Artikel Popular

Thursday, April 5, 2012

China Betul-betul Mengancam?

JUMAAT,  6 April 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Setelah mendedahkan dalam carta harian tentang eksport senjata, yang antaranya melibatkan beberapa buah negara Asia, seperti China, India, Korea Selatan, dan Singapura sebagai pembeli utama, The Economist dalam keluaran akhir Mac,  seterusnya mendedahkan beberapa negara jiran,  iaitu Singapura dan Indonesia berbelanja besar untuk ketenteraan masing-masing, di samping  pergolakan di Laut China Selatan berikutan kehadiran China. 

Tidak memadai dengan semua liputan itu, majalah itu dalam keluaran terbaharu, membuat liputan tentang kebangkitan ketenteraan China sambil mengingatkan bahawa tidak ada cara untuk mengurangkan ancaman terhadap kestabilan yang dicetuskan oleh kuasa besar. "Tidak kira bagaimana China selalu menegaskan idea kebangkitan secara aman, langkah dan sifat pemodenan ketenteraannya, tidak dapat tidak, membangkitkan kebimbangan."

Jelas makalah itu lagi, "tatkala Amerika dan kuasa Eropah besar mengurangkan perbelanjaan pertahanan, China kelihatan seakan-akan mengekalkan peningkatan dekad lalu kira-kira 12 peratus setahun.  Meskipun belanjawan pertahanannya kurang satu perempat daripada saiz Amerika hari ini, jeneral-jeneral China bercita-cita tinggi.  Negara ini sedang mempersiapkan dirinya untuk muncul sebagai negara yang suka belanja sakan untuk ketenteraan dalam masa hanya 20 tahun atau lebih."  

Meskipun China mengatakan perbelanjaan besar untuk ketenteraannya semuanya untuk pertahanan, hakikatnya doktrin taktikalnya menekankan serangan mula-mula jika perlu.  Dengan itu, cita-cita China adalah untuk mampu melancarkan serangan menghilangkan keupayaan terhadap pangkalan Amerika di Pasifik Barat dan mengasak kumpulan pengangkut Amerika melampaui apa yang disebut "rantaian pulau pertama," menutup Laut Kuning, Laut China Selatan, dan Laut China Timur dalam  lengkung lari dari Aleutians di utara ke Borneo di selatan.  Jika Taiwan cuba melakukan pemisahan forma daripada tanah besar, China mampu melancarkan siri serangan terlebih dahulu untuk melengahkan campur tangan Amerika dan meningkatkan kosnya dari segi pencegahan.

Walau bagaimanapun, makalah itu menegaskan bahawa dari segi hasrat jangka panjang China, Barat sepatutnya mengakui bukan sesuatu yang luar biasa bagi kuasa yang sedang bangkit untuk bercita-cita mempunyai angkatan tentera yang menggambarkan pengaruh ekonominya yang sedang berkembang.  China secara konsisten menyediakan lebih sedikit daripada dua peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk pertahanan, iaitu kira-kia sama seperti Britain dan Perancis dan separuh daripada yang dibelanjakan oleh Amerika.

"Masalahnya ialah hasrat China tidak dapat diramalkan. Dari satu segi, China semakin bersedia untuk terlibat dengan institusi global.  Tidak seperti Kesatuan Soviet lama, China mempunyai kepentingan dalam orde ekonomi dunia liberal, dan tidak berminat untuk mengeksport ideologi yang bersaing.  Dari satu segi yang lain, China terlibat dengan negara lain di dunia dengan menggunakan syaratnya sendiri, meragui institusi yang China percaya memperjuangkan kepentingan Barat.  Dan sikap China yang gemar mendesak, terutamanya dari pertikaian wilayah maritim, berkembang bersama-sama dengan kekuatannya.  Bahaya silap perhitungan ketenteraan adalah terlalu tinggi untuk keselesaan."

Dalam makalah yang lain dalam The Economist,  "The Dragon's New Teeth," mendedahkan peristiwa dalam mesyuarat Asean tahun 2010, Menteri Luar China, Yang Jiechi, menghadapi bantahan yang bertalu-talu tentang tindak-tanduk negaranya di rantau ini, dengan angkuh menjawab, "China ialah negara besar, manakala negara lain ialah negara kecil, dan inilah hakikatnya."  Sesungguhnya, China besar bukan hanya dari segi wilayah dan penduduk semata-mata, tetapi juga dari kekuatan ketenteraan.

"Tidak diragui lagi bahawa China secara pesat memodenkan angkatan tenteranya, walaupun wujud pertelingkahan tentang apakah angka sebenar perbelanjaan itu.  Belanjawan pertahanan China hampir pasti mengalami pertumbuhan digit berganda untuk dua dekad," tulis makalah itu dengan memetik SIPRI bahawa perbelanjaan pertahanan tahunan China meningkat daripada lebih AS$30 bilion pada tahun 2000 kepada hampir AS$120 bilion pada tahun 2010.

Jika dari segi ekonomi global, China menduduki tempat kedua selepas Amerika Syarikat; demikian juga dari segi ketenteraan:  daripada 10 buah negara teratas dari segi perbelanjaan ketenteraan pada tahun 2011, China menduduki tempat kedua. 


Bagi para pemimpin Malaysia, yang tidak henti-henti mengatakan bahawa kebangkitan China bukan suatu ancaman, sepatutnya berfikir sedalam-dalamnya sebelum mengulangi pendirian seperti itu.  Sementara para pemimpin pembangkang demi kepentingan politik dalam negara tidak berani menyanggah kata-kata itu, sepatutnya kini dengan tegas memberitahu pemimpin berkenaan bahawa "Anda silap.  Sebenarnya, banyak negara di rantau ini melihat China sebagai ancaman!"


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...