Artikel Popular

Tuesday, April 17, 2012

Ekonomi Kegembiraan

SELASA, 17 April 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Sejak penerbitan World Happiness Report oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), perdebatan tentang kegembiraan belum lagi reda. Dari Bhutan ke Britain, dari Washington ke Kuala Lumpur, orang masih membincangkan kegembiraan yang sepatutnya menggantikan keluaran atau output dan merupakan tanggungjawab kerajaan  mewujudkan kegembiraan untuk rakyatnya. Kegembiraan tidak terbatas pada pemikiran ahli falsafah dan novelis, tetapi kini turut mendapat perhatian ahli ekonomi.

Ahli sains sosial, seperti yang dibahaskan oleh Robert J. Samuelson dalam The Washington Post,    mahu menjadikan kegembiraan matlamat kerajaan.  Mereka berhujah bahawa output ekonomi (Keluaran Dalam Negara Kasar - KDNK) tidak mengukur setiap perkara yang penting dalam kehidupan, iaitu keluarga, sahabat atau agama, misalnya.  Hujah ini  memang benar, tetapi tidak bermakna bahawa "kegembiraan" dapat dijadikan sasaran sebagai alternatif. 

Dalam senarai yang paling tuntas, Amerika Syarikat menduduki tangga ke-11 daripada 156 buah negara, tegas Samuelson sambil menarik perhatian tentang  negara yang tersenarai 10 teratas dengan jumlah penduduk masing-masing: Denmark, 5.6 juta; Finland, 5.4 juta; Norway, 5  juta; Belanda, 16.7 juta; Kanada, 34.8 juta; Switzerland, 7.9 juta; Sweden, 9.5 juta; New Zealand, 4.4 juta; Australia 22.9 juta; dan Ireland, 4.6 juta. 

"Semua negara ini," bahas beliau, "berkongsi satu ciri yang sama, iaitu kecil dari segi jumlah penduduk, dan kecuali Kanada dan Australia, ialah daratan.  Negara kecil menikmati kelebihan dalam pertandingan kegembiraan.  Negara tersebut lebih berkemungkinan mempunyai penduduk yang homogen dengan sedikit konflik etnik, agama, dan geografi."  Tambah beliau, "faktor ini mengurangkan satu potensi sumber besar ketakgembiraan. Dalam kalangan negara besar, Amerika Syarikat menduduki tempat pertama."

Yang aneh, tegas Samuelson adalah bahawa Eropah yang gerakan kegembiraan adalah kuat, pada amnya, mencatatkan kegembiraan yang rendah: United Kingdom (18) yang mendahului negara besar di Eropah, diikuti oleh Sepanyol (22) Perancis (23), Italy (28), dan Jerman (30). 

Di sini, beliau memetik pepatah Rusia yang dipetik oleh sejarawan Peter N. Sterns dalam Harvard Business Review bahawa "Orang yang banyak tersenyum, sama bodoh atau orang Amerika." Hanya pada pertengahan tahun 1700-an, iaitu Zaman Kesedaran (Enlightenment), kegembiraan diterima dari segi sosial, catat Sterns.  Sebelum itu, dogma agama menggalakkan kejujuran seperti seorang zahid.

Dengan merujuk Easterlin Paradox, Samuelson mengingatkan hubungan antara pertumbuhan ekonomi dengan kegembiraan adalah kontroversi yang diperkenalkan oleh ahli ekonomi, Richard Easterlin dari University of Southern California. Beliau menerbitkan kajian yang menegaskan bahawa (a) dalam sesebuah negara, golongan kelas menengah dan kaya dlaporkan berasa gembira berbanding dengan golongan miskin; tetapi (b) apabila negara menjadi kaya, dilaporkan kegembiraan tidak  meningkat.

Namun, Samuelson menegaskan bahawa Easterlin Paradox, mempunyai kelemahan sambil beliau merujuk kajian terbaharu yang mendapati bahawa pertumbuhan ekonomi yang tinggi meningkatkan kegembiraan di banyak negara, dan pertumbuhan adalah perlu untu mengekalkan kegembiraan yang wujud.

Meskipun beliau membangkitkan bahawa apa gunanya pertumbuhan ekonomi yang tidak membuatkan orang ramai gembira, dari satu segi yang lain, mewujudkan matlamat yang mustahil, kegembiraan universal, juga mengutuk kerajaan kerana kegagalan.  Kegembiraan banyak bergantung pada sesuatu yang tidak boleh dikawal. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...