:  Worldly Philosophers," Roger E. Backhouse dan Bradley W. Bateman mendedahkan keusangan kursus ekonomi yang ditawarkan di universiti, iaitu kursus yang sesuai dengan era  Perang Dingin, tetapi masih ditawarkan hingga sekarang: sistem ekonomi perbandingan.  Kita sekarang, bahas Backhouse dan Bateman, mempunyai profesion ekonomi yang jarang-jarang membicangkan subjek asasnya, iaitu "kapitalisme." Banyak ahli ekonomi berkata bahawa apa yang menjadi pokok persoalan, seperti sama ada pasaran berdaya saing atau monopolistik, ataupun bagaimana dasar monetari berfungsi. 


Kedua-kedua penulis memetik pesanan John Maynard Keynes bahawa ahli ekonomi sepatutnya lebih bersifat doktor pergigian, iaitu orang yang merendah diri  yang melihat bahagian kecil badan, tetapi menghilangkan kesakitan yang banyak.  Namun, mereka mengingatkan bahawa wujud juga bahagian bawah untuk menghampiri ekonomi sebagai doktor pergigian: selain itu, kehilangan mana-mana wawasan tentang sistem ekonomi yang sepatutnya dilihat. "Bahkan, Keynes sendiri didorong oleh wawasan yang sangat kuat tentang kapitalisme.  Beliau percaya bahawa hanya sistem tersebut dapat mewujudkan kemakmuran, tetapi kapitalisme juga memang tidak stabil dan oleh itu, memerlukan pembaharuan yang konstan."


Backhouse dan Bateman membahaskan bahawa pada abad ke-20, cabarfan utama terhadap wawasan Keynes datangnya daripada ahli ekonomi, seperti Friedrich Hayek dan Milton Friedman, yang membayangkan ekonomi yang unggul yang melibatkan tawar menawar individu diasingkan antara satu sama lain dalam pasaran bebas.  Mereka menegaskan kerajaan biasa menyebabkan pasaran kucar-kacir. Mengambil alih Keynesianisme yang banyak orang dapati tidak cukup untuk menangani stagflasi pada tahun 1970-an, wawasan ini memarakkan agenda neoliberal dan konservatif pasaran bebas kerajaan di seluruh dunia. 


Namun, wawasan tersebut, bahas Backhouse dan Bateman, juga dilemahkan oleh krisis semasa.  Kerajaan terpaksa bertindak secara meluas untuk mencegah satu lagi Kemelesetan Besar, manakala ganjaran yang sangat besar diterima oleh banker di tengah-tengah kegawatan yang teruk yang mendorong banyak pihak bertanya, sama ada kapitalisme yang tidak dikawal mewujudkan agihan kekayaan yang saksama.  


Bagi Backhouse dan Bateman, kita jelas memerlukan wawasan kapitalisme baru sebagai alternatif. Akan tetapi, terima kasih kepada berdekad-dekad latihan akademik dalam pendekatan "pergigian" untuk ekonomi, yang hari ini Keynes atau Friedman tidak ada tempat untuk ditemui.  "Jika ahli ekonomi mahu membantu mewujudkan dunia yang lebih baik, mereka pertamanya perlu bertanya, dan cuba menjawab soalan yang keras yang dapat membentuk potensi wawasan baru kapitalisme. 


Penulisan terbaharu tentang pemikiran ekonomi datangnya daripada Robert Shiller yang menulis "Brains versus Keynes"  bagaimana sains neuro mengubah pemahaman kita tentang ekonomi. Hujah beliau, ekonomi adalah pada permulaan revolusi yang boleh dikesan kepada sumber yang tidak dijangkakan: sekolah perubatan dan kemudahan penyelidikan sekolah berkenaan.  Sains neuro ialah sains bagaimana otak, iaitu organ fizikal di dalam kepala seseorang benar-benar berfungsi, mula mengubah cara kita berfikir tentang bagaimana manusia membuat keputusan.  Dapatan ini tidak dapat tidak, akan mengubah cara kita berfikir tentang bagaimana ekonomi berfungsi. 


"Usaha untuk mengaitkan sains neuro dengan ekonomi," tulis Shiller, "hanya beberapa tahun lalu, dan pertumbuhan ekonomi neuro masih pada tahap awal.  Akan tetapi, pertumbuhannya mengikuti pola: Revolusi dalam sains yang cenderung datang dari tempat yang tidak dijangkakan sama sekali.  Bidang sains boleh menjadi mandul jika tidak ada pendekatan baru dari segi fundamental untuk penyelidikan di ufuk ini.  Para sarjana terperangkap dalam kaedah mereka, iaitu dalam bahasa dan andaian pendekatan yang diterima untuk disiplin mereka, iaitu penyelidikan mereka menjadi berulang-ulang atau remeh-temeh.


Setelah menyatakan kemajuan  revolusi ekonomi neuro, terutamanya buku yang ditulis oleh Paul Glimcher,   Foundations of Neuroeconomic Analysis, Shiller beralih kepada pemikiran  John Maynard Keynes bahawa kebanyakan pembuatan keputusan ekonomi berlaku dalam situasi kabur yang kebarangkalian tidak diketahui.  Keynes menyimpulkan bahawa banyak kitaran perniagaan kita dipacu oleh turun naik dalam "semangat haiwan," sesuatu dalam minda dan tidak difahami oleh ahli ekonomi. 


"Pastnya, masalah ekonomi," bahas Shiller "adalah bahawa selalunya sebagaimana banyak tafsiran tentang mana-mana krisis, seperti wujudnya ahli ekonomi.  Ekonomi merupakan struktur kompleks yang menakjubkan, dan menduganya bergantung pada pemahaman hukumnya, peraturannya, amalan dan adat perniagaannya, dan kunci kira, adalah antaranya."  Jelas beliau lagi, "namun, kemungkinan satu hari kelak, kita akan mengetahui banyak lagi tentang ekonomi berfungsi (atau gagal berfungsi) untuk memahami struktur fizikal yang lebih baik yang mendasari fungsi otak."


Shiller menamatkan penulisannya dengan berhujah,  "Otak, komputer, dan ekonomi:  Semuanya peranti yang bertujuan menyelesaikan masalan maklumat fundamental dalam menyelaraskan kegiatan unit individu (neuron, transistor, dan manusia).  Oleh sebab kita meningkatkan pemahaman kita tentang masalah yang mana-mana satu peranti ini selesaikan, dan bagaimana  peranti itu menjadi penghalang untuk berbuat demikian, kita mempelajari sesuatu yang bernilai tentang kesemua tiga perkara itu."


Krisis ekonomi semasa mendorong sesetengah orang untuk menyelongkar pemikiran John Maynard Keynes, Hayman Minsky,  Joseph Schumpeter, dan bahkan Karl Marx, antaranya yang sudah lama dilupakan.  Tidak ketinggalan juga keinginan sesetengah orang untuk memikirkan dan mencipta sesuatu yang baru tanpa mengabaikan pemikiran yang sedia ada. 



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...