Artikel Popular

Tuesday, April 24, 2012

Krisis Zon Euro: Pasaran Lintang-pukang, Kerajaan Belanda Runtuh

SELASA, 24 April 2012
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH




Ketakutan terhadap kemelesetan yang panjang di zon euro dan ketidakstabilan politik yang semakin menjadi-jadi di Belanda, Perancis, dan Republik Czech,  dilaporkan, menyebabkan pasaran saham lintang-pukang di seluruh benua itu pada hari Isnin semalam. "Ketakutan menghantui zon euro semula," tulis Ben Chu dalam The Independent.

Dax Jerman jatuh lebih 3.5 peratus dan Cac Perancis jatuh sebanyak 2.8 peratus.  Di London, 27.6 bilion lesap daripada nilai FTSE yang jatuh dua peratus, iaitu kepada 5665 mata. Sementara indeks Purata Perindustian Dow Jones (Dow) jatuh 102.09 mata, kepada 12,927.17 mata. Seperti yang dilaporkan oleh The Telegraph, "lebih 122.3 bilion paun lesap daripada nilai syarikat terbesar Eropah pada hari Isnin di tengah-tengah ketakutan bahawa komitmen zon euro terhadap jimat-cermat disapu keluar oleh pemberontakan politik. 

Sementara itu,  Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte meletakkan jawatan selepas tujuh minggu perbincangan tertutup tentang langkah jimat-cermat, yang bertujuan mengurangkan defisit belanjawan daripada yang dijangkakan 4.7 pertus kepada di bawah tiga peratus pada tahun 2013.  Selepas persetujuan dicapai untuk memotong sebanyak 11.5 bilion euro, Geert Wilders, pemimpin Parti Kebebasan yang anti-Eropah dan anti-Islam, memutuskan untuk menarik balik sokongan kepada pakatan minoriti puak demokrat Konservatif dan Kristian. 

Apakah Eropah betul-betul di ambang keruntuhan, seperti yang dibayangkan dalam Time pada tahun lalu?



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...