Artikel Popular

Thursday, April 26, 2012

Mendakap Model Sweden

JUMAAT, 27 April 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Lebih tiga tahun sejak Lehman Brothers runtuh,  krisis ekonomi masih belum reda, iaitu pemulihan lemah, pertumbuhan perlahan, dan  zon euro terus bergelut dengan krisis hutang,  ahli ekonomi dan para pengulas masih tidak jemu-jemu berbicara tentang mencari model.  Melihat kebangkitan China, ada yang mencadangkan Konsensus Beijing lawan Konsensus Washington, atau kapitalisme negara melawan kapitalisme pasaran bebas. 

Untuk pemulihan ekonomi Eropah,  Robert J. Samuelson yang menulis dalam The Washington Post mencadangkan memilih model Sweden, walaupun Jerman kelihatan stabil dan bagi banyak orang Amerika, Sweden negara kebajikan yang kembung, iaitu  tidak cekap. 

Beliau memetik Anders Borg, Menteri Kewangan Sweden bahawa pertumbuhan pekerjaan (sebagai peratusan) di Sweden bersaing dengan Jerman sejak tahun 2006; kadar pengangguran kini pada 7.5 peratus adalah rendah dalam kalangan ekonomi maju; purata inflasi kira-kira dua peratus; pertumbuhan ekonomi sejak lima tahun lalu lebih sedikit daripada Jerman; dan hutang kerajaan sebagai bahagian ekonomi adalah lebih rendah daripada Jerman. 

Cara Sweden bertindak balas terhadap  krisis ekonomi yang dialaminya pada tahun 1992, tegas  Samuelson boleh memberikan pengajaran kepada puak konservatif dan liberal Amerika. 

Puak konservatif boleh berbesar hati bahawa banyak dasar pascakrisis datangnya daripada buku mainan mereka.  Asas cukai pendapatan Sweden diperluas dan kadar cukai dikurangkan dengan ketara.  Perbelanjaan dipotong untuk pencen usia tua, elaun kanak-kanak, faedah pengangguran, dan subsidi perumahan.  Kuasa kesatuan sekerja berhubung dengan upah dikurangkan.  Banyak pasaran dibatalkan kawal selia.  Inflasi rendah dan belanjawan berimbang menjadi matlamat popular yang diterima pakai secara meluas. 

Dari satu segi yang lain, jelas Samuelson, puak liberal tidak diketepikan.  Walaupun Sweden mengecilkan faedah sosial, negara itu tidak meninggalkan negara kebajikan sama sekali. Perbelanjaan kerajaan secara keseluruhan masih kira-kira 50 peratus ekonomi (Keluaran Dalam Negara Kasar - KDNK), jauh lebih tinggi daripada di Amerika Syarikat, yang nisbah sebenar kira-kira 35 peratus.  Untuk mengurangkan kadar cukai pendapatan, kerajaan meningkatkan cukai lain. Cukai gasolin dan rokok dinaikkan; maka cukai dividin dan laba modal, disasarkan pada golongan kaya.  Kesemuanya, pengurangan defisit berjumlah besar 12 peratus KDNK dari tahun 1991 ke 1998.  Lebih sedikit daripada satu pertiga daripada jumlah itu datangnya cukai yang tinggi. 

Pengajaranya, tegas Borg, seperti yang dipetik oleh Samuelson, bahawa suatu kemungkinan untuk mendakap ekonomi konservatif dan dasar sosial liberal pada masa yang sama.  Matlamatnya jelas:  untuk mengganjar kerja dengan memotong kadar cukai pendapatan; mendorong orang ramai balik semula ke dalam pasaran buruh dengan mengurangkan beberapa faedah kerajaan; dan untuk menggalakkan produktiviti dengan meningkatkan persaingan.

Walau bagaimanapun, Samuelson menyedari bahawa model Sweden tidak mudah didakapi oleh negara zon euro yang dilanda krisis hutang kerana negara berkenaan tidak boleh menurunkan mata wang bersama itu demi membolehkan eksportnya berdaya saing. 

Dari segi jimat-cermat pula, hujah beliau, "langkah ini lebih dapat ditahan apabila hanya sebuah atau sebilangan negara melaksanakannya dan apabila penurunan nilai mata wang dapat merangsangkan eksport.  Di Eropah, kedua-dua syarat ini kini tidak dipegang."

Paul Krugman pernah Krugman memetik Sweden sebagai contoh kejayaan ekonomi kebajikan di Eropah, tetapi menerima kritikan dan sindiran Nile Gardiner. Sebelum Kira-kira dua tahun lalu, Benjamin Sarlin yang menulis dalam The Daily Beast mengesyorkan supaya Amerika Syarikat  "jangan takut moden Sweden." Hakikatnya, walaupun banyak negara Eropah terutamanya, dalam kesusahan, orang Sweden keriangan kerana kemajuan dan kemakmuran ekonomi.




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...