Artikel Popular

Thursday, April 26, 2012

Berlin Kesepian

KHAMIS, 26  April 2012
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH




Bagi Canselor Jerman, Angela Merkel, beberapa hari lalu berlangsung dalam tempoh yang panjang dan mengharukan.  Beliau kelihatan  keseorangan dalam perjuangannya untuk menyelamatkan   euro menerusi program jimat-cermat yang ketat.

Seperti yang diungkapkan secara menarik dan berkesan oleh Spiegel Online International, Francois Hollande daripada Parti Sosialis kelihatan dalam laluan untuk menyingkirkan Presiden Nicolas Sarkozy, yang merupakan rakan kongsi penting Merkel dalam perjuangan untuk mengatasi krisis hutang, dalam pusingan kedua pada 6 Mei ini. 

Dan, Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte, sebuah kerajaan minoriti yang meleteri Greece dan negara yang menanggung beban hutang tentang perlunya pemotongan perbelanjaan yang ketat, meletakkan jawatan pada Isnin lalu selepas Parti Kebebasan populis  kanan jauh pimpinan Geert Wilders enggan menyokong pemotongan belanjawan untuk Belanda, yang dianggap sebagai salah sebuah ekonomi yang paling stabil di Eropah.  

Di seluruh Eropah, puak populis sayap kanan sedang bangkit, memenangi undi daripada orang kebanyakan yang berasa kecewa dengan pemotongan perbelanjaan yang menyebabkan kehidupan mereka semakin sukar.  Di Perancis, calon Parti Barisan Nasional, Marine Le Pen memenangi 17.9 peratus pada Ahad lalu, satu keputusan tertinggi yang pernah dicapai oleh calon kanan jauh di Perancis.  

Krisis, seperti yang diperhatikan, mendorong orang ramai mengundi menentang Presiden Sarkozy dengan memilih sosialis dan pada takat tertentu, parti kanan jauh. Bagi akhbar Eropah, pusingan pertama Pilihan Raya Presiden Perancis mempunyai seorang pemenang, iaitu Marine Le Pen daripada Parti Barisan Nasional kanan jauh, dan dua orang yang tewas, iaitu penjawat kini Sarkozy dan Jerman.

Hollande yang kini calon pilihan untuk memenangi pilihan raya tersebut, seperti yang dibahaskan oleh Javier Valenzuela,  berusaha menghentikan apa yang Paul Krugman sebut, "bunuh diri ekonomi Eropah."  Hollande adalah antara mereka yang percaya bahawa berlaku kesilapan besar dalam diagnosis, dan akibat rawatan.  Eropah yang sakit mempunyai tumur yang serius (pertumbuhan dan guna tenaga), tetapi pasukan perubatan yang ketua yang paling menonjol ialah Merkel, merawat hanya satu masalah, iaitu keobesan (defisit dan hutang.) 


Pendirian Hollande terhadap jimat-cermat memang jelas. Jika beliau memenangi pilihan raya ini, seperti yang dipetik oleh Bloomberg, beliau akan menentang langkah Jerman itu,  sambil mengingatkan, "Eropah tidak boleh melaksanakan jimat-cermat," membayangkan ketegangan antara dua buah ekonomi terbesar di wilayah itu. Sementara  The Economist melihat Hollande sebagai pemimpin paksi pertumbuhan yang menentang jimat-cermat.

Kini, berlaku revolusi Hollande yang pada beliau diletakkan "harapan yang besar oleh banyak orang Eropah" yang ingin mengubah sejarah.  Pemberontakan Hollande menentang Berlin Merkel! "Tidak ada Pilihan Raya Presiden Perancis dalam memori kebelakangan ini tentang skala benua sedemikian, berbanding yang berlaku sekarang," tulis Valenzuela. "Berlin, Frankfurt, Brussels, Paris, London, Rom, Madrid, dan semua ibu negara lain di Eropah, yang disebut 'pasaran', di samping bukan sebilangan orang biasa tahu bahawa apakah yang dipertaruhkan dalam pilihan raya ini, adalah sama ada pasangan Merkozy, dengan dogmanya tentang belanjawan berimbang dengan apa-apa cara sekalipun, akan terus bertanggungjawab, ataupun sama ada percubaan  serius yang pertama akan dilakukan untuk mengasak matlamat pengembangan ataupun mengaktifkan semula pewujudan pekerjaan menjadi agenda utama Kesatuan Eropah."


Geografi baru Perancis-Belanda sememangnya,  membangkitkan ketakutan  bahawa Jerman mula kehilangan sekutu politiknya di tengah-tengah krisis keyakian yang kian menjadi-jadi terhadap dasar Eropah. Keputusan pusingan pertama  pilihan raya di Perancis itu dan keruntuhan kerajaan ditafsirkan oleh The Guardian,  sebagai berkemungkinan berakhirnya perjalanan untuk jimat-cermat Eropah. 


Oleh sebab blok jimat-cermat runtuh, tulis  Ambrose Evans-Pritchard dalam The Telegraph, "minggu  mimpi buruk untuk Angela Merkel." Namun, Merkel dilaporkan mempertahankan langkah jimat-cermat, meskipun berlaku pemberontakan terbuka di Eropah. Selain Berlin sebagai sasaran, dari Belanda ke Hollande, jawapannya ialah "tidak" untuk Brussels.  


Peniaga kewangan dan menteri kewangan berdebat minggu ini hanya bagaimana besarnya kerosakan yang dibawa oleh pertentangan politik-ekonomi ini, tulis David Ignatius dalam The Washington Post. "Sesetengah berhujah bahawa keadaan ini dapat meruntuhkan struktur secara keseluruhan.  Sementara yang lain menegaskan bahawa Jerman, demi penegasan terhadap jimat-cermat, tidak akan membiarkan struktur runtuh, dan akan melakukan konsesi yang perlu demi memastikan mata wang bersama itu tidak terjejas."


Berlakunya "pemberontakan  Eropah"   bukan sahaja menyebabkan jimat-cermat terhubung-hayang, tetapi juga masa depan zon euro sendiri menjadi tanda tanya.  Sejak awal-awal lagi, dalam menangani krisis zon euro, ketulusan Berlin diragui.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...