Artikel Popular

Wednesday, April 18, 2012

Colombia: Pelacuran dan Pengasingan

RABU, 18 April 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Sidang Kemuncak Amerika yang berlangsung di Cartagena, Colombia telah pun berakhir.  Presiden Barack Obama yang turut hadir ke persidangan itu, meskipun "besar kemaluan" ekoran skandal pelacuran yang melibatkan 11 orang ejen Perkhidmatan Rahsia, beliau  masih mempunyai waktu untuk pesta-pestaan.  Sebelum meninggalkan negara itu,  Obama  menghabiskan masa seketika dengan orang ramai di Cartagena, menyertai majlis budaya bersama-sama Presiden Santos dan  Shakira. Sementara itu,   Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton bersama-sama pembantu dan pengawal peribadi, menghadiri parti di Cafe Havana, menari rumba sebelum meninggalkan tempat itu kira-kira pukul 1.00 pagi. 

Sidang kemuncak itu yang berakhir pada 15 April, yang sepatutnya tertumpu pada perdagangan di Hemisfera Barat dan hubungan dengan Amerika Latin, lapor Bloomberg.  Sebaliknya, berita daripada mesyuarat hujung mingu itu diwarnai oleh tuduhan salah laku dalam kalangan ejen  Perkhidmatan Rahsia yang ke Colombia untuk menyediakan kawalan keselamatan kepada Presiden Amerika. 

Dijangkakan, banyak lagi pegawai tentera Amerika yang terlibat dalam skandal pelacuran sebelum ketibaan Presiden Obama di Colombia, seperti yang dilaporkan oleh The Washington Post, CNN, dan The Guardian. Skandal itu, seperti yang dilaporkan semakin mendalam, dan dikatakan 20 orang yang terlibat.   Obama dalam reaksi pertamanya  terhadap skandal pelacuran itu, dipetik sebagai berkata bahawa beliau marah jika tuduhan itu ternyata benar. "Pastinya, saya marah," kata beliau dalam sidang akhbar bersama-sama Presiden Santos.

"Nyata bahawa dua isu di sini," tulis Amy Davidson dalam blog The New Yorker, "iaitu keselamatan terjejas, dan sindiran yang dilakukan." Dari segi keselamatan, skandal tersebut memang buruk: Siapakah wanita ini?  Siapa lagi mereka bekerja atau terlibat dengan?" sambil mengenang semula Masalah Profumo.  

Sidang Kemuncak Amerika itu, tegas Jacob Heilbrunn dalam The National Interest, merupakan kegagalan yang teruk bagi Presiden Obama.  Hakikatnya, Amerika hadir semata-mata kerana berani sangat mencuba untuk mengekalkan sekatan terhadap Cuba.  "Dalam   cuba untuk mengasingkan  Cuba, Amerika mengasingkan dirinya.  Akan tetapi, mata lebam yang teruk ialah pendedahan bahawa ejen Perhidmatan Rahsia yang jelas bermain-main dengan pelacur di Colombia.  Perbuatan ini bukan hanya episod yang mengaibkan semata-mata tentang orang yang bertutur bahasa Inggeris bertindak liar, tetapi juga sepatutnya memberikan tentang kemampuan Perkhidmatan Rahsia untuk melindungi Presiden." 

Presiden Obama, seperti dilaporkan oleh The Washington Post,  bersikap defensif  untuk  menjemput Cuba.  Namun, usaha Amerika untuk mengasingkan atau meminggirkan Cuba, ditafsirkan  gagal.  Penentangan Amerika Latin yang tidak pernah terjadi sebelum ini terhadap sekatan ke atas Cuba, menyebabkan Presiden Barack Obama terasing dalam sidang kemuncak itu dan digambarkan kemerosotan pengaruh Washington di wilayah itu yang secara agresif cuba dipikat oleh China. Untuk pertama kali, sekutu Amerika Syarikat yang dipimpin oleh puak konservatif, seperti Mexico dan Colombia menyokong tuntutan tradisional kerajaan puak kiri supaya Cuba dijemput ke Sidang Kemuncak Amerika yang akan datang. Dalam  usaha mengasingkan Cuba,  Amerika Syarikat hanya bersama-sama Kanada.


Cuba kini diperhatikan sedang bergerak ke arah kapitalisme, dan perubahan ini menjadi lebih licin dan lebih bermakna sekiranya Amerika Syarikat turut memainkan peranannya.  Namun, dengan pendirian Washington terhadap penyertaan Cuba untuk menyertai Sidang Kemuncak Amerika yang akan datang, jelas bahawa Amerika Syarikat melepaskan peluang terbaik yang terbuka luas, iaitu transformasi Cuba.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...