Artikel Popular

Friday, April 27, 2012

Suria Terbenam Jua

SABTU, 28  April 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Jepun pada era kecemerlangannya menjadi sanjungan Timur dan Barat. Di Malaysia misalnya, Dr. Mahathir Mohamad memperkenalkan "Dasar Pandang ke Timur" sebaik-baik sahaja beliau menjadi Perdana Menteri, dan bahkan Amerika Syarikat, meskipun sebagai kuasa hegemoni,  dicadangkan supaya belajar daripada negara matahari terbit itu.  

Untuk bertahun-tahun, Jepun ialah negara terkaya dan ekonomi paling berkuasa di Asia. Jepun merupakan ekonomi pertama Asia yang mengalami perindustrian, dan harimau Asia, iaitu Hong Kong, Singapura, Korea Selatan, Taiwan, dan kemudian China turut menyusul. 

Namun, selepas mengalami "dekad yang hilang,"  Jepun mula menurun.  Kedudukannya satu demi satu digantikan, misalnya sebagai kuasa ekonomi global kedua di belakang Amerika Syarikat,  diambil alih oleh China. 


Jared Diamond yang  menulis dalam Bloomberg bahawa ekonomi Jepun semakin teruk dengan mengenal pasti tiga alasannya: kadar perkahwinan dan kelahiran yang rendah, penduduk yang berumur dan penghijrahan, dan sumber yang tidak mapan.  "Oleh sebab masalah ekonomi Jepun berpunca daripada masalah sosialnya," tegas Diamond, "penyelesaiannya akan memerlukan perubahan dari segi sikap orang Jepun terhadap peranan wanita, penghijrahan, dan penggunaan sumber mapan."

Namun, yang kurang diperhatikan, menurut carta harian The Economist ialah negara Asia yang dikenali sebagai ekonomi perindustrian baru (NIEs) menjadi kaya berbanding dengan Jepun.  Kebanyakan ahli ekonomi menghitung bahawa cara terbaik untuk membandingkan taraf hidup adalah dengan mempertimbangkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setiap orang diukur pada kesetaraan kuasa beli (PPP), yang diselaraskan untuk perbezaan dari kos taraf hidup di setiap negara. 

Menurut ukuran tersebut, jelas carta harian itu, Jepun digantikan oleh Singapura pada tahun 1993, oleh Hong Kong pada tahun 1997, dan oleh Taiwan pada tahun 2010.  Akan tetapi, penarafan semula yang paling daif akan berlaku apabila Korea Selatan menjadi lebih kaya daripada Jepun, ramalan terbaharu oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF),  akan berlaku dalam masa lima tahun.  Hal ini merupakan berputar balik yang menakjubkan.  Pada tahun 1980, KDNK setiap orang Korea Selatan baru hanya satu perempat tahap Jepun.

Carta harian itu juga menyertakan makalah penuh yang menujukkan harimau Asia kini melawan "taukeh."


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...