Artikel Popular

Saturday, April 7, 2012

Muflis: Kini Giliran Negara

SABTU, 7 April 2012
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH


Ketika berucap di Guardian Hay Festival pada akhir Mei tahun lalu, Niall Ferguson, sejarawan dari Harvard University, meramalkan suasana  muram untuk ekonomi Barat.  Beliau mengingatkan  bahawa Ireland, Italy, dan Belgium tidak dapat mengelakkan daripada ledakan, manakala United Kingdom turut mengalami nasib yang sama.  Dalam olak krisis kewangan semasa, ekonomi Barat utama akan jatuh muflis.  Idea bahawa negara tidak akan mengalami ledakan adalah jenaka. Argentina merupakan negara pilihan beliau untuk mengalami ledakan; negara itu menduduki senarai teratas dalam  jadual  liga. Hujah bahawa malapetaka itu tidak akan menimpa ekonomi Barat utama adalah karut  semata-mata. 
Kira-kira dua bulan sebelum itu, agensi penarafan Standard & Poor’s menurunkan gred hutang Ireland daripada penarafan utamanya, AAA kepada AA+, dengan tinjauan negatif.  Defisit belanjawan negara itu dijangkakan mencecah 11 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2010 seteruk United Kingdom.  Namun begitu, berbanding dengan Britain, defisit Ireland, sebagaimana Sepanyol, Greece, Italy, Portugal, dan negara yang tidak mengawal keghairahan atau kerakusan fiskal, bukannya persoalan kehibaan swasta.  Kesemua negara berkenaan berkongsi ranjang kewangan, iaitu euro dengan Jerman yang cerewet.  Ireland menyertai Sepanyol, Greece,  Portugal, dan negara lain yang teruk dalam zon euro, terpaksa mengalami hutang kedaulatannya yang diturunkan gred.
Melalui makalah  “New Dangers for the World Economy”  majalah The Economist  dalam keluaran Februari lalu,  membahaskan   apabila krisis bermula, kerajaan membantu menyelamatkan ekonomi dunia.  Kini, kerajaan pula bermasalah:  “tahun lalu bank; tahun ini negara.”  Krisis ekonomi yang kelihatan reda pada bahagian akhir 2009, adalah sekali lagi dalam perubahan besar-besaran kerana ancaman kemungkiran hutang kedaulatan menjelma. 
Dalam  “The Spectre that Haunts Europe” majalah itu melaporkan bahawa tatkala Menteri Kewangan dari Kesatuan Eropah berkumpul di Brussels untuk persidangan “tidak formal” selama dua hari pada 11 Februari, hanya satu topik dalam agenda: bagaimana langkah terbaik untuk membatu Greece daripada mungkir terhadap hutangnya, dan pada masa yang sama, memastikan pasaran bon yang negara zon euro lain yang menanggung defisit belanjawan, seperti Ireland, Portugal, dan Sepanyol, masih merupakan pertaruhan yang selamat.  Menurut makalah itu lagi, bagi sesetengah orang, menyelamatkan Greece menandakan gelombang baru krisis kewangan global. Krisis yang pertama adalah tentang kemampuan bayar bank-bank; yang ini pula tentang kemampuan bayar negara-negara berdaulat. 
Potensi  krisis sebenar di Eropah, seperti dinyatakan oleh  John Mauldin,  Presiden  Millennium Wave Advisors,   jauh lebih teruk daripada Amerika Syarikat.  Tanpa tindakan bersepadu di pihak  Bank Pusat Eropah (ECB) atau negara Eropah yang kuat secara relatif, nescaya  banyak negara Eropah  akan terjebak dalam kemelesetan yang dalam. Namun begitu, untuk mendapatkan persetujuan semua pihak tentang apakah yang perlu dilakukan memerlukan kepimpinan yang serius yang belum kelihatan setakat ini.  Bagi ECB, untuk mencetak wang perlu mendapatkan persetujuan daripada semua negara anggota euro, dan sekarang juga kelihatan bahawa kerajaan Jerman dan Belanda menentang idea tersebut.  
Krisis Eropah dianggap  lebih besar daripada krisis suprima,  lebih teruk daripada Amerika Syarikat, dan jauh lebih teruk daripada krisis kewangan Asia Timur 1997-1998.  Risiko sebenar Eropah ialah mengheret  dunia ke dalam malam yang panjang dan gelap-gelita.  Jika di Amerika, orang berkata, bank-bank terlalu besar untuk dibiarkan gagal, manakala di Eropah pula, orang berkata, banyak bank yang  memang  terlalu besar untuk diselamatkan.
 “Bertambahnya kemungkiran gadai janji dan delinkuens kad kredit meletakkan banyak bank di ambang muflis pada tahun 2008, mengheret ekonomi  ke dalam putaran  (tailspin),” ulas Aaron Task dari Yahoo’s Tech Ticker.   Akan tetapi, kemungkiran hutang kedaulatan berpotensi lebih mendatangkan bencana kerana boleh mencetuskan ketidakstabilan geopolitik, pergolakan sosial, dan malahan peperangan.
Pada darjah yang berbeza-beza, Aaron menyenaraikan  Greece, Sepanyol, Ukraine, Austria, Latvia, dan Mexico adalah hanya sebilangan kecil negara dianggap pada risiko kemungkiran.  Dubai berjaya mengelakkan daripada mengalami nasib yang sama kerana  jirannya yang kaya dengan minyak, Abu Dhabi memberikan pinjaman AS$10 bilion;  manakala Ecuador telah pun mungkir pada Disember 2008.  Negara lain, seperti  Argentina, Grenada, Lubnan, Pakistan, dan  Bolivia, meskipun boleh menarik nafas lega,  tetapi   penarafan setiap negara berkenaan masih rendah,  iaitu B-.
Sejak tahun 1970, hampir-hampir separuh kemungkiran hutang kedaulatan berlaku di negara yang nisbah hutang dengan  KDNK  ialah 60 peratus atau lebih:  Sebaik-baik sahaja hutang negara mula menghampiri saiz  KDNK-nya, maka negara tersebut  mengalami kesukaran untuk membayar hutang.
Apabila kerajaan Dubai  menjelaskan bahawa  tiada jaminan kerajaan terhadap Dubai World, timbul keraguan tentang hutang kedaulatan yang merujuk kepada hutang negara.  Adakah hutang kedaulatan ialah suprima baru?  Sebagaimana banyak peminjam subprima tidak mampu menjelaskan bayaran gadai  janji mereka pada tahun 2007 dan 2008, para pelabur kini berasa takut bahawa beberapa buah negara tertentu tidak mampu membayar hutang mereka pada tahun akan datang.
 “Orang sakit  Eropah”  ialah gambaran yang paling sesuai  apabila sebuah demi sebuah negara di benua itu menghadapi krisis. Stephen Jen, Ketua Mata Wang di Morgan Stanley, yang dipetik sebagai berkata, “Eropah Timur  meminjam AS$1.7 trilion dari luar, iaitu bank-bank di Eropah Barat,  kebanyakan  kematangan jangka pendek, dan hutang itu mesti dibayar balik AS$400 bilion tahun ini, sama dengan satu pertiga  KDNK  rantau itu.”  Dapat dibayangkan kesannya terhadap bank berkenaan jika Eropah Timur tidak mampu  membayar balik jumlah hutang yang besar itu, dan nescaya seluruh Eropah tidak mengelak daripada  lintang-pukang.
   Eropah diruncingkan lagi dengan defisit yang  meningkat kerana kerajaan dari  Berlin ke Dublin komited lebih daripada AS$1.5 trilion untuk menyelamatkan sistem perbankan mereka daripada runtuh.  Sebagaimana Amerika Syarikat, Eropah adalah perlahan untuk keluar daripada kemelesetan.  Perancis, Jerman, dan Belanda – negara terbesar daripada 16 buah negara yang menggunakan euro sebagai mata wang mereka – mencuba untuk meletakkan gedung kewangan mereka pulih dengan segera.  Namun begitu, negara di pinggir, termasuk Greece, Portugal, Sepanyol, dan Ireland berhadapan dengan kesukaran untuk  membayar untuk bertahun-tahun pengembangan dipacu hutang.  Kini, hutang itu cukup tempoh.  Dalam keadaan yang teruk, negara berkenaan boleh mungkir  terhadap hutang mereka, memanjangkan lagi kemelesetan ekonomi. 
 Awan kebimbangan yang semakin tebal berarak di  negara Club Med:  Greece,   Sepanyol, Portugal, dan Italy.  Zon  euro  mungkin padu di pusat, iaitu di Perancis, Jerman, dan Belanda, sedangkan mudah terdedah di pinggir.  Negara berkenaan menanggung  defisit belanjawan yang sangat  besar dan menghadapi kesukaran untuk bersaing dari segi ekonomi tanpa menurunkan nilai mata wang masing-masing.  Jika negara itu tidak menyertai euro, pastinya sudah lama mereka menurunkan nilai mata wang.  Masalah yang dialami oleh Greece dan beberapa buah negara zon euro menonjolkan kecatatan reka bentuk dalam euro.  Dalam keadaan yang teruk, krisis yang merebak dalam zon euro menjejaskan kestabilan  sistem kewangan dengan serius dan mencetuskan ketegangan sosial yang teruk di Greece dan tempat-tempat lain.
Jika akhir tahun lalu, perhatian tertumpu pada Dubai, awal tahun ini perhatian beralih ke  zon euro, terutamanya Greece dan Sepanyol. Maka, tidak memeranjatkan jika  diramalkan bahawa  krisis seterusnya ialah keruntuhan zon euro. Sepanyol dikatakan berhadapan dengan krisis kebolehpercayaan, justeru timbul persoalan:  Adakah Sepanyol selepas Greece?  Apabila ahli ekonomi yang terkenal, Nouriel Roubini, dari  New York University, berkata bahawa Sepanyol dan bukannya Greece, ialah masalah No. 1 Eropah, beliau mencetuskan kegemparan.  Roubini yang meramalkan krisis subprima, membangkitkan kehangatan terhadap Sepanyol apabila krisis kewangan menyebabkan hampir-hampir 20 peratus tenaga kerja negara itu menganggur.
Jika Greece pokai, bolehkan Sepanyol mengelak?  Dengan besar lebih empat kali Greece, Sepanyol boleh dikatakan banyak menerima perhatian yang kurang menyenangkan daripada para pelabur.  Pada awal Februari,  pasaran saham Madrid tunggang-langgang dan premium risiko atas bon Sepanyol meningkat.  Walau bagaimanapun, pembantu kepada Perdana Menteri, José Luis Rodríguez  Zapatero, dilaporkan berkata bahawa Sepanyol merupakan mangsa bukan sahaja oleh serangan spelulatif, bahkan juga oleh komplot yang diterajui oleh “akhbar Anglo-Saxon” untuk memusnahkan euro.
Sementara Moody’s Investors Service,  menurut Bloomberg.com pada pertengahan Januari lalu,  menyatakan “ekonomi Portugal dan Greece mungkin menghadapi ‘kematian perlahan’ kerana kedua-dua negara itu membaktikan kadar yang tinggi kekayaan untuk membayar hutang dan para pelabur menuntut premium untuk memegang bon mereka.”  Meskipun dua negara itu masih dapat mengelakkan daripada terjerumus ke dalam senario tersebut, jendela peluang mereka “akan tidak  terbuka bagi tempoh yang tidak pasti.”
Melihat akhir-akhir ini berita kewangan dikuasai oleh laporan dari Greece dan negara lain di pinggir Eropah, Paul Krugman dalam kolumnya dalam The New York Times merumuskan, cerita sebenar di sebalik keadaan kucar-kacir euro bukannya berpunca daripada pembaziran ahli politik, tetapi kerana keangkuhan elit, terutamanya elit dasar yang mendesak Eropah menerima pakai mata wang tunggal baik-baik sebelum benua itu  benar-benar bersedia dengan eksperimen tersebut. Bagi Krugman, masalah teras Sepanyol ialah bahawa kos dan harga yang meningkat selari dengan yang dialami oleh negara-negara lain di Eropah.
Masalah ini   boleh diselesaikan dengan segera jika Sepanyol masih menggunakan mata wang lamanya,  peseta, iaitu dengan menurunkan nilai mata wang itu sebanyak  20 peratus berbanding dengan mata wang Eropah yang lain.   “Akan tetapi,”  tegas beliau, “Sepanyol tidak lagi memiliki wangnya sendiri,  peseta, yang bermakna bahawa negara itu boleh mendapat semula daya saing hanya menerusi proses deflasi yang perlahan dan berkeriut.”
Sementara Greece yang kesukarannya lebih teruk, kerana orang Greek tidak seperti orang Sepanyol, biasanya tidak bertanggungjawab dari segi fiskal.  Namun begitu, Greece mempunyai ekonomi yang kecil, yang  kesukaran menjadi hal terutamanya  kerana kesukaran  itu melimpah kepada banyak ekonomi besar, seperti Sepanyol.   Oleh sebab itu, kata Krugman,   tidak dapat diubah  euro, bukannya perbelanjaan defisit,  merupakan akar umbi krisis.
“Tiada satu pun sepatutnya muncul sebagai kejutan besar,” rumus Krugman.  “Lama sebelum euro wujud, ahli ekonomi memberikan amaran bahawa Eropah tidak bersedia untuk mata wang tunggal.  Akan tetapi, amaran ini tidak dihiraukan, dan krisis melanda.”
Jika Greece  mungkir, ini merupakan negara pertama dalam Kesatuan Eropah berbuat demikian.  Jika Kesatuan Eropah menyelamatkan Greece, beberapa buah negara lagi menunggu giliran.  Dilaporkan bahawa pasaran bon berasa bimbang tentang kapasiti Sepanyol, Ireland, dan Portugal membayar balik hutang mereka, memaksa negara berkenaan menaikkan cukai dan memotong perbelanjaan,  meskipun ketika mereka masih terjebak dalam kemelesetan. Selepas menggerakkan hasil kepada paras tertinggi dalam tempoh 10 tahun, para pelabur bon  terus mendesak Kesatuan Eropah supaya menyokong Greece. 
Apabila krisis kewangan global melanda, Greece dikatakan  membuat persediaan yang amat tidak memuaskan selepas beberapa tahun pembaziran, menjadi tuan Sukan Olimpik yang menelan perbelanjaan yang besar pada tahun 2004, dan gagal mengawal hutang awam yang terus-menerus meningkat. Hutang kerajaan bernilai lebih daripada output setahun penuh pada 2009, dan dijangkakan mencecah 120 peratus KDNK tahun ini.  Greece dipilih sebagai negara yang mudah terdedah  sejak bermulanya krisis, tetapi dengan kerajaan yang bertungkus-lumus untuk memujuk pasaran supaya percaya dengan rancangan kerajaan untuk memotong defisit, negara itu menjadi sasaran spekulator yang percaya bahawa kerajaan akan mungkir terhadap hutangnya. 
Defisit yang yang melebar menyebabkan Fitch Rating, Standard & Poor’s, dan Moody’s Investors Service menurunkan kepercayaan kredit Greece pada Disember lalu, membangkitkan kebimbangan kemungkinan berlaku kemungkiran.  Pasaran saham pada minggu itu,  dilaporkan  merudum sebanyak hingga enam peratus: ancaman kesan terhadap zon euro  menunjukkan  bahaya apabila sebilangan besar negara  diletakkan di dalam kurungan fiskal.   Greece, dengan hutang negara kira-kira 125 peratus output negara, ketidakseimbangan fiskal secara dramatik  itu melemahkan kestabilan dan perpaduan zon euro.


“Keadaan  teruk mungkin belum berakhir untuk Eropah,” tulis Landon Thomas Jr., dalam The New York Times  tatkala hari demi hari, ketakutan semakin bertambah  bahawa  Greece dan negara lemah yang lain mungkin memungkiri obligasi hutang kedaulatan masing-masing.  “Tidak pernah sebelum ini bahawa Kesatuan Monetari Eropah kelihatan terlalu rapuh.”  Keadaan ini memaksa negara kaya di Eropah membantu atau menghadapi risiko satu atau lebih negara anggota yang paling terdedah meninggalkan zon euro.  
Ujian  sebenar untuk  zon mata wang bersama yang terbesar di dunia, dikatakan ialah sama ada zon itu dapat bertahan daripada beban ekonomi, politik, dan sosial sebaik-baik sahaja  ECB mula menaikkan kadar  faedah sebagai tindak balas penambahbaikan ekonomi di Jerman, Perancis, dan negara-negara lain di Eropah Utara.  Pada tahap itu, dijangkakan bahawa negara yang tertinggal di belakang di pinggir kesatuan, iaitu Portugal, Ireland, Italy, Greece, dan Sepanyol (PIIGS) akan menghadapi pilihan yang lebih keras untuk tahan dengan kemungkinan beberapa tahun lagi ekonomi yang lembap, pengangguran yang tinggi, dan defisit belanjawan yang ternganga.  Dalam keadaan beberapa buah negara tertentu  masih  kacau-bilau,  baru-baru ini  akronim PIIGS ditukar oleh orang yang suka melawak di  Britain kepada STUPID (Sepanyol, Turki, United Kingdom, Italy, dan Dubai).
Masalah  kewangan awam Greece bergolak lama sebelum bank-bank kaya di dunia mula goyah.  Apabila negara itu menyertai euro pada tahun 2001,   hutang awamnya telah pun lebih 100 peratus KDNK.  Greece dilihat  kurang berusaha untuk mengatasi defisit yang berpanjangan, meskipun ketika keadaan melambung yang lama yang dipacu oleh kadar faedah yang rendah  dalam zon euro. Kini, Greece mengakui bahawa defisit belanjawannya hampir-hampir 13 peratus KDNK, manakala tahap hutang adalah dalam kalangan yang tertinggi dalam Kesatuan Eropah – benar-benar melampaui  peraturan yang dibenarkan untuk keanggotaan euro. Walau bagaimanapun, Perdana Menteri George Papandreou mempunyai pendirian yang lain apabila beliau   mengadu bahawa Greece menjadi “mangsa percubaan (guinea pig) dalam peperangan antara Eropah dengan pasaran antarabangsa.”
Bimbang bahawa ketidakmampuan Greece  mengurangkan defisit yang  lebih empat kali daripada had Kesatuan Eropah akan ditiru di negara, seperti Portugal dan Sepanyol, maka ada yang meramalkan bahawa zon euro bersedia untuk runtuh.  Seperti yang dilaporkan, negara zon euro melebihi had tiga peratus terhadap defisit belanjawan adalah  sebanyak 44 kali sejak mata wang tunggal itu diperkenalkan pada 1999.  Greece merupakan pesalah yang besar kerana defisitnya meningkat mengatasi maksimum dalam lapan dari sembilan tahun sejak negara itu menyertai euro.  Italy melanggar peraturan itu sebanyak enam kali, manakala Portugal, Perancis, dan Jerman melanggarnya lima kali. Oleh sebab itu, timbul persoalan,  apa gunanya  mempunyai zon mata wang tunggal jika sesebuah   negara anggota melakukan sesuatu sesuka hatinya.
Masalah bagi Greece ialah bahawa keanggotaanya dalam mata wang tunggal bermakna negara itu tidak boleh menurunkan nilai mata wang untuk keluar daripada kesukaran yang dihadapinya.  Oleh sebab itu, Greece, dikatakan mempunyai dua pilihan, iaitu pertama, mungkir terhadap hutangnya dan menghadapi risiko menjadi  paria dalam pasaran kredit antarabangsa; kedua ialah deflasi yang pastinya membawa peningkatan yang besar terhadap kos sosial yang akan membebankan golongan miskin yang sengsara akibat potongan gaji dan manfaat.  Sesetengah pihak membahaskan bahawa keanggotaan  tidak semuanya buruk;  Greece sekurang-kurangnya  sekarang mendapat sokongan padu daripada anggota zon euro, meskipun bantuan yang akan mereka hulurkan masih samar-samar.
Menurut  pemerhatian, satu  alasan Greece berusaha  bermati-matian untuk kekal  dalam zon euro:  kehidupan, bahkan lebih “ganas” di luar.  Jika Greece meninggalkan euro, mata wang barunya yang bebas akan runtuh; kadar faedahnya akan meningkat, hutang awamnya akan menjadi tidak boleh dibiayai; negara itu akan mungkir terhadap hutangnya sebagaimana kerapnya berlaku pada masa lalu.  Greece akan terjerumus semula ke dalam kancah negara yang gagal – dengan rampasan tentera adalah sesuatu yang amat mungkin sebagai respons terhadap krisis.
Greece adalah antara negara termiskin di Eropah. Apabila euro diwujudkan, banyak ahli ekonomi bimbang tentang kurangnya dana kestabilan-solidariti.  Jika Eropah membangunkan rangka solidariti dan kestabilan yang lebih baik, maka defisit di pinggir Eropah mungkin adalah kecil dan negara berkenaan boleh menguruskannya.   Demikian ulasan  Joseph Stiglitz  dalam akhbar  The Guardian.   Dengan ekonomi Eropah masih lemah, pengetatan yang terlalu berlebih-lebihan terhadap defisit belanjawan akan membawa risiko mencampakkan Greece ke dalam kemelesetan yang dalam.  Pelarasan selalunya memakan masa, dan selalunya menyakitkan. 
 “Kesatuan Eropah, euro, dan premis solidariti Eropah diuji sekali lagi,” tulis Stiglitz.  “Langkah yang diambil oleh Eropah bukannya bekerja bersama-sama dalam tindakannya, tetapi dalam semangat solidariti yang ditunjukkan dalam membantu negara jiran.  Amerika juga menanggung defisit yang tidak pernah berlaku dahalu, sebagaimana yang dialami oleh banyak negara di dunia ini.  Sebagaimana (Presiden Barack) Obama, (Perdana Menteri George) Papandreou mewarisi situasi ekonomi yang bukannya angkara beliau.”
Krisis Greece dikatakan bukannya tentang euro, tetapi tentang Eropah.  Meskipun masalah negara itu adalah terserah kepada negara itu sendiri untuk menyelesaikannya, tetapi masalah tersebut memberikan cabaran yang mendalam terhadap seluruh Eropah, termasuk Britain.  Situasi Greece adalah serupa dengan mana-mana negara yang menghadapi defisit belanjawan yang besar dan dengan hutang yang besar di tengah-tengah kemerosotan ekonomi.  Saling  pergantungan antara Greece dengan Britain ialah realiti ekonomi dan politik yang semakin berkembang.   Britain memiliki satu perlima bon Greece; jika Greece mungkir, hapus kira akan memberikan impak terhadap sistem perbankan Britain, seteruk yang akan dialami oleh negara lain di Eropah.
Meskipun ekonomi Greece adalah kecil dalam istilah antarabangsa, namun dipercayai  bahawa krisis kewangannya mengingatkan para pelabur bahawa satu legasi kemelesetan yang dalam yang berlaku dua tahun lalu ialah kerajaan yang menanggung hutang yang besar yang tidak boleh lagi bergantung pada pasaran kewangan yang kaya dengan tunai untuk menyediakan peminjaman murah.
“Dekad yang berbeza, mata wang yang berbeza, cerita lama yang sama,” tulis Larry Elliot dalam  The Guardian.  “Negara yang bergelut dengan masalah ekonomi yang teruk dan tahap tinggi peminjaman menjadi sasaran spekulator kewangan.  Bagi Britain tahun 1976, baca Greece tahun 2010.  Para peniaga dan dana lindung nilai menurut laporan meletakkan pertaruhan AS$8 bilion bahawa masalah penghubung yang lemah zon euro akan mengakibatkan kejatuhan nilai mata wang tunggal.”
Selepas beberapa  minggu dalam penafian, pada pertengahan  Februari,  Kesatuan Eropah mula bergelut dengan krisis hutang Greece dan bahaya yang akan dicetuskannya terhadap 15 buah negara lain yang menggunakan mata wang euro.  Nampaknya, Kesatuan Eropah mula berusaha untuk  memastikan bahawa tidak ada negara anggota  yang jatuh muflis! 
Sejak sekian lama orang sakit Eropah  merujuk kepada Turki, tetapi kini, beberapa buah negara turut  tergolong dalam senarai yang tidak diingini itu.  Jika dahulu Amerika bersin, Mexico mendapat demam selesema, tetapi kini, mana-mana negara bersin,  banyak  negara mendapat  pneumonia!
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi April 2010.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...