Artikel Popular

Tuesday, April 10, 2012

Suatu Pembunuhan Sebuah Penyesalan

SELASA, 10  April 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Perang Iraq berakhir apabila Washington membuat keputusan untuk menarik keluar tentera Amerika Syarikat dari negara itu, setelah sembilan tahun dihantui oleh igauan ngeri.  Keputusan itu disambut dengan pelbagai reaksi: bagi helang yang masih berterbangan, keputusan tersebut tidak dapat diterima dari segi kepentingan Amerika dan  boleh menjerumuskan dunia ke dalam kancah ketidakstabilan.  Sementara   tentera yang berjuang di sana, pastinya berasa gembira. Perisytiharan berakhirnya perang itu menandakan kekalahan puak neokonsevatif.  Bahkan, pengunduran itu ditafsirkan sebagai berakhirnya harapan besar Amerika Syarikat. 

Pencerobohan Amerika Syarikat terhadap Iraq pada tahun 2003, yang berjaya menggulingkan dan seterusnya membunuh Saddam Hussein, dianggap suatu pembohongan yang terbesar oleh George W. Bush, Presiden Amerika Syarikat ketika itu dan konco-konconya. Tindakan Presiden Bush disambut dengan tunjuk perasaan besar-besaran, melibatkan berjuta-juta orang di seluruh dunia, dan menyaksikan buat pertama kali, Perancis, Rusia, dan Jerman bersatu menentang Amerika Syarikat.  Pencerobohan itu juga menghantui calon-calon Presiden daripada Republikan, lalu mereka, seperti yang diperhatikan oleh Richard Cohen, mengambil keputusan untuk mengelakkan diri daripada perdebatan tentang malapetaka itu.

Presiden Barack Obama yang membuat keputusan untuk berundur dari kancah yang dicipta oleh negaranya sendiri mengakui bahawa Amerika Syarikat tidak mempunyai sumber untuk terlibat dalam dua peperangan serentak (satu lagi di Afghanistan). Walau bagaimanapun, beliau mengisytiharkan Perang Iraq itu sebagai suatu kejayaan. 


Peperangan itu, menurut  Tom Engelhardt, mendedahkan kelemahan kuasa besar global. Dengan pengunduran dari kedua-dua buah negara itu - Iraq dan Afghanistan -  Amerika Syarikat diperhatikan, "berundur dari pentas dunia." Khusus untuk Iraq, seperti yang dibahaskan oleh Patrick Cockburn, kuasa besar tidak cukup kuat untuk menentukan masa depan Iraq. Dunia mungkin lebih baik tanpa Saddam, tetapi harga yang perlu dibayar terlalu tinggi kerana Amerika Syarikat terpaksa menanggung kehilangan nyawa yang banyak dan perbelanjaan yang amat besar. 


Immanuel Wallerstein dalam ulasannya terhadap pengumuman pengunduran  dan kekalahan Amerika di Iraq, menegaskan bahawa pengunduran itu merupakan kemenangan bagi puak nasionalisme Iraq yang diketuai oleh Muqtada al-Sadr.  Meskipun al-Sadr memimpin gerakan Syiah yang dari segi sejarah, secara keras anti-Baath, bermakna antipuak Sunah, beliau berusaha berbaik-baik dengan pemimpin Sunah dan Kurdish dengan harapan untuk mewujudkan barisan nasionalis seluruh Iraq, dengan memberikan tumpuan terhadap pemulihan autonomi Iraq.  


"Beliau telah menang," tegas Wallerstein yang dalam makalah tersebut juga mengkritik Barack dan calon-calon Presiden daripada Republikan.  Beliau memetik Obama yang menyatakan pengunduran itu sebagai menunaikan janjinya semasa Pilihan Raya Presiden 2008.  Sementara calon-calon Presiden daripada Republikan, seperti yang dipetik oleh Wallerstein, mengkritik Obama kerana tidak melakukan apa yang mereka sifatkan tentera Amerika Syarikat kehendaki, iaitu mengekalkan sesetengah tentera di sana selepas 31 Disember 2011 sebagai "jurulatih" kepada tentera Iraq.  Wallerstein juga memetik Mitt Romney bahawa keputusan Obama itu, sama ada "hasil perhitungan politik secara terang-terangan ataupun betul-betul ketidakcekapan semata-mata dalam perundingan dengan kerajaan Iraq."


Kedua-dua kenyataan itu, bahas Wallerstein "adalah karut, dan hanya menunjukkan hujah justifikasi sendiri untuk para pengundi Amerika."  Bagi beliau, "pengunduran itu menandakan kemuncak kekalah Amerika Syarikat di Iraq, yang setanding dengan kekalahan Amerika Syarikat di Vietnam."  Beliau menamatkan tulisannya itu bahawa "harap tidak seorang pun yang terperanjat jika selepas pilihan raya Iraq datang, Perdana Menteri ialah Muqtada al-Sadr, yang pastinya tidak menggembirkanAmerika Syarikat dan Iran."

Setelah berbulan-bulan keputusan pengunduran dibuat, Robert  W.  Merry menulis dalam The National Interest, "harga kepala Saddam" yang seakan-akan meratapi   pencerobohan Amerika Syarikat terhadap Iraq.  Bagi Merry, tanpa perlu melancarkan peperangan, Saddam mampu "dijinakkan" oleh Amerika. Memang Saddam terkenal dengan kekejamannya, tetapi beliau, bahas Merry, "bukannya musuh utama Amerika Syarikat dalam peperangan dengan fundamentalisme Islam."

Merry memetik Presiden Nixon sebelum lawatannya ke Beijing pada tahun 1972: "Apakah Mereka Mahu;" "Apakah Kita Mahu;" "Apakah Kita Kedua-dua Pihak Mahu" untuk membuktikan tonggak yang bagus untuk mewujudkan pertukaran diplomatik yang berjaya yang sepatutnya diterapkan  oleh Bush untuk menangani Saddam.

Pembunuhan kejam yang dilakukan oleh Saddam, bahas Merry tidak boleh dijadikan alasan untuk melancarkan peperangan kerana Nixon berkawan dengan Mao Zedong yang membunuh lebih 50 juta orang, manakala Josef Stalin, sekutu Franklin Roosevelt dalam Perang Dunia Kedua, bertanggungjawab membunuh 23 juta orang.

Hujah Merry, kedua-dua pihak, iaitu Iraq dan Amerika Syarikat menanggung kerugian yang besar untuk peperangan itu.  Antaranya,  4.7 juta orang rakyat Iraq terpaksa berpindah, termasuk 2.4 juta orang yang menjadi pelarian di negara sendiri, kira-kira setengah juta daripada mereka terpaksa hidup sebagai setinggan di kawasan sesak.  Sebanyak 2.3 juta lagi terpaksa meninggalkan negara itu sama sekali dan tidak akan pulang lagi. Amerika pula kehilangan 4486 tentera dan lebih 30,000 tentera yang cedera. 

Jika Saddam masih berkuasa, nescaya Iran tidak mampu memperlihatkan kekuatannya, seperti sekarang, demikian hujah Robert W.  Merry, sebuah penyesalan yang amat mendalam.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...