Artikel Popular

Monday, May 20, 2019

Persediaan Mencapai Wawasan 2020


ISNIN, 20 Mei 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH



Mulai penghujung abad ke-20, dunia menghadapi kejutan masa depan, dunia tanpa sempadan, limpahan teknologi maklumat, masyarakat pascakapitalis, dan masyarakat berilmu. Sementara abad ke-21 menanti dengan penuh cabaran dan perlu dihadapi dengan persediaan yang rapi. Dalam konteks Malaysia, Wawasan 2020 mengajak seluruh rakyat memikirkan realiti negara maju bukan sahaja dari segi ekonomi, bahkan dari segi pembangunan masyarakat dan budaya bangsa.
Tidak ada tempat bagi pendekatan pesta yang menjadikan Wawasan 2020 sebagai slogan dan dendangan semata-mata. Begitu juga, tidak ada tempat bagi pendekatan anti-establishment yang menentang Wawasan 2020 kerana Wawasan ini merupakan anjuran dan gagasan kerajaan. Pendekatan pasif yang melihat kesan dan implikasi Wawasan terhadap masyarakat Islam pun perlu dijauhi. Begitulah penegasan Nik Azis Nik Pa dalam Penghayatan Wawasan Pembangunan Negara (Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1994, RM25.00).
Menurut  beliau, satu-satunya pendekatan yang boleh diamalkan dan dihayati oleh masyarakat ialah pendekatan konstruktif. Melalui pendekatan ini, masyarakat perlu memberikan tumpuan yang beranalisis dan kritis terhadap peranan utama dari segi memahami, mengisi, dan mencorakkan Wawasan 2020.
Masyarakat bertamadun tinggi yang diidam-idamkan oleh Wawasan 2020 tidak akan menjadi kenyataan tanpa didukung oleh budaya kerja yang baik dan canggih. Budaya kerja ini menjadi tunjang kepada pencapaian Wawasan melibatkan tiga kedinamikan, iaitu kedinamikan perubahan, kedinamikan perancangan, dan kedinamikan motivasi.
Menurut Nik Azis Nik Pa, budaya kerja yang perlu menjadi pegangan, khususnya oleh masyarakat Islam ialah penilaian yang tinggi terhadap penguasaan ilmu dan teknologi, dan menyanjung tabiat tekun belajar serta gigih bekerja. Pemilikan budaya kerja seperti ini akan melahirkan masyarakat Islam yang maju.
Sesungguhnya, Wawasan 2020 merupakan cabaran yang hebat kepada masyarakat Islam. Bahkan, berdasarkan perubahan dan cabaran yang sedang menunggu pada abad ke-21, Wawasan 2020 akan menentukan jatuh bangun, maju mundur masyarakat Islam di Malaysia. Tugas mereka semakin mencabar lebih-lebih lagi memandangkan tiada negara Islam di dunia ini yang boleh dijadikan contoh atau model. Mesir, Iran, Iraq, dan sebagainya sedang menghadapi kemelut masing-masing.
Untuk menyahut cabaran tersebut, umat Islam perlu mempunyai kekuatan akidah, ilmu, jihad, dan ijtihad. Tanpa kekuatan tersebut, umat Islam akan tersisih daripada Wawasan 2020 dan tidak dapat membebaskan diri daripada belenggu kemunduran dan kedaifan.
Sesungguhnya juga, tidak ada mudah untuk mencapai Wawasan 2020. Dari segi realiti, pelaksanaan Wawasan 2020 perlu didukung oleh pemikiran yang kritis.  Satu pemikiran yang dapat melihat situasi yang jelas, mengenal pasti  masalah, dan mencari penyelesaian yang sesuai.
Penulis turut menekankan peri  pentingnya sumber manusia yang berkualiti dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara perindustrian maju, seperti yang diidam-idamkan oleh Wawasan 2020. Sehubungan dengan itu, masyarakat Malaysia perlu berjiwa besar, berfikiran besar, gigih berusaha, berdedikasi, berdaya kreatif, berdisiplin tinggi, mementingkan kualiti, cekap menyesuaikan diri dengan perubahan pesat yang melanda dunia perniagaan.
Memang tidak dapat dinatikan penulis telah menjalankan kajian yang tuntas dalam usahanya menghasilkan buku yang boleh dianggap cemerlang seperti ini. Keupayaan penulis menggabungkan beberapa perspektif, misalnya perspektif pengurusan Barat (walaupun kadangkala dikritik) dan perspetif Islam  patut dihargai. Penulis juga berjaya  melontarkan ideanya dengan bernas dan  kritis. Sebenarnya, banyak pihak menjadi sasaran kritikan beliau. Sesungguhnya, idea seperti ini amat penting untuk mencapai Wawasan 2020.
Namun begitu, Nik Azis telah melakukan kesilapan fakta dalam halaman 138 apabila beliau menyebut “Wawasan 2020 merupakan satu cita-cita tegas untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju tiga abad dari sekarang.” Sepatutnya, beliau   menyebut tiga dekad (30 tahun) dan bukannya tiga abad (300 tahun).
Bagi sesiapa sahaja yang tidak mahu tersisih daripada arus Wawasan 2020,  buku ini perlu dibaca dan dihayati. Bagi sesiapa yang mengkritik Wawasan 2020 dengan lantang, buku ini pun patut dibaca. Setidak-tidaknya, dengan membaca buku ini mereka menjadi lebih kritis,  kreatif, dan inovasi.
(Dewan Ekonomi, September 1994.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...