Artikel Popular

Tuesday, April 10, 2012

Pengangguran Amerika Syarikat Cemaskan Pasaran

SELASA,  10  April 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Seperti lazim, setiap hari Jumaat minggu pertama setiap bulan, pihak berkuasa Amerika Syarikat akan memaklumkan kadar pengangguran di negara itu.  Laporan terbaharu, iaitu untuk bulan Mac, kadar pengangguran jatuh kepada 8.2 peratus daripada 8.3 peratus pada bulan sebelumnya, tetapi jumlah pekerjaan yang disediakan kurang daripada yang dijangkakan. 

Kadar pengangguran terbaharu ini, tegas John Cassidy melalui blognya dalam The New Yorker, boleh dianggap lemah daripada yang dijangkakan, merupakan berita buruk untuk 12.7 juta orang Amerika yang masih tanpa pekerjaan. 

Berikutan pertumbuhan pekerjaan yang perlahan itu, maka pasaran saham Asia  merosot.   Demikian juga pasaran saham Amerika Syarikat, yang sejak berminggu-minggu, Purata Perindustrian Dow Jones (Dow),  mara ke dalam wilayah 13,000 mata, jatuh 130.55 mata kepada 12,929.59 mata - kali pertama jatuh di bawah 13,000 mata sejak 12 Mac 2012. 

Kadar pengangguran dijangkakan merupakan salah satu medan pertempuran dalam Pilihan Raya Presiden 2012.  Lebih tinggi kadarnya, maka lebih sukar untuk Presiden Barack Obama untuk mempertahankan kedudukannya di Rumah Putih. Jika keadaan sebaliknya, iaitu kadar pengangguran merosot dengan ketara, nescaya calon Presiden daripada Republikan, kemungkinan besar Mitt Romney, terpaksa mencari medan pertarungan lain.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...