Artikel Popular

Sunday, April 8, 2012

Dunia yang Muram

AHAD,  8  April 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Thomas Friedman dalam kolumnya dalam The New York Times pada akhir Januari lalu, menulis sesuatu   yang luar biasa tentangan pengalamannya menghadiri  Forum Ekonomi Dunia yang baru-baru ini berlangsung di Davos, Switzerland.  Dalam  makalahnya, “Never Heard That Before,” beliau menyatakan bahawa sebagai barometer politik, Forum Ekonomi Dunia itu biasanya mengemukakan beberapa petunjuk yang ketara tentang angin (mood) global, dan tahun ini, tiada pengecualian.  Friedman  memaklumkan  beliau mendengar   bahawa  negaranya sedang kucar-kacir.  Saya mendengar ungkapan yang menjadi buah mulut di Davos oleh orang bukan Amerika tentang Amerika Syarikat yang secara jujur saya mengakui bahawa saya  tidak pernah  dengar sebelum ini:  “ketidakstabilan politik.”

            “Ketidakstabilan politik,” Friedman pergi lebih jauh lagi, merupakan ungkapan yang biasanya disimpan untuk negara, seperti Rusia atau Iran atau Honduras.  Akan tetapi kini,  ahli perniagaan Amerika yang hadir di sini memberitahu saya, “Orang bertanya saya (ahli perniagaan itu) tentang ‘ketidakstabilan politik di Amerika.  Kita menjadi tidak boleh diramalkan untuk dunia.” 
Friedman mengakui bahawa pada masa lalu, orang yang menghadiri  persidangan antarabangsa gemar mengkritik Amerika, menyiku seronok terhadap Amerika, dan  bersungut tentang Amerika.  Akan tetapi, pada tahun ini, orang Asia dan Eropah khususnya, menarik anda ke tepi dan bertanya beberapa versi:  “Beritahu saya, apakah yang berlaku di negara anda?”  Tambah beliau lagi, kita membuatkan orang berasa gemuruh.  Bank, multinasional, dan dana lindung nilai selalunya mengupah pakar dasar luar untuk melakukan “analisis risiko politik” sebelum  mereka melabur di tempat, seperti Kazakhstan atau Argentina.  Tidak lama lagi, mereka memasukkan Amerika Syarikat dalam senarai pemerhatian mereka.
            Untuk sistem dua parti  yang  kini menjadi idaman sebilangan   ahli politik dan cerdik pandai di Malaysia,  Friedman mengakui kelemahannya kerana wawasan Presiden Barack Obama sentiasa  dihalang oleh Parti Republikan: “Menghadapi kesulitan.  Dan sekarang juga kita menghadapi kesulitan.”    Beliau juga  memetik kata-kata K.R. Sridhar, pengasas Bloom Energy di Silicon Valley yang turut menyertai forum di Davos itu,  “Sistem dua parti kita pecah hanya  apabila segala-galanya memerlukan pembaikian yang besar, bukan pembaikian yang kecil.  Saya bercakap tentang penjagaan kesihatan, infrastruktur, pendidikan, tenaga.  Kita ialah seorang yang memerlukan Rancangan Marshall sekarang.”
Jika dilihat dekad pertama abad ini yang baru sahaja berlalu, memang benar orang berkata bahawa abad ke-20 memberikan bimbingan yang buruk untuk abad ke-21.  Kemelut yang berlaku sejak dua tahun setengah yang lalu  menampakkan  mudahnya terdedah yang merentasi seluruh ekonomi global.  D mana-mana sahaja, para pemimpin, ahli ekonomi, dan penggubal dasar tidak lagi berani memberikan jaminan bahawa “ekonomi adalah kukuh dari segi fundamental.”   Keadaan bertambah buruk kerana  setiap orang dikatakan  menunggu setiap orang lain untuk memulihkan ekonomi dunia. Malangnya setakat ini, tidak ada pemimpin dunia atau organisasi antarabangsa yang mampu   menarik dunia keluar daripada terus menempuh jalan buntu, meskipun persidangan demi persidangan dan pertemuan demi pertemuan diadakan. Dunia benar-benar di ambang berakhir sejarah, iaitu berakhirnya “kapitalisme demokratik”  Amerika.  Tatkala Eropah masih bergelut dengan kemelesetan,  manakala Afghanistan, Iraq, dan Pakistan menjadi negara yang gagal, tiba-tiba kerajaan Belanda pimpinan Perdana Menteri Jan Peter Balkenende runtuh berpunca daripada kedudukan tentera negara itu di Afghanistan – mengeruhkan lagi suasana.   
“Lupakan paksi kejahatan.  Selamat datang paksi pergolakan” – memetik kata-kata    Niall Ferguson, sejarawan dari Harvard University – bayang-bayang yang mengerikan yang semakin jelas kelihatan.
Pada  pertengahan Februari  lalu,  terdapat dua makalah yang boleh menarik perhatian dan sekali gus, membangkitkan rasa bimbang.  Yang pertama tentang tempat, iaitu dunia yang huru-hara atau kelam-kabut yang merupakan komentar  Immanuel Wallerstein dalam laman webnya, dengan judul “Chaos as an Everyday Thing,”  manakala yang satu lagi tentang masa, iaitu tahun yang sukar yang ditulis oleh David Brooks, “The Lean Year” yang diterbitkan dalam The New York Times.  Meskipun tumpuan  Brooks adalah terhadap pengangguran di Amerika Syarikat yang lebih lapan peratus dan negara itu perlu menyediakan 10 juta pekerjaan baru hanya sekadar untuk kembali kepada tahap pengangguran pada tahun 2007, namun mukadimah beliau   mencakupi kemelut  dunia masa kini:   “Kekecohan krisis kewangan.  Dalam olak krisis itu, hutang awam meletup.  Negara mungkir.  Pertumbuhan ekonomi goyah.  Pengangguran masih terasa.  Krisis kewangan semasa tiada bezanya.” 
Sementara Wallerstein, profesor di Yale University, yang jelas berbicara tentang dunia, memulakan penulisannya dengan mengemukakan beberapa gambaran yang muram dan suram:   “Anda kini hidup dalam situasi yang kelam-kabut apabila pertama, media arus perdana secara tekal dikejutkan oleh apakah yang sedang berlaku; kedua, ramalan jangka pendek oleh pelbagai cerdik pandai menjurus ke arah yang sangat berbeza dan dinyatakan dengan banyak berat mulut; ketiga, Golongan Berkuasa berani berkata perkara atau menggunakan perkataan yang sebelum ini adalah tabu; keempat,  orang biasa berasa takut dan marah, tetapi sangat tidak pasti apakah yang perlu dilakukan.”   Semua ini merupakan gambaran yang  jelas sejak dua tahun lalu di seluruh dunia atau sekurang-kurangnya di kebanyakan bahagian dunia. 
Tambah Wallerstein,  pertimbangkan “kejutan” yang sangat besar baru-baru ini – kemenangan Republikan dalam pilihan raya senator di Massachusetts;  runtuhnya kewangan Dubai;  hampir-hampir  muflis beberapa buah  negeri besar di Amerika Syarikat dan empat atau lima negara  anggota Kesatuan Eropah; naik turun mata wang dunia yang teruk.  “Kejutan” ini, tegas beliau,  “diulas setiap hari dalam akhbar dunia dan oleh ahli politik utama.  Mereka tidak bersetuju sama sekali tentang apakah yang berlaku, dan malahan kurang tentang apakah yang patut kita lakukan untuk memulihkan situasi.”
Semasa melawat China pada pertengahan November, Presiden Barack Obama  dan Presiden China, Hu Jintao begitu berbangga dengan  hubungan yang makin erat antara kedua-dua buah negara, yang bukannya terbatas pada satu isu.  Sebaliknya, mereka menekankan kerjasama dari segi ekonomi, perubahan cuaca,  tenaga, dan tahap yang berbeza tentang ancaman nuklear Iran dan Korea Utara.  
Namun begitu, beberapa  bulan kemudian, seperti yang dibahaskan oleh Martin Jacques dalam The Christian Science Monitor, “Amerika Syarikat lawan China, fasa bahaya bermula.”  Percakaran antara kedua-dua buah negara kelihatan lebih banyak dan lebih serius.  China membantah urus janji senjata antara Washington dengan Taiwan dan mengancam untuk melakukan sekatan terhadap firma-firma yang terlibat. Presiden Barack Obama menuduh China memanipulasi mata wang.  Di Davos, Larry Summers, Pengarah Majlis Ekonomi Negara Rumah Putih, melontarkan  kritikan secara tidak langsung terhadap China dengan merujuk dasar merkantilis.  Dan pastinya, lawatan Dalai Lama ke Washington  pada Februari lalu, menegangkan lagi hubungan kedua-dua buah negara yang sedang bersaing itu. 
Tentang  Amerika dengan China, ada orang menyebut sebagai persaingan antara kapitalisme pasaran bebas dengan kapitalisme autoritarian, atau pertembungan antara Konsensus  Washington dengan Konsensus Beijing.    Sesungguhnya,  dengan bermulanya fasa bahaya ini,  persengketaan semakin tajam dan medannya semakin luas hingga boleh  menyebabkan dunia kelam-kabut atau huru-hara  serta  tahun yang sukar terus  berpanjangan.  Cadangan Barack Obama semasa lawatan itu  supaya “China mesti memainkan peranan yang lebih besar di pentas dunia, sebahagian ‘beban kepimpinan’  untuk dikongsi dengan Amerika” nampaknya semakin jauh daripada kenyataan, dan  mungkin berkesudahan  sebagai impian kosong semata-mata.

Akibat kemelesetan, banyak negara mengalami kejatuhan hasil akibat pengurangan cukai, justeru kurang wang untuk menampung permintaan dan tuntutan yang besar.  Namun begitu,   antaranya kerana  penguasaan tanpa hegemoni, maka  negara tidak berani menaikkan cukai sebab  langkah ini jarang-jarang digemari oleh para pembayar cukai.  Pada masa yang sama, negara takut  berlakunya pelarian  perusahaan dan terpaksa tunduk pada kehendak pasaran.  Pilihan yang ada, seperti tegas Wallerstein, negara boleh memotong perbelanjaan masa kini dan masa hadapan, tetapi terpaksa menghadapi pergolakan popular kalaupun tidak pemberontakan popular.  Akibatnya, kerajaan berhadapan dengan pilihan yang mustahil, dan individu bahkan pilihan lebih mustahil.
Kelam-kabut atau huru-hara  setiap hari merupakan situasi yang tidak boleh diramalkan, baik jangka pendek mahupun jangka sederhana, dan oleh itu, situasi yang melibatkan naik turun ekonomi, politik, dan budaya adalah besar dan pesat.  Apabila Wallerstein mengatakan,  “dan ini menakutkan kebanyakan orang” adakah kita di Malaysia turut merasainya?
Jawapan yang pasti setakat ini, kebanyakan rakyat Malaysia tidak mempedulikan kelam-kabut  atau huru-hara  yang sedang melanda dunia, dan Malaysia tidak berkecuali.  Jauh sekali untuk mereka mengambil iktibar.  Bahkan,  timbul keghairahan dan rasa sangat gembira dalam kalangan pihak tertentu  untuk melihat Malaysia terjerumus ke dalam jurang yang dalam: porak-peranda.  Melihat isu penggunaan kalimah Allah dalam akhbar Herald: The Catholic Weekly dan beberapa serangan terhadap tempat ibadat, tidak termasuk beribu-ribu laporan polis, beratus-ratus demonstrasi,  berpuluh-puluh saman peribadi,  berleluasanya jenayah serta rasuah, dan bermacam-macam lagi yang berkait dengan sensitiviti agama dan kaum, negara ini terjebak dalam situasi yang cukup membimbangkan, atau meminjam kata-kata Wallerstein, “kelam-kabut.” 
Daripada kes hukuman sebat yang dikenakan  terhadap model yang didapati bersalah minum arak  kepada bicara liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, ada usaha dalam kalangan sebilangan rakyat Malaysia supaya keadilan tidak ditegakkan.  Daripada fatwa tentang amalan yoga dalam kalangan Islam kepada  hukuman  sebat terhadap tiga wanita Islam, ada  pihak  yang cuba menyibuk dan berlagak pandai, seperti Majlis Peguam, sebilangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan beberapa cerdik pandai bukan Islam, yang berselindung di sebalik keadilan, kebebasan, hak asasi manusia, dan nilai universal.  Kadang-kadang  timbul kejengkelan terhadap  orang bukan Islam yang suka menyibuk dan berlagak pandai,  sedangkan fatwa atau hukuman itu melibatkan orang Islam.  Apakah mereka memperlihatkan kepada dunia bahawa orang Islam di negara ini tidak tahu menjaga diri mereka sendiri dan para pemimpin Islam di negara ini tidak tahu memerintah?
Banyak orang ingin menegakkan keadilan dan memperjuangkan kebebasan, asalkan keadilan dan kebebasan itu memihak kepada mereka atau suku-sakat mereka.  Golongan ini memperalatkan  keadilan dan kebebasan dengan sewenangnya-wenangnya hingga menjadikan keadilan dan kebebasan  kelihatan  bercelaru dan  cukup comot.  Contoh terbaru ialah tindak-tanduk  Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan beberapa pemimpin dalam Pakatan Rakyat (PR) berhubung dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dengan sebulat suara, iaitu 5-0,  bahawa Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir ialah Menteri Besar Perak yang sah.  Walaupun beliau sendiri memulakan kes itu, namun apabila keputusan Mahkamah Persekutuan tidak memihak kepadanya, beliau seakan-akan enggan akur dengan keputusan itu.
Melihat apa yang berlaku di Malaysia sejak akhir-akhir ini, yang contohnya  terlalu panjang untuk disenaraikan, maka  tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa pembinaan bangsa (nation-building) yang dilaksanakan sejak merdeka sedang menempuh kegagalan kalaupun tidak kehancuran.  Secara terancang dan konsisten, institusi  dan dasar yang bertanggungjawab memperkukuhkan pembinaan bangsa,  seperti tindakan pendorong (affirmative action) dipersenda dan diperlemahkan.  Raja-raja Melayu, agama Islam, bahasa Melayu, dan adat istiadat Melayu yang sejak beratus-ratus tahun menjadi tonggak kesinambungan kenegaraan (polity) dicabul  dan digugat.    Oleh  itu, apabila Catatan Ketua Editor dalam Dewan Masyarakat, menyebut  “persefahaman kaum senipis kulit bawang?” meskipun tidak silap, tetapi  sebenarnya beliau gagal untuk menyelongkar persoalan yang lebih besar dan serius: berakhirnya  pembinaan bangsa.
Pada  akhir Januari lalu, David Brooks menulis dalam The New York Times, dengan judul  “The Populist Addition”   tentang kecomotan politik Amerika masa kini -     sesuatu yang menarik untuk direnungi:  “Politik, sesetengah orang percaya, ialah organisasi kebencian.  Orang yang cuba  memecahbelahkan masyarakat berasaskan  kaum kita sebut rasis.  Orang yang cuba  memecahbelahkan masyarakat berasaskan agama kita sebut  penganut taifah atau sekta.  Orang  cuba memecahbelahkan masyarakat berasaskan kelas sosial kita sebut, sama ada populis atau elitis.”  Dalam konteks Malaysia, kita boleh berkata bahawa ahli politik bukannya pembimbing yang baik untuk rakyat kerana mereka sering menunjukkan arah tuju  yang salah, bukan sahaja membangkitkan kebencian, bahkan juga menyemai kejahilan.
Immanuel Wallerstein mengkritik Thomas Friedman yang mengatakan “tidak pernah dengar sebelum ini,”  sedangkan beberapa orang penulis menulis dan menjelaskan perkara itu sekurang-kurangnya sejak  40 tahun lalu. Seterusnya,  Wallerstein mengemukakan ulasan yang pesimistik tentang dunia:   “Amerika Syarikat adalah tidak stabil dari segi politik dan kemungkinan menjadi lebih tidak stabil atau tidak kurang tidak stabil dalam dekad yang akan datang.  Adakah Eropah lebih stabil? Hanya agak.  Adakah Amerika Latin lebih stabil?  Hanya agak. Adakah China lebih stabil?  Mungkin agak, tetapi tiada jaminan. Apabila gergasi terhuyung-hayang, banyak benda boleh jatuh bersama-samanya.”  Boleh ditambah di sini adakah Malaysia lebih stabil? Hanya agak.  Dan, adakah Malaysia boleh jatuh bersama-sama gergasi yang terhuyung-hayang?  Tidak mustahil.
Sesungguhnya, pengakuan Thomas Friedman itu memperlihatkan  kedaifan   beliau tentang masa depan  negaranya yang muram.  Pastinya, kita tidak mahu ahli politik dan cerdik di Malaysia juga memperlihatkan   kedaifan mereka dengan menyebut perkara yang sama,   “tidak pernah dengar sebelum ini.”  Bagi sesiapa yang ingin melibatkan Amerika dalam soal kedaulatan dan perundangan Malaysia, sepatutnya mereka mula insaf bahawa negara kuasa besar itu  kini  tidak stabil, baik   dari segi politik, mahupun  ekonomi.  Pesan orang tua-tua, jangan bergayut di dahan yang rapuh!
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat April 2010.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...