Artikel Popular

Sunday, April 15, 2012

Sepanyol di Barisan Depan Krisis Euro

AHAD, 15  April 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Tatkala Greece belum lagi pulih daripada kegeringan, krisis hutang di zon euro dengan rakusnya mencari mangsa terbaharunya, iaitu Sepanyol. Tatkala krisis zon euro dirasakan benar-benar diselesaikan, bahkan Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, tidak sabar-sabar lagi menunjukkan keriangannya, kini tiba giliran Sepanyol untuk menjadi "orang sakit Eropah" - krisis euro bergema semula. 

Pada Jumaat lalu, dilaporkan bahawa  pasaran saham Sepanyol jatuh sebanyak 3.6 peratus, terendah dalam tiga tahun kerana kebimbangan kian memuncak bahawa negara itu menjadi sasaran krisis hutang zon euro dan bank-bank Sepanyol pula semakin bergantung pada pinjaman murah daripada Bank Pusat Eropah (ECB) pada bulan Mac, meminjam dalam jumlah yang berlipat ganda jika dibandingkan dengan bulan  Februari. Menteri Sepanyol dipetik sebagai  menggesa ECB supaya membeli lebih banyak bon demi memperlahankan krisis hutang kedaulatan negara itu di tengah-tengah ketakutan bahawa Sepanyol akan menjadi anggota euro seterusnya yang memerlukan pelan penyelamat.

Sepanyol merupakan contoh kegagalan jimat-cermat yang dilaksanakan di Eropah. Negara itu, menurut The Economist, defisit belanjawan tahun 2011 ialah 8.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), bukan matlamat enam peratus, sebahagian besar adalah kerana perbelanjaan berlebih-lebihan oleh wilayah autonomi di Sepanyol.  Ekonomi negara itu dalam kemelesetan, apabila industri merosot sebanyak 5.1 peratus pada tahun hingga Februari.  Percubaan untuk memotong defisit sebanyak 3.2 peratus KDNK pada tahun ini menjadikan keadaan bertambah teruk.


Tempoh bulan madu 100 hari untuk Perdana Menteri baru, Mariano Rajoy dikatakan  berakhir apabila beliau tewas dalam pilihan raya wilayah yang penting.  Hasil bon meningkat semula, manakala  pada 29 Mac lalu, para pekerja melancarkan mogok umum menentang pembaharuan dan jimat-cermat kerajaan.  Sepanyol negara keempat terbesar  di zon euro, kini sekali lagi, paling memeningkan. 



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...