Artikel Popular

Tuesday, April 3, 2012

Negara Paling Gembira

RABU, 4 April 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diterima pakai  untuk mengukur prestasi ekonomi sesebuah negara.  KDNK mempunyai beberapa kelemahan atau kekurangannya, walaupun seakan-akan tidak ada  alternatifnya. Hal   ini menggalakkan  usaha untuk memperkenalkan ukuran yang lain yang  dianggap sebagai pelengkap kepada KDNK, antaranya kegembiraan,  lalu mendorong Michael Astor yang menulis dalam Time, mengemukakan persoalan:  Patutkah konsep KDNK digantikan oleh Kegembiraan Negara Kasar?  Maksudnya, kejayaan sesebuah negara tidak hanya diukur dalam  dolar dan sen semata-mata.

Baru-baru ini, World Happiness Report yang diedit oleh John Helliwell, Richard Layard, dan Jeffrey Sachs telah dikeluarkan untuk membuktikan kemungkinan untuk mengukur kegembiraan di dunia.  Pada Julai tahun lalu, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mempelawa semua kerajaan untuk memberikan kepentingan yang lebih terhadap kegembiraan sebagai matlamat dasar awam.  

Hal ini bermakna bahawa kini wujud sokongan tinggi di peringkat dunia untuk mendesak kerajaan supaya memberikan lebih banyak perhatian terhadap kegembiraan rakyat mereka apabila mereka menggubal dasar mereka. 

Pendapatan pastinya penting bagi setiap orang, terutamanya golongan miskin.  Seperti yang ditunjukkan oleh laporan tersebut, negara kaya lebih gembira berbanding dengan negara miskin.  Empat negara yang paling gembira semuanya terletak di Eropah Utara, iaitu Denmark, Norway, Finland, dan Belanda), manakala empat negara yang kurang gembira terletak di Afrika Sub-Sahara. Pada skala 0-10, markah atau skor penilaian hidup purata ialah 7.6 di empat buah negara pertama itu, dan hanya 3.4 di empat buah negara yang terakhir itu.  

World Happiness Report itu, seperti yang dipetik, menegaskan bahawa oleh sebab pengetahuan meningkat, masyarakat akan semakin mempunyai asas untuk jenis baru penggubalan dasar yang bertujuan meningkatkan kegembiraan dan mengurangkan kesengsaraan.  Hal ini akan melibatkan perubahan perspektif dan perubahan teknik analisis dasar.  

Kini, banyak negara yang menggunakan bentuk tradisional analisis kos berkesan yang faedah atau manfaat diukur dalam unit wang berasaskan apakah yang warganegara bersedia untuk bayar untuk menikmati faedah itu.  Kaedah ini amat berkesan apabila faedah utama adalah sesungguhnya kewangan atau dapat dipindahkan menjadi kesataraan monetari.  Hal ini memang benar untuk dasar tentang industri, pengangkutan, pendidikan, dan guna tenaga.  Walau bagaimanapun, perbelanjaan untuk bidang berkenaan selalunya tidak lebih daripada satu perempat atau lebih daripada jumlah perbelanjaan awam. Besarnya perbelanjaan awam untuk kesihatan, penjagaan sosial, undang-undang dan ketenteraman, alam sekitar, kebajikan kanak-kanak, dan sokongan pendapatan.  Maka, untuk meningkatkan faedahnya kegembiraan akan dimasukkan sebagai kriteria tambahan yang sangat baik untuk menilai perbelanjaan ini. 

Jeffrey Sachs yang menulis Bab Pengenalan laporan itu, menegaskan bahawa kita hidup pada zaman percanggahan yang amat ketara.  Dunia menikmati teknologi kecanggihan yang tidak dapat dibayangkan, tetapi sekurang-kurangnya satu bilion orang tanpa mempunyai makanan yang cukup untuk dimakan setiap hari.  Ekonomi dunia mendorong kepada peningkatan ketinggian baru produktiviti menerusi kemajuan teknologi dan organisasi yang berterusan, tetapi tidak henti-henti memusnahkan alam semula jadi.  Negara mencapai kemajuan yang sangat besar dalam pembangunan ekonomi seperti yang diukur secara tradisional, tetapi pada masa yang sama, tunduk kepada krisis baru keobesan, merokok, diabetes, kemurungan, dan penyakit lain pada zaman moden. 

"Percanggahan ini," tulis Sachs, "tidak akan muncul sebagai kejutan terhadap orang bijaksana agung kemanusiaan, termasuk Aristotle dan Buddha.  Orang bijaksana ini mengajar kemanusiaan, masa dan lagi sekali bahawa kebendaan yang diperoleh sahaja tidak akan memenuhi keperluan mendalam kita.  Kehidupan kebendaan mesti dimanfaatkan bersama-sama untuk memenuhi keperluan manusia ini, paling penting, untuk menggalakkan berakhirnya kesengsaraan, keadilan sosial, dan pencapaian kegembiraan.  Cabarannya adalah benar untuk seluruh pelosok dunia."

Menurut laporan tersebut, Malaysia menduduki tangga ke-51, setakuk mengatasi Thailand yang menduduki tangga ke-52, manakala Singapura, lebih teratas, iaitu pada tangga ke-33. Negara lain di rantau ini, Vietnam (ke-65), Myanmar (ke-74), Laos (ke-82), Indonesia (ke-83), dan Filipina pada tangga ke-103.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...