Artikel Popular

Sunday, April 1, 2012

Kebebasan Akhbar: Najib Silap Fakta

AHAD,  1  April 2012
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Harap ini tidak dianggap April Fool. Akan tetapi, membaca teks ucapan Perdana Menteri, Najib Razak bersempena Majlis Penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas yang berlangsung Jumaat lalu, agak memeranjatkan saya.  Teks ucapan beliau itu diterbitkan  dalam Mingguan Malaysia hari ini, “Media Cermin Nurani Rakyat,” antaranya merujuk Indeks Kebebasan Akhbar Dunia 2011-2012 yang dikeluarkan oleh Reporters Without Borders.


"Dalam kalangan 178 buah negara," tegas Najib "kita kini pada tangga 122 berbanding 141 pada tahun 2010, naik 19 tangga.  Dalam kalangan negara Asia Tenggara, kita berada di tangga pertama menewaskan jiran kita Indonesia yang tidak memerlukan permit untuk menerbitkan akhbar."  Memang benar Malaysia pada tangga 122, tetapi bersama-sama  dua negara lain, iaitu Algeria dan Tajikistan, manakala Brunei di tangga ke-125.

Walau bagaimanapun, untuk mengatakan Malaysia teratas dalam kalangan negara Asia Tenggara, seperti yang ditegaskan oleh Najib, itu satu kesilapan fakta yang besar. Jika diperhatikan jadual indeks berkenaan (saya berharap bahawa saya  tidak silap dan keliru membacanya), Timor-Leste menduduki tangga ke-86 (bersama-sama tiga  buah lagi negara lain).  Negara itu sejak mencapai kemerdekaan, menganggotai Asean dan dianggap negara berdaulat di Asia Tenggara. Kalaupun Najib tidak sedar bahawa Timor-Leste ialah negara di rantau ini, bagaimana pula dengan Kemboja (Cambodia)  yang menduduki tangga ke-117 dalam indeks tersebut, mendahului Malaysia. 

Kesilapan fakta itu bukan sahaja mengaibkan, tetapi mencerminkan bahawa Najib cuai dari segi penyemakan fakta.  Lebih-lebih lagi memandangkan beliau dikatakan mempunyai penasihat media yang banyak, seperti juga penasihat ekonomi, tetapi beliau dan pasukannya masih    "terlepas pandang" fakta geopolitik yang begitu mudah.  Para penasihat media beliau sepatutnya menyemak fakta berkenaan yang masih "panas" dan dapat  diakses melalui Internet.  

Lazimya,  teks ucapan para pemimpin negara disediakan oleh pihak penganjur, dengan itu, dalam konteks ini, oleh   Institut Akhbar Malaysia (MPI) yang seakan-akan tidak melakukan "kerja rumah."  Justeru, bagaimana  institusi berkenaan   mampu meningkatkan taraf profesionalisme kewartawanan di negara ini, sedangkan fakta yang begitu mudah tidak mampu dibaca atau diteliti, apatah lagi untuk menganalisisnya. 


Sebenarnya, jadual indeks tersebut amat mudah,  hanya mempunyai empat kolum, iaitu kedudukan negara:  dari tempat pertama hingga ke-179,  negara, markah (skor), dan kolum terakhir ialah simbol (=) dan anak panah, sama ada naik ataupun turun. 


Saya pernah melihat Indeks Kebebasan Akhbar yang terbaharu itu sebaik-baik sahaja indeks  tersebut dikeluarkan,    di samping membaca  ulasan dalam The Huffington Post dan  The Atlantic yang menyentuh kedudukan Amerika Syarikat yang jatuh ke tangga ke-47.  Kedudukan Amerika Syarikat merosot pada kali ini adalah kerana pihak polis  bertindak keras terhadap para wartawan dan jurufoto yang membuat liputan  gerakan Menduduki Wall Street.

Justeru, saya dapat  merumuskan bahawa indeks tersebut mengingatkan negara dan kerajaan bahawa warga kewartawanan atau media "tidak boleh disentuh."  Dalam erti kata, mereka tidak boleh disaman, tidak boleh diambil tindakan undang-undang, tidak boleh ditahan atau ditangkap, dan bahkan,  tidak boleh dipecat oleh majikan.  


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...