Artikel Popular

Monday, April 23, 2012

Sepanyol Sakit Dunia Padah

ISNIN, 23 April 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Gering Greece belum reda, kini tiba giliran Sepanyol pula yang sakit, menjadikan krisis  zon euro semakin teruk sebelum kebah.  Tatkala dunia kelihatan bertambah baik, meskipun pasaran meraguinya, kesan domino euro melanda Sepanyol.   Negara itu terpaksa bergelut dengan defisit belanjawan yang besar, pengangguran yang tinggi, dan orang awam yang naik berang.  Bagaimana jika Sepanyol gagal?

Persoalan ini cuba dijawab oleh Robert J. Samuelson dalam The Washington Post bahawa AS$80 trilion ekonomi dunia terbahagi kira-kira 50-50 antara negara maju (Amerika Syarikat, Eropah, Jepun, dan beberapa buah negara lain) dengan negara membangun (China, India, kebanyakan negara Asia, Afrika, dan Amerika Latin).  Sejak krisis kewangan, ekonomi maju terpaksa berhempas-pulas, iaitu pertumbuhannya tidak seberapa, iaitu 1.4 peratus.  Banyak negara Eropah dalam kemelesetan, Amerika Syarikat tumbuh 2.1 peratus dan Jepun dua peratus -  tumbuh  sedikit. 

Meskipun negara membangun adalah lebih baik, hujah Samuelson, ekonomi mereka kini juga perlahan kerana pertumbuhan yang pesat meningkatkan inflasi.  Di China, inflasi meningkat daripada 3.3 peratus pada tahun 2010 kepada 5.4 peratus pada tahun 2011.  Inflasi India mencecah 12 peratus. 

"Jika krisis Sepanyol mendalamkan kemelesetan Eropah," tulis Samuelson, "keadaan ini boleh menghumbankan seluruh ekonomi dunia ke dalam kemerosotan yang susah hendak reda."  Hujah beliau, semakin Eropah menjadi lemah, semakin besar kemungkin akan menarik seluruh dunia ke dalam kemelesetan menerusi tiga saluran:  keyakinan dan pelaburan yang rosak, import yang sedikit, kredit yang kurang untuk perniagaan dan isi rumah.  Ingat bahawa Eropah adalah kira-kira satu perlima ekonomi dunia, kira-kira sama dengan Amerika Syarikat.  Anggota Kesatuan Eropah yang terdiri daripada 27 buah negara ialah pengimport terbesar di dunia (tidak termasuk eksport antara sebuah negara dengan sebuah negara lain), mengatasi Amerika Syarikat.  Dan, bank-bank Eropah beroperasi di peringkat global. 

Sekali lagi, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menjadi sasaran kritikan yang didakwa menggalakkan bunuh diri ekonomi Eropah dan membenarkan zon euro tinggal dalam dunia fantasinya. Sementara G-20 dilaporkan menggesa kerajaan Eropah menyelesaikan krisis hutang dengan segera kerana krisis dua tahun ini masih mengancam pertumbuhan global.

Tatkala Sepanyol bergelut dengan krisis sehingga mencetuskan kebimbangan global, Raja Juan Carlos masih bersenang-lenang,  iaitu memburu gajah di Botswana.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...